Showing posts with label guru. Show all posts
Showing posts with label guru. Show all posts

Saturday, July 30, 2011

:: SURAT : Guru dan perguruan dipersoalkan...




Guru mesti ikhlas, henti merungut


2011/07/30

SEJAK akhir-akhir ini pembaca sering didedahkan dengan pelbagai isu mengenai ketidakpuasan hati golongan guru di Malaysia terutama selepas pengumuman Perdana Menteri mengenai kenaikan pangkat Pengetua dan Guru Penolong Kanan.

Isu pangkat, tempoh berkhidmat, perpindahan, penempatan, guru terpinggir, guru dilupakan dan banyak lagi diutara melalui media.

Saya berpendapat seharusnya golongan ini lebih ikhlas dalam menjalankan tugas harian. Berbeza dengan pendidik masa dulu, isu naik pangkat atau gred amat jarang didengar. Mungkin ada, tetapi disalurkan melalui saluran betul.

Maaf jika dikatakan corak pemikiran pendidik kini mungkin berubah. Ada yang ‘berkelahi’ secara terbuka dalam media mengenai ketidakpuasan sesama mereka.

Oleh itu pendidik sekalian, mari kita muhasabah diri. Jangan terlalu mengikut emosi sehingga menyinggung perasan orang lain. Sedarlah terlalu besar amanah yang dipertanggungjawabkan kepada kalian untuk mendidik anak bangsa sendiri.

Jika hendak dikirakan beban tugas, mari kita renungkan rakan kita yang bertugas sebagai polis. Kerja siang, malam; tidak balik rumah, tinggalkan anak isteri dan macam-macam lagi sehingga menggadaikan nyawa. Tetapi mereka tidak pernah merungut di akhbar. Ada anggota polis hanya berbuka puasa sambil bertugas di tepi jalan.

Mungkin sukar pada zaman ini untuk mencari di mana pendidik setaraf Ghafar Baba dan Pendeta Zaaba. Guru yang ada sekarang mungkin hanya guru yang tidak pernah bercita-cita menjadi pendidik tetapi kerana sudah tiada kerja lain maka terpaksalah jadi guru.

FAISAL MOHAMAD,
Putrajaya.




Friday, July 29, 2011

:: SURAT : Guru bersalin... tiada guru ganti ?


Guru bersalin tidak diganti jejas proses pelajaran anak

2011/07/28


JADUAL persekolahan kini memasuki penggal kedua. Hanya tinggal beberapa bulan sahaja lagi murid Tingkatan Tiga, Lima dan prauniversiti akan menghadapi peperiksaan besar yang akan menentukan hala tuju hidup mereka.

Satu perkara yang ingin saya utarakan dan diharap Jabatan Pelajaran Negeri atau Kementerian Pelajaran mengambil tindakan segera ialah guru ganti bagi guru yang cuti bersalin.

Mengikut pengamatan saya di sebuah sekolah menengah di Kuala Lumpur, ada lebih daripada lima guru cuti bersalin dan terdapat tiga atau empat orang lagi yang menunggu masa untuk bersalin. Malang sekali bagi sekolah berkenaan kerana tiada guru ganti yang disediakan bagi guru yang akan cuti bersalin.

Apabila soalan diajukan kepada pihak sekolah, mereka menyatakan pihak jabatan tiada peruntukan untuk membayar gaji guru ganti. Kenapa tiada peruntukan untuk pendidikan anak? Jika kita perhatikan banyak peruntukan kerajaan dibelanjakan untuk sektor lain yang pada perkiraan saya tidak sepenting pendidikan.

Yang menjadi mangsa ialah anak kami yang akan menghadapi peperiksaan tidak lama lagi sedangkan sesi persekolahan penggal dua baru bermula. Guru bersalin pula mengambil cuti selama tiga bulan.

Banyak topik belum diajar kepada murid. Guru yang cuti bersalin akan memulakan tugas mereka paling awal pada September dan pada masa itu peperiksaan percubaan sudah bermula.

Pelajar diberi guru sementara untuk mengawal kelas dan kalau ada pun guru ganti yang mengajar kelas mereka, guru terbabit turut dibebani dengan tugas lain yang terpaksa dipikul. Saya berharap Kementerian Pelajaran boleh mempertimbangkan pengambilan guru ganti bagi guru yang bersalin agar proses pengajaran dan pembelajaran dijalankan dengan lancar.

NORIAH HARUN, Selayang Baru, Batu Caves.





Saturday, June 18, 2011

:: SURAT: Persoalan... biasiswa dan ijazah pertama...


Ijazah pertama wajar dibuat dalam negara


2011/06/18


KEBELAKANGAN ini isu pemberian biasiswa kepada pelajar cemerlang hangat diperkatakan. Selaku seorang mahasiswa dan juga antara penerima biasiswa Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA), saya terpanggil untuk menyuarakan sedikit pendapat dan pandangan daripada kaca mata saya berkaitan permasalahan ini.

Menerusi Pelan Strategik Pengajian Tinggi Negara (PSPTN) yang dilancarkan oleh Kementerian Pengajian Tinggi baru-baru ini, antara elemen yang diberi perhatian serius ialah pengantarabangsaan di mana pihak kementerian menyasarkan untuk memiliki sekitar 200,000 mahasiswa antarabangsa menuntut di Malaysia.
Menurut maklumat yang dikeluarkan, Malaysia kini menduduki tangga ke-11 dalam pilihan pengajian tinggi dunia dan memiliki sekitar 86,000 mahasiswa antarabangsa yang menuntut di sini. Ini membuktikan kualiti yang dimiliki oleh institusi pengajian tinggi di Malaysia. Oleh itu, saya berasakan kualiti kecemerlangan daripada mahasiswa kita harus diteruskan dan dikembangkan dalam negara terlebih dahulu. Ini secara tidak langsung akan meningkatkan dan melonjakkan lagi institusi pengajian tinggi (IPT) di Malaysia.
Justeru, saya ingin menyarankan agar pelajar cemerlang menyambung ijazah pertama mereka di dalam negara. Namun, sekiranya mereka mendapat tawaran daripada universiti terkemuka di luar negara seperti Universiti Harvard dan Cambridge serta bidang kepakaran yang tiada di Malaysia barulah mereka dihantar ke luar negara. Saya berpendapat melanjutkan pelajaran di luar negara amat sesuai untuk program sarjana dan doktor falsafah. Dengan kaedah ini, kita dapat mengekalkan pelajar cemerlang dalam negara sekali gus meningkatkan imej dan kualiti IPT tempatan.

Persoalan bagaimana jumlah penerima biasiswa dapat ditingkatkan boleh dirungkai dengan mengekalkan pelajar cemerlang di dalam negara. Seperti yang diketahui, kos menghantar pelajar ke luar negara amat tinggi. Dengan mengehadkan jumlah pelajar, kos yang sedia ada boleh digunakan untuk menampung lebih ramai pelajar di dalam negara.

Penambahan jumlah penerima biasiswa dapat menyokong pembangunan berterusan pelajar cemerlang. Secara tidak langsung dapat menyokong budaya mengejar kecemerlangan yang diterapkan kepada anak-anak seawal tiga tahun melalui prasekolah.
Sekiranya berasakan pelajar cemerlang ini harus diberi pendedahan maka saya menyarankan agar hanya satu atau dua semester saja mereka dihantar ke universiti terkemuka luar negara untuk mengikuti program penukaran pelajar. Ini juga secara tidak langsung tidak membebankan jumlah perbelanjaan yang harus ditampung oleh pihak penaja dan pada masa yang sama mereka juga beroleh pendedahan yang setimpal.

WAN AHMAD HAZMAN WAN DAUD,
Majlis Perundingan Pelajar Kebangsaan.





Friday, June 17, 2011

:: Guru... psikologi... dan pendidikan terhadap pelajar...





Guru perlu ada ilmu psikologi



Oleh Ruhaiza Rusmin dan Ihsan Norzali
rencana@hmetro.com.my

Foto

MASIH ADA HARAPAN...jika pelajar terlanjur perbuatan, masih ada lagi harapan untuk memperbaiki kesalahan asalkan ada kemahuan dan kesedaran.

Foto

BIMBINGAN...pelajar sentiasa memerlukan bimbingan dan suntikan motivasi yang boleh menjana kecemerlangan diri.

Foto

MASA DEPAN...daripada terbabit masalah disiplin, lebih baik pelajar memikirkan masa depan supaya mampu menjadi insan berguna.

Foto

PERINGATAN...pelbagai kempen sudah dijalankan pelbagai pihak untuk menimbulkan kesedaran pelajar.

Foto

PERLU DIHUKUM...pelajar yang melanggar disiplin perlu diberi peringatan keras supaya tidak mengulangi kesilapan yang merugikan diri sendiri.



RESAH masyarakat terhadap masalah disiplin pelajar cukup berasas apatah lagi pelbagai insiden luar jangkaan mampu disumbangkan mereka meskipun umur hanya setahun jagung.

Peningkatan kadar jenayah atau disiplin ini bukan saja membimbangkan institusi persekolahan malah masyarakat turut keliru serta tercari-cari apakah mekanisme terbaik boleh diguna pakai bagi menanganinya.

Meskipun banyak lambakan kempen menerusi sesi ceramah dan pameran, ia masih belum ampuh untuk melembutkan hati pelajar.

Akibatnya, masyarakat tertanya-tanya apakah pendekatan selama ini salah atau pelajar semakin naik lemak hingga sukar dinasihati lagi.


Masih adakah lagi jalan penyelesaiannya?


Pensyarah Kanan Jabatan Psikologi dan Kaunseling, Fakulti Pendidikan dan Pembangunan Manusia Universiti Pendidikan Sultan Idris, Ab Aziz Mohd Yatim, berkata cara didikan pelajar masa kini tidak boleh dilakukan secara semberono tanpa disuntik elemen tertentu yang boleh ‘mematahkan’ sikap degil pelajar.

Beliau berkata, kemampuan pelajar hari ini sukar dijangka hingga ada ketikanya mampu mencapai tahap tertinggi dengan keberanian luar biasa.

“Melihat rentak sebilangan pelajar hari ini, memang menakutkan kerana mereka sangat ekstrem hingga mampu melahirkan keberanian tanpa batasan.

“Memang wajar masyarakat melahirkan kebimbangan namun jalan penyelesaian masih ada, jangan mudah berputus asa,” katanya.

Bukan hairan lagi apabila masyarakat menganggap pelajar hari ini terutama peringkat menengah, penyumbang masalah disiplin.

Biarpun hanya segelintir, mereka yang melanggar disiplin bagaikan memberi persepsi buruk kepada pelajar lain.

Yang bermasalah pula terus ‘bermaharajalela’ hingga menyebabkan masyarakat semakin muak untuk membantu sebaliknya membiarkan guru dan sekolah mengatasinya.

Beliau berkata, meskipun disiplin pelajar menjadi antara isu hangat, tidak bermakna setiap pihak hanya mampu berdiam diri atau melepaskannya kepada golongan minoriti.

Pelajar, katanya, adalah kelompok yang memerlukan bimbingan berterusan selain pendekatan sesuai untuk menyedarkan tindakan dilakukan adalah salah.

“Kebanyakan hanya pandai menuding jari atau melepaskan tanggungjawab itu kepada orang lain tanpa mahu duduk semeja mencari jalan penyelesaian.

“Pada masa sama, menganggap pelajar bermasalah sudah tiada masa depan dan terus memberi tekanan hingga menyebabkan nasib pelajar semakin terumbang-ambing.

“Mencari penyelesaian dengan bertunjangkan konflik akan memburukkan lagi keadaan dan pelajar melihat pertelingkahan itu sebagai medium melepaskan diri” katanya.

“Ada kalanya, masyarakat suka menyalahkan guru dan sekolah kerana tidak bertindak namun kesalahan itu tidak wajar diletakkan pada bahu golongan terbabit semata-mata.

“Masyarakat perlu akur, senario pendidikan sekarang terlalu banyak ‘pantang larang’ hingga menyukarkan segala tugasan yang ingin dibuat.

“Namun, itu bukan alasan mereka tidak mengambil tindakan cuma caranya saja tidak bersesuaian dengan jiwa pelajar,” katanya mengakui guru hari ini perlu belajar cara terbaik untuk menakluk tentangan pelajar.

“Jika menggunakan pendekatan lama, sudah tidak sesuai kerana zaman ini pelajar lebih bijak mencipta alasan. Untuk itu, guru perlu ada ilmu psikologi yang hebat bagi menakluki emosi mereka.

“Kebiasaannya, tindakan atau hukuman diselarikan dengan pendekatan berbentuk fizikal seperti rotan dan denda namun terlupa menyentuh emosi sedangkan ia aspek paling mudah untuk menjinakkan pelajar.

“Pendekatan salah bukan saja tidak menyelesaikan masalah malah mengundang lebih banyak konflik kedua pihak hingga mampu mewujudkan jurang selain perasaan tidak puas hati,” katanya.

Beliau berkata, guru perlu menunjukkan kasih sayang dan perhatian dengan ikhlas tanpa niat menghukum atau sindiran supaya pelajar rasa lebih selesa untuk meluahkan perasaan.

Menurutnya, ada guru hanya tahu mengajar namun tidak mendidik menyebabkan hasrat menjadikan pelajar hari ini sebagai generasi berilmu, berdisiplin dan berperibadi mulia sukar.

“Ini bukan tuduhan namun ada kalanya guru tidak pandai berdiplomasi dan hanya mengajar berpandukan nota semata-mata sedangkan matlamat sebenar adalah memberi pendidikan.

“Antara mengajar dan mendidik memang jauh perbezaannya. Bayangkan jika guru pun boleh terasa dan melenting jika ditegur, apatah lagi pelajar yang masih muda dan teraba-raba mencari arah.

“Sebab itu penting guru bermuhasabah dan mencari pendekatan sesuai sebelum mengenakan hukuman supaya pelajar memahami apa dilakukan itu bukan disebabkan benci namun peringatan menjadikan mereka lebih baik,” katanya.

Ditanya adakah cara itu seolah-olah membuatkan pelajar seperti besar kepala dan semakin manja, beliau menafikannya kerana pelajar pasti faham yang dilakukan itu sekadar hukuman membetulkan kesilapan.

“Malangnya, ramai guru terlupa hingga menyebabkan pelajar melihat hukuman itu seolah-olah misi ‘balas dendam’ dan melepaskan perasan benci hingga menjadikan mereka terus memberontak.

“Berdasarkan pengalaman dan kajian, saya percaya jika guru pandai menggunakan budi bicara, pelajar boleh menerima dan mampu diubah. Cuma tidak boleh mengharapkan keajaiban berlaku sekelip mata sebaliknya perlu berterusan dan disertai doa,” katanya.



Faktor penyumbang masalah disiplin pelajar:

  • Kurangnya perhatian dan kasih sayang ibu bapa pada era globalisasi kerana lebih mengutamakan kerjaya hingga lupa tanggungjawab mendidik anak.

  • Kemunculan media massa serta sumber bacaan tanpa batasan hingga menyebab�kan pelajar ingin meniru dan mencuba.

  • Pengaruh rakan sebaya kerana menganggap rakan sebagai rakan sebenar lantaran ibu bapa sukar meluangkan masa untuk mendengar atau berdampi�ngan dengan anak.

  • Kegagalan pihak sekolah untuk bertindak pantas dan telus kerana ada sebilangan cuba merahsiakan masalah disiplin yang berlaku.

  • Ketiadaan program selepas sekolah yang sesuai atau menarik hingga pelajar lebih gemar menghabiskan masa di tempat tidak berfaedah.
  • :: Kisah cikgu di sekolah...







    Khamis, 16 Jun 2011


    Pening Kepala Cikgu...

    Salam

    Sehelai kertas bertulis dan sekeping gambar bisa menggambarkan seribu satu persoalan....kawan2 tengok dan nilaikan sendiri mengikut budi bicara dan keilmuan masing2, kemudian berikanlah komen dan pandangan kepada diri sendiri berkenaan apa yang kawan2 lihat dan baca.

    Pasti kawan2 mampu mentafsirkan sendiri apa yang difikir, di rasai, dialami dan dipeningi (ada ke ayat ni) oleh orang yang menerima dan menandakan nya....hahaha....

    renung2kan dan selamat beramal......















    * kepada cikgu2, kesabaran dan ketabahan mendidik anak bangsa amat2 dihargai...kepada pelajar dan murid hargai pengorbanan dan jasa guru2 anda..




    Saturday, June 11, 2011

    :: SURAT : Birokrasi menyukarkan guru sambung PhD...?




    Kerenah birokrasi sukarkan guru sambung PhD


    2011/06/11

    SAYA bersetuju dengan pendapat ‘Guru sabar menunggu, Bidor, Perak’ yang disiarkan dalam ruangan ini pada Rabu, 8 Jun. Masalah guru tidak mendapat bantuan tajaan atau biasiswa bagi melanjutkan pengajian pada peringkat Ijazah Kedoktoran (PhD) memang banyak berlaku. Sepatutnya dalam situasi ini, guru wajar diberi perhatian dan keutamaan untuk melanjutkan pelajaran kerana mereka berada dalam bidang pendidikan. Malangnya, kerenah birokrasi yang menyusahkan sering membantutkan hasrat mereka.
    Prosedur temuduga bagi cuti bergaji penuh perlu dilihat dan dinilai semula rasionalnya bagi memudahkan guru, bukannya menekan mereka.

    Faktor kewangan adalah perkara kedua tetapi masa yang banyak diperlukan bagi menjalankan setiap penyelidikan yang merumitkan jika guru melanjutkan PhD secara sambilan.

    Pelajar dari sektor swasta dan orang perseorangan mendapat kemudahan melalui program MyMaster dan MyPhD yang mendapat sokongan kerajaan sepenuhnya. Ramai guru yang mempunyai kelulusan sarjana di sekolah tidak dimanfaat sepenuhnya. Akhirnya kepakaran mereka menjadi sia-sia saja. Pihak kementerian perlu memandang serius hal ini jika ingin memartabatkan profesion perguruan. Guru yang mempunyai sarjana dan PhD perlu diberi lebih keistimewaan untuk memohon sebagai pensyarah di institusi pengajian tinggi lain. Guru terpaksa menunggu lama untuk dinaikkan ke gred DG44 untuk melayakkan diri ke maktab perguruan sebagai pensyarah. Pengalaman mengajar yang lama tidak memberi banyak kelebihan banyak berbanding dengan mereka di luar sektor pendidikan. Pihak kerajaan juga perlu lebih bersikap terbuka terhadap guru yang ingin memohon jawatan lebih tinggi dengan memberi sokongan sepenuhnya. Tambahan pula guru berijazah di sekolah rendah dinafikan hak mereka untuk memohon jawatan Penolong Kanan dan Guru Besar atas alasan sistem sedia ada ditetapkan begitu sedangkan kita sendiri yang membuat sistem berkenaan dan sudah sampai masanya diubah mengikut peredaran masa selain memberi peluang kepada guru yang berkelayakan memegang jawatan berkenaan.

    GURU LAMA,
    Jitra, Kedah


    Thursday, June 09, 2011

    :: SURAT : Guru nak sambung belajar (PhD)... mohon cuti diluluskan...




    Surat: Guru kanan mohon cuti diluluskan untuk sambung belajar


    2011/06/08


    SEBAGAI guru di sekolah luar bandar yang menyedari mengenai kepentingan ilmu, saya sangat berminat menyambung pelajaran ke peringkat ijazah sarjana kedoktoran (PhD). Sudah lima kali saya memohon (dari 2006 hingga 2011), kecuali 2008 kerana permohonan ‘online’ disekat sebab terlebih had umur 40 tahun yang ditetapkan. Saya sungguh gembira bila Kementerian Pelajaran mewujudkan program cuti belajar bergaji penuh tanpa biasiswa dengan had umur 44 tahun, dan saya sudah memohonnya sejak 2009 hingga 2011.
    P
    ada Mac lalu, saya dipanggil temuduga dan sangat sedih apabila dimaklumkan pada 31 Mei lalu bahawa permohonan saya tidak berjaya.

    Persoalan saya, mengapakah susah sangat untuk saya mendapat cuti belajar selepas saya memohonnya sebanyak lima kali? Apakah penggunaan bahasa Inggeris saya yang tidak lancar ketika sesi temuduga menjadi penyebab utama?

    Dengan bebanan tugas sebagai guru kanan di sekolah menengah, di mana saya perlu mengendalikan dua bidang serentak iaitu bidang pengurusan dan pentadbiran serta pengajaran dan pembelajaran, saya sangat memerlukan cuti belajar untuk menyambung pelajaran, walaupun tanpa biasiswa.

    Tambahan pula komitment terhadap keluarga dan kekangan masa untuk membuat kajian di luar kawasan turut menyumbang kepada sangat pentingnya cuti belajar ini kepada saya.

    Saya mencadangkan pihak Bahagian Tajaan Kementerian Pelajaran turut mengambil kira faktor tanggungjawab dan kemampuan kewangan guru ketika membuat penilaian. Sehingga ke saat ini saya masih merayu pihak Kementerian Pelajaran terutama Bahagian Tajaan agar meluluskan permohonan yang sangat saya perlukan.
    Tahun ini adalah peluang terakhir saya kerana tahun hadapan umur saya sudah pun melebihi had umur 44 tahun yang ditetapkan.


    GURU SABAR MENANTI,
    Bidor, Perak.


    Friday, June 03, 2011

    :: SURAT: Guru di Melaka tidak mendapat cuti bersalin 90 hari?




    2011/06/03

    SAYA seorang guru yang berkhidmat di Melaka berasa begitu musykil berkenaan cuti bersalin yang dibenarkan oleh Kementerian Pelajaran. Menjadi satu kebanggaan buat kami kakitangan kerajaan terutama golongan wanita apabila Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak mengumumkan cuti bersalin dipanjangkan daripada 60 kepada 90 hari.

    Bagi kami itu satu rahmat yang tidak ternilai. Namun, apa yang menjadi tanda tanya saya ialah mengapa Jabatan Pelajaran Melaka mengeluarkan arahan kepada semua sekolah di negeri ini untuk memberikan cuti bersalin sebanyak 60 hari saja. Di manakah hak kami yang diberikan oleh Perdana Menteri?
    Saya seperti melihat kedudukan Pengarah Pelajaran lebih berkuasa daripada Menteri Pelajaran. Apabila saya merujuk kepada pihak pentadbiran sekolah, apa yang diterima ialah jabatan tidak mempunyai peruntukan wang untuk membayar gaji guru untuk menggantikan guru bersalin.

    Malah, belum ada pekeliling dikeluarkan mengenai arahan ini. Saya juga ada bertanya kepada rakan lain yang mengajar di sekolah di negeri lain dan dimaklumkan mereka tidak mempunyai masalah dari segi mendapatkan cuti bersalin 90 hari. Malah, JPN mereka juga sudah menyediakan peruntukan untuk guru ganti.

    Apabila saya menyemak di Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA), sudah dikeluarkan Pekeliling Perkhidmatan Awam Bilangan 14 tahun 2010 yang ditandatangani oleh Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Datuk Seri Abu Bakar Abdullah bertarikh 2 Disember 2010.

    Malah, pekeliling itu sudah berkuat kuasa pada 15 Oktober tahun lalu. Oleh itu bagaimana Pengarah Pelajaran Melaka boleh mengeluarkan arahan kepada semua sekolah menyatakan bahawa cuti bersalin tidak boleh diambil 90 hari kerana tidak ada pekeliling yang baru dikeluarkan selepas itu.

    Saya juga ingin mengetahui berapakah peruntukan yang dikeluarkan oleh Kementerian Pelajaran kepada setiap Jabatan Pelajaran Negeri pada setiap tahun. Ini kerana alasan yang diberikan oleh JPN ialah tidak cukup ‘bajet’. Setiap tahun alasan yang sama diberikan oleh JPN apabila sekolah memerlukan guru ganti untuk menggantikan guru bersalin.

    Persoalannya, bagaimana sebuah negeri yang kecil seperti Melaka tidak mempunyai peruntukan membayar guru ganti jika dibandingkan dengan negeri lain.
    Hampir lima tahun saya mengajar di Melaka dan inilah alasan yang sering mereka berikan. Adakah peruntukan yang diberikan kepada JPN digunakan untuk membawa kakitangan mereka melancong pada hujung tahun?

    Hendak dikatakan mengadakan kursus di luar dari Melaka, rasanya tidak juga kerana kebanyakan kursus yang diadakan hanya diadakan di JPN saja.

    FADLINA OTHMAN,
    Melaka.



    Thursday, June 02, 2011

    :: Kisah temuduga terbuka ke IPG di Sabah...




    Kementerian diminta beri peluang anak tempatan berkhidmat di sekolah pedalaman Sabah


    29th May, 2011

    TENOM: Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri Datuk Radin Malleh meminta Kementerian Pelajaran segera mengkaji semula keputusan temuduga terbuka bagi profesion perguruan melibatkan anak tempatan Nabawan dan Kemabong di pedalaman Sabah pada 7 Mei lepas.

    Beliau berkata ini kerana ramai ibu bapa dan pelajar berpendapat temuduga itu tidak dilaksanakan mengikut sasaran ditetapkan.

    “Objektif utama temuduga itu ialah untuk memberi peluang kepada anak tempatan di pedalaman Sabah, khususnya di Nabawan dan Kemabong, menjadi guru,” katanya kepada Bernama.

    Bagaimanapun, kata beliau, calon dari luar daerah itu turut diambil dan ini menafikan peluang anak tempatan menjadi guru.

    Radin, yang juga naib presiden Parti Bersatu Sabah (PBS), berkata beliau dimaklumkan bahawa pada mulanya kumpulan sasaran bagi pengambilan itu ialah anak tempatan dari kawasan pedalaman yang mendapat enam kredit, termasuk dalam mata pelajaran Bahasa Melayu dan Sejarah pada peringkat Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) serta aktif dalam kegiatan ko-kurikulum.

    “Mendapat ‘A’ (kredit) tidak diwajibkan bagi pelajar dari kawasan pedalaman Nabawan dan Kemabong. Anggota panel temuduga datang jauh dari Putrajaya; mereka tidak kenal calon-calon ini, jadi mereka hanya pilih secara rambang, manakala kelayakan yang diambil kira pula adalah seperti biasa, contohnya 4A bagi lelaki dan 5A bagi perempuan dan ini mengenepikan peluang untuk anak tempatan,” katanya.

    Radin berkata perkara paling mengecewakan ialah pegawai pendidikan tempatan langsung tidak dilibatkan dalam semua proses pengambilan.

    “Ini menyebabkan objektif utama untuk memberi peluang kepada anak tempatan tidak tercapai. Ini tidak adil bagi anak tempatan Nabawan dan Kemabong,” katanya.

    Beliau berkata sekiranya amalan itu diteruskan, sampai bila pun anak tempatan tidak berpeluang menjadi guru. “Sebab itulah ibu bapa mahu keputusan itu dikaji semula agar anak tempatan berpeluang mencapai impian mereka,” katanya.

    Radin berkata sekolah di pedalaman, termasuk di Nabawan dan Kemabong, masih kekurangan dalam banyak aspek, termasuk prasarana dan kemudahan teknologi maklumat.

    Ini juga perlu diambil kira dalam pengambilan guru melalui temuduga terbuka, katanya.




    Wednesday, June 01, 2011

    :: IPG untuk graduan IPTA-IPTS diperlukan di Sabah?



    Bolkiah: Institut Pendidikan Guru perlu ditubuhkan di Sabah


    29th May, 2011

    KOTA KINABALU: Sebuah Institut Pendidikan Guru khusus untuk melatih graduan lepasan Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) dan Institusi Pengajian Tinggi Swasta(IPTS) dalam bidang perguruan perlu wujudkan di negeri ini.

    Pembantu Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar, Datuk Bolkiah Ismail ketika membuat cadangan itu, berkata perkata itu adalah relevan dan perlu diambil perhatian serius pihak kerajaan pusat dalam usaha mengatasi masalah kekurangan guru berpengalaman yang dihadapi di negeri ini.

    Katanya, jika institut perguruan itu dapat diwujudkan di negeri ini, ianya boleh berperanan khusus dalam melatih graduan daripada anak-anak tempatan Sabah yang belum mempungai pekerjaan untuk menjadi guru.

    Pada masa yang sama katanya, langkah itu juga akan membantu mengatasi masalah pengangguran di kalangan siswazah di negeri ini serta dapat membantu meningkatkan kualiti pembelajaran,”katanya.

    Beliau berkata demikian sebagai reaksi terhadap kenyataan Pengarah Pelajar Sabah, Datuk Dr. Muhiddin Yusin pada Jumaat yang berkata, bahawa perpindahan guru dari Sabah setiap tahun adalah salah satu faktor negeri ini terus kekurangan guru berpengalaman.

    Dr. Muhiddin berkata, setiap tahun antara 700 ke 1,000 orang guru berpengalaman dan bertugas di Sabah berpindah dari negeri ini dan kebiasannnya tempat mereka diganti dengan guru-guru baru.

    Menurutnya, guru yang sudah berpengalaman apabila berpindah, biasanya diganti dengan guru-guru yang baru dan apabila guru baru, maka kualiti pengajaran juga perlu sentiasa diperbaharui.

    ‘Sekiranya guru berpengalaman itu meneruskan perkhidmatannya maka pengalaman guru berkenaan boleh dimanfaatkan,”kata Dr. Muhiddin .

    Bolkiah yang juga Timbalan Exco Pelajaran Negeri berkata dianggarkan lebih 1,000 graduan di negeri masih belum mempunyai pekerjaan dan adalah kena pada masanya untuk menawarkan mereka untuk memasuki institut perguruan bagi mencurahkan khidmat kepada anak bangsa.

    Beliau juga mencadangkan supaya kemasukan pertama untuk ke institut pengajian guru itu nanti, mestilah dari kalangan graduan dari kalangan anak tempatan negeri ini dan memberi tumpuan kepada subjek penting khususnya sains dan matametik.

    “Meskipun sudah terhadap beberapa institut perguruan guru di negeri ini, namun ianya masih belum dapat mengatasi masalah kekurangan guru khususnya dalam subjek sains dan matametik terutamanya di sekolah-sekolah luar bandar di Sabah,”katanya

    Bolkiah berkata, rasionalnya cadangan juga adalah bagi mengelakkan masalah kekurangan guru berpengalaman disebabkan perpindahan guru-guru untuk balik ke Semenanjung setiap tahun seperti yang berlaku pada masa ini.

    Selain itu, ianya juga akan dapat meningkatkan prestasi para pelajar luar bandar di mana pada masa ini peratusan kelulusan peperiksaan bagi sekolah-sekolah luar bandar hanya sekitar 40 hingga 50 peratus terutamanya dalam subjek sains dan matametik.

    Sehubungan itu, beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Pitas turut mencadangkan supaya institut pendidikan guru itu di tempatkan di daerah Pitas sekiranya ia menjadi kenyataan.

    Ini kerana, katanya, keindahan alam semuajadi di daerah itu yang boleh menjadi daya tarikan serta sekaligus akan dapat memberi impak ekonomi kepada daerah itu.



    :: SURAT : Insentif kepada guru... tiada IPG kampus baru... dan program integrasi nasional dikekalkan?




    Kementerian beri pelbagai insentif kekalkan guru berpengalaman di pedalaman


    2011/06/01

    KEMENTERIAN Pelajaran Malaysia (KPM) ingin merujuk kepada laporan akhbar Berita Harian bertarikh 21 April 2011 – Khidmat guru tempatan terlatih diperlukan di Sabah, Sarawak.

    Dalam situasi yang ideal, penempatan guru tempatan bagi sesebuah negeri mungkin menjadi satu kaedah terbaik untuk menyelesaikan isu keperluan guru. Namun, hakikatnya, ia masih tidak dapat dilaksanakan seperti yang dicadangkan dan sedang ditangani secara berperingkat oleh KPM.
    Berhubung permohonan guru dari Semenanjung yang ingin kembali berkhidmat di Semenanjung, ia adalah satu amalan biasa dan dalam hal ini sebarang permohonan diteliti secara individu dan diberi pertimbangan sewajarnya oleh KPM. Sungguhpun demikian, perlu diingati bahawa masih terdapat ramai guru berpengalaman dari Semenanjung yang masih kekal berkhidmat di Sabah dan Sarawak.

    Untuk memastikan guru berpengalaman ini kekal berkhidmat di kawasan pedalaman dan luar bandar, KPM melaksanakan pelbagai strategi termasuk menempatkan suami isteri di sekolah yang sama atau berhampiran di Sabah dan Sarawak disamping pemberian Elaun Khas Mengikut Lokasi dan Tahap Kesusahan (EKMLTK) sebagai salah satu insentif untuk mereka.

    Ia juga mencerminkan satu bentuk pengiktirafan kerajaan terhadap khidmat bakti mereka selama ini terhadap pembangunan pendidikan pelajar di pedalaman dan luar bandar di seluruh negara.

    Mengenai latihan guru pula, ia menjadi satu usaha berterusan yang dilaksanakan oleh KPM. Berhubung cadangan membina Institut Pendidikan Guru (IPG) baru di Sabah dan Sarawak, KPM berpandangan bahawa tiada keperluan buat masa ini untuk berbuat demikian berdasarkan beberapa faktor.

    Pertama, bilangan IPG sedia ada masih berupaya melatih bakal guru untuk keperluan pendidikan negara.
    Kedua, pembinaan sesebuah IPG tidak hanya khusus untuk masyarakat setempat tetapi lebih menjurus kepada memenuhi keperluan pendidikan guru bagi seluruh negara.

    Oleh itu, faktor lokasi IPG dilihat tidak begitu kritikal dalam hal ini. Selain itu juga, pemilihan anak tempatan Sabah dan Sarawak untuk menjalani latihan di IPG di Semenanjung seperti amalan sekarang harus dilihat sebagai satu perkara yang positif khususnya bagi mereka untuk menimba pendedahan dan pengalaman yang amat bermakna dalam pembangunan profesionalisme keguruan mereka sendiri.

    Ini juga sejajar dengan matlamat gagasan 1Malaysia yang diperjuangkan oleh kepemimpinan negara. Dari aspek jangka panjang, KPM berpandangan bahawa bagi memastikan lebih ramai guru tempatan terlatih di Sabah dan Sarawak, minat golongan belia tempatan perlu terus dipupuk untuk menyertai profesionalisme keguruan.

    Sungguhpun begitu, KPM berpandangan bahawa faktor siapa dan dari mana asal negeri guru itu tidak begitu penting. Walau di sekolah mana pun mereka ditugaskan baik di Semenanjung, mahupun Sabah dan Sarawak, apa yang lebih penting adalah komitmen dan profesionalisme guru yang jitu terhadap tugas dan tanggungjawab yang diamanahkan khususnya dalam mendidik dan melakar masa depan yang lebih cemerlang buat anak bangsa.

    UNIT KOMUNIKASI KORPORAT,
    Kementerian Pelajaran Malaysia.



    Saturday, May 28, 2011

    :: SURAT: Kisah guru bahasa Inggeris SMK di Parit Sulong ?




    2011/05/28

    KAMI pelajar tingkatan tiga di SMK Dato Sulaiman, Parit Sulong amat kecewa dengan sikap seorang guru bahasa Inggeris yang berkelulusan dari universiti di Amerika Syarikat.

    Pada hari pertama beliau memasuki kelas kami, kami begitu bangga dan teruja kerana mendapat guru bahasa Inggeris lulusan dari luar negara.

    Tentu hebat orangnya, tentu juga hebat cara mengajarnya dan tentu sekali harapan kami akan dapat menguasai bahasa Inggeris dengan lebih cepat dan mudah.

    Malangnya, apa yang kami harapkan tidak kesampaian. Pada setiap hari, beliau memulakan pengajarannya dengan memperbodoh-bodohkan kami, mukanya tidak pernah menyenangkan hati kami dan ada kalanya menyalahkan guru bahasa Inggeris kami yang terdahulu.

    Agaknya, begitulah caranya lulusan luar negara mengajar? Memaki, menghina, menjatuhkan maruah kami?

    Semuanya ini berbeza dengan guru bahasa Inggeris kami yang terdahulu, iaitu lulusan dalam negara saja. Mereka begitu sabar, teliti, sentiasa memberi motivasi dan tekun mengajar, malah tidak kedekut dengan masa, tenaga malahan wang ringgit.

    Jika guru lulusan Amerika ini terus mengajar kami, saya rasa akan gagal dalam mata pelajaran bahasa Inggeris dalam peperiksaan Penilaian Menengah Rendah (PMR) kelak.

    Mohon jasa baik pengetua menggantikan guru ini dengan guru bahasa Inggeris lain yang lebih memahami jiwa, kehendak dan pencapaian kami.

    PELAJAR TERHINA,
    SMKDS.

    Thursday, May 19, 2011

    :: Naik pangkat... guru biasa rasa terpinggir...KPPK mohon bertenang...


    http://www.bharian.com.my/bharian/articles/Tenang_teruskantugasmengajar/Article


    Tenang, teruskan tugas mengajar


    2011/05/19

    KPPK yakin kerajaan akan tangani rintihan 400,000 guru kelas biasa

    KUALA LUMPUR: Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (KPPK) yakin kerajaan akan menangani rintihan dan masalah yang dihadapi kira-kira 400,000 guru kelas biasa dan memberikan mereka lebih banyak peluang kenaikan pangkat.

    Setiausaha Agungnya, Lok Yim Pheng, berkata guru terbabit adalah ‘teras’ pendidik peringkat akar umbi, seharusnya bertenang dan meneruskan tugas murni mereka seperti biasa, dan menyerahkan kepada kesatuan soal perjuangan menjaga kebajikan mereka.

    Yim Pheng berkata, kenyataannya adalah sebagai menyuarakan rasa kecewa dan kebimbangan guru terbabit dengan pengumuman kerajaan pada Hari Guru, baru-baru ini yang membawa berita gembira kepada segelintir guru besar dan guru penolong kanan yang akan menikmati kenaikan gaji mulai awal tahun depan.

    “Ironinya disebalik membawa kegembiraan, pengumuman itu menimbulkan kebimbangan dan rasa sedih di kalangan guru kerana sejumlah besar daripada mereka seperti diketepikan,” katanya.

    Beliau berkata, kesatuan yang mewakili 140,000 guru di seluruh negara akan berusaha untuk mengadakan perjumpaan dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak bagi membincangkan mengenai rintihan dan masalah dihadapi guru kelas biasa.

    Yim Pheng berkata, KPPK tidak akan menghampakan guru terbabit kerana mereka adalah tonggak pendidikan, di mana semua sekolah bergantung kepada kejayaan mereka melaksanakan tanggungjawab dengan baik.
    “Tanpa dedikasi guru kelas, guru besar dan pengetua saja tidak akan dapat mengendalikan sekolah,” katanya.

    Tinjauan yang dilakukan semalam, mengesahkan kenyataan kesatuan itu ramai guru pada dasarnya tidak berpuas hati dengan pengumuman kerajaan yang memberikan kelebihan hanya untuk ketua sekolah.

    Seorang guru yang dikenali sebagai Chandran, 45, yang berpengalaman 18 tahun mengajar berkata beliau amat sayangkan karier sebagai seorang guru dan amat sayangkan muridnya, namun beliau merasa kecewa kerana merasakan dedikasinya selama ini seperti tidak dipandang.

    “Setiap hari saya biasanya pulang ke rumah satu atau dua jam lebih lewat kerana saya perlu melanjutkan masa mengajar di sekolah, khusus buat pelajar yang lemah, malah saya ambil inisiatif himpunkan mereka pada hujung minggu untuk membantu mereka dalam pelajaran, namun ini nampaknya tidak dihargai oleh pihak sekolah,” katanya.

    Seorang lagi guru yang hanya mahu dikenali sebagai Miss Tan, berkata beliau sangat sedih dengan pengumuman itu, kerana beliau mahupun rakan sejawatannya tidak memperoleh apa-apa manfaat daripadanya.

    “Kami juga bekerja keras, tapi pengumuman insentif itu seperti memperlihatkan dedikasi kami tidak dihargai,” katanya. – BERNAMA



    Monday, May 16, 2011

    :: 16.05.2011... selamat hari guru...









    Kau Adi Guru

    anak-anak menjerit
    pelajar nakal
    murid-murid bising
    kau tegur, bimbing dan ajar
    penuh sabar, ikhlas dan senyum
    kuntum bibir lebar
    dan rasa sayang di hati…
    kerana…
    kau lah guru…

    murid mengantuk
    main di barisan belakang
    mencemuh teguranmu
    abai nasihatmu
    terkadang menentangmu
    kau tetap nasihati, dekati
    belaikata dan bimbing
    penuh hikmah tanpa marah
    malah cerna kasihsayang
    luhur hati
    oh… hebatnya
    kerana kaulah guru…

    pelajar buat salah
    besar dan buruk tingkahlaku
    didenda engkar disiplin
    terkenal rosak akhlak
    tapi kau tetap dekati
    dan… kaunseling
    tanpa lalai ingati selalu
    semua murid itu
    dengan hati ceria
    tanpa rasa benci
    malah didoakan
    dan belaian jiwa…
    kerana kau lah guru

    bila ibu bapa sergah
    marah guru dan sekolah
    sokong anak buta tuli
    kata seranah caci
    kau tetap terima saja
    tanpa bantah kata
    cuma jawab hikmah
    lembut gigi dari lidah
    tinggi sopan mu
    kerana… kau lah guru

    bila pelajar dapat anugerah
    cemerlang tinggi markah
    ibubapa kata ini lah anakku
    inilah hasil didikkan ku
    laungkan sirna anaknya
    tanpa sedar jasa gurunya
    tapi kau doa syukur
    berbunga hati murid tersohor
    tanpa rasa kecewa hati
    kerana tidak dihargai
    itulah kau… guru

    suatu hari suatu masa
    jumpa murid dan keluarga berjaya
    dia tak kenal dirimu guru
    engkau tegur manis selalu
    tanpa rasa gundah
    lupakan jasa jerih silam
    itu amanah tak perlu ulang
    engkau buat kerana Allah
    didik manusia jadi khalifah
    itulah tugasmu… guru

    terkadang jua engkau jumpa
    murid tua tegur salam mesra
    telah lupa tapi murid kisahkan
    betapa dulu engkau beri didikan
    oh… kagum akan adab muridmu
    engkau sebak sayu dirgahayu
    tapi tetap kata itu semua
    adalah kecil belaka
    cikgu cuma bimbing sekelumit
    sebagai ajaran ilmu yang sedikit
    oh… guru..
    sungguh tinggi jiwa nurani
    hebat budimu dan merendah diri
    kerana…
    kau lah adi guru..



    adi guru yang sebenar…
    Ibni Khalid Jurait