Hantar guru dari Semenanjung ke Sabah bukan penyelesaian bijak | |
2nd March, 2011 NABAWAN: Rata-rata pemimpin masyarakat di kawasan pedalaman menyokong kenyataan Presiden Parti Bersatu Sabah Tan Sri Joseph Pairin Kitingan yang menegaskan bahawa keputusan yang dibuat oleh Kementerian Pelajaran Malaysia untuk menghantar lebih ramai guru daripada Semenanjung bagi mengisi kekosongan di Sabah dan Sarawak bukan satu penyelesaian yang bijak. Ketua Daerah Nabawan OKK Sayau Tangkap ketika menyokong kenyataan itu berkata, keputusan itu kurang bijak dan bukan penyelesaian yang seharusnya dibuat. Beliau berkata, kekurangan guru di Sabah dapat diatasi jika Kementerian Pelajaran Malaysia mengambil langkah yang bijak dan menyerapkan lebih 520 Guru Sandaran Tidak Terlatih (GSTT) dan memberi peluang kepada mereka mengikuti latihan di Institut Pendidikan Guru (IPG). Katanya, tindakan menghantar lebih ramai guru dari Semenanjung di Sabah seolah-olah menutup peluang anak-anak muda di negeri ini sedangkan mereka juga mempunyai kelayakan untuk mengikuti latihan di IPG. “Kita tidak berpuas hati jika anak-anak muda yang berkelayakan di negeri ini diketapi untuk mengikuti latihan di IPG” tegasnya. Katanya, anak-anak muda di negeri ini sering terkandas apabila mengikuti ujian kemasukan dalam Kursus Perguruan Lepasan Izajah (KPLI) menyebabkan mereka tidak tersenarai untuk ditemu duga. “Alasan yang diberikan adalah mereka tidak mendapat markah yang cukup bagi membolehkan mereka mengikuti temu duga” jelasnya. Tetapi katanya, adalah mustahil anak-anak muda lepasan Izajah di kawasan Pedalaman semuanya tidak mendapat markah yang cukup. “Kalau pun lepasan Izajah yang baru tidak memenuhi syarat permarkahan ujian kemasukan KPLI tetapi memadailah jika GSTTyang sudah bertugas lebih daripada dua tahun diserap mengukuti kursus perguruan” tambahnya. Sementara itu di Tenom, Naib Ketua Umno Bahagian Tenom turut menyokong kenyataan Pairin agar GSTT yang telah bertugas beberapa tahun diberi pengiktirafan dan diberi peluang mengikuti untuk dilatih bagi mengisi kekurangan guru di Sabah dan Sarawak dan bukannya mengimport guru-guru dari Semenanjung. Katanya, anak-anak muda yang berkelayakan wajar diberi peluang mengisi kekosongan guru di negeri ini. Seminggu yang lalu Pairin yang juga Timbalan Ketua Sabah berkata, kekurangan guru yang merupakan isu berlarutan sejak beberapa tahun lalu sebenarnya boleh diatasi dengan memberi latihan dan pengiktirafan kepada GSTT yang ramai terdapat di Sabah dan Sarawak. Pairin turut menyentuh hala tuju kepada 520 GSTT yang baru menamatkan kontrak mereka pada Disember tahun lalu, di mana beliau berpendapat engalaman yang dipeerolehi oleh GSTT itu tidak seharusnya disia-siakan. Pairin dipetik sebagai berkata, kekurangan ini boleh diisi dengan melatih anak-anak tempatan dalam bidang pendidikan yang lebih formal khususnya para GSTT dan ia harus dimulakan dari sekarang. Pada pertengahan Februari lalu Timbalan Menteri Pelajaran Malaysia Dr. Mohd. Fuad Zarkahsi telah mengumumkan akan menghantar lebih ramai guru daripada Semenanjung ke Sabah dan Sarawak sehingga kedua-dua negeri berkenaan mendapat tenaga yang mencukupi. Katanya, kedua-dua negeri itu belum lagi dapat memenuhi kuota guru meskipun setelah melalui satu sesi temu duga terbuka yang diadakan di negeri-negeri tersebut sebelum ini. |
KAU BUNUH CINTA
4 years ago