Showing posts with label hari guru. Show all posts
Showing posts with label hari guru. Show all posts

Tuesday, May 17, 2011

:: 16.05.2011: Tokoh kepimpinan pendidikan kebangsaan dan tokoh guru 2011..





16 Mei, 2011 20:44 PM


dari kiri: Datuk Prof. Dr. Abdul Rahim Selamat (Melaka), Datuk Siva Subramaniam (Perak), Pehin Sri Abdul Taib Mahmud (Ketua Menteri Sarawak), Tan Sri Muhyiddin Yasin (Tim. Perdana Menteri @ Menteri Pelajaran), Datuk Abd. Ghafar (Ketua Pengarah Pelajaran Malaysia,), Datuk Rita Jaafar (Sabah), wakil Puan Hamedah Wok Awang (Pahang) dan Datuk Matnor Daim (Sarawak).

Datuk Matnor Daim Dinobatkan Tokoh Kepimpinan Pendidikan Kebangsaan 2011

KUCHING, 16 Mei (Bernama) -- Bekas Ketua Pengarah Pendidikan Datuk Dr Nor Daim @ Matnor Daim dinobatkan sebagai penerima anugerah Tokoh Kepimpinan Pendidikan Kebangsaan 2011 sempena sambutan Hari Guru peringkat kebangsaan ke-40 hari ini.

Anak kelahiran Sibu, Sarawak itu menerima pingat emas, plak, sijil dan wang tunai berjumlah RM10,000.

Anugerah itu disampaikan oleh Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Pelajaran Tan Sri Muhyiddin Yassin pada majlis sambutan itu di Pusat Konvensyen Borneo Kuching di sini. Hadir sama ialah Ketua Menteri Sarawak Tan Sri Abdul Taib Mahmud.

Matnor, 68, yang memegang jawatan sebagai Ketua Pengarah Pendidikan pada tahun 1997 sebelum bersara sentiasa memajukan bidang pendidikan demi anak bangsa.

Beliau merupakan seorang yang bertanggungjawab mencetuskan "pemikiran kreatif dan lateral" di Kementerian Pelajaran dan mula menggunakan Modul Simulasi dalam proses pengajaran dan pembelajaran seawal tahun 1974.

Matnor telah banyak mencurahkan idea bernas dan sumbangan kepada bidang kepimpinan pendidikan melalui penglibatan aktif dalam seminar-seminar di dalam dan luar negara.

Ketika ditemui pemberita kemudiannya, Matnor berkata dengan berbekalkan semangat dan motivasi menerusi pendidikan, guru mampu berdepan dengan apa juga cabaran dalam menjalankan tugas mereka.

Pada majlis itu, empat tokoh yang banyak menyumbang dalam bidang pendidikan dipilih sebagai Tokoh Guru 2011. Mereka ialah Datuk Prof Dr Abdul Rahim Selamat dari Melaka, Datuk Siva Subramaniam dari Perak, Hamedah Wok Awang dari Pahang dan Datuk Rita Jaafar @ Rita Bagong dari Sabah. Masing-masing menerima pingat emas, plak, sijil dan wang tunai RM10,000.

Abdul Rahim, Dekan Fakulti Pendidikan Universiti Industri Selangor (UNISEL), berkata para pendidik harus sentiasa melengkapkan diri dengan pelbagai ilmu pengetahuan dalam usaha melahirkan modal insan.

"Mereka (guru) harus sentiasa belajar dari semasa ke semasa agar tidak ketinggalan dari segi ilmu pengetahuan yang berubah dengan laju," katanya.

Siva yang juga bekas Pesuruhjaya Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) pula berkata anugerah Tokoh Guru memberi satu inspirasi kepada beliau untuk terus berjuang dalam bidang pendidikan untuk melahirkan lebih ramai modal insan.

"Saya berasa syukur dan bangga kerana ia merupakan satu penghargaan yang paling istimewa," kata Siva yang banyak menyumbang dalam bidang kurikulum seperti memberikan latihan kepada guru-guru bahasa Inggeris, terlibat dalam pembinaan Modul Pengajaran Sains dan Matematik serta melatih murid-murid dalam aktiviti syarahan.

Bagi Rita yang telah berkhidmat dengan penuh dedikasi untuk meningkatkan kualiti latihan perguruan melalui teknik baru dan kaedah pengajaran serta pembelajaran, profesion perguruan memerlukan kerjasama semua pihak untuk melahirkan generasi muda yang akan memajukan negara pada masa akan datang.

"Profesion perguruan bukan kejayaan satu-satu pihak tetapi kejayaan semua dalam profesion ini. Pegangan hidup saya ialah do the best for all," katanya.

Sementara itu, Hamedah yang lumpuh separuh badan berikutan satu kemalangan jalan raya pada tahun 1999, tidak hadir pada majlis hari ini. Koma selama enam bulan akibat kemalangan itu tidak mematahkan semangatnya untuk terus menyumbang dalam bidang pendidikan.

Dalam tempoh 10 tahun kebelakangan ini, beliau telah berjaya menghasilkan 12 buah karya berkaitan pendidikan.

-- BERNAMA


Monday, May 16, 2011

:: 16.05.2011... selamat hari guru...









Kau Adi Guru

anak-anak menjerit
pelajar nakal
murid-murid bising
kau tegur, bimbing dan ajar
penuh sabar, ikhlas dan senyum
kuntum bibir lebar
dan rasa sayang di hati…
kerana…
kau lah guru…

murid mengantuk
main di barisan belakang
mencemuh teguranmu
abai nasihatmu
terkadang menentangmu
kau tetap nasihati, dekati
belaikata dan bimbing
penuh hikmah tanpa marah
malah cerna kasihsayang
luhur hati
oh… hebatnya
kerana kaulah guru…

pelajar buat salah
besar dan buruk tingkahlaku
didenda engkar disiplin
terkenal rosak akhlak
tapi kau tetap dekati
dan… kaunseling
tanpa lalai ingati selalu
semua murid itu
dengan hati ceria
tanpa rasa benci
malah didoakan
dan belaian jiwa…
kerana kau lah guru

bila ibu bapa sergah
marah guru dan sekolah
sokong anak buta tuli
kata seranah caci
kau tetap terima saja
tanpa bantah kata
cuma jawab hikmah
lembut gigi dari lidah
tinggi sopan mu
kerana… kau lah guru

bila pelajar dapat anugerah
cemerlang tinggi markah
ibubapa kata ini lah anakku
inilah hasil didikkan ku
laungkan sirna anaknya
tanpa sedar jasa gurunya
tapi kau doa syukur
berbunga hati murid tersohor
tanpa rasa kecewa hati
kerana tidak dihargai
itulah kau… guru

suatu hari suatu masa
jumpa murid dan keluarga berjaya
dia tak kenal dirimu guru
engkau tegur manis selalu
tanpa rasa gundah
lupakan jasa jerih silam
itu amanah tak perlu ulang
engkau buat kerana Allah
didik manusia jadi khalifah
itulah tugasmu… guru

terkadang jua engkau jumpa
murid tua tegur salam mesra
telah lupa tapi murid kisahkan
betapa dulu engkau beri didikan
oh… kagum akan adab muridmu
engkau sebak sayu dirgahayu
tapi tetap kata itu semua
adalah kecil belaka
cikgu cuma bimbing sekelumit
sebagai ajaran ilmu yang sedikit
oh… guru..
sungguh tinggi jiwa nurani
hebat budimu dan merendah diri
kerana…
kau lah adi guru..



adi guru yang sebenar…
Ibni Khalid Jurait







:: 16.05.2011 : berita baik...guru ( p & p) naik pangkat hingga ke Gred Khas C dan ke atas ?











Guru akan nikmati 5 kaedah kenaikan pangkat: PM

2011/05/16


KUCHING: Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, hari ini mengumumkan berita baik buat warga pendidik yang akan menikmati lima kaedah kenaikan pangkat berkuat kuasa 1 Januari depan, dalam usaha menambahbaik skim perkhidmatan guru.

Dalam perutusan khas Hari Guru melalui rakaman video yang ditayangkan sempena pelancaran sambutan Hari Guru peringkat kebangsaan Ke-40 di sini, beliau berkata kerajaan memutuskan sedemikian kerana menyedari bebanan tugas dan pengorbanan yang dibuat guru.

Pelancaran sambutan Hari Guru bertema "Guru Penjana Transfromasi Pendidikan Negara" itu di rasmikan oleh Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, yang juga Menteri Pendidikan.

Perkhidmatan perguruan adalah satu-satunya perkhidmatan yang diperuntukkan dengan lima kaedah kenaikan pangkat iaitu kenaikan pangkat mengisi kekosongan jawatan, kenaikan pangkat secara Khas Untuk Penyandang (KUP), kenaikan pangkat berdasarkan tempoh perkhidmatan, kenaikan pangkat untuk pengetua atau guru besar cemerlang dan kenaikan pangkat guru cemerlang.

Najib berkata, sebagai kesinambungan kepada keperluan transformasi kecemerlangan dalam perkhidmatan berkenaan dan dalam memartabatkan profesion keguruan di samping mengambil kira keunikan fungsi tugas guru, kaedah kenaikan pangkat khususnya berdasarkan tempoh perkhidmatan perlu diberi nafas baru.

"Kerajaan mendapati sekarang ini, majoriti guru yang bertungkus lumus di bilik darjah hanya akan mengakhiri perkhidmatan mereka cuma pada Gred DG48 setelah sekian waktu menabur bakti selama 25 tahun," katanya.

Najib berkata, kini sampai masanya laluan kerjaya guru ditambah baik demi memastikan mereka yang membentuk modal insan negara diberi pengiktirafan dan ganjaran sewajarnya.
Katanya, kaedah baru kenaikan pangkat diperkenalkan khusus kepada guru yang terbabit dalam pengajaran dan pembelajaran (PDP) iaitu guru wibawa dan pendeta guru, yang akan dikategorikan mengikut empat lapisan jawatan pertamanya.

"Pewujudan lapisan tersebut, termasuk guru biasa, guru kanan, guru wibawa dan pendeta guru, akan membolehkan peningkatan ke gred yang lebih tinggi berdasarkan kecemerlangan," katanya.

Melalui konsep guru wibawa dan pendeta guru itu, Najib berkata laluan kerjaya guru dalam PDP akan diperluaskan sehingga mencapai ke gred DG54 dalam tempoh perkhidmatan 25 tahun dengan memenuhi tahap kecemerlangan serta lain-lain syarat yang ditetapkan Lembaga Kenaikan Pangkat Perkhidmatan Pendidikan.

"Satu lagi berita baik bagi mereka yang menunjukkan kecemerlangan terkemuka mutunya seperti ditetapkan oleh Lembaga Kenaikan Pangkat Perkhidmatan Pendidikan," katanya sambil menambah bahawa mereka boleh mencapai Gred Khas C dan ke atas sebelum bersara.

Najib berkata, guru yang tidak dinaikkan pangkat ke Gred Khas masih berpeluang untuk menikmati Pergerakan Gaji Tahunan.

Beliau berkata, kerajaan bersetuju menambahkan lagi jawatan Gred Khas C bagi laluan pengajaran dan pembelajaran sebanyak seratus peratus dengan menambah sejumlah 72 jawatan berbanding 36 jawatan sedia ada di bawah konsep guru wibawa dan pendeta guru.

"Kerajaan juga bersetuju untuk menaikkan gred jawatan semua pengetua sekolah menengah Gred DG48 ke gred DG52 yang membabitkan 1,228 jawatan sebagai membuktikan lagi kesungguhan kerajaan dalam memartabatkan profesion keguruan.

"Manakala semua guru penolong kanan (GPK) pentadbiran, hal ehwal akademik dan kokurikulum sekolah menengah gred DG44 dinaikkan ke gred DG48, akan melibatkan 6,585 jawatan," katanya.

Najib berkata, semua GPK pentadbiran, hal ehwal akademik dan kokurikulum di sekolah rendah kluster turut dinaikkan dari gred DGA32 ke gred DGA34 yang membabitkan sejumlah 99 jawatan.

"Hakikatnya, setiap seorang daripada kita tidak kiralah sama ada beliau seorang pemimpin, pentadbir, doktor, peguam, akauntan, jurutera, ahli sukan atau apa jua pun kerjayanya, terasuh dan dibimbing oleh insan yang bernama guru," katanya. - BERNAMA



Saturday, May 14, 2011

:: Hari Guru...16.05.2011... ada berita baik daripada TPM.. ?







Muhyiddin bakal umum khabar gembira sempena sambutan Hari Guru Isnin depan


2011/05/14


KUANTAN: Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, dijangka mengumumkan khabar gembira buat warga pendidik bersempena sambutan Hari Guru pada 16 Mei ini.

Beliau, bagaimanapun, tidak mengulas lanjut, sebaliknya berkata: "Insya-Allah, tunggulah...".

Bercakap kepada pemberita selepas menghadiri majlis bersama warga pendidik Pahang di sini hari ini, Muhyiddin berkata, cabaran baru warga pendidik kini amat mencabar dalam usaha kerajaan mencapai hasrat menjadi sebuah negara maju menjelang 2020.

"Paling utama ialah soal menyediakan modal insan yang berpengetahuan dan berkemahiran selari dengan sasaran menjadikan Malaysia sebuah negara maju menjelang 2020," katanya.

Turut hadir pada majlis yang disertai lebih 2,000 warga pendidik Pahang ialah Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Adnan Yaakob dan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Hussein.

Muhyiddin, yang juga Menteri Pelajaran, berkata peranan guru amat penting dalam mendidik anak bangsa bagi mewujudkan modal insan berkualiti pada masa depan.

Katanya, kerajaan juga menggariskan Pelan Transformasi Kerajaan (GTP) yang bakal menyediakan 33 juta peluang pekerjaan serta tenaga kerja terlatih dalam semua bidang.
"Terdapat 12 sektor ekonomi perlu diisi dengan tenaga manusia terlatih dan ia merupakan cabaran besar untuk disediakan dalam tempoh 10 tahun akan datang.

"Dalam konteks menjadi negara maju, kita berhadapan dengan persaingan, kecekapan pengurusan, keupayaan menjana sumber baru dan nilai tambah tinggi yang mana perkara itu berpandukan kepada penyediaan tenaga kerja terlatih," katanya.

Beliau berkata, kesemua perkara itu memerlukan tuntutan warga pendidik yang mempunyai beban tugas mencabar bagi membentuk manusia terlatih.

Muhyiddin berkata, tugas guru bukan sahaja menyampaikan ilmu tetapi menerapkan sifat perwatakan sahsiah baik, berakhlak dan berbudi pekerti kepada pelajar.

Beliau berkata, dalam tempoh akan datang, Kementerian Pelajaran juga akan membantu warga pendidik daripada segi kebajikan guru, perjawatan, peralatan dan infrastruktur bagi membantu meningkatkan kecekapan guru dalam pengajaran. - BERNAMA



Saturday, May 15, 2010

:: Selamat Hari Guru : 16 Mei 2010




16 Mei 2010
( Ahad )


Terima kasih cikgu

SELAMAT HARI GURU




Saturday, May 16, 2009

:: Selamat Hari Guru




Selamat Menyambut Hari Guru

kepada semua warga pendidik di Malaysia
daripada
warga IPGM Kampus Tun Abdul Razak,

Kota Samarahan, Sarawak.

GURU PEMBINA NEGARA BANGSA.