Thursday, December 02, 2010

Pilihanraya Sarawak...serentak ?




Home - Utusan Borneo - Berita Tempatan - Pilihan raya serentak?






Pilihan raya serentak?

Posted on November 30, 2010, Tuesday


KUCHING: Barisan Nasional (BN) Negeri sedia mempertimbangkan sekiranya Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak meminta untuk mengadakan pilihan raya negeri dan pilihan raya umum secara serentak.


BERI IDEA: Taib bertukar pendapat dengan Shafie dan Wahab selepas bermesyuarat di kediaman rasminya, semalam.


Semalam, Pengerusi BN Negeri Pehin Sri Abdul Taib Mahmud yang juga Ketua Menteri memberitahu, beliau akan mempertimbangkan sekiranya permintaan sedemikian dibuat.

“Jika pilihan raya umum di-adakan tidak lama lagi, saya boleh mempertimbangkannya.

“Tidak menjadi masalah (untuk mengadakan kedua-dua pilihan raya secara serentak),” katanya ketika ditemui selepas menerima kunjungan hormat daripada Menteri Pembangunan Luar Bandar dan Wilayah Datuk Seri Mohd Shafie Apdal di kediamannya di Demak Jaya, Jalan Bako, di sini.

Taib, bagaimanapun pantas menjelaskan bahawa kenyataannya tidak harus disalah anggap bahawa pilihan raya sedemikian sememangnya akan terjadi.

Ini kerana tarikh pilihan raya ditentukan oleh Najib.

“Saya tidak menentukan tarikh pilihan raya umum untuk negara kerana ia (keputusan) dibuat oleh Perdana Menteri,” katanya.

Beliau yang juga presiden Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) berkata, jika Najib bercadang untuk mengadakan pilihan raya umum tidak lama lagi, adalah wajar untuk kedua-dua pihak untuk sama-sama berbincang terlebih dahulu.

“Jika beliau (Najib) mempunyai ilham untuk mengadakan pilihan raya (umum) tidak lama lagi, lebih baik (kedua-dua parti) menyelaraskannya (dengan pilihan raya negeri)… dan mungkin (mengadakan) pilihan raya serentak,” katanya.

Sementara itu, Shafie berkata tujuan utama beliau berjumpa dengan Taib adalah untuk membincangkan cara memperbaiki kerjasama antara negeri ini dan kementeriannya bagi memastikan masalah-masalah kecil dapat diselesaikan.

Beliau berkata, mungkin ada yang tidak menyedari banyak projek pembangunan sudah berjalan di negeri ini seperti rumah-rumah yang dibina di bawah program kementeriannya.

Shafie turut memberitahu perjumpaan itu turut membincangkan cara untuk membantu penduduk luar bandar mencapai pendapatan lebih tinggi.

“Kami turut membincangkan cara atau kaedah untuk menyediakan infrastruktur dan kemudahan lain untuk memastikan penduduk luar bandar dapat meningkatkan pendapatan mereka,” katanya.