Kekasih beristeri dua cemburu melampau
SAYA pelajar institusi pengajian tinggi swasta berusia 22 tahun. Masalah saya adalah kekasih kuat cemburu dan terlalu mengongkong saya. Dia tak benarkan saya keluar siang, apatah lagi malam. Selepas habis kelas, dia nak saya terus balik rumah. Kalau tidak, dua atau tiga hari dia buat perangai supaya saya rasa risau. Dia cuma tak kisah kalau saya pergi pasar.
Saya tertekan dengan cara dia mengongkong saya keterlaluan. Saya masih muda dan nak juga keluar jalan-jalan dengan kawan, tapi dia selalu fikir saya keluar jumpa lelaki lain.Jujur saya katakan, saya setia dan sayangkan dia. Keseluruhannya, saya boleh terima dia seadanya. Cuma dia kuat mengongkong, cemburu dan kasar bahasanya. Dia baik daripada segi lain, termasuk prihatin dan penyayang.
Sebelum saya kenal dia, saya ada ramai kawan lelaki dan perempuan serta bebas ke mana saja, namun masih terkawal. Cuma sekarang saya fikir sampai masanya saya cuba belajar jadi setia dan menjaga kelakuan demi maruah saya sendiri.
Saya bukan nak bebas keterlaluan, cuma nak keluar jalan-jalan, membeli-belah, tengok wayang dan sembang-sembang dengan kawan. Malangnya, kekasih saya tak berkenan dengan aktiviti begini, sedangkan saya jenis yang begitu.
Bolehkah beri saya idea bagaimana nak selesaikan masalah ni. Kami dah berkasih lebih setahun. Kekasih saya umurnya 46 tahun dan mempunyai dua isteri. Kedua-dua isterinya baik dan boleh tinggal sebumbung. Isteri pertama tak bekerja, manakala isteri kedua bekerja di luar negara. Itulah maklumat serba sedikit mengenai kekasih saya.
CESAREENA