Showing posts with label KPT. Show all posts
Showing posts with label KPT. Show all posts

Saturday, October 29, 2011

:: Pensyarah cabul pelajar ?

Pensyarah minta tubuh

Pensyarah minta tubuh


Oleh Mohd Firdaus Ibrahim, Raja Noraina Raja Rahim dan Muhaamad Hafis Nawawi
am@hmetro.com.my

KUALA LUMPUR: Pensyarah miang. Itulah gelaran buat seorang lelaki yang juga pensyarah di sebuah institusi pengajian tinggi awam (IPTA) di Lembah Klang berusia 50-an apabila mencabul seorang pelajar perempuan dalam biliknya di universiti berkenaan, kelmarin.

Lebih keji, pensyarah itu didakwa cuba memaksa pelajar berusia 23 tahun berkenaan melakukan aksi ringan-ringan dengan mengumpan untuk meluluskan pelajar itu dalam peperiksaan selepas mangsa enggan melayani kehendak seksualnya.

Bagaimanapun, keengganan mangsa memenuhi permintaannya menyebabkan pensyarah itu mula bertindak kasar dengan meraba serta mencium gadis terbabit menyebabkan berlaku pergelutan dalam bilik berkenaan.

Dalam kejadian jam 3.30 petang itu, mangsa bernasib baik apabila berjaya keluar dari bilik pensyarah berkenaan sebelum membuat aduan kepada pensyarah lain dan kemudian membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur, di sini.

Sumber berkata, kejadian bermula ketika mangsa mahu ke bilik pensyarah berkenaan bagi menghantar tugasan yang diberikan.

“Namun, dia terserempak lelaki itu di luar bilik sebelum mangsa diberikan kunci dan diarah menunggu di dalam bilik itu.

“Pensyarah itu muncul kira-kira 10 minit kemudian. Sebaik masuk ke biliknya, pensyarah berkenaan terus memegang pipi mangsa sebelum duduk di kerusinya,” katanya.

Beliau berkata, mangsa yang bingung dengan tindakan itu memberitahu mahu menghantar tugasan.

“Bagaimanapun, pensyarah itu mendakwa tidak mahukan tugasan berkenaan sebaliknya memberitahu mahukan benda lain,” katanya.

Sumber berkata, mangsa yang tidak faham kemudian bertanya apa yang dimahukan pensyarahnya itu.

“Dengan bersahaja, pensyarah itu bangun dan mengunci pintu bilik sebelum menarik tangan mangsa serta memeluknya. Lelaki terbabit kemudian memberitahu mahu mencium mangsa.

“Mangsa cuba menolak dengan baik, namun lelaki itu terus meraba badannya walaupun dia merayu tidak diperlakukan demikian,” katanya.

Katanya, mangsa yang bengang dengan tindakan itu memarahi pensyarah terbabit.

“Difahamkan, lelaki itu dengan bersahaja mengumpan untuk meluluskan mangsa jika memenuhi kehendak seksualnya,” katanya.

Biarpun diumpan dengan keputusan cemerlang, mangsa masih berkeras menolak pelawaan lelaki itu menyebabkan berlaku pergelutan antara mereka. Pelajar terbabit bernasib baik kerana berjaya keluar dari bilik sebelum membuat aduan kepada pensyarah dan kakitangan universiti berkenaan. Mangsa yang trauma dengan insiden itu kemudian tampil membuat laporan di IPK Kuala Lumpur, selepas dinasihatkan rakan, pensyarah lain dan keluarganya.

Sementara itu, Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (Operasi dan Risikan) Kuala lumpur, Asisten Komisioner Khairi Arasa ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan kejadian berkenaan.

Katanya, siasatan lanjut sedang dilakukan mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan (KK).


http://www.hmetro.com.my/articles/Pensyarahmintatubuh/Article


Thursday, October 13, 2011

:: SURAT : Keluhan pelajar pasca-siswazah...


Pelajar separuh masa kecewa yuran pengajian mahal


2011/10/12

PELAJAR separuh masa pengajian pasca-siswazah sering kali dianaktirikan. Bukti paling ketara, yuran pengajian bagi pelajar separuh masa adalah dua kali ganda daripada pelajar sepenuh masa dengan alasan pelajar separuh masa adalah golongan bekerja.

Jadi, dengan mudah mereka dianggap mempunyai kemampuan untuk memberi yuran yang lebih mahal.
Persoalannya, kenapa perlu dikenakan bayaran dua kali ganda sedangkan objektif universiti awam bukan untuk mencari keuntungan.
Hakikatnya, pelajar separuh masa lagi teruk membanting tulang dan berhempas pulas untuk hidup di bumi Malaysia yang mencabar. Kebanyakan pelajar separuh masa bekerja makan gaji di syarikat swasta yang gajinya tidaklah seberapa.

Sebaliknya, pelajar sepenuh masa terdiri daripada mereka yang bekerja dalam sektor awam yang dibiayai sepenuhnya oleh pihak kerajaan tetapi dalam masa sama masih mendapat gaji penuh.

Oleh sebab itu, tidak patut pelajar separuh masa dikenakan yuran dua kali ganda kerana gaji pekerja swasta bukan dua kali ganda daripada pekerja sektor awam.

Teruk lagi kini universiti membuat penetapan bahawa pensyarah bertaraf Profesor tidak dibenarkan mengajar pelajar separuh masa. Agak pelik kerana kami membayar dua kali ganda kepada pihak universiti tetapi tidak mendapat kualiti perkhidmatan terbaik.
Malah terdapat pensyarah yang ingin membuat kerja mudah dengan mencantumkan kelas sepenuh masa dengan kelas separuh masa pada hujung minggu. Akibatnya, kelas sempit dengan lebih 40 orang pelajar.

Ini sudah taraf sekolah rendah di kampung. Dengan bayaran lebih RM4,000 satu semester, adilkah kami mendapat layanan sedemikian? Pensyarah itu masih mendapat dua gaji iaitu gaji mengajar dua kelas.

Juga pelajar separuh masa tidak layak mendapat biasiswa MyMaster Brain15. Alasan yang sama diguna pakai, pelajar separuh masa banyak duit. Kalau kaya, tiada kuasanya kami hendak belajar. Baik berjoli.

Pohon Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) mengambil tindakan sewajarnya agar kami pekerja swasta yang menyambung mengaji separuh masa di universiti awam tidak teraniaya.

PELAJAR SEPARUH MASA TERANIAYA,
Shah Alam, Selangor.





Wednesday, September 14, 2011

:: SURAT : Pelajar tak seimbang di IPT...?




Tangani segera jurang bilangan pelajar wanita, lelaki di IPT


2011/09/14

SABAN tahun negara dikejutkan dengan isu nisbah tidak seimbang apabila bermulanya sesi kemasukan mahasiswa baru ke institusi pengajian tinggi (IPT). Hakikatnya, jumlah pelajar wanita meneruskan pengajian di IPT jauh lebih ramai berbanding lelaki sudah menjadi fenomena sejak beberapa tahun kebelakangan ini.

Ia diakui Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, menyatakan nisbah antara bilangan pelajar lelaki dan wanita di beberapa universiti untuk kemasukan sesi ini ialah 30:70 di Universiti Kebangsaan Malaysia dan 33:67 di Universiti Putra Malaysia.
Walaupun terdapat pandangan yang menyatakan perkara ini tidak begitu membimbangkan tetapi jurang tidak seimbang antara pelajar lelaki dan perempuan akan memberikan implikasi jangka panjang sekiranya langkah kawalan dan tindakan bersepadu semua pihak tidak dilaksanakan.
Ke manakah pergi pelajar lelaki selepas tamat Sijil Pelajaran Malaysia? Tidak mustahil majoriti pelajar lelaki ini berada dalam persimpangan selepas tamat alam persekolahan atau mereka ini mempunyai pertimbangan tersendiri dalam menentukan hala tuju.

Justeru, kerajaan melalui Kementerian Pelajaran dengan kerjasama pihak universiti perlu melaksanakan kajian khusus dalam mencari punca dan kaedah penyelesaian konkrit dalam menyelesaikan persoalan ke mana perginya pelajar lelaki lepasan sekolah ini. Memang benar sesetengah daripada mereka mengambil jurusan vokasional dan teknikal tetapi kebanyakan sekadar mempunyai kelulusan sijil atau diploma.

Ada juga yang terjebak dengan najis dadah, memenuhi pusat serenti selain memasuki pasaran buruh tidak berkemahiran tinggi malah kekal berpendapatan rendah kerana tiada kelulusan.

Jika nisbah ini dibiarkan dan kehadiran 70 peratus pelajar wanita di IPT ini berterusan saban tahun, ia pasti mendatangkan beberapa implikasi dan kesan buruk bersifat jangka panjang.
Justeru, langkah Kementerian Pengajian Tinggi merangka program untuk menarik lebih ramai pelajar lelaki bagi merapatkan jurang dan membaiki aliran nisbah tidak seimbang wajar disokong dan didukung semua pihak.

AHMAD FAHMI MOHD SAMSUDIN, Presiden Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia.




Saturday, August 27, 2011

:: SURAT: Hal PPG di UPSI dipersoal ?




Pentadbiran UPSI tunggang-langgang, sistem peperiksaan tak telus


2011/08/27

SAYA salah seorang dari ratusan guru yang mengikuti Program Pengsiswazahan Guru (PPG) ambilan Mac 2011 yang lalu dan ditempatkan di Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI). Sebelum ini saya amat berbangga sekali walaupun hanya mendengar nama universiti ini yang melahirkan ramai guru berwibawa. Tetapi persepsi ini semakin hari semakin pudar apabila saya sendiri dan mungkin ramai rakan guru yang lain kecewa dengan tenaga pengajar dan pengurusan pihak kampus.

Pertama sekali saya mendaftar ke kampus ini sedikit terkejut kerana pelajar UPSI juga yang menguruskan segala pendaftaran PPG KPM 2011. Di dalam diri saya berkata mungkin itu hanya latihan untuk mengajar pelajar ini untuk menguruskan apabila bakal menjadi guru kelak. Amat mengejutkan apabila taklimat dan penerangan mengenai UPSI dan laman webnya juga diterangkan oleh pelajarnya.
Tidak cukup dengan itu, pengurusan mendapatkan jadual kuliah juga amat mengecewakan kerana boleh dikatakan ia cukup tunggang langgang. Pertama kali kami menghadiri kuliah dan kelas dengan semangat untuk belajar luntur sedikit apabila salah seorang pensyarah memarahi kami kerana dia tidak tahu jadualnya sendiri. Sikap ini tidak harus ada pada tenaga pengajar walaupun dia dipanggil gelaran doktor sedangkan Julai lalu guru sibuk mengulang kaji kerana bakal menduduki peperiksaan semester.
Tidak cukup dengan itu saya amat pelik dengan sistem pengurusan peperiksaan. Apabila keputusan peperiksaan dikeluarkan saya amat musykil. Ada bekas guru keluaran UPSI ini mendakwa markah diambil kira adalah daripada peperiksaan semata-mata.

Ternyata dakwaan ini benar kerana saya sendiri mengalaminya. Cukup kecewa apabila dapati rakan yang lain tidak pernah melayari perbincangan secara atas talian dan tidak menghantar tugasan mendapat markah lebih tinggi berbanding rakan guru yang lain.

Sekali lagi berita yang lebih mengejutkan yang diterima pihak UPSI boleh mengubah keputusan peperiksaan yang dikeluarkan? Saya amat berharap supaya Kementerian Pelajaran mengambil berat hal ini kerana UPSI sebuah institut perguruan tertua di Malaysia dan jangan dicemarkan namanya dengan orang bekerja sambil lewa.

BAKAL GRADUAN UPSI, Tanjung Malim.




Saturday, June 18, 2011

:: SURAT: Persoalan... biasiswa dan ijazah pertama...


Ijazah pertama wajar dibuat dalam negara


2011/06/18


KEBELAKANGAN ini isu pemberian biasiswa kepada pelajar cemerlang hangat diperkatakan. Selaku seorang mahasiswa dan juga antara penerima biasiswa Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA), saya terpanggil untuk menyuarakan sedikit pendapat dan pandangan daripada kaca mata saya berkaitan permasalahan ini.

Menerusi Pelan Strategik Pengajian Tinggi Negara (PSPTN) yang dilancarkan oleh Kementerian Pengajian Tinggi baru-baru ini, antara elemen yang diberi perhatian serius ialah pengantarabangsaan di mana pihak kementerian menyasarkan untuk memiliki sekitar 200,000 mahasiswa antarabangsa menuntut di Malaysia.
Menurut maklumat yang dikeluarkan, Malaysia kini menduduki tangga ke-11 dalam pilihan pengajian tinggi dunia dan memiliki sekitar 86,000 mahasiswa antarabangsa yang menuntut di sini. Ini membuktikan kualiti yang dimiliki oleh institusi pengajian tinggi di Malaysia. Oleh itu, saya berasakan kualiti kecemerlangan daripada mahasiswa kita harus diteruskan dan dikembangkan dalam negara terlebih dahulu. Ini secara tidak langsung akan meningkatkan dan melonjakkan lagi institusi pengajian tinggi (IPT) di Malaysia.
Justeru, saya ingin menyarankan agar pelajar cemerlang menyambung ijazah pertama mereka di dalam negara. Namun, sekiranya mereka mendapat tawaran daripada universiti terkemuka di luar negara seperti Universiti Harvard dan Cambridge serta bidang kepakaran yang tiada di Malaysia barulah mereka dihantar ke luar negara. Saya berpendapat melanjutkan pelajaran di luar negara amat sesuai untuk program sarjana dan doktor falsafah. Dengan kaedah ini, kita dapat mengekalkan pelajar cemerlang dalam negara sekali gus meningkatkan imej dan kualiti IPT tempatan.

Persoalan bagaimana jumlah penerima biasiswa dapat ditingkatkan boleh dirungkai dengan mengekalkan pelajar cemerlang di dalam negara. Seperti yang diketahui, kos menghantar pelajar ke luar negara amat tinggi. Dengan mengehadkan jumlah pelajar, kos yang sedia ada boleh digunakan untuk menampung lebih ramai pelajar di dalam negara.

Penambahan jumlah penerima biasiswa dapat menyokong pembangunan berterusan pelajar cemerlang. Secara tidak langsung dapat menyokong budaya mengejar kecemerlangan yang diterapkan kepada anak-anak seawal tiga tahun melalui prasekolah.
Sekiranya berasakan pelajar cemerlang ini harus diberi pendedahan maka saya menyarankan agar hanya satu atau dua semester saja mereka dihantar ke universiti terkemuka luar negara untuk mengikuti program penukaran pelajar. Ini juga secara tidak langsung tidak membebankan jumlah perbelanjaan yang harus ditampung oleh pihak penaja dan pada masa yang sama mereka juga beroleh pendedahan yang setimpal.

WAN AHMAD HAZMAN WAN DAUD,
Majlis Perundingan Pelajar Kebangsaan.





Wednesday, April 20, 2011

:: SURAT : Kecewa dua kali mohon jadi pensyarah ditolak



Surat

Kecewa dua kali mohon jadi pensyarah ditolak


2011/04/20

SAYA guru berkelulusan Sarjana dan sudah lebih enam tahun berkhidmat di Sarawak. Baru-baru ini saya membuat permohonan untuk menjadi pensyarah, tetapi dukacita kerana permohonan itu dua kali ditolak.

Permohonan pertama dihantar kepada Universiti Teknologi Mara (UiTM) kampus Samarahan, Kuching. Saya ditemu duga dua kali dan disenaraikan sebagai calon simpanan.

Selepas tamat tempoh menunggu dua bulan seperti dinyatakan dalam surat mereka, saya tidak dihubungi pihak pentadbiran UiTM. Kemudian saya mendapat tahu saya tidak mendapat jawatan sebagai pensyarah atas alasan ia diisi calon dari UiTM Shah Alam.
Persoalan yang timbul kenapa UiTM Shah Alam mengadakan temu duga di sana dan menghantar calonnya ke UiTM kampus Samarahan Kuching sedangkan saya adalah calon sedia ada dan lulus temu duga di sini?

Permohonan kedua ialah di Institut Perguruan kampus Batu Lintang, Kuching yang juga turut gagal atas alasan kekurangan guru.

Jadi, apakah sebenarnya tujuan Kementerian Pelajaran menggalakkan guru menaikkan tahap pendidikan mereka ke peringkat ijazah Sarjana Muda dan Sarjana serta Ijazah Kedoktoran (PhD) sedangkan peluang permohonan jawatan pensyarah tidak dilayan?

Lebih mengecewakan ialah apabila permohonan itu ditolak pada peringkat Jabatan Pelajaran Negeri (JPN) saja. Kenapa permohonan saya itu tidak dihantar dan dirujuk terus kepada Kementerian Pelajaran atau Kementerian Pengajian Tinggi di Putrajaya?
Kenapa JPN negeri tidak menyokong dan meluluskan permohonan saya sedangkan permohonan guru berijazah Sarjana di Semenanjung diluluskan?

Sebagai pegawai kerajaan berkhidmat di Sarawak, saya berharap kedua-dua kementerian berkenaan akan mengkaji dan mengambil tindakan sewajarnya agar kami tidak tertindas.

MUHADHIR,
Kuching, Sarawak.

Tuesday, April 05, 2011

:: IPTS : 87 dibatalkan penubuhan & pendaftaran



59 IPTS Dibatalkan Penubuhan, 28 Dibatalkan Pendaftaran


KUALA LUMPUR: Kementerian Pengajian Tinggi membatalkan penubuhan 59 Institusi Pengajian Tinggi Swasta (IPTS) manakala 28 lagi dikenakan tindakan pembatalan kelulusan pendaftaran dalam tempoh 2009 hingga 2010.

Timbalan Menteri berkenaan Datuk Saifuddin Abdullah berkata tindakan pembatalan itu diambil berikutan IPTS berkenaan tidak mampu menyediakan perkhidmatan berkualiti dalam aspek kawalan seperti kualiti program, premis, pengurusan serta pentadbiran, tenaga pengajar, kemudahan pengajaran dan pembelajaran.

"Namun, tindakan yang dikenakan ini adalah kepada kolej-kolej bukannya yang berstatus universiti swasta, kolej universiti swasta atau universiti cawangan luar negara," katanya menjawab soalan Mohd Nasir Zakaria (PAS-Padang Terap)mengenai bilangan universiti dan kolej universiti swasta dalam negara selain peruntukan geran kepada IPTS pada persidangan Dewan Rakyat di sini, Isnin.

Saifuddin berkata sebanyak 485 IPTS termasuk 49 bertaraf universiti dan kolej universiti serta kampus cawangan universiti luar negara dengan 541,629 penuntut berdaftar dengan kementerian sehingga 31 Januari lepas.

Mengenai permohonan pembiayaan di bawah Skim Geran Penyelidikan Asas (FRGS)dari Kementerian Pengajian Tinggi, beliau berkata sebanyak 254 projek penyelidikan yang melibatkan keseluruhan peruntukan sebanyak RM11.5 juta diluluskan kepada 22 universiti swasta, kolej universiti swasta serta universiti cawangan luar negara sehingga tahun lepas.

Saifuddin berkata tiga universiti swasta berstatus syarikat berkaitan kerajaaan (GLC) iaitu Universiti Tenaga Nasional (Uniten), Universiti Multimedia (MMU) dan Universiti Teknologi Petronas (UTP) mendapat sejumlah RM1.4 juta di bawah FRGS bagi 30 projek penyelidikan pada 2009.

Beliau berkata tahun lepas, sebanyak 224 projek penyelidikan diluluskan kepada 22 universiti swasta, kolej universiti swasta serta universiti cawangan luar negara yang melibatkan keseluruhan peruntukan sebanyak RM10.1 juta.

Kerajaan merancang untuk menambah bilangan pengambilan penuntut luar negara dengan memberi keutamaan kepada mereka yang mendapat tajaan dan biasiswa, katanya.-BERNAMA



Saturday, April 02, 2011

:: Isu lebihan guru Sains dan Matematik... pihak UPM bersuara..?




Surat

Agihan guru perlu seimbang


2011/04/02

AGAK mengejutkan apabila kita didedahkan dengan berita berlakunya lambakan guru opsyen Matematik dan Sains dalam negara kita. Lambakan ini dilaporkan membabitkan 14,000 orang guru subjek Sains dan 12,000 orang guru Matematik. Akibatnya, mereka dikatakan terpaksa mengajar pelbagai subjek lain, termasuk Pendidikan Jasmani dan Pengetahuan Agama Islam.

Ia satu pendedahan yang cukup memeranjatkan semua pihak.

Pendedahan ini sekali gus membawa kita kepada beberapa persoalan yang penting yang perlu dijawab pihak yang berkaitan. Antaranya bagaimana isu ini boleh berlaku? Bukankah sepatutnya Kementerian Pelajaran, bersama-sama dengan pihak institusi pengajian perlu berbincang dan memperincikan terlebih dulu jumlah keperluan guru Matematik dan Sains di seluruh negara sebelum membuat pengambilan?
Justeru, bagaimana lambakan ini boleh berlaku apatah lagi ia membabitkan satu jumlah yang sangat besar dan seolah-olah tidak masuk akal. Apa yang lebih menghairankan dan pelik ialah mengikut laporan itu juga, UPSI sudah dimaklumkan mengenai lebihan guru untuk dua subjek berkenaan dan UPSI dikatakan telah meminta pelajar jurusan itu bertukar opsyen antaranya subjek Sejarah atau Kemahiran Hidup.

Bukankah ia satu tindakan merugikan semua pihak yang berkaitan seperti pelajar itu sendiri yang terpaksa menukar opsyen di samping kerugian di pihak tenaga pengajar yang terbabit.

Apa yang nyata di sini ialah jika benar lambakan ini berlaku seperti didedahkan media, pihak kementerian perlu bertindak segera dengan mengambil langkah sewajarnya.

Seperti kata Presiden Majlis Permuafakatan Persatuan Ibu Bapa dan Guru Nasional (PIBGN), Prof Madya Datuk Dr Mohamad Ali Hassan, kementerian perlu memanfaatkan lebihan guru itu untuk memperkasakan subjek Sains dan Matematik kepada pelajar luar bandar dan pedalaman dengan menghantar mereka ke sana. Tambah beliau, subjek Sains dan Matematik penting untuk mencapai sasaran negara maju menjelang 2020.

Dalam hal ini, kita yakin bahawa pendedahan ini sedikit sebanyak boleh melemahkan semangat dan motivasi pelajar yang mengikuti kursus pengajian Matematik dan Sains lebih-lebih lagi apabila mereka diminta menukar kepada opsyen lain.

NOOR MOHAMAD SHAKIL HAMEED,
Universiti Putra Malaysia.



Saturday, November 20, 2010

:: OUM-KPM: MQA dah luluskan... JPA belum...





Surat

KPT, MAQ lulus program pendidikan ditawar OUM

2010/11/20

SAYA ingin merujuk surat daripada 'lepasan sarjana muda pengajaran KPM-OUM dari Kuala Lumpur' yang disiarkan dalam ruangan ini bertarikh 18 November lalu.

Untuk makluman, program Sarjana Muda Pengajaran dengan Kepujian yang ditawarkan oleh Open University Malaysia (OUM) dengan kerjasama Kementerian Pelajaran adalah program yang diluluskan penawarannya oleh Agensi Kelayakan Malaysia (MQA) dan Kementerian Pengajian Tinggi (KPT).

Selain itu, program ini juga mendapat perakuan akreditasi daripada MQA pada Ogos 2010.
Bagaimanapun, pengiktirafan program ini oleh Suruhanjaya Perkhidmatan Pelajaran (SPP) bagi guru yang memohon DG41 hanya akan diperoleh apabila ia diiktiraf oleh Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA).

Oleh kerana mesyuarat pengiktirafan JPA hanya diadakan beberapa kali setahun, maka semua program yang mendapat perakuan akreditasi akan dibawa oleh MQA ke mesyuarat ini untuk diiktiraf.

Sukacita dimaklumkan bahawa berdasarkan sumber yang dirujuk dan diperoleh, mesyuarat berkenaan akan diadakan pada hujung November ini tertakluk kepada pindaan oleh pihak JPA.

Diharapkan penjelasan ini dapat menerangkan status Ijazah KPM-OUM seperti yang dikemukakan oleh pengadu dan menjawab kekeliruan yang timbul.
Jika pengadu mempunyai sebarang pertanyaan atau mahukan maklumat lanjut, sila berhubung dengan Bahagian Pendaftar OUM melalui e-mel (kamariah@oum.edu.my).

Segala kerjasama dan sokongan yang diberikan amatlah kami hargai dan sanjung tinggi.

DATIN TEH RAQAMAH ABDULLAH,
Pengarah Unit
Perhubungan Korporat OUM.



Friday, November 19, 2010

::Ijazah KPM-OUM: Statusnya ditanya





Surat

Status ijazah KPM-OUM

2010/11/18


SAYA memohon Kementerian Pelajaran Malaysia menjelaskan status pelajar lepasan Ijazah Sarjana Muda Pengajaran KPM-OUM 2009.

Adakah benar ijazah ini tidak diiktiraf? Apabila diajukepada Universiti Terbuka Malaysia, mereka mengatakan sudah mendapat pengiktirafan Agensi Kelayakan Malaysia tetapi apabila guru-guru memohon DG41 daripada Suruhanjaya Perkhidmatan Pelajaran, mereka mengatakan ijazah kami tidak diiktiraf Suruhanjaya Perkhidmatan Awam.

LEPASAN SARJANA MUDA PENGAJARAN KPM-OUM, Kuala Lumpur.