Saturday, December 10, 2011

:: SURAT : SBPA...




SBPA tingkat motivasi penjawat awam


2011/12/10

INTI pati pekeliling skim Saraan Baru Perkhidmatan Awam (SBPA) yang baru diumumkan oleh Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) dilihat sebagai cukup menyeluruh dan mampu menjadi pelengkap kepada transformasi perkhidmatan awam yang dicetuskan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

Teka-teki mengenai skim SBPA ini terjawab apabila JPA mengeluarkan pekeliling terbabit Khamis lalu yang merangkumi Pekeliling Perkhidmatan Bil. 11/2011 Umum, Perkhidmatan Bil. 13/2011 untuk Guru dan Perkhidmatan Bil. 14/2011 untuk PDRM.

Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Tan Sri Abu Bakar Abdullah sebelum itu sudah memperincikan inti pati pelaksanaan SBPA ini bagi menjelaskan isi kandungan menyeluruh skim baru ini.
Antara perkara yang menarik dalam SBPA ini ialah skim ini diyakini akan membuka laluan penting kepada pelaksanaan transformasi perkhidmatan awam melalui lima inisiatif utama iaitu perkhidmatan awam yang kejat, kepemimpinan dinamik, modal insan berkualiti, perkhidmatan awam yang fleksibel dan saraan yang lebih kompetitif.

Hal ini dapat direalisasikan melalui pewujudan Pelan Induk Saraan Perkhidmatan Awam (PISA) bagi melaksanakan rombakan menyeluruh ke atas Sistem Saraan Perkhidmatan Awam secara tersusun.

Skim baru ini juga bakal menghargai individu penjawat awam berdasarkan kebolehan, kemampuan dan kepakaran yang dimiliki melalui penambahan empat prinsip baru iaitu kadar upah untuk kerja mengikut kumpulan perkhidmatan, kadar upah untuk individu berdasarkan bakat, keupayaan dan pengalaman, kadar upah untuk kerja bagi individu serta kadar upah tambahan untuk kerja mengikut prestasi.

Untuk itu hierarki kumpulan perkhidmatan juga dirombak dan dibuat penambahbaikan dengan pembentukan empat peringkat hierarki yang baru iaitu kumpulan premier, kumpulan pengurusan tertinggi, kumpulan pengurusan dan profesional, serta kumpulan pelaksana yang menggantikan kumpulan sokongan.
Menariknya hierarki baru ini ialah perubahan nama kumpulan sokongan kepada kumpulan pelaksana yang dilihat cukup wajar dan tepat mengambil kira fungsi dan peranan yang dimainkan oleh kumpulan yang terbesar dalam perkhidmatan awam ini dalam merealisasikan dan melaksanakan semua agenda kerajaan dan memastikan ia sampai kepada rakyat dan kumpulan sasaran.

Justeru diharapkan agar pelaksanaan SBPA yang dijadualkan bermula tahun depan akan meningkatkan lagi motivasi dan semangat penjawat awam untuk terus berusaha memperbaiki mutu perkhidmatan dan prestasi kerja masing-masing.

NOOR MOHAMAD SHAKIL HAMEED,
UPM, Serdang.