Saturday, August 06, 2011

:: SURAT : Pensyarah IPG yang memiliki PhD keliru..?



Keliru pensyarah IPG miliki PhD tidak tersenarai cemerlang


2011/07/30

AWAL tahun ini Kementerian Pelajaran mengiklankan Pensyarah Cemerlang 2011 bagi Pegawai Perkhidmatan Pendidikan Siswazah (PPPS) yang bertugas di Institut Pendidikan Guru (IPG). Baru-baru ini, IPG dan Jemaah Nazir menjalankan penyeliaan dan penilaian terhadap pensyarah yang terpilih.

Persoalan yang timbul ialah mengapa ada pensyarah IPG yang memiliki Ijazah Doktor Falsafah (PhD) tidak terpilih untuk diselia dan dinilai dalam bidang kepakaran yang dimohon, sedangkan mereka memenuhi syarat yang ditetapkan. KPM menyatakan margin yang tinggi diberikan kepada PPPS yang memiliki ijazah PhD dalam laluan kerjaya pensyarah atau guru cemerlang tetapi nampaknya penetapan ini tidak membawa makna apa-apa kepada PPPS PhD di IPG.
Dari segi penguasaan ilmu dalam bidang kepakaran yang dimohon, sudah pasti pensyarah yang memiliki PhD dalam bidang yang dipohon menguasai ilmu berkenaan lebih baik daripada pensyarah yang tidak memiliki ijazah kedua dan ketiga dalam bidang itu.

Ada pensyarah yang dipilih memiliki ijazah pertama dalam bidang yang dimohon tetapi ijazah kedua dalam bidang lain. Ini bertentangan visi IPG seperti yang diuar-uarkan oleh IPG sendiri.

Ada juga pensyarah yang terpilih tidak menghasilkan apa-apa penyelidikan, penulisan atau penerbitan buku atau artikel, tidak membentangkan kertas kerja pada sebarang peringkat sama ada kebangsaan, zon atau antarabangsa.


Pihak rektor IPG dan Jemaah Nazir perlu melihat semula perkara ini.

Beri ruang kepada pensyarah PhD di IPG untuk diselia dan dinilai kebolehan dan kepakaran mereka, ketepikan perasaan kronisme dan bersikap telus.

PHD KECEWA,
Alor Setar, Kedah.