Bismillahir rahmanir rahim
Assalamu’alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh, Salam Sejahtera dan
Salam1Malaysia
YBhg. Tan Sri Samsudin Osman
Presiden Perbadanan Putrajaya
YBhg. Dato’ Mohamad Zabidi Zainal
Ketua Pengarah MAMPU
YBhg. Dato’ Haji Ahmad Phesal Haji Talib, Ketua Setiausaha Kementerian Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar
YBhg. Tan Sri-Tan Sri, Dato’ Sri-Dato’ Sri, Dato’- Dato’, Tuan-tuan dan Puan-puan,
Hadirin yang dihormati sekalian.
Alhamdulillah, marilah kita bersama-sama memanjatkan kesyukuran ke hadrat Allah SWT atas limpah rahmat dan izin Nya, kita dapat bersama-sama pada petang ini sempena Majlis Pelancaran Pelan Tindakan Pembudayaan Nilai-nilai Murni Putrajaya 2011-2015.
2. Sebagaimana sedia maklum, Pelan Tindakan ini adalah merupakan hasil kolaborasi strategik antara Perbadanan Putrajaya dan MAMPU. Syabas dan terima kasih diucapkan kepada Y.Bhg. Tan Sri Samsudin Osman, Presiden Perbadanan Putrajaya dan Y. Bhg. Dato’ Mohamad Zabidi Zainal, Ketua Pengarah MAMPU atas inisiatif murni ini. Sesungguhnya usaha ini adalah cerminan kepada komitmen serta sokongan padu terhadap usaha-usaha pemantapan etika dan nilai-nilai murni ke arah mencapai status negara maju berpendapatan tinggi menjelang tahun 2020.
Hadirin yang dihormati sekalian,
PEMBANGUNAN PUTRAJAYA
3. Sejarah telah menyaksikan pembangunan pesat Putrajaya sebagai sebuah bandar terancang yang diilhamkan oleh Perdana Menteri Malaysia yang keempat, Yang Amat Berbahagia Tun Dr. Mahathir Mohamad. Putrajaya lahir setelah Kerajaan mendapati pertumbuhan pesat Bandaraya Kuala Lumpur sebagai pusat pentadbiran dan perdagangan telah menjadikannya begitu sesak dan tidak mempunyai ruang yang cukup untuk pembangunan selanjutnya. Justeru, Kerajaan memutuskan untuk mencari tapak yang sesuai bagi dijadikan pusat pentadbiran kerajaan yang baru. Bertitik tolak dari hasrat tersebut, sebuah daerah terpencil bernama Prang Besar dikenal pasti dan seterusnya melonjak membangun dengan nama Putrajaya mulai 12 Oktober 1994.
4. Putrajaya dibina oleh anak bangsa Malaysia dengan memberi fokus kepada seni reka tempatan. Selain berperanan khusus sebagai Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan, Putrajaya turut diilhamkan sebagai sebuah bandar yang terurus, bersemangat, bertenaga dan makmur, bagi memenuhi keperluan sosio-ekonomi, rekreasi dan rohaniah penghuni, warga kerja dan pelawatnya. Untuk itu, perancangan pembangunan Putrajaya bukan sahaja berfokus untuk memenuhi ciri-ciri bandar sejahtera yang selamat, bersih dan indah untuk didiami, bekerja dan berekreasi; malah penggarapan aspek nilai-nilai murni di kalangan warganya turut diberikan penekanan penting bagi menggalakkan aktiviti ekonomi serta kemudahan perbandaran berkembang secara terurus tanpa mengenepikan keperluan generasi akan datang.
PEMBUDAYAAN NILAI-NILAI MURNI
Hadirin yang dihormati sekalian,
5. Dari sudut sejarah, penghayatan nilai-nilai murni telah lama diberi penekanan oleh para ilmuan seperti Ibnu Khaldun dan al-Ghazali dalam Dunia Islam, Lao Tse dan Kung Fu Tze dalam Peradaban Cina, serta Kautilya dan Sambara dalam Tamadun India. Secara amnya, tokoh-tokoh pemikir tersebut meletakkan pembudayaan amalan nilai-nilai murni dalam membina peradaban sebagai sesuatu yang perlu ditanam, dibaja, disiram dan disuburkan. Ini adalah kerana apa yang akan menentukan wajah dan citra peradaban itu sendiri adalah manusianya. Maka manusia perlu dibentuk adabnya, dan usaha ini harus bermula dari peringkat yang paling awal. Generasi beradab hanya akan dapat dilahirkan dengan asuhan nilai-nilai murni.
6. Nilai-nilai murni yang sejagat seperti amanah, jujur, bertanggungjawab, tekun, rajin, ikhlas, tertib, bersih, berdisiplin, bekerjasama, berbudi, bersyukur dan bermoral, bukan sahaja digalakkan oleh agama Islam, malah juga oleh agama-agama lain, lantas melambangkan kejituan nilai dalam semua bangsa dan agama demi kesejahteraan hidup.
7. Aspirasi pemimpin kita adalah supaya Putrajaya menjadi bandar contoh yang beridentitikan pembudayaan nilai-nilai murni di kalangan warganya. Gambaran tentang peri pentingnya amalan nilai-nilai murni dalam setiap individu telah diungkapkan dengan begitu indah dalam bait-bait syair hasil nukilan penyair sufi terkenal, Hamzah Fansuri melalui syair “Perahu”:
Wahai muda kenali dirimu,
ialah perahu tamsil tubuhmu,
tiadalah berapa lama hidupmu,
ke akhirat jua kekal diammu.
Hai muda arif-budiman,
hasilkan kemudi dengan pedoman,
alat perahumu jua kerjakan,
itulah jalan membetuli insan.
Saudara-saudari sekalian,
8. Dalam kesibukan kita menongkah arus globalisasi pada masa ini, kita perlu kembali kepada pengamalan nilai-nilai murni sebagai asas kepada pembentukan ketamadunan yang mapan.
9. Pembudayaan amalan nilai-nilai murni yang dihasratkan di Putrajaya perlu dipraktikkan secara holistik bagi mewujudkan masyarakat yang mempunyai jati diri dan berintegriti. Amalan seperti memasukkan wang yang secukupnya bagi pembelian surat khabar ke dalam honesty box yang disediakan di tepi jalan, walaupun tanpa kehadiran penjualnya, merupakan satu contoh kecil yang menjadi manifestasi kepada kemantapan pengamalan nilai-nilai murni.
Saudara-saudari sekalian,
10. Bercakap tentang disiplin dan nilai-nilai murni di kalangan rakyat, saya kira satu perkara yang mengagumkan dunia dan wajar dicontohi oleh kita adalah sikap yang ditunjukkan oleh rakyat Jepun, dalam menghadapi bencana gempa bumi dan tsunami yang paling buruk pernah melanda negara tersebut baru-baru ini. Nilai-nilai murni seperti saling bekerjasama, menghormati dan mendahulukan orang yang lebih memerlukan jelas dipamerkan. Sungguh menakjubkan apabila sedikit sekali yang mengambil kesempatan dari bencana yang berlaku dengan mencuri barang keperluan atau looting seperti yang kita saksikan berlaku di negara-negara yang pernah mengalami padah yang sama. Tiada kekecohan dan jenayah yang berleluasa berlaku di Jepun. Tiada tolak menolak ketika makanan dan minuman diedarkan. Mereka yang terlibat saling bekerjasama, berdisiplin dan bertoleransi dalam menghadapi keadaan yang sukar. Walaupun beberapa tempat terpaksa diputuskan bekalan elektrik serta sistem aliran keretapi juga terganggu, ada di kalangan mereka masih tetap ke sekolah dan tempat kerja seperti biasa. Pastinya semangat sebeginilah yang harus kita contohi dan menjadi teladan bagi semua rakyat Malaysia, khususnya warga Putrajaya.
CABARAN
Hadirin yang dihormati sekalian,
11. Kepesatan pembangunan Putrajaya, jika tidak dikawal, akan menyebabkan bandar raya ini terdedah kepada risiko dihimpit oleh pelbagai isu moral, masalah sosial, dan kelunturan amalan nilai-nilai murni. Kita tidak mahu keadaan di mana “sambil membina, kita meruntuhkan”. Contohnya, kita membangunkan banyak taman rekreasi, tetapi pada masa yang sama terdapat peningkatan kes-kes perlakuan sumbang. Kita menyediakan sistem jalanraya bertaraf kelas pertama, tetapi pada masa yang semakin banyak insiden pelanggaran undang-undang lalu-lintas dan kemalangan yang direkodkan. Kita tidak mahu semakin banyak unsur-unsur moden dibawa masuk ke dalam sesebuah masyarakat, semakin lemah amalan nilai-nilai murni, etika, moral dan pegangan agama di kalangan masyarakat berkenaan. Sewajarnya, fenomena ini dilenyapkan dalam usaha memastikan Putrajaya dapat menjadi bandar monumental yang boleh dibanggakan dalam pengamalan nilai-nilai murni. Dalam keghairahan kita membina mercu tanda, kita tidak seharusnya meruntuhkan nilai-nilai kemanusiaan yang telah dipupuk sekian lama.
12. Justeru, penyediaan Pelan Tindakan Pembudayaan Nilai-nilai Murni Putrajaya ini dianggap tepat pada masanya. Ia seharusnya dijadikan sebagai pedoman untuk menghasilkan kemudi sepertimana yang dikiaskan oleh Hamzah Fansuri melalui syairnya. Adalah wajar bagi Perbadanan Putrajaya, agensi-agensi pelaksana dan seluruh warga Putrajaya menjadikan pelan ini sebagai panduan bagi merealisasikan hasrat Kerajaan untuk menjadikan Putrajaya sebagai bandar contoh dalam aspek nilai-nilai murni dan tahap sosial yang baik. Bagi memastikan hasrat ini tercapai, pelan tindakan ini menggariskan strategi-strategi yang digubal dengan mengambil kira isu-isu dan cabaran semasa yang dihadapi di Putrajaya.
Saudara-saudari sekalian,
13. Adalah menjadi harapan kerajaan agar usaha-usaha pembudayaan nilai-nilai murni di Putrajaya, menjadi sesuatu yang dapat dilihat dan dirasai serta boleh memberikan ripple effect kepada kawasan sekitar, dan seterusnya dapat diperluaskan ke seluruh pelosok negara. Kita mahukan keadaan di mana pengunjung ke Putrajaya dapat melihat dan mengasimilasikan pembudayaan nilai-nilai murni sebagaimana yang diamalkan oleh warga Putrajaya. Kesannya, apabila amalan nilai-nilai murni ini turut dibudayakan oleh pengunjung yang datang ke Putrajaya, nilai-nilai ini akan menjadi contoh yang baik untuk mereka laksanakan di tempat asal masing-masing.
14. Pastinya kunci kepada kejayaan pelaksanaan pelan ini bukanlah terletak kepada dokumen ini semata-mata, tetapi bergantung kepada faktor penglibatan dan sokongan dari seluruh warga Putrajaya, penjawat awam dan NGO. Oleh itu, komitmen yang tinggi dan usaha yang bersungguh-sungguh dari semua pihak yang terlibat, terutamanya ketua-ketua agensi, pengetua dan guru besar sekolah, ketua komuniti, termasuk pengerusi dan AJK persatuan penduduk, serta imam masjid dan surau, adalah amat penting untuk menggerakkan setiap lapisan masyarakat dalam menjayakan usaha murni ini.
15. Sebagaimana sedia maklum, warga Putrajaya kebanyakannya adalah penjawat awam, serta ahli keluarga penjawat awam, yang terlibat di dalam penggubalan serta pelaksanaan pelbagai dasar dalam Kerajaan. Oleh itu, adalah sangat penting warga Putrajaya mematuhi undang-undang dan peraturan, yang disediakan oleh kita penjawat awam, langsung menjadi model contoh bagi segenap lapisan rakyat Malaysia, khususnya dalam amalan nilai-nilai murni dan perilaku yang baik dan sopan.
16. Saya berharap agar semua pihak dapat menghayati maksud yang terkandung di dalam pelan ini, memahami peranan masing-masing, dan seterusnya mengambil tindakan untuk merealisasikan hasrat menjadikan Putrajaya sebagai bandar contoh. Pembudayaan amalan nilai-nilai murni yang berterusan perlu menjadi mercu tanda dan penanda aras kepada Putrajaya dalam wadah pembangunan ekonomi dan sosial bandar ini. Justeru, saya mengajak seluruh penjawat awam serta warga Putrajaya agar sama-sama mengukuhkan iltizam dan semangat untuk menjayakan hasrat menjadikan Putrajaya sebagai bandar yang wajar dicontohi dengan amalan nilai-nilai murni dan norma sosial yang baik.
17. Dengan itu, saya, dengan lafaz Bismillahir rahmanir rahim melancarkan Pelan Tindakan Pembudayaan Amalan Nilai-Nilai Murni Putrajaya 2011-2015.
Sekian.
Wabillahittaufik walhidayah,
Wassalamu’alaikum warahmatullahi wabarakatuh.
KAU BUNUH CINTA
4 years ago