Hal-Hal Mempelengong Awal Tahun 2011
Labels: Artikel 9 comments
HAL-HAL MEMPELENGONG AWAL TAHUN 2011
Satu hari dalam keadaan cuaca mendung, angin yang mati, burung-burung berhenti terbang, ikan di sawah tidak mencerus, ayam tidak berkokok, Pak Tam Sabit punya garu panau celah ketiak sampai bercalar, punya hendak memahami satu keputusan Mahkamah Koroner tentang pembunuhan, tak juga faham-faham.
Akhirnya, kerana mahkamah adalah sesuatu yang sangat dipercayai tentang meletakkan hukuman dan maha adil dan tidak ada yang lebih tinggi melainkan tingginya, tiada siapa yang boleh mengatasi melainkan ianya, maka Pak Tam Sabit menguatkan iktikadnya bahawa sanya institusi itu adalah insitusi yang patut dijadikan contoh. Berkali-kali dia membaca, atas nama kebodohannya dia pun faham:
Inkues: 5 Jan. Beng Hock Tidak Dibunuh.
Antara jatuh dengan tidak jatuh!
Selama 18 bulan punyalah kaji selidik, siasat tanya, panjat tingkat lima, turun tingkat lima, masuk koroner keluar koroner, laporan berkajang-kajang akhirnya Mahkamah Koroner mengesahkan Beng Hock yang mati menemui ajal bukan akibat dibunuh.
Ertinya, mati bukan dibunuh itu bukanlah ajal? Pak Tam Sabit terpelengong hairan.
Kemudian Mahkamah Koroner itu lagi mengesahkan menolak kemungkinan membunuh diri atau di bunuh. Dibunuh tidak bukti kukuh, membunuh diri menolak kemungkinannya.
“Laaaa…” Pak Tam Sabit melopong mulut. Hairan dia apa itu ‘open verdict.’ Akhirnya Pak Tam Sabit jerkah kepada bininya; “ Dia tu bukan mati dan bukan hidup!”
Kerana isu pelik dan sukar mencari keputusan siapa benar siapa salah selepas keputusan Beng Hock melanda di awal tahun 2011 ini, maka Pak Tam Sabit pun menjaja seluruh permatangnya bahawa;
Apa kata heboh SUK Selangor, Datuk Muhamed Khusrin itu katakan saja;
TS Khalid & SUK Khusrin
1. Ia SUK dan bukan SUK.
2. MB Tan Sri Khalid ada kuasa dan tak ada kuasa.
3. Titah Sultan dan bukan titah Sultan.
4. Datuk Khusrin dilantik dan tidak dilantik.
5. Isu politik dan tidak politik.
6. Novel Interlok ada perkauman tidak perkauman.
7. Tak jadi teks tak apa jadi teks tak apa.
Interlok, karya SN Abdullah Hussain.
Kemudian Pak Tam Sabit merawit-rawit pula pasal perkauman, 1Malaysia, integriti, perpaduan. Perkauman musuh nombor satu kepada perpaduan, pembentukan 1Malaysia.
Yang lebih hairan, dalam keghairahan membentuk 1Malaysia, timbul pula ‘Little India dan China Town.’ Sedang Kampung Baru Kampong Melayu nak ditukar dengan nama bukan Melayu.
Lalu Pak Tam Sabit berazam hendak mencari mana-mana mahkamah yang boleh mengiktirafnya untuk murtad dari Melayu.