Friday, December 24, 2010

:: PMR 2010: SM Sains Kuching antara yang terbaik di Sarawak





Kelulusan PMR 2010 Sarawak meningkat 3.07 peratus

Posted on December 24, 2010, Friday

KUCHING: Sarawak mencatat peningkatan kelulusan sebanyak 3.07 peratus iaitu kepada 65.36 peratus berbanding tahun lepas sebanyak 62.29 peratus dengan jumlah keseluruhan seramai 25,287 calon menguasai tahap penguasaan minimum D bagi Penilaian Menengah Rendah (PMR) tahun ini.

Keputusan rasmi ini dikeluarkan oleh Jabatan Pelajaran Negeri (JPN) Sarawak semalam.

Menurutnya, peningkatan dalam pencapaian individu mencatat seramai 1,877 (4.85 peratus) berbanding 1,860 (4.6 peratus) iaitu peningkatan seramai 17 orang (0.18 peratus).

Tahap penguasaan minimum D di negeri ini juga mencatat peningkatan dalam sembilan mata pelajaran iaitu Bahasa Arab, Kemahiran Hidup 3 (Pertanian), Kemahiran Hidup 1 (Kemahiran Teknologi) Kemahiran Hidup 2 (Ekonomi Rumah Tangga), Kemahiran Hidup 4 (Perdagangan dan Keusahawanan), Bahasa Inggeris, Sains, Matematik dan Bahasa Melayu.

Mata pelajaran Bahasa Cina meningkat daripada 87 peratus kepada 93.3 peratus, Sains meningkat kepada 95.6 peratus berbanding 94.3 peratus bagi tahun lepas.

Bahasa Melayu meningkat sebanyak 1.0 peratus daripada tahun sebelumnya manakala Pendidikan Islam meningkat sebanyak 0.4 peratus dan Kemahiran Hidup 1 (Kemahiran Teknologi) sebanyak 0.2 peratus berbanding tahun lepas.

Seramai 39,575 calon di seluruh negeri menduduki ujian terbabit dan 38,676 (97.73 peratus) merupakan calon menengah rendah kebangsaan, 783 (1.9 peratus) merupakan calon swasta, 114 (0.29 peratus) calon sekolah swasta sementara dua orang (0.01 peratus) adalah calon persendirian.

Enam sekolah telah mencapai 100 peratus penguasaan minimum D bagi semua mata pelajaran iaitu Sekolah Menengah Sains Kuching, Sekolah Menengah Sains Miri, Kolej Tun Datuk Tuanku Haji Bujang Miri, Maktab Rendah Sains MARA Kuching, Sekolah Menengah Lodge Kuching dan Sekolah Tunku Putra Kuching.

Kenyataan terbabit turut mengeluarkan data pelajar lulus 9A seramai 27 orang berbanding 46 orang pada 2009, 8A seramai 1,147 orang berbanding 1,134 orang pada 2009 dan lulus 7A seramai 703 orang berbanding 680 orang pada 2009.

Pada masa yang sama calon-calon turut diingatkan untuk membuat permohonan semak semula dalam tempoh 30 hari selepas tarikh pengumuman iaitu sebelum 22 Januari 2011.