Thursday, March 31, 2011

:: Simoi Peri... mengundur atau diundur ?




Giliran Simoi Peri umum undur diri


Posted on March 30, 2011, Wednesday


MIRI: Penyandang kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) kawasan Lingga, Simoi Peri, mengumumkan pengunduran dirinya secara rasmi dan tidak akan mempertahankan kerusinya dalam Pilihan Raya DUN Sarawak ke-10 bagi memberikan laluan kepada muka baru.

Beliau memberitahu keputusan tidak bertanding tersebut adalah kemahuan dirinya dan bukan atas desakan mana-mana pihak.

“Tiada tekanan daripada pihak pucuk pimpinan mahu pun akar umbi,” kata Simoi kepada pemberita ketika sidang media tergempar beliau bertempat di Marriot Resort & Spa, Miri malam tadi.

Beliau turut memberikan alasan pengunduran dirinya dalam bidang politik dengan mengatakan bahawa beliau ingin memberikan tumpuan terhadap kerja-kerja kebajikan dan kegamaan di samping perniagaan.

“Saya harap tiada pihak yang terkejut atau terkilan dengan keputusan saya ini kerana ia (keputusan) diambil bukanlah atas kepentingan individu atau kepentingan sendiri atau apa-apa,” jelasnya lagi.

Katanya lagi, Ketua Menteri Sarawak, Pehin Sri Abdul Taib Mahmud telahpun dimaklumkan tentang pengundurannya dan tiada halangan daripada beliau (Taib).

Simoi merupakan calon ketiga daripada Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) yang mengumumkan pengunduran diri secara rasmi selepas Datuk Dr Abang Abdul Rauf Abang Zen pada 16 Mac lalu, dan Lihan pada 21 Mac.