Tuesday, September 14, 2010

:: IPG baru bakal wujud di Sarawak ?


Home » Utusan Borneo » Berita Tempatan » Perlu ada institut perguruan di Sri Aman dan Lawas: KGS

Perlu ada institut perguruan di Sri Aman dan Lawas: KGS



KUCHING: Kesatuan Guru Sarawak (KGS) mencadangkan agar dua lagi institusi latihan perguruan dibina di negeri ini, masing-masingnya di Sri Aman dan Lawas.

Presidennya, William Ghani Bina berkata pembinaan dua lagi institusi itu akan membolehkan lebih ramai bakal guru dari negeri ini dilatih memandangkan setiap satu daripada empat institusi sedia ada di negeri ini melatih kurang daripada 1,000 calon guru pada satu-satu masa.

Beliau berkata jika sebuah lagi institut latihan perguruan di Sri Aman dibina calon dari bahagian itu dan sekitarnya boleh mengikuti latihan di situ tanpa perlu pergi ke institut perguruan di Kuching, Samarahan, Rajang dan Miri.

Bagi pembinaan institusi latihan perguruan di Lawas pula katanya apabila siap nanti ia dapat menempatkan calon dari wilayah utara negeri ini dan Sabah.

“Cadangan ini adalah satu daripada resolusi yang akan dibentangkan pada Persidangan Delegasi Kesatuan Guru-Guru Sarawak yang akan diadakan 16 dan 17 September ini.

“Apabila resolusi ini diluluskan oleh delegasi, cadangan ini akan kita ajukan kepada kerajaan melalui Kementerian Pelajaran untuk pertimbangan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada majlis rumah terbuka Hari Raya Aidilfitri anjuran KGS di ibu pejabat kesatuan itu yang baru di Jalan Song dekat sini, semalam.

Selain itu persidangan kali ini akan turut membincangkan usul pengambilan guru di negeri ini dengan KGS mahu sekurang-kurangnya 70 peratus daripada guru yang mengajar di negeri ini adalah warga tempatan lebih-lebih lagi di kawasan pedalaman dalam tempoh dua atau tiga tahun dari sekarang.

Menurutnya sebelum ini beliau pernah mengemukakan cadangan agar 50 peratus daripada guru yang mengajar di setiap negeri di negara ini adalah rakyat negeri itu sendiri.

“Pengambilan guru dari Sabah dan Sarawak sendiri misalnya akan banyak mengatasi masalah dihadapi kementerian selama ini iaitu masalah penempatan guru, kos logistik dan sebagainya.

“Apapun saya sebagai presiden KGS amat berterima kasih kepada Bahagian Pendidikan Guru Kementerian Pelajaran kerana buat pertama kalinya tahun ini mengambil lebih ramai guru terutama lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dari Sabah dan Sarawak,” katanya.

Dalam pada itu William berkata pengambilan calon guru di negara ini tidak boleh bergantung sepenuhnya kepada sistem komputer kerana kaedah itu tidak dapat menilai karektor atau ciri-ciri guru yang diinginkan sepenuh-nya.

“Kita banyak menerima rungutan dari pengetua atau guru besar ramai guru sekarang tidak mengajar seperti seorang guru.., kerana mereka tidak mempunyai karisma guru sebenarnya.

“Justeru sesi temu duga mesti dikendalikan oleh orang yang datangnya dari profesion perguruan,” ujarnya.

Menyentuh mengenai sambutan ulang tahun ke-45 penubuhan KGS, William berkata sambutan akan diadakan pada 16 September ini di Wisma STU, Jalan Song dan dirasmikan oleh pengarah pelajaran negeri, Mortadza Alop.

Sambutan diteruskan pada 17 September 2010 dengan Majlis Makan Malam Ulang Tahun Ke-45 KGS di Hotel Grand Margherita Kuching dan dirasmikan oleh Menteri di Jabatan Ketua Menteri, Datin Fatimah Abdullah.

KGS ditubuhkan pada tahun 1965 dan kini mempunyai 21,500 ahli berdaftar daripada kira-kira 48,000 guru di seluruh Sarawak. Semenjak penubuhannya, KGS kini mempunyai 11 cawangan bermula di Ku-ching hingga Limbang.