Friday, March 25, 2011

:: Pilihanraya Sarawak 2011: Mengundi pada 16 April... berkempen 10 hari



Hari mengundi 16 April

by Patricia Gari. Posted on March 24, 2011, Thursday

SPR tetapkan tarikh penamaan calon bagi Pilihan Raya Negeri S’wak Ke-10 pada 6 April.


KAWASAN DUN: Abdul Aziz menunjukkan peta negeri Sarawak kepada para pengurus pilihan raya seluruh negeri ini dan pihak media di Kuching, semalam. — Gambar Bernama


KUCHING: Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) semalam menetapkan 16 April depan (Sabtu) sebagai tarikh mengundi bagi Pilihan Raya Negeri Sarawak ke-10.

Pengerusi SPR Malaysia, Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof berkata hari penting itu menyusul selepas hari penamaan calon yang diadakan pada 6 April 2011 iaitu pada Rabu.

Beliau berkata tarikh-tarikh itu ditetapkan selepas SPR menerima surat daripada Speaker Dewan Undangan Negeri Sarawak pada 21 Mac lalu untuk memaklumkan pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak.

Menurut Fasal (4) Perkara 21 Perlembagaan Negeri Sarawak katanya setelah menerima surat daripada Tuan Yang Terutama Negeri Sarawak SPR perlu mengadakan pilihan raya dalam tempoh 60 hari dari tarikh pembubaran DUN dan tarikh terakhir bagi tujuan itu ialah pada 21 Mei 2011.

“Dengan ini diumumkan bahawa tarikh-tarikh penting menjalankan pilihan raya umum ke-10 DUN Sarawak, SPR telah menetapkan tarikh-tarikh penting iaitu tarikh notis pilihan raya pada 25 Mac 2011, tarikh penamaan calon 6 April 2011 dan tarikh pengundian 16 April 2011, iaitu hari Sabtu. Itupun jika ada pertandingan,” katanya pada sidang media khas di salah sebuah hotel terkemuka di sini, semalam.

Terdahulu beliau mengadakan perjumpaan khas dengan pegawai pengurus pilihan raya dan penolong pegawai pengurus pilihan raya.

Beliau memberitahu pada perjumpaan itu SPR telah mengeluarkan writ kepada 71 pegawai pengurus pilhan raya dan 165 penolong pegawai pengurus pilihan raya bagi membantu suruhanjaya itu menjalankan pilihan raya negeri Sarawak yang ke-10.

Selain itu katanya SPR melantik 24,379 orang pegawai dan petugas pilihan raya untuk membantu SPR mengendalikan pilihan raya ini serta menubuhkan 80 Pasukan Penguat Kuasa Kempen Pilihan Raya (PP-KPR) yang akan diketuai seorang pegawai penguat kuasa bagi setiap pasukan.

Penubuhan PP-KPR tambahnya untuk membantu SPR memantau semua aktiviti kempen pilihan raya sepanjang tempoh rasmi berkempen.

Abdul Aziz memberitahu media bagi pilihan raya umum DUN Sarawak kali ini, SPR akan menggunakan 1,749 Pusat Mengundi yang mengandungi 2,606 Tempat Mengundi (Saluran).

Bagi pilihan raya DUN Sarawak kali ini katanya daftar pemilih yang akan digunakan ialah Daftar Pemilih Induk (DPI) 2009, Daftar Pemilih Tambahan Suku Tahun Pertama 2010, Suku Tahun Kedua 2010, Suku Tahun Ketiga 2010 dan Suku Tahun Keempat 2010 yang diwartakan pada 25 Mac 2011.

Daftar pemilihan itu menurut beliau mengandungi 979,796 pemilih berdaftar yang terdiri daripada 961,433 pemilih biasa dan 18,363 pemilih pos.

Mengulas lanjut mengenai pemilihan tarikh penamaan calon yang jatuh pada hari bekerja Abdul Aziz berkata SPR memilih tarikh itu kerana mengambil kira perkara paling penting dalam undang-undang pilihan raya yakni kehadiran calon, penyokong dan pencadang.

“Kita pilih hari bekerja untuk penamaan calon kerana kita menganggap perkara paling penting dalam undang-undang ialah calon, penyokong dan pencadang. Kita merasakan ini pilihan raya umum, bilangan penyokong calon yang begitu ramai datang ketika pilihan raya kecil, kali ini bilangannya tidak begitu besar.

“Saya dimaklumkan hari bekerja, Rabu tidak menjadi masalah,” jelasnya.

Pada pilihan raya negeri yang kesembilan iaitu 20 Mei 2006, 71 kerusi dipertandingkan dengan Barisan Nasional (BN) memenangi 62 kerusi manakala lapan lagi kerusi dimenangi pembangkang iaitu enam milik Parti Tindakan Demokratik (DAP), Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan Parti Kebangsaan Sarawak (SNAP) masing-masingnya satu manakala satu lagi kerusi menjadi milik Bebas.

Bagaimanapun keputusan Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) baru-baru ini menerima penyandang kerusi Engkilili iaitu bekas calon SNAP yang kemudiannya mengisytiharkan dirinya sebagai calon Bebas, Dr Johnical Rayong sebagai ahlinya menjadikan 63 kerusi DUN adalah milik BN.