Saturday, April 20, 2013

:: Melayu... penghubung bangsa...?


Umat Melayu melihat hubungan kemanusiaan terbina dengan asas pemahaman terhadap tamadun. Pada masa lalu, tamadun Islam menjadi penghubung kepada tamadun Barat dan Timur. Tamadun ini dilambangkan dengan kekuatan ulama-ilmuwan dan umarak melakukan sinergi menyebabkan lahirnya usaha penterjemahan ilmu yang pelbagai dalam tamadun Islam dan dimanfaatkan oleh bangsa Eropah. 

Hasil usaha ini menyebabkan lahirnya ‘renaissance’, ‘reformation’ dan juga revolusi industri yang akhirnya menyebabkan kuasa Eropah menjadi penakluk atas dalih ingin melakukan proses pencerahan dan celik tamadun.
Umat Melayu adalah sinergi menghubungkan sesuatu bangsa dengan segala keunikan yang ada padanya dengan maksud kemanusiaan yang lebih tinggi hasil perkembangan tamadun Islam. Dalam menghadapi kerenah zaman dan ragam kehidupan, umat Melayu melakukan reflektif tamadun terhadap kebangkitan silam dan menjadikan contoh bagaimana ia bangun berasaskan ilmu dan keterampilan sehingga menyebabkan ia mampu bertahan lebih 600 tahun.
 



Kekuatan maksud umat dalam membangun tamadun boleh dijadikan landasan bagaimana umat Melayu boleh mengikuti jejak kehebatan silam secara lebih dekat, menyebabkan Melayu sebagai satu bangsa apabila ditindikkan dengan nilai yang sifatnya alamiah menjadikan lebih maju dan bersedia menghadapi cabaran globalisasi yang berdiri atau kualiti modal insannya. 

Bahasa Melayu miliki kekuatan ilmu 

Menjadikan diri sebagai umat Melayu bukan bermakna menolak faktor bangsa seperti bahasa dan budaya yang positif serta menyumbang terhadap kekayaan tamadun Islam. Faktor bahasa Melayu umpamanya, menerima kemasukan ribuan istilah al-Quran dan bahasa Arab sehingga menyebabkan makna daripada istilah itu memberikan tasawwur yang sifatnya Islami. 

Ia menjadikan bahasa Melayu sebagai bahasa Islam yang mempunyai kekuatan ilmu dan merintis jalan ke arah terbinanya tamadun. Kekuatan inilah yang dimiliki umat Melayu sejak menerima Islam dalam kehidupannya.
Menjadi umat Melayu tidak sekadar kuat dalam bidang rohaniahnya. Kekuatan rohaniah harus menjadi landasan yang mengangkat daya intelek dan kreativiti supaya minda Melayu terasnya adalah minda Islam. Minda Islam yang kreatif bakal mencetuskan idea besar yang mampu menjana perubahan. 

Reflektif terhadap tamadun silam umat Islam di Baghdad dan Andalusia melahirkan tokoh ilmuwan yang berwibawa dalam pelbagai bidang termasuk sains, perubatan dan matematik. Umat Melayu harus memberikan fokus dalam aspek ini di samping melakukan jihad bisnes yang dapat membimbing mereka menjadi umat yang kuat. 

Jiwa ummatik lahir kepakaran 

Di bumi Islam termasuk di daerah umat Melayu, Allah SWT mengurniakan sumber kekayaan yang banyak supaya umat Melayu boleh hidup sejahtera. Tanpa jiwa ummatik yang menuntut jiwa tadabbur atau kaji selidik dan daya juang yang tinggi tidak mungkin umat Melayu mampu melahirkan kepakaran dan keahlian. 

Keadaan ini menyebabkan orang lain melakukan eksploitasi atau mengambil kesempatan menguasai sumber yang kaya akibat kealpaan dan kekosongan daya juang untuk bersaing dan maju dengan bijaksana. 

Memperkasa umat Melayu adalah proses islah yang meletakkan Islam sebagai dukungan terhadap kemajuan dan perubahan. Kekuatan Islam dari sudut ilmu dan tamadun mampu membimbing orang Melayu untuk mara ke hadapan tanpa menzalimi orang lain kerana prinsip adil wal ihsan akan sentiasa menjadi pedoman terbaik yang dianjurkan oleh ajaran Islam. 

Strategi islah juga harus berlaku dalam memperkasa ilmu dan pendidikan. Ilmu yang integratif harus menjadi sandaran merubah kekuatan berfikir dan amal dalam kalangan generasi muda Melayu supaya jiwa ummatik akan sentiasa menjadi pendorong terhadap mereka untuk menjadi cemerlang. 
Tanpa kecemerlangan orang Melayu bakal terpinggir kerana sifat zaman kini amat terbuka dalam semua perkara. 

Generasi muda umat Melayu harus mewakili zamannya dengan gambaran yang memberikan harapan cerah pada masa depan. Meneliti mengenai penyakit sosial yang menimpa generasi muda orang Melayu kini, akibat kerapuhan jiwa mereka mendepani cabaran budaya popular dan budaya hedonistik dari Barat. Media cetak dan elektronik, festival hiburan yang banyak menjadi sumber melekakan generasi muda hingga menyebabkan kekontangan jiwa dan minda hingga peribadinya mudah cair menghadapi himpitan hawa nafsu. 

Generasi muda umat Melayu seharusnya mengukuhkan kekuatan rohaniah dalam penghayatan hidup. Penghayatan hidup umat Melayu seharusnya menginsafi bahawa tanpa jiwa yang hidup dan segar dengan sifat daya juang yang tinggi dipandu oleh nilai rohaniah murni, orang Melayu bakal menjadi penonton yang hampa dan kecewa bahawa perjuangannya berada dalam batas ‘menang sorak’ tetapi pada hakikatnya ‘kampung sendiri tergadai.’ 

Penulis ialah Profesor Pendidikan UIAM - Sidiq Baba

http://www.bharian.com.my/bharian/articles/Melayupenghubungbangsa/Article/