Sunday, August 21, 2011

:: Empangan Bakun & kemarau... menjejaskan 30 ribu penduduk ?


Air cetek jejas 30 ribu penduduk

KUCHING: Sistem pengangkutan air bagi 30,000 penduduk berhampiran sungai di daerah Kapit ke Belaga di sini terjejas teruk disebabkan tahap air rendah.

Menteri Kemajuan Tanah Tan Sri James Masing mendedahkan kepada The Borneo Post semalam bahawa sungai di kawasan terbabit menjadi cetek disebabkan penakungan air yang dilakukan di Empangan Hidroelektrik Bakun (HEP) dan keadaan bertambah lebih teruk lagi kerana musim kemarau.

“Penduduk di sini mengalami kesukaran dan amat susah untuk menyeberangi sungai sekarang serta dikhuatiri keadaan akan menjadi lebih buruk,” katanya.

Masing merasakan bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pelagus yang mewakili rakyatnya di kawasan itu terdahulu seharusnya boleh meramal permasalahan dan merancang untuk membantu menyelesaikannya.

“Mengikut gerak hati saya, nampaknya masalah ini akan berlaku untuk setahun lagi dan kita tidak boleh membenarkan rakyat menderita begitu lama,” kata ADUN Balleh itu.

Tambahnya, bekas ADUN Pelagus yang juga Menteri Muda di Pejabat Ketua Menteri Larry Sng bertanggungjawab dalam perancangan dan ekonomi, seharusnya melakukan sesuatu sebelum perkara terbabit berlaku.

“Semasa beliau masih di pejabat, patutnya beliau sudah dapat meramal dan melihat isu ini dan bukannya menunggu sehingga ia timbul sekarang,” tegasnya.

Larry Sng sekarang menyandang jawatan Penasihat Belia di Pejabat Ketua Menteri selepas digugurkan daripada bertanding dalam Pilihan Raya Umum (PRU) bagi kerusi berkenaan.

Sementara itu, Jurucakap Pejabat Daerah Kapit berkata penduduk yang selalunya menggunakan sungai untuk berulang-alik dari pekan Kapit kini menggunakan jalan darat Sibu-Bintulu disebabkan sampan dan pengangkutan air lain tidak dapat melalui sungai terbabit.

Beliau turut memberitahu pemberita bahawa seramai 6,700 penduduk yang tinggal di Nanga Merit kini mengalami masalah bekalan air graviti kerana musim kemarau.

“Mereka menggunakan perigi untuk mendapatkan bekalan air bersih untuk kegunaan harian,” katanya. Nanga Merit merupakan kawasan daerah kecil yang meliputi kawasan seluas 1,744 kilometer persegi.

“Sungguhpun paras air rendah namun penduduk yang ingin ke Kapit boleh menggunakan jalan balak untuk ke Kapit,” ujarnya.

Tambahnya, bagi penduduk yang sering ke Kapit menggunakan kapal kecil dikenakan tambang sebanyak RM50 seorang.

“Pemindahan air dari empangan Bakun sejak 13 Oktober lalu memburukkan keadaan,” jelasnya.

Pihak pengurusan Bakun HEP hanya akan membenarkan pelepasan air takungan empangan terbabit menjelang Oktober.

http://www.theborneopost.com/2011/08/20/air-cetek-jejas-30000-penduduk/