Episod Chua Soi Lek: Takkan pemimpin MCA saja perlu letak jawatan?
Dr Lo'Lo' Mohd Ghazali Sat Jan 05, 08 12:56:53 pm MYT
Kata Timbalan Perdana Menteri, Najib Tun Razak tentang skandal seks, ahli-ahli parti mesti berdisiplin dan berkelakuan sewajarnya pada bila-bila masa. Oleh kerana Pilihan Raya Umum (PRU) akan berlaku bila-bila masa, isu yang melibatkan kepimpinan parti akan kerap muncul. Itu kata-kata Najib.
Kata Menteri KEKKWA dalam TV pula, sebagai pemimpin kita seumpama duduk dalam rumah kaca, sentiasa diperhatikan. Jadi kena jaga kelakuan biar bersesuaian dgn budaya dan etika.
Begitulah komen pimpinan Umno, tiada langsung menyebut tentang masalah moral dan akhlak, tiada langsung rujukan kepada larangan Allah, tiada tersentuh langsung dosa dan pahala. Yang ditakuti ialah imej yang tercemar, budaya dan etika. Yang dirisaukan kerana pilihan raya sudah dekat, kalau baru menang PRU mungkin akan dikatakan buatlah semahunya, bukankah rakyat Malaysia cepat lupa?
Skandal seks bukan sahaja isu MCA, tetapi juga isu Umno dan MIC. Saya bukan bercakap omong kosong. Fail-fail mahkamah membuktikannya. Mungkin Dolah, Najib dan Rais Yatim sudah lupa atau buat-buat lupa, tapi saya dan saya percaya ramai lagi tidak lupa. Tentu masih ingat kes skandal seks Vijandran di mana bahan bukti 'hilang' dari simpanan polis. Masih baru lagi rasanya dalam ingatan saya bagaimana seorang Ketua Wanita Umno sebuah kawasan pinggir KL mati dibunuh di sebuah hotel di Pudu. Begitu juga kes Ketua Wanita Umno Sabah juga mati dibunuh dalam hotel.
Sungguh memalukan apabila dalam perbicaraan kedua-dua kes bunuh itu, didedahkan pemimpin Wanita Umno melakukan hubungan seks terlarang dengan pasangan masing-masing yang sudah tentunya bukan suami mereka. Malu dan mengaibkan. Oleh kerana cerita itu jauh dari PRU maka kes tersebut 'hilang' begitu sahaja dalam mahkamah.
Jangan disebut lagi cerita-cerita yang didengar tentang pemimpin yang dikatakan terlibat dengan gadis bawah umur, merogol pembantu rumah sehingga mengandung, ditangkap khalwat, hubungan dengan artis dan selebriti. Masa kempen pilihan raya kecil di Kelantan pun, ada wakil rakyat yang ambil kesempatan berasmara-dana dengan senator!
Sorang suami orang, sorang lagi isteri orang. Itu belum disenaraikan lagi pimpinan BN yang berjudi hingga berhutang berjuta RM, yang tidak segan silu minum arak dan mengaku pula tu, yang nampak bersahaja memegang bahu wanita bukan mahramnya, yang berpeluk dan berlaga pipi kerana terlalu 'happy'. Ini semua budaya mereka, Cuma jangan bocor atau kata budak-budak sekarang 'jangan kantoi' macam Menteri Kesihatan.
Bekas Menteri Kesihatan sekurang-kurangnya berani mengaku di hadapan rakyat, yang lain-lain sembunyi belakang seluar dan baju kot 'bos'. "U scratch my back, I scratch your back". Pandai makan pandai simpan. Yang lagi smart, jika kantoi, hantar kapak untuk diamkan macam kes Mustakizah, bagi minum racun macam kes heroin filem Tamil yang dikatakan ada skandal dengan anak menteri. Yang paling smart bila kantoi, letupkan aje dengan peledak C4, biar hancur berkecai bahan bukti hidup yang boleh bercakap.
Kepada saudara mara saya yang masih duduk dalam kapal Umno: Kak Mun, Abang Man, Dato Wan dan Datin serta yang lain-lain, insaf-insaflah. Sudah-sudahlah tu. Takkan kita nak terus menerus sokong kemungkaran yang berlaku depan mata. Lepas satu, satu telur tembelang Umno/BN pecah, baunya membuatkan kami semua muntah. Larat lagi ke nak duduk dalam kapal tu? Berbaloikah kerja keras Kak Mun? Kata-kata Najib dan Rais jelas membuktikan tiada nahi mungkar dalam Umno/BN. Amal maaruf mungkin ada, tetapi nahi mungkar, nahi!
Kepada Sahibus Samahah Mufti yang kuat mempertahankan sunnah, yang dengar cerita berjalan jauh dibawa menantu PM, takkan nak diam diri. Bersuaralah, katakan sesuatu. Kapal Umno/BN semakin pincang dan senget. Kalau setakat jadi pegawai kerajaan tu biasalah, tapi kalau dah bersekongkol dan cenderung dengan program parti, itu namanya telah lari dari landasan dan tujuan asal pegang jawatan Mufti, atau mungkin juga firasat saya salah kot. Bimbang bila dah termakan budi tak sanggup nak kritik dah lagi.
Polis pun turut melatah. Turun sedozen ahli-ahli forensik polis. Yang disiasat hotel tempat berlaku adegan panas. Perlakuan yang panas membakar, jijik, hina, berdosa dan salah disisi undang-undang negara pun nampak macam tiada tindakan akan diambil. Melakukan zina, melakukan seks luar tabii dan menonton bahan lucah semuanya salah di sisi undang-undang negara. Kira dah letak semua jawatan selesai kes, tutup fail, buang dan bakar DVD. Cukuplah tu, jangan diganggu lagi dia, malah bagi liputan untuk dia menyuarakan luahan hati dan perasaan. Jadikan dia hero kerana berani bukan kerana benar.
Selepas ni mana nak letak slogan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM): Amalkan cara hidup sihat, jauhi seks bebas, cegah HIV/AIDS. Selepas ini apa kita nak cakap kepada remaja-remaja dan budak sekolah dalam kempen KKM. Jangan berzina, tapi kalau nak buat juga pakai kondom dan jangan kantoi!
Astaghfirullah... sesak dada sebab SOB (short of breath). -->