Sunday, August 07, 2011

:: Jom ke Serikin...Sabtu dan Ahad...


Serikin meriah menjelang Aidilfitri

Oleh Misiah Taib
misiah@bharian.com.my
2011/07/31


 GUSTIANTO  melayan pelanggan dari Terengganu yang berkunjung ke  gerainya di pekan Serikin.
GUSTIANTO melayan pelanggan dari Terengganu yang berkunjung ke gerainya di pekan Serikin.

Peniaga Indonesia raih untung berganda di pekan sempadan

KUCHING: Hujung minggu terakhir sebelum Ramadan, pekan Serikin yang terletak kira-kira 80 kilometer dari sini, menjadi tumpuan orang ramai bagi membeli keperluan menjelang Aidilfitri.
Tinjauan Berita Minggu mendapati ribuan pengunjung membeli-belah di pekan berkenaan, bukan saja penduduk Sarawak, malah dari Sabah, Semenanjung dan Brunei Darussalam.

Ini memberi peluang kepada peniaga yang lebih 90 peratus warga Indonesia menawarkan produk baru khusus untuk Aidilfitri tahun ini, termasuk kain baju kurung dan kebaya corak terkini, kain baju Melayu, songket, batik corak terkini, langsir dan pelbagai lain.

Gustianto, 26, dari Sambas, Kalimantan Barat, antara peniaga yang sudah 12 tahun mencari rezeki di Serikin.

“Tahun ini sarung wataniah 9,000 benang menjadi pilihan saya sebagai keluaran terkini. Ia dibawa khas dari Jakarta berharga RM35 setiap satu. Sarung ini belum masuk ke pasaran Malaysia dan hanya boleh dibeli di Serikin.

“Beberapa peniaga di Kuala Lumpur sudah menghubungi saya untuk mendapatkan stok sarung wataniah 9,000 benang yang akan dihantar pertengahan bulan puasa ini,” katanya yang mengakui memperoleh pendapatan puluhan ribu ringgit hasil jualan pelbagai sarung, batik dan kain songket.
Gustianto atau lebih dikenali sebagai Agus di kalangan rakan peniaga, mencari rezeki di situ ketika berusia 14 tahun dan mengakui perniagaan sempadan itu cukup lumayan.

“Saya berniaga mulai jam 7 pagi hingga 6 petang Sabtu, dan mulai jam 7 pagi hingga 4 petang setiap Ahad. Minggu terakhir sebelum Ramadan ini, saya memperoleh pendapatan lebih RM10,000 untuk dua hari,” akui beliau.

Bagi Debbie Apiyan, 28, dari Jakarta baru berniaga di Serikin satu setengah tahun dan mendapati perniagaan di situ memang menguntungkan, terutama menjelang Ramadan dan Aidilfitri.

Katanya, kain sulam riben RM110 bagi empat meter produk terbaru juga dari Jakarta yang dibawa ke Serikin.

“Saya memandu dari Jakarta ke Pontianak, sebelum ke Sarawak untuk membawa barangan jualan. Sulam riben paling popular menjelang Aidilfitri kali ini,” katanya yang menjual pelbagai kain sulaman dan sutera.

Bagi pengunjung dari Terengganu, Halim Saad, 48, ini adalah kali kedua mereka sekeluarga berkunjung ke Sarawak dan singgah ke Serikin.

“Saya bersama isteri dan tiga anak ke sini kerana banyak pilihan selain murah. Kami bercuti di Sarawak, tidak lengkap kalau tak singgah ke Serikin,” katanya.