SURAT
Guru tidak berhenti merungut
KERAP KALI saya membaca ruangan Surat Pembaca di akhbar ini, pasti ada isu berkaitan dengan guru. Isu seperti perbezaan gaji di antara guru berijazah atau tidak, elaun yang perlu ditambah kepada guru luar bandar, guru warden, guru kanan, isu cuti sekolah, bebanan tugas berat, penempatan guru, kuarters dan sebagainya. Untuk makluman, saya pernah bertugas menjadi guru sementara selama enam bulan sebelum memasuki sebuah institusi pengajian tinggi awam (IPTA) dalam pengajian ijazah sarjana muda bidang kejuruteraan. Pengalaman singkat itu memperlihatkan tugas guru tidaklah seberat digembar-gemburkan. Pemerhatian saya terhadap tugas guru adalah seperti berikut. Pertama, jumlah jam bekerja terlalu singkat. Seseorang guru hanya bertugas mengikut sesi pagi atau petang. Bagi sekolah yang mempunyai satu sesi, bermakna seorang guru hanya bekerja enam jam setengah setiap hari.
Bagaimanapun, guru hanya mengajar selama dua hingga tiga jangka waktu (satu jangka waktu bersamaan 40 minit) dan selebihnya adalah waktu untuk menyediakan laporan, rehat, makan di kantin dan berbual-bual. Kedua, jumlah hari bekerja sedikit. Secara umumnya, hari bekerja guru adalah mengikut hari persekolahan murid. Oleh itu, guru tidak bekerja pada cuti hujung minggu, cuti umum, pertengahan semester, pertengahan tahun atau akhir tahun. Sekiranya ditolak daripada 365 hari setahun, maka amatlah sedikit jumlah hari bekerja guru. Walaupun dengan bebanan tugas yang ringan ini, guru membuat banyak permintaan serta rungutan banyak perkara. Tolong jangan katakan bahawa mengadakan mesyuarat mingguan, profil pelajar, soalan peperiksaan, berkursus, kokurikulum adalah tugas sangat berat di samping waktu lapang yang ada di luar waktu mengajar.
Permintaan guru seperti pertambahan gaji atau elaun dan kenaikan pangkat lebih cepat daripada gred 29 ke gred 41 dan ke gred 44, contohnya membuatkan saya tertanya-tanya sama ada wajar ia ditunaikan oleh Kementerian Pelajaran semata-mata menangani isu itu. Kekerapan isu guru dihantar ke ruangan Surat Pembaca juga menyebabkan saya tertanya-tanya adakah profesion guru saja yang wujud dan penting dalam kerajaan. Ataupun sebenarnya guru adalah kakitangan kerajaan yang paling pandai merungut dalam isu gaji yang sebenarnya tidak setimpal dengan input kerja mereka. Adakah guru akan berhenti merungut apabila gaji mereka setaraf dengan gaji bagi profesion peguam, doktor, jurutera dan sebagainya yang memerlukan pencapaian akademik lebih tinggi? Saya ingin meminta golongan pendidik ini supaya memberhentikan penghantaran isu, rungutan peribadi dan luahan rasa kepada media massa secara terbuka dan cukuplah sekiranya Persatuan Guru Kebangsaan (NUTP) menyelesaikannya dengan pihak atasan secara tertutup.
Saya juga mencadangkan supaya NUTP menubuhkan Biro Aduan Khas bagi profesion guru sebagai tempat untuk guru yang menghadapi masalah khusus untuk menyuarakan pendapat secara peribadi.
KAKITANGAN BUKAN GURU,Kuala Lumpur.
... mungkin kenyataan ini akan mendapat reaksi daripada para pendidik lain atau mana2 pihak yang mungkin lebih tahu mengenai guru... pendidik... dan alam pendidikan...