Showing posts with label pandangan. Show all posts
Showing posts with label pandangan. Show all posts

Thursday, May 19, 2011

:: Tempoh masa kritikal politik negara... kata pensyarah USM..





Tempoh masa kritikal politik negara


DALAM konteks pensejarahan politik kontemporari tanah air, kebelakangan ini boleh diiktiraf sebagai tempoh masa yang kritikal. Ia ketara kerana politiking yang berterusan seolah-olah setiap detik perlu diawasi, diperhati dan dibuat congakan tertentu walaupun tahu ia mengancam kestabilan dan nilai kemuafakatan kemasyarakatan. Adakah ini kesannya daripada politik masa depan ataupun politik baru yang diuar-uarkan oleh sesetengah pihak?

Terlalu banyak ungkapan cuba disumbat dan disuluh menerusi terowong 'politik baru' yang sehingga kini masih berbelah-bahagi dari segi pendefinisian sehingga menyoal apakah 'politik baru' yang sudah menjelma era pasca Mac 2008? Pelbagai kumpulan baik pemimpin, pembesar politik mahupun massa memberi takrifan dan pemahaman yang berbeza-beza.

Adakah ia 'perubahan'; 'merakyatkan'; 'akar umbi'; 'menerajui perubahan'; 'harapan'; 'bottom up'; 'manipulasi'; 'kreatif'; 'calon'; 'parti'; 'isu'; 'kepimpinan'; 'politik moral'; 'politik berhemah'; 'politik sivil'; 'liberalisasi'; 'kebebasan'; 'demokrasi'; ataupun politik lama dengan 'acuan' berbeza akibat desakan persekitaran yang jauh berubah daripada sebelumnya.

Politik hari ini berkecenderungan menunjukkan kepekaan ke atas 'politik manipulasi' yang melengkapi 'politik angka' kerana politik adalah 'permainan' dalam konteks 'politik berasaskan kepada etnik'.

Ia bukan sama ada seseorang itu popular ataupun tidak tetapi kemampuan untuk menang dengan apa cara sekalipun itulah 'politik' sebenarnya. Strategi yang diguna pakai bukan untuk menjadi pasukan popular yang sering kalah. Di sebaliknya pasukan yang terus menang dengan kemenangan bergaya kerana kemampuan terserlah berdasarkan pemikiran 'strategik' dengan pengurusan politik yang menyeluruh.

Ia mengambil kira kepentingan kesemua kelompok masyarakat baik di atas mahupun bawah ; serta kepelbagaian maklumat yang bukan digunakan untuk menentukan siapa yang benar atau salah tetapi lebih daripada itu keupayaan melahirkan 'kepercayaan'.

Manipulasi secara kreatif maklumat yang diguna pakai jika berjaya mewujudkan keyakinan dan kepercayaan, maka parti itulah yang menang.

Kepelbagaian idea baru dilihat menjadi penjana perubahan yang kita lihat hari ini. Ia memberi informasi apatah lagi turut disalur melalui pelbagai mekanisme media tanpa bergantung sepenuhnya kepada media arus perdana. Teknologi yang terus berubah-ubah menyebabkan wujudnya golongan yang melakukan penilaian secara 'arm chair' dengan telahan sendiri termasuk penyertaan dalam sebarang forum on-line.

Ia menandakan perubahan bagaimana masyarakat melakukan percaturan sendiri dalam penyebaran maklumati dan diberi pilihan untuk memilih bersesuaian dengan nilai kepercayaan masing-masing.

Misalnya, isu agama Kristian sebagai agama rasmi negara. Ada segolongan yang akan bersetuju kerana ia akan cuba dihubung kait dengan pelbagai tingkah laku politik sejak dua tahun lalu termasuklah kehadiran pemimpin tertentu di masjid, membaca potongan ayat al-Quran sebagai pengimbang kepada tingkah laku politik mereka.

Ada juga yang melihat ia barangkali strategi politik untuk menang kerusi melalui penyebaran kepercayaan yang sama terutama di negeri seperti Sabah dan Sarawak kerana faktor geografi dan demografinya.

Ada pula yang menolak dengan melihat ia sebagai satu propaganda memenangi masyarakat Melayu, bersifat etnosentrik dan prejudis; menyanggah Perlembagaan sebagai kitab negara bangsa.

Pokoknya, ia bukan bertujuan menentukan siapa salah atau benar tetapi bagaimana hujah disampaikan untuk melahirkan 'keyakinan', 'keraguan' dan 'ketakutan'; seterusnya 'kepercayaan' kepada kelompok berpusat iaitu 'pengundi atas pagar' kerana tindakan pemimpin berlatar belakangkan kepercayaan itu yang menggunakan institusi keagamaan atas kepentingan politik.

Agama dan politik yang sering cuba dipisahkan kini bergerak senada apatah lagi jika pemimpin keagamaan sendiri bertindak di belakang tabir memberi kenyataan-kenyataan berbau politik dalam pertemuan dengan pengikutnya.

Politik hari ini adalah politik berorientasikan kepada maklumat, perancangan idea untuk mengurusnya dan bagaimana mampu melahirkan kepercayaan ke atas isu yang dibawa melalui manipulasi secara terancang dan kreatif agar mempengaruhi persepsi, sentimen dan imaginasi umum.

Aksesibiliti bersifat resiprokal, saling balas-membalas dan memerlukan antara pemimpin, parti dan ahli serta rakyat perlu ada supaya apa sahaja yang dilakukan akan bersifat dua hala dan bukan sehala lagi.

Komunikasi dan tutur kata yang difahami umum dan bukannya hanya mahu difahami oleh diri sendiri penting. Jika hubungan antara setiap komponen ini rapat dan tidak menampakkan sebarang jurang, mustahil parti itu boleh tewas ataupun gagal meraih sokongan.

Dilemanya, adakah model politik ini yang bersandarkan kepada maklumat, idea dan perang psikologi serta siber mampu disertai oleh kesemua kelompok masyarakat termasuk yang masih mengutamakan 'politik pembangunan'?

Politik apa yang menjadi penentu masa depan adalah 'permainan' politik yang berpusatkan kepada maklumat yang boleh merungkai reformasi yang dibawa; hak dan tanggungjawab sebagai agenda asas dan sejauh mana kebebasan, pendemokrasian serta liberalisasi juga merupakan sebahagian dari manipulasi maklumat ini.

Informasi jujur mengenai 'apa yang diperlukan masyarakat, cara pemikiran massa dan yang dimahukan mereka' di bawah permainan politik ini boleh memobilisasi pandangan, ekspresi baik individu mahupun pertubuhan dengan mengiktiraf mindset yang menggembleng idea dan pemikiran yang disesuaikan dengan generasi semasa tanpa meminggirkan sumbangan pengikut tradisi.

Politik baru menekankan manipulasi merungkai tanggungjawab dalam kalangan pemimpin dan ia akan berjaya jika masing-masing memahami peranan mereka dalam kerangka untuk mentransformasi negara, rakyat dan parti politik sendiri supaya kepercayaan dan keyakinan itu akan diterjemah dalam bentuk sokongan angka politik.

Pendekatan yang diambil tidak perlu mememperhebatkan sokongan penyokong tegar tetapi penyokong yang sentiasa berubah-ubah pendirian sebenarnya wajar menjadi tumpuan permainan politik baru ini.

Friday, October 01, 2010

:: Dr. MAZA : Hukum mengambil pemberian dari sumber yang haram





Hukum Mengambil Pemberian Dari Sumber Yang Haram

Soalan: Dr Asri, sekarang ini heboh tentang hukum menerima sumbangan dari hasil haram. Saya pun baca kenyataan Dr Asri yang menyatakan tidak mengapa selagi traksaksi itu atas bantuan, bukan judi. Cumanya, masyarakat kita keliru, ada kata boleh dan ada kata sebaliknya. Jika haram, apa hukum pula kakitangan kerajaan yang menerima gaji dari kerajaan yang mempunyai pelbagai sumber termasuk hasil cukai judi dan arak? Bagaimana pula anak-anak yang mendapat wang dari bapa terlibat dengan wang haram seperti riba, rasuah dan seumpamanya? Bagaimana pula persatuan-persatuan yang mendapat bantuan dari syarikat atau bank yang mempunyai sumber haram seperti arak atau riba?

Mazlan, Pulau Pinang.

Jawapan Dr MAZA: Saudara Mazlan, perkara yang penting dalam traksaksi kewangan dan sebagainya, seseorang hendaklah tahu atas asas apa traksaksi itu dibuat. Maksudnya, dia mesti jelas wang atau barang yang diterimanya atas dasar apa. Jika yang diterimanya itu atas penjualan arak yang dia lakukan, atau judi yang dia terlibat atau riba yang berurusan dengannya, atau pelacuran yang terbabit maka ia haram. Jika ia terima atas jual beli, atau bayaran hutang, bantuan, atau pemberian atau hadiah yang dia tidak terbabit dengan urusan kegiatan haram, maka ia pada asalnya adalah halal. Sebagai pendetilannya, saya sebutkan beberapa perkara berikut;

1. Seseorang yang menerima wang dari pihak yang lain hendaklah memastikan atas traksaksi apa wang itu diterima. Adapun urusan sebelum itu, yang tidak membabitkan diri penerima, maka itu tidak pertanggungjawabkan kesalahan itu ke atas penerima tersebut.

Umpamanya, kakitangan kerajaan yang bekerja dalam urusan yang halal dan mendapat gaji, maka gaji itu halal. Sekalipun kemungkinan sumber kerajaan dalam membayar gaji itu diambil dari kegiatan yang haram seperti perjudian atau arak atau seumpamanya. Ini kerana urusan haram itu tidak membabitkan diri penerima gaji berkenaan dan gaji itu diterima atas kerjanya yang halal, bukan aktiviti yang haram.

2. Hal yang sama, jika seseorang berhutang kepada kita, lalu dia datang membayar dari hasil wang haram yang diperolehinya seperti menang loteri. Kita halal mengambil hutang kita sekalipun dia bayar dari wang loteri berkenaan. Ini kerana yang haram ialah pemindahan wang dari syarikat loteri kepada yang berhutang, iaitu atas asas judi. Sedangkan pemindahan wang tersebut kepada kita, atas asas membayar hutang, yang tiada kaitan dengan judi.

Begitu juga, jika pengurus bank riba, atau taukeh judi atau taukeh arak datang ke kedai kita dan membeli barang atau makanan, halal kita menerima wang yang mereka bayar. Ini kerana wang itu diterima atas dasar jual beli, bukan judi, atau riba atau arak. Kegiatan yang salah ditanggung dosanya oleh pelakunya, sedang yang menjual barang halal kepada mereka tidak terlibat.

3. Asas dalam hal ini disebut oleh al-Quran (maksudnya):

“dan tiadalah (kejahatan) yang diusahakan oleh sesuatu jiwa (seorang) melainkan dialah yang menanggung dosanya; dan seseorang yang boleh memikul tidak akan memikul dosa orang lain”. (Surah al-An’am, ayat 164)

4. Dalil yang menunjukkan kenyataan ini, ialah amalan Nabi s.a.w di mana baginda menerima pemberian wanita Yahudi di Khaibar yang menghadiahkan baginda kambing, baginda memakannya. Ini seperti yang diriwayatkan oleh al-Bukhari dan Muslim. Walaupun Yahudi terkenal dengan penipuan, riba dan rasuah tetapi baginda tetap menerima hadiah mereka.

Begitu juga –seperti riwayat al-Bukhari- baginda pernah menggadai baju besi kepada Yahudi dan mengambil gandum untuk keluarga baginda. Baginda juga menerima jemputan makan roti bali dan minyak yang sudah berubah baunya dari seorang yahudi. Ini seperti dalam riwayat al-Bukhari, Ahmad, al-Tirmizi dan lain-lain.

5. Rasulullah s.a.w tidak boleh memakan sedekah. Ini adalah hukum untuk baginda dan Ahlul Bait. Suatu hari Barirah bekas hamba ‘Aisyah telah mendapat sedekah daging. Apabila daging itu dihidangkan kepada Nabi s.a.w, lalu baginda diberitahu bahawa daging tersebut adalah sedekah kepada Barirah. Baginda menjawab:

“Untuk dia sedekah, untuk kita hadiah” (Riwayat al-Bukhari dan Muslim).

Maksudnya, daging itu disedekah kepada Barirah, kemudian Barirah menghadiahkan kepada Nabi s.a.w. Jika ia disedekah kepada Nabi s.a.w, baginda tidak boleh makan. Walaupun asalnya sedekah, tetapi baginda menerima dari Barirah atas asas hadiah, maka halal untuk baginda. Di sini menunjukkan yang diambil kira transaksi antara pemberi dan penerima, bukan yang sebelum itu.

6. Seorang lelaki bertanya kepada Abdulllah bin Mas’ud:

“Aku ada jiran yang memakan riba dan dia selalu menjemputku makan”. Jawab ‘Abdullah bin Mas’ud: “Engkau dapat makan, dosa ditanggung olehnya”. (Musannaf ‘Abd al-Razzaq, bil: 14675).

Dalam riwayat al-Baihaqi,

seseorang bertanya Ibn ‘Umar bahawa beliau ada jiran yang memakan riba atau mempunyai pekerjaan yang haram, kadang-kala dia jemput makan, bolehkah hadir?. Jawab Ibn ‘Umar: “Ya” (al-Sunan al-Kubra, bil: 11138).

7. Al-Syeikh al-‘Allamah Muhammad Solih ibn al-Uthaimin r.h pernah ditanya mengenai hukum nafkah yang diterima oleh isteri dan anak dari suami yang terlibat dengan bank riba, apakah mereka boleh mengambilnya. Beliau menjawab:

“Ambillah nafkah itu dari bapa kamu. Kamu mendapat kenikmatan, dia pula mendapat dosa. Ini kerana kamu mengambil nafkah tersebut secara berhak. Harta padanya, dan kamu tiada harta. Kamu mengambilkan dengan cara yang benar. Sekalipun kesalahan, balasan dan dosa ke atas bapa kamu, jangan kamu gusar. Nabi s.a.w pun menerima hadiah dari yahudi, memakan makanan yahudi, membeli dari yahudi sedangkan yahudi terkenal dengan riba dan harta haram, tetapi Rasulullah s.a.w memakannya dengan jalan yang halal. Maka, jika seseorang memilikinya dengan jalan yang halal, maka tidak mengapa” (http://www.estgama.net/estgama_mag/full.php?id=82).

8. Dr Yusuf al-Qaradawi ketika ditanya mengenai wang riba ke mana patut disalurkan, beliau menyebut antaranya:

“Sebenarnya, wang tersebut keji (haram) jika nisbah kepada orang mendapatkan secara tidak halal, tetapi ia baik (halal) untuk fakir miskin dan badan-badan kebajikan…(penyelesaiannya) disalurkan ke badan-badan kebajikan iaitu fakir miskin, anak-anak yatim, orang terputus perjalanan, institusi-institusi kebajikan islam, dakwah dan kemasyarakatan..” (al-Fatawa al-Mu’asarah 2/411, Beirut: Dar Ulil Nuha).

9. Namun diharamkan jika membabitkan kezaliman secara jelas kepada pihak lain (hak al-‘ibad) yang mana dengan kita mengambil, akan ada yang teraniaya tanpa rela, seperti harta curi dan rompakan. Sabda Nabi s.a.w:

“Allah tidak terima solat tanpa bersuci, dan sedekah dari pengkhianat” (Riwayat al-Bukhari dan Muslim).

Ini kerana penerimaan ini akan menyebabkan pihak yang sedang menuntut atau mencari hartanya yang dirampas atau dicuri terzalim. Melainkan pihak yang dizalimi itu redha. Jika dia menuntut, wajib dikembalikan kepadanya.

10. Walaupun harta atau pemberian dari harta yang haram itu boleh diambil, tetapi jika dengan pemberian itu menunjukkan secara jelas sikap bersekongkol dengan dosa maka ia diharamkan kerana redha dengan maksiat. Ini seperti seseorang membelanja makan dengan wang judi sempena kemenangan judinya. Atau dia mempromosi syarikat judi tersebut secara jelas dengan cara memberi bantuan, maka haram bersekongkol dengan kemaksiatan seperti itu.

11. Maka fakir miskin yang mendapat bantuan kerajaan atau pihak lain dari sumber yang asalnya haram, mereka HALAL menerimanya dan tidak perlu dikembalikan. Dengan syarat mereka tidak terlibat secara langsung dalam mempromosikan aktiviti haram seperti perjudian dan arak.



Thursday, January 28, 2010

:: Sekolah Berprestasi Tinggi... Sabah dan Sarawak tercicir?

Sekolah S’wak kurang cemerlang?

by Mohd Norhadie Sahari
Kekurangan guru bertauliah punca tidak terpilih, STU kecewa tiada sekolah dari S’wak dalam 20 SBT

MIRI: Kekurangan guru yang bertauliah serta kelemahan kemudahan serta prasarana di Sabah dan Sarawak merupakan antara sebab utama mengapa tiada sekolah dari kedua-dua negeri ini terpilih dalam senarai 20 Sekolah Berprestasi Tinggi (SBT). Presiden Kesatuan Guru-Guru Sarawak (STU), William Ghani Bina melahirkan kekecewaan apabila tiada salah satupun sekolah menengah dan rendah yang cemerlang dari Sarawak, turut tersenarai dalam SBT.

“Ini membuktikan bahawa sekolah-sekolah di negeri ini masih belum mencapai tahap cemerlang dan masih ketinggalan berbanding negeri-negeri lain di Semenanjung Malaysia,” katanya ketika dihubungi semalam.

William memberitahu, salah satu sebab utama sekolah-sekolah di Sarawak masih belum mencapai tahap cemerlang adalah kerana kekurangan guru-guru bertauliah mengajar di bandar dan luar bandar negeri ini.

“Ini bukan bermaksud guru-guru yang ada sekarang tidak berkualiti namun kita memerlukan guru-guru yang benar-benar bertauliah untuk mengajar pelajar-pelajar yang berpotensi untuk cemerlang,” katanya.

Ditanya sama ada terdapat perbezaan sistem pembelajaran di bandar dan luar bandar, beliau menyifatkan pengalaman serta kemahiran seseorang guru amat penting dalam menyampaikan ilmu.

“Apa yang penting, seorang guru harus komited dan memberikan komitmen yang tinggi dalam menyampaikan ilmu kepada pelajar dan jangan hanya menunggu habuan daripada kerajaan,” katanya.

William seterusnya memaklumkan bahawa guru-guru dari Semenanjung Malaysia yang enggan mengajar di kawasan pedalaman di Sabah dan Sarawak juga perlu dikenakan tindakan segera.

“Dalam surat akujanji, mereka sudah menunjukkan taat setia dan bersedia untuk mengajar di mana-mana sahaja di negara ini, maka tiada sebab mereka tidak mahu mengajar di Sabah dan Sarawak,” katanya.

Pada masa yang sama, katanya, kekangan kemudahan yang belum setara di sekolah luar bandar turut menyebabkan guru-guru dari Semenanjung Malaysia menolak untuk mengajar di Sabah dan Sarawak.

“Jika perlu, kemudahan yang disediakan di sekolah bandar perlulah dipanjangkan ke sekolah-sekolah di luar bandar supaya pelajarnya lebih selesa ketika belajar sekali gus menyumbang kepada kecemerlangan sekolah,” tambah beliau lagi.

Kelmarin, Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin telah mengumumkan 20 sekolah SBT yang terdiri daripada 14 buah sekolah menengah dan enam buah sekolah rendah di seluruh negara.

Beliau berkata, sekolah tersebut dipilih daripada kalangan sekolah-sekolah yang menunjukkan pencapaian cemerlang dalam bidang akademik, kokurikulum dan bidang kebitaraan.

Menurutnya, SBT bukanlah sekolah elit yang akan memberi manfaat kepada ha-nya sebilangan kecil pelajar, sebaliknya setiap sekolah di negara ini mempunyai peluang yang sama dan boleh bersaing untuk diiktiraf dalam senarai SBT.

Wednesday, January 13, 2010

:: Kita diuji

KOLUMNIS - MINDA MANTAN MUFTI

Kemanisan Dalam Ujian

NABI Musa a.s lari meninggalkan Mesir setelah beliau terlibat dengan kejadian memukul sehingga mati seorang Qibti (Coptic) dalam usaha menghalang kezaliman perkauman terhadap Bani Israil. Tindakannya itu telah melebihi jangkaan dan itu adalah satu kesilapan.

Beliau terpaksa lari menuju ke Madyan dalam keadaan yang susah. Madyan yang dimaksudkan itu barangkali di Jordan dan saya pernah sampai berkali-kali di sana. Perjalanan dari Mesir ke sana begitu jauh bagi memastikan tentera Firaun tidak sampai ke negeri tersebut untuk menangkapnya. Apabila sampai di Madyan, Musa a.s. mendapati sekumpulan pengembala yang sedang menceduk air, sementara di sana ada dua gadis yang hanya menunggu.

Jiwa Musa a.s yang amat pantang melihat kejanggalan atau unsur ketidakadilan itu menyebabkan dia yang dalam keletihan yang teramat bertanya hal kepada kedua gadis tersebut. Al-Quran menceritakan kejadian ini: (maksudnya) “Dan setelah dia (Musa a.s.) menuju ke negeri Madyan, dia berdoa "Mudah-mudahan Tuhanku menunjukkan kepadaku jalan yang betul". Dan ketika dia sampai di telaga air Madyan, dia dapati di situ sekumpulan lelaki sedang memberi minum (binatang ternak masing-masing), dan dia juga dapati di sebelah mereka dua perempuan yang sedang menahan kambing-kambingnya.

Dia bertanya: "Apa hal kamu berdua?" mereka menjawab: "Kami tidak memberi minum (kambing-kambing kami) sehingga pengembala-pengembala itu membawa balik binatang ternak masing-masing; dan bapa kami seorang yang terlalu tua umurnya ". (Surah al-Qasas 22-23).

Nabi Musa a.s. tidak mampu melihat unsur penindasan dan sikap tidak membantu yang lemah. Simpatinya terhadap dua gadis tersebut melebihi keletihan yang dihadapinya ketika. Dia tampil dengan segala keringat yang berbaki menolong gadis-gadis tersebut mendapatkan air. Dia menolong tanpa sebarang habuan yang diharapkan. Setelah menolong mereka, dan mereka pun pulang, Nabi Musa a.s. dalam keadaan yang teramat letih itu, pergi ke tempat yang teduh dan berdoa dengan doa yang ringkas tetapi amat dalam maksudnya.

Saya tidak pasti sama ada mereka yang tidak memahami bahasa arab dapat menikmati keindahan ungkapan yang ringkas itu atau pun tidak? Namun saya akan cuba menterjemahnya dalam strukturnya. Saya ingin membawa doa Musa a.s. untuk dikongsi bersama para pembaca yang barangkali ada yang tidak perasaan kewujudannya ketika membaca al-Quran.

Juga mereka yang memang sudah tahu tetapi terlupa disebabkan kesibukan yang melanda kita dalam kehidupan sedangkan kita menghadapi suasana tenat yang amat memerlukan rahmat atau ‘kesian’ Tuhan kepada kita. Saya ingin menyebutnya di sini kerana doa ini amat menyentuh perasaan saya. Saya percaya anda juga demikian. Entah berapa banyak keadaan getir dan runsing melanda hidup ini, doa ini salah satu ‘penyejuk perasaan’ dan pemberi harapan yang menjadi jambatan yang menghubungkan ujian hidup dengan Tuhan yang memiliki segala kehidupan.

Doa ini jika dibaca dengan jiwa yang benar-benar bergantung kepada Allah, maka saya yakin ketenangan itu hadir sebelum pertolongan Allah itu turun. Firman Allah menceritakan hal Musa a.s. dan doanya: (maksudnya) “Maka Musa pun memberi minum kepada binatang-binatang ternak mereka, kemudian ia pergi ke tempat teduh lalu berdoa: "Wahai Tuhanku, Sesungguhnya aku ini kepada apa sahaja kebaikan yang Engkau turunkan amatlah fakir” (Surah al-Qasas 25).

Maksud Nabi Musa a.s. beliau amat fakir atau amat memerlukan kepada apa sahaja kebaikan yang akan Allah berikan kepadanya bagi menghadapi suasana dirinya ketika itu. Dalam bahasa al-Quran yang indah al-Quran riwayatkan ucapan Musa a.s “Rabbi inni lima anzalta ilaiya min khairin faqir”. Sangat ringkas, namun sangat bermakna. Sudah pasti ucapan asal Musa a.s dalam bahasa Hebrew, namun Allah telah merakamkan ke dalam bahasa Arab yang padat dan indah.

Ada ahli tafsir yang menyebut maksud Musa bagi perkataan ‘khair’ atau apa sahaja kebaikan dalam doa ini adalah makanan. Namun, perkataan ‘khair’ atau apa sahaja kebaikan atau kurniaan Tuhan itu amat luas. Bukan sahaja makanan atau minuman, bahkan apa sahaja yang memberikan kebaikan kepada seorang insan. Musa a.s. sendiri selepas berdoa dengan doa ini diberikan limpah kurnia Allah yang berbagai, melebihi jangkaannya. Ayat-ayat seterusnya dalam Surah al-Qasas ini menceritakan bagaimana kedua orang gadis tadi kembali semula menjemput Musa a.s. ke rumah mereka atas jemputan ayah mereka.

Ayah mereka yang merupakan seorang yang mulia amat berterima kasih atas pertolongan Musa a.s. Al-Quran tidak menceritakan siapakah ayah mereka. Apakah dia Nabi Syu’aib atau orang lain tidaklah dapat dipastikan. Kemungkinan besar bukan Nabi Syu’aib seperti yang disangka oleh sebahagian penafsir. Apa pun, Nabi Musa a.s. diberikan tempat perlindungan, makanan, kerja, bahkan dikahwinkan dengan salah seorang dari gadis tersebut. Demikian Allah memustajabkan doa Musa yang ringkas, tetapi penuh makna.

Doa yang dilafazkan dari jiwa yang benar-benar tunduk, menyerah, sepenuh tawakal dan keyakinan bahawa Allah sentiasa menyahut permohonan hamba yang benar-benar bergantung kepadaNya.

Jauh Musa a.s berjalan membawa perasaan bimbang dan bebanan ancaman oleh pihak musuh. Ujian yang memaksa dia yang membesar dalam istana menjadi pelarian tanpa bekalan. Namun dalam ujian itu Nabi Musa a.s mengalami pengalaman hidup yang hebat dan kurniaan-kurniaan yang besar. Tanpa ujian, hal ini tidak akan berlaku. Demikian jika kita membaca doa-doa yang syahdu yang penuh menyentuh akal dan ruh yang dilafazkan oleh insan-insan soleh dalam al-Quran, samada para nabi atau selain mereka, kita dapati doa-doa itu banyak yang diungkapkan dalam keadaan getir dan ujian yang mencabar.

Kita sendiri dalam hidup barangkali tidak akan menghafaz banyak doa al-Quran dan al-Sunnah melainkan setelah kejadian-kejadian dalam hidup yang mendesak untuk kita ‘bertadarru’ atau merendah, akur dan tunduk dengan sepenuh jiwa kepada kebesaran kerajaan Allah Yang Maha Menguasai segala urusan hidup ini. Banyak ujian hidup ini sebenarnya amat bermakna jika kita mahu menghayatinya. Betapa ramai orang yang menemui iman dan amalan soleh dek kerana ujian yang menimpanya.

Berapa ramai manusia yang bersarang bongkak dan takabur dalam jiwa, tidak dapat ditegur dan dididik, tetapi akhirnya menjadi insan yang tawaduk kepada Allah dan menghargai orang lain setelah melalui ujian hidup yang getir. Betapa ramai pula insan yang soleh dan disayangi Allah dinaikkan darjat dan nilainya di sisi Allah disebabkan ujian yang menimpanya.

Firman Allah: (maksudnya) Demi sesungguhnya! Kami akan menguji kamu dengan sedikit perasaan takut, kelaparan, kekurangan dari harta benda dan jiwa serta hasil tanaman. dan berilah khabar gembira kepada orang-orang yang sabar. (Iaitu) orang-orang yang apabila mereka ditimpa oleh sesuatu kesusahan, mereka berkata: "Sesungguhnya kami adalah kepunyaan Allah dan kepada Allah jualah kami kembali. Mereka itu ialah orang dilimpahi dengan pujian dari Tuhan mereka serta rahmatNya; dan mereka itulah orang-orang yang dapat petunjuk hidayahNya.(Surah al-Baqarah 155-157).

Kita tidak meminta ujian, tetapi kita sentiasa perlu tahu bahawa ujian itu adalah rukun hidup. Ujian bagaikan bicara atau ‘sapaan’ Allah kepada kita agar kita ingat apa yang lupa, ubah apa yang salah, atau untuk kita tambahkan pahala dan padamkan dosa. Sabda Nabi s.a.w: “Tiada apa pun yang menimpa seorang mukmin, sehingga duri yang mengenainya, melainkan Allah tuliskan untuknya kebaikan (pahala) dan padam dari kejahatan (dosa)” (Riwayat Muslim).

Melihat manusia yang diuji menjadikan kita rendah diri dan insaf. Mungkin dia yang dilihat oleh orang lain sedang dalam ketenatan cabaran tetapi sebenarnya sedang tenggelam dalam rahmat dan kasih sayang Tuhan. Melihat orang yang susah, mereka yang dizalimi, mereka yang kesempitan atau menderita kesakitan menyebabkan kita terlintas segera dalam perasaan “dia di sisi Allah mungkin lebih baik daripada diriku ini”. Kita semua akan melalui ‘bicara dan didikan Tuhan’ melalui pentas ujian.

Kita mengharapkan ujian akan membawa kita kepada sesuatu yang lebih baik. Ujianlah yang telah membawa Musa a.s. kepada berbagi kurniaan. Untuk itu kita wajar selalu merintih kepada Allah seperti Musa a.s.: “Rabbi inni lima anzalta ilaiya min khairin faqir” ("Wahai Tuhanku, Sesungguhnya aku ini kepada apa sahaja kebaikan yang Engkau turunkan amatlah fakir”).

Tuesday, January 12, 2010

:: Graduan pendidikan UPSI kecewa ?

Graduan pendidikan UPSI kecewa kementerian utamakan guru sandaran, DPLI

SEBAGAI graduan pendidikan saya ingin berkongsi isu penempatan guru dan lambakan graduan pendidikan yang sering digembar-gemburkan.

Melihat realiti di sekolah, jumlah Guru Sandaran Siswazah Tidak Terlatih (GSTT) terlalu ramai. Ketika saya menjalani praktikum di Kuala Lumpur, ada sekolah mempunyai lebih 15 GSTT.

Mereka ialah graduan yang tiada iktisas dalam bidang pendidikan iaitu tiada kemahiran dan kaedah pengajaran (pedagogi) khusus.

Mengapa mereka diberi tempat sedangkan graduan yang ada iktisas khas dalam bidang perguruan masih menunggu penempatan. Apa yang musykil, GSTT hanya diberi kontrak setahun, namun baru-baru ini (Januari 2010) ia diteruskan sehingga Disember.

Unjuran pengambilan graduan Diploma Pendidikan Lepasan Ijazah (DPLI) terlalu ramai. Saya ialah graduan sulung subjek Pendidikan Moral dari Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI). Program Pendidikan Moral di UPSI mempunyai lebih 600 mahasiswa (tahun pertama sehingga keempat).

Tahun depan hampir 100 mahasiswa tamat pengajian. Persoalannya, pada pengambilan Julai lalu, 500 graduan DPLI program Pendidikan Moral diambil Kementerian Pelajaran.

Ia mewujudkan saingan bagi junior saya, sedangkan jumlah penempatan diunjurkan sedikit. Kementerian memaklumkan hanya subjek kritikal seperti Bahasa Inggeris diberi keutamaan. Justeru, pengambilan DPLI harus diunjur pada kadar munasabah.

Bukan takutkan persaingan, namun jika kita memiliki graduan khusus yang memiliki pedagogi empat tahun dalam jurusan pendidikan, mengapa 500 DPLI diberi keutamaan.

Semua DPLI adalah tajaan biasiswa kementerian, sudah tentu penempatan mereka diutamakan. Inilah persaingan sengit menjadi ‘laba’ kepada jumlah ‘lambakan’.

Daripada dua isu yang saya berikan, kementerian harus mengkaji kaedah terbaik mengenai unjuran dan penempatan. Saya menyokongnya namun agak meragukan apabila jawapan menteri hanya: “semua graduan harus bersaing untuk dapat tempat dalam bidang perguruan.”

Ini bermakna graduan institusi pengajian tinggi yang memiliki ijazah khusus dalam jurusan pendidikan harus bersaing dengan anak susuan yang terlalu ramai seperti DPLI dan GSTT yang diberi keutamaan.

Bukan niat mengagungkan graduan pendidikan atau menidakkan potensi DPLI atau GSTT, namun saya terpanggil untuk meluahkan rasa tidak puasa hati graduan pendidikan yang memiliki ilmu pedagogi selama empat tahun.

Sudahlah gigih belajar, kini terpaksa pula bersaing dengan mereka yang hanya memiliki iktisas kurang setahun (DPLI) atau guru kontrak di sekolah (GSTT). Timbang taranya mudah, kurangkan DPLI dan GSTT bagi memberi laluan kepada graduan pendidikan.

HAIRUL FAIEZI LOKMAN,
Graduan Pendidikan Moral, UPSI 2005-2009.

Saturday, January 09, 2010

:: Isu nama Allah: Pandangan lain ?

Allah S.W.T, Tuhan Sekelian Alam

Jan 7th, 2010 | Dipos oleh Amin Ahmad | Kategori: Kolum | Cetak

Amin Ahmad Amin Ahmad

Sahabat Facebook saya, Noor Eqbal menganggap fenomena ini sebagai “pengalaman istimewa” dan “ini merupakan fasa penting yang perlu kita lalui bersama dalam pembentukan kematangan berfikir dan bermasyarakat”.

Terlepas apa juga pendirian beliau, isu ini nampak belum reda.

Jujurnya, saya menulis tentang isu ini buat kali kedua selepas seorang rakan non-muslim mengadu pengenalan-nya dengan Islam luluh-lantak tatkala menemukan sebahagian hujah muslim yang dilihatnya ekstrim atas slogan “membela nama Allah s.w.t”.

Tidak cukup dengan hujah Al-Quran dan tokoh muslim yang pro dan kontra, umat sampai mencari hujah paderi untuk menjustifikasikan boleh atau tidak boleh guna nama Allah s.w.t.. Juga tidak dilupa, hujah yang sering dipakai ‘masyarakat liberal’ iaitu ‘kontekstual’ kini dipakai oleh mereka yang mempertahankan penghalangan guna nama Allah s.w.t dengan hujah waqi’.

Saya mungkin antara paling banyak mendebatkan isu ini dan menyebelahi kelompok yang membenarkan guna kata nama Allah s.w.t. ini.

Memang agak memeranjatkan apabila sampai ada yang celupar mengkafirkan pihak bersebarangan dengan mereka walhal perbezaan pandangan yang ada jelas menunjukkan tiada dalil qat’i. Apatah lagi bila ayat-ayat muhkamat (jelas) – dan itulah isi pokok dalam Al-Quran, bukan mutasyabihat (terlindung) boleh dirujuk, serta tiada pertikaian persoalan nasakh-mansukh di sana.

Maka, ke mana dalil “asal segala sesuatu adalah harus selagi tidak ada dalil qat’i mengharamkan atau mewajibkannya”? Bukankah mengharamkan sesuatu yang halal adalah satu cabang syirik? Oh, saya tidak bermaksud menghukum. Sungguh saya melihat ini sebagai convivencia.

Sebuah keyakinan tentu saja tidak semudah itu digantikan dengan sebuah keyakinan yang lain. Itu pendirian saya dalam persoalan aqidah.

Ketika ada muslim berhujah tentang Kristianisasi, saya berpandangan bahawa penyebaran agama adalah satu lumrah. Apatah lagi bila agama tersebut disandar kepada Rasul Ulul-Azmi. Dalam kata lain, ada atau tidak Islam, ada atau tidak isu nama Allah s.w.t., penyebaran faham agama Kristian akan terus berlaku.

Saya percaya kita umat Islam tentu tidak senang jika ada di mana-mana belahan muka bumi ini ada yang mendakwa penggunaan nama Allah s.w.t. adalah hak mereka bersandarkan “kami negara Kristian” atau “agama kami guna dulu kata nama Allah s.w.t.”.

Ada yang melabelkan saya sebagai orang yang membenarkan kebatilan pada makna kalimah syahadah ini kerana ia telah disucikan Nabi s.a.w..

Soal saya – tatkala saya membenarkan mereka menggunakan nama ini, saya kekal mengaku Muslim dengan mempercayai Allah s.w.t. yang Maha Esa. Dan ketika Nabi Muhammad s.a.w. mengatakan “siapa yang menyakiti bukan Islam seperti mereka menyakiti aku”, adakah mereka mahu mengatakan ia satu pembenaran kepada kebatilan?

Dan sekali lagi, tentu saja kita, umat Islam tidak berhajat mendengar orang bukan Islam mengatakan faham Allah s.w.t. sebagai batil. Justeru, berimanlah dengan perintah Allah s.w.t. agar kita “tidak memaki Tuhan/sembahan mereka yang lain”.

Juga aneh, mereka menonjolkan pandangan Paderi yang juga ralat untuk memakai nama Allah s.w.t.. Tidak-kah mereka sedar bahawa hujah ralat Paderi ini sama dengan hujah mereka – bahawa nanti umat Kristian berpotensi masuk Islam? Dan isu kita di Malaysia ialah mereka mahu guna, berbeza dengan mereka yang tidak mahu guna.

Saya menemukan perintah kepada umat Islam untuk mengajak mereka yang bukan Islam kepada “kalimatun sawa’” (kalimah yang sama) dengan menegaskan bahawa pandang sarwa kami ialah: Allah s.w.t. itu Esa. Saya juga menemukan jawapan langsung daripada sumber Al-Quran bahawa ada yang tidak setuju atau berpaling; dan ketika itu Allah s.w.t. mengatakan “Saksikanlah, bahwa kami adalah orang-orang yang berserah diri (kepada Allah)”.

Bahkan, dalam surat-surat Nabi s.a.w. kepada ramai pembesar, Baginda s.a.w. memulakan dengan menyebut nama Allah s.w.t., terlepas apa juga faham si pembaca surat. Itu belum penjelasan Allah s.w.t. bahawa nama-Nya disebut “….biara-biara Nasrani, gereja-gereja, rumah-rumah ibadat orang Yahudi dan masjid-masjid, yang di dalamnya banyak disebut nama Allah” di mana dalam ayat ini diizinkan berperang bagi mereka yang diusir dari kampung halaman tanpa alasan benar dan Allah s.w.t. mengatakan mereka ini golongan teraniaya.

Sebagaimana telah saya tulis sebelumnya dan pendirian yang dinyatakan kepada teman-teman; kebimbangan yang ada pada mereka itu baik, tetapi bagaimana anda menterjemahkan kebimbangan tersebut sudah jadi satu isu lain.

Lebih cermat, jika kita memerhatikan kalimah syahadah yang bermaksud: “Aku naik saksi bahawa tiada Tuhan yang disembah melainkan Allah s.w.t.”. Kata aku itu jelas menunjukkan ia adalah wilayah peribadi – keyakinan individu.

Dan jangan kita lupa bahawa ia bukan tuntutan tunggal Allah s.w.t. terhadap kita. Islam datang dengan ajakan manusia kepada self-sufficient di mana dosa tiap dari kita tidak ditanggung oleh individu yang lain. Justeru, tanggungjawab untuk beriman secara benar jatuh kepada tanggungjawab individu. Pada masa yang sama, kita juga diperintahkan untuk terus berdakwah. Dengan kata yang lain menyentuh isu ini, penerangan dan penegasan persoalan iman yang kita yakini itu memadai berbanding menggubal hukum larang-guna atau “hanya kami berhak guna”.

Pernah-kah kita terfikir bahawa saat ada sebahagian kita yang mengaku muslim ini melakukan “rasuah, salah guna kuasa, kezaliman dan perkauman”, dan pada masa yang sama beria mengaku beriman kepada Allah s.w.t. sambil minta dipertahankan mereka, ia telah memberi konsepsi salah tentang konsep iman kita kepada mereka yang tidak kita kenalkan Islam.

Maka pertentangan isu nama Allah s.w.t. ini untuk saya bukan sekadar literal atau konsepsi Allah s.w.t., bahkan ia boleh mengajak umat manusia bukan saja berbalah, tetapi menjernihkan semula fikiran kita terhadap kaedah berfikir dan bekerja kita dalam menegakkan apa yang kita percaya sebagai “berjuang di jalan Allah s.w.t.”.

Kegelisahan umat seharusnya ditangani dengan cara yang lebih hemah.

Saya hanya mahu menamatkan tulisan ini dengan petikan ayat Al-Quran, surah Al-Imran ayat ke-20:

Kemudian jika mereka mendebat kamu (tentang kebenaran Islam), maka katakanlah: `Aku menyerahkan diriku kepada Allah dan (demikian pula) orang-orang yang mengikutiku`. Dan katakanlah kepada orang-orang yang telah diberi Al Kitab dan kepada orang-orang yang ummi : `Apakah kamu (mau) masuk Islam`. Jika mereka masuk Islam, sesungguhnya mereka telah mendapat petunjuk, dan jika mereka berpaling, maka kewajiban kamu hanyalah menyampaikan (ayat-ayat Allah). Dan Allah Maha Melihat akan hamba-hamba-Nya.

dan hadiq qudsi:

”Aku di sisi (sebagaimana) sangkaan hambaKu denganKu, sekiranya dia (hambaKu) bersangka baik, maka baginya (natijah baik), dan sekiranya dia bersangka buruk, maka baginya juga (natijah buruk)”.

Amin Ahmad, mendapat pendidikan di Universiti Putra Malaysia. Beliau adalah mantan Naib Yang Dipertua Majlis Perwakilan Pelajar UPM dan pernah memegang beberapa jawatan lain di peringkat Kolej, Fakulti Pengajian dan Universiti. Pernah mewakili delegasi Malaysia dalam Program Pembangunan Kepimpinan Belia ASEAN. Alumni Kepimpinan Muda Nahdah Asia, sebuah projek kerjasama Institut Kajian Dasar dan Yayasan Aman Sasakawa (SPF) dan alumni Cato University.

  • Share/Save/Bookmark

:: Isu nama Allah: Penilaian secara undang-undang ?

Penilaian Secara Undang-Undang ; Kes majalah Herald - The Catholic Weekly

Oleh : Dwen Puyau Ghazali

Kali ini ana ingin mengambil kesempatan ini untuk menberikan pandangan peribadi ana tentang keputusan Yang Arif Datuk Lau Bee Lan dalam kes penggunaan kalimah Allah di dalam akhbar Herald yang diterbitkan oleh kristian Katholik. Bagaimanapun ulasan ana di sini hanya dari pesperktif undang-undang semata-mata.




Secara ringkasnya fakta kes tersebut adalah pada 18 Mac 2009 pemohon iaitu Paderi Roman Katholik di Kuala Lumpur iaitu Murphy Pakiam telah memfailkan permohonan semakan kehakiman ( judicial review ) ke atas Menteri Dalam Negeri dan Kerajaan Malaysia kerana memutuskan melarang akhbar the Herald dari menggunakan kalimah Allah di dalam penerbitan edisi bahasa Malaysia akhbar itu.

Sebelum ini Kerajaan telah mengisytiharkan bahawa kalimah Allah hanya boleh digunakan oleh orang Islam sahaja dan pihak Kerajaan telah mengancam akan menutup akhbar itu jika ia tidak mengendahkan larangan tersebut .

Dalam samannya ke atas Menteri Dalam Negeri ( MDN ) Paderi Pakiam yang mewakili pihak Herald telah memohon Mahkamah bagi mendapatkan perintah antara lain perintah perisytiharan bahawa keputusan MDN melarang penggunaan kalimah Allah di dalam akhbar the Herald adalah keputusan yang tidak sah dan terbatal.

Beliau juga memohon Mahkamah mengisytiharkan bahawa akhbar Herald berhak menggunakan kalimah Allah di dalam penerbitannya dan kalimah Allah tidak hanya ekslusif kepada Agama Islam sahaja. Selain itu Paderi Pakiam juga meminta Mahkamah membatalkan keputusan MDN yang melarang penggunaan kalimah Allah di dalam akhbar the Herald tersebut.

Sepertimana yang dilaporkan di dalam akhbar Hakim Datuk Lau Bee Lan telah pada 30 Disember 2009 yang lalu telah memutuskan membenarkan saman Paderi Pakiam dan memutuskan bahawa keputusan MDN yang melarang penggunaan kalimah Allah di dalam akhbar the Herald adalah keputusan yang tidak sah , terbatal dan bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan.

Sebelum ana memulakan ulasan ana terhadap keputusan Datuk Lau Bee Lan tersebut ana perlu menyatakan di sini bahawa kita sepatutnya dididik untuk hanya mengulas sesuatu keputusan seorang Hakim itu hanya setelah membaca keputusan penuh seorang hakim itu supaya ulasan itu benar-benar hanya menyentuh keputusan sebenar Hakim tersebut dan bukannya dari tokok tambah dari mana-mana sumber selain keputusan itu sendiri.

Di sini ana ingin menyatakan bahawa seperti para pembaca ana hanya mengetahui intipati keputusan Hakim tersebut dari laporan akhbar sahaja. Dengan anggapan laporan itu adalah benar sepertimana yang dinyatakan oleh Hakim tersebut maka ana berpendapat keputusan itu adalah betul dari satu segi tetapi tersilap dari segi yang lain.


Bagi ana Hakim Lau Bee Lan boleh dipuji kerana keberanian beliau membuat keputusan yang membatalkan keputusan seorang Menteri . Mengapa ana kata beliau adalah seorang yang berani ? Hujah ana bersandarkan kepada alasan bahawa jika kita melihat Akta Penerbitan & Mesin Cetak yang digubal oleh Kerajaan BN, Akta tersebut memberikan satu kuasa dan budibicara yang mutlak kepada MDN untuk memutuskan membatalkan atau mengenakan sebarang syarat terhadap mana-mana akhbar yang ingin diterbitkan di negara ini.

Jika dilihat kepada Akta tersebut ia menyatakan keputusan MDN tidak boleh dicabar di Mahkamah. Di dalam undang-undang peruntukkan yang memberikan kekebalan kepada MDN itu dipanggil ouster clause.

Kes yang diputuskan oleh Hakim Lau Bee Lan melibatkan isu Perlembagaan atau secara spesifiknya isu kebebasan beragama. Kes sebegini memang secara relatifnya adalah kes yang boleh dikategorikan sebagai kes “panas” dan pasti merimaskan mana-mana Hakim yang ditugaskan mendengar dan memutuskan kes tersebut.

Secara mudahnya bagi pihak Herald mereka merasakan bahawa sebagai pengganut Kristian di negara ini mereka berhak mengamalkan dan menyebarkan agama mereka ( to practice and propagate their religion ) seperti yang dijamin oleh Perkara 11 ( 1 ) Perlembagaan Persekutuan.. Oleh itu bagi pihak Herald termasuk hak mengamalkan dan menyebarkan agama itu adalah hak mereka untuk menerbitkan apa sahaja penerbitan yang boleh menjadi alat untuk menyebarkan agama itu. Oleh itu mana-mana tindakan yang boleh mengancam dan menggugat hak tersebut adalah dikira bertentangan dengan prinsip kebebasan beragama yang dijamin oleh Perkara 11 Perlembagaan Persekutuan.

Bagi pihak Herald meskipun Perkara 3 Perlembagaan Persekutuan menjadikan Islam sebagai agama teras di dalam negara ini, Perkara 3 itu sendiri tidak menghalang pengganut agama lain untuk mengamalkan agama mereka dengan aman dan harmoni yang boleh ditafsirkan tanpa sebarang gangguan yang tidak munasabah dari mana-mana pihak Oleh yang demikian pihak Herald merasakan larangan menggunakan kalimah Allah di dalam akhbar itu adalah bercanggah dengan Perkara 11 dan Perkara 3 Perlembagaan Persekutuan.

Ana berpendapat keputusan Lau Bee Lan adalah betul di sisi undang-undang dan Perlembagaan apabila beliau memutuskan bahawa kalimah Allah tidak terhad atau hanya ekslusif bagi orang Islam sahaja. Ana berpendapat keputusan itu adalah tidak bercanggah dengan mana-mana ajaran Islam kerana Allah bukan sahaja Tuhan kepada manusia ( Islam dan bukan Islam ) malahan Tuhan kepada seluruh alam . Allah adalah tuhan kepada mahkluk yang halal dimakan dan Allah juga Tuhan kepada mahkluk yang haram dimakan.

Di dalam pengajian Tauhid orang Islam diajar dengan Tauhid Rububiyyah di mana Tauhid ini membawa maksud mana-mana manusia meyakini Allah itu sebagai Rabb iaitu Tuhan yang mencipta dan mentadbir alam ini. Tauhid Rububiyyah, tidak seperti Tauhid Uluhiyah, diyakini bukan sahaja oleh orang Islam tetapi juga orang bukan Islam.

Ana juga berpendapat keputusan Lau Bee Lan yang menyatakan bahawa keputusan MDN yang melarang menggunakan kalimah Allah di dalam akhbar di Herald adalah bercanggah denga hak untuk menyebarkan agama tersebut sepertimana yang dijamin oleh Perkara 11 ( 1 ) adalah juga keputusan yang betul.

Ini kerana meskipun hak untuk menyebarkan agama adalah terhad kepada orang bukan Islam iaitu mereka tidak boleh menyebarkan ajaran Kristian kepada mana-mana orang Islam tetapi di dalam kes ini tiada bukti bahawa Herald telah disebarkan kepada mana-mana orang Islam. Perkara 11 ( 4 ) hanya melarang penyebaran ajaran bukan Islam kepada orang –orang Islam sahaja. Ini bermakna jika akhbar the Herald hanya tersebar kepada orang-orang Kristian sahaja ianya tidak bercanggah dengan Perkara 11 ( 4 ) Perlembagaan Persekutuan.

Bagaimanapun ana berpendapat keputusan MDN melarang menggunakan kalimah Allah di dalam akhbar Herald masih boleh dipertahankan jika ianya , meskipun tidak salah di sisi Islam atau di bawah Perkara 11 ( 1 ) dan 11 ( 4 ), masih boleh dikatakan bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan kerana berpotensi untuk menjejaskan kenteraman awam ( public disorder ) dan keharmonian agama..

Ana berpendapat sepatutnya Hakim Lau Bee Lan sepatutnya memutuskan bahawa tindakan akhbar the Herald menggunakan kalimah Allah di akhbar itu tidak boleh lari dari sekatan dan halangan Perlembagaan yang dinyatakan di bawah Perkara 11 ( 5 ) Perlembagaan Persekutuan. Perkara 11 ( 5 ) melarang mana-mana amalan agama hatta kepada amalan agama orang Islam sendiri jika amalan tersebut boleh menjejaslan ketenteraman awam ( public disorder ).

Apabila sesuatu amalan beragama berpotensi menjejaskan ketenteraman awam isu sama ada amalan itu selari dengan agama atau tidak tidak lagi timbul. Ana tidak pasti sama ada isu perlanggaran kepada Perkara 11 ( 5 ) dihujahkan oleh pihak peguam Kerajaan atau tidak , namun ana tetap yakin jika Kerajaan ingin menjustifikasikan larangan penggunaan kalimah Allah, satu-satunya hujah yang boleh digunakan adalah Perkara 11 ( 5 ) tersebut.

Mungkin Kerajaan juga boleh berhujah hatta jaminan kebebasan agama lain selain Islam boleh diamalkan di negara ini yang dilindungi di bawah Perkara 3 ( 1 ) Perlembagaan Persekutuan juga tertakluk amalan tersebut dipraktiskan dengan harmoni dan aman tanpa sebarang indikasi ia boleh menjejaskan keharmonian tersebut.

Hakim Lau Bee Lan menyatakan tiada sebarang bukti dikemukakan oleh pihak Kerajaan bahawa penggunaan kalimah Allah adalah menjejaskan keselamatan negara. Memanglah Mahkamah terikat dengan bukti dan keterangan. Nampaknya Hakim Lau Bee Lan cuba mengelak untuk memutuskan atau menafsirkan Perkara 11 ( 5 ) itu dengan berselindung di sebalik alasan keterangan dan bukti.

Dengan hormat ana berpendapat dalam menafsirkan mana-mana peruntukkan Perlembagaan Mahkamah tidak harus dikawal oleh bukti dan keterangan semata-mata. Penafsiran Perlembagaan tidak sama seperti menafsirkan seperti mana-mana Akta atau Enakmen.

Dalam hal ini Hakim Lau Bee Lan seharusnya menafsirkan apa yang dimaksudkan dengan istilah menjejaskan ketenteraman awam di dalam Perkara 11 ( 5 ) Perlembagaan Persekutuan. Bagi menafsirkan frasa tersebut Hakim Lau Bee Lan tidak boleh lari dari memahami ketinggian nilai kalimah Allah dari perspektif orang Islam yang mana ianya hanya bermaksud Tuhan yang esa.

Oleh itu penggunaan kalimah itu di dalam maknaya yang lain sudah pasti berpotensi tinggi mengundang kemarahan orang Islam sekaligius berpotensi mewujudkan satu ancaman kepada ketenteraman awam.

Orang Kristian tidak seharusnya resah jika kalimah Allah itu tidak dibenarkan digunakan atas alasan kepentingan awam. Mungkin pada masa hadapan penggunaan kalimah ini, yang dibenarkan oleh ajaran Islam, tidak menjejaskan ketenteraman awam sekaligus boleh dibenarkan.

Sebelum ini orang Islam juga pernah dikecewakan dengan larangan amalan beragama kepada wanita Islam iaitu amalan pemakaian purdah oleh kakitangan awam ( kes Halimatusadiah ) di atas alasan menjaga kepentingan awam.



Sepatutnya Negeri-negeri menguatkuasakan Enakmen ini...


:: Isu nama Allah: Pandangan Hasmi Hashim

Allah dan Kartun Hina Nabi

Jan 6th, 2010 | By Admin | Category: Hasmi Hashim, Penulis Tamu, Rencana

Oleh HASMI HASHIM

…Bagaimana politik-Islam sudah [dibawa] masuk ke dalam kotak mancis dan boleh terbakar sesama sendiri.”

~ Temubual Ummahonline [Terbit: 20 Mac 2006].


Bangkitnya isu “nama Allah”, teringat saya isu “kartun hina Nabi”, hampir 4 tahun lalu. Bagi saya, isu nama Allah ini tidaklah serumit isu kartun yang merebak baik di Eropah, Amerika dan khususnya negara-negara majoriti umat Islam. Bangunan dan harta benda dirosakkan, dibakar.

Kartun hina Nabi itu diterbitkan sebuah akhbar di Denmark beraliran ekstrem kanan, Jyllands-Posten.

Slogan yang mengerikan pun segera berkumandang. Jiwa umat dibakar tanpa belas; bukan hanya oleh pihak Jyllands-Posten, tetapi oleh pemimpin Islam sendiri.

Api emosi mula merebak ke Malaysia. Demontrasi pun direncana, dianjur. Termasuk oleh Dewan Pemuda Pas di Mesjid Negara; disertai oleh segelintir pimpinan AMK Pusat.

Dalam masa sama, sebuah akhbar di Sawarak, Sarawak Tribune yang menerbitkan kembali kartun berkenaan, juga didesak agar ditutup. Desakan itu datang bukan sahaja daripada Pemuda Umno, tetapi juga Pemuda Pas

Rumusan saya, andai kita meminta kerajaan tutup Sarawak Tribune, kita sebenarnya telah memberi ruang agar suatu hari kelak kerajaan mencari alasan untuk menutup Harakah, mahupun Suara Keadilan, misalnya.

Ia ke arah membungkam kebebasan bersuara keseluruhannya. Kalangan teman pimpinan yang bertindak sebelum berfikir, terdiam bila dihadapkan hujah sebegini.

Apa yang tak terlihat ialah prinsip “Negara Hukum” itu sendiri. Mengambil tindakan terhadap editor yang terlibat (itupun selepas melalui proses perundangan), dan bukannya menutup terus keseluruhan akhbar berkenaan dengan jumlah ratusan pekerjanya akan terjejas.

Dalam kekalutan itulah, saya memberanikan diri mengutara pandangan ‘berbeza’, apabila ditemubual oleh portal Ummahonline, yang terbit dengan judul, “Nabi Yang Perlu Bela Saya Kelak”.

Pandangan yang dilihat ‘asing’ itu bukan bererti saya tidak kasehkan Baginda Nabi Muhammad SAW. Kerana kasehkan Nabi-lah, maka saya terpaksa mengambil risiko keluar daripada sentimen popular demi mengkristalkan pandangan politik Muslim.

Untuk mengelakkan salah faham, sebuah NGO generasi muda, Open Dialogue Centre (ODC) menjemput saya bercakap mengenai isu berkenaan yang dirancang bersama Ketua Pemuda Pas, Sallehuddin Ayub dan Ketua Pemuda Umno, Hishamuddin Hussein.

Surat jemputan dihantar.

Seperti yang terduga, mereka tak hadir. Diganti oleh wakil masing-masing daripada Umno dan Pas. Saya ‘ditengah-tengah’. Debat malam itu berakhir dengan baik tetapi beberapa ketika kemudian, segelintir yang gagal berhujah dengan kebenaran, mula menuduh saya dan teman-teman sebagai “Islam liberal”. Ahhh, menjengkelkan!

Saya sayang Pas, sama seperti saya sayangkan Keadilan. Saya tidak runsing kalau Umno mahu masuk gaung assabiyah. Tetapi tak sanggup saya biarkan, khususnya AMK dan Pemuda Pas tersalah pandang dan mengambil jalan binasa.

Bersyukur apabila keputusan saya bersuara, bukanlah keputusan yang salah dan sedikit sebanyak dapat meredakan api sentimen yang sia-sia. Umno, sang hipokrit yang agung itu pun tak pergi setara kononnya untuk membela Nabi.

Beberapa hari ini, mereka cuba membakar lagi sentimen umat atas isu nama Allah ~ dalam masa sama hendak ditutup kenyataan hidup rakyat yang semakin merempat. Kita mahu tahu, apakah nas, dalil dan ayat Quran yang akan dipetik PM Najib Razak untuk dibentangkan kehadapan DYMM Seri Paduka Baginda Yang Di-Pertuan Agong, bagi kononnya menyelesaikan isu ini.

Umno dan Najib mungkin tak sedar, dia sudah tak mampu lagi memerangkap Pas. Bezanya Pas dalam isu nama Allah berbanding perangkap Umno sebelum ini apabila Pas mengeluarkan kenyataan jelas bahawa penggunaan nama Allah oleh penganut Kristian tidak bertentangan dengan Islam.

Ketegasan Pas (walaupun ada sedikit percanggahan dengan satu-dua pemimpinnya pada peringkat awal) menunjukan parti itu sanggup meletakkan kebenaran lebih tinggi daripada kepentingan politik-kekuasaan. Kalau Umno, seperti Ketua Pemudanya mahu menuduh Pas mengorbankan kepentingan Islam, jelas nyata beliaulah nanti yang akan dilihat sebagai jahil terhadap agama sendiri.

Sekurang-kurangnya kenyataan ’selamat’ Pemuda Umno akan terlihat bahawa parti itu sanggup membuat pertimbangan politik walaupun di atas isu yang sebegini mustahak; selain masih tetap mahu memperbodoh umat.

Ada juga hujah kononnya tak menjadi amalan Melayu-Islam untuk mengizinkan penganut agama lain menggunakan nama Allah; dan kenyataan awal terbit daripada misalnya mulut mantan perdana menteri, Dr Mahathir Mohammad selain daripada Ahli Parlimen Kulim Bandar Baru, Zulkiflee Nordin.

Orang yang berkata sebegini adalah orang yang terkeliru, mungkin buta sejarah kalaupun bukan pendusta.

Kita lihat di dalam karangan Munshi Abdullah (1796–1854), iaitu “Hikayat Munshi Abdullah”, bukan sahaja nama Allah, tetapi Munshi (orang bijak dan alim) itu jualah yang telah membantu dua orang paderi yang menjadi muridnya menterjemah al-Kitab daripada bahasa Inggeris ke dalam bahasa Melayu.

Tidak sepertimana Dr Mahathir, Munshi mengakui dia berdarah “keling” (seperti katakannya sendiri) namun diterima sebagai antara cendiakawan Melayu terawal yang membawa perubahan pemikiran kemodenan. Munshi hidup ditengah-tengah nilai kosmopolitanisme yang baru tumbuh di Melaka dan Singapura.

Dalam kekelang-kabutan ini, saya lebih berminat menunggu dan mahu mendengar pandangan tegas dan jelas daripada kaum muda; kalangan YB-YB muda dan termasuk juga pimpinan orang politik muda yang riuh rendahnya bukan kepalang terutama apabila ada pertandingan dalam parti.

Aduhai, terasa begitu sunyi. Betapa kita faham, bukan hanya cara politik selamat berkali-kali dipilih, tetapi juga politik kebudak-budakan.

Apapun, dengan membenarkan penganut agama lain (dalam kes terbaru bagi majalah The Herald) menggunakan nama Allah, maka umat Islam (khususnya Melayu Malaysia) bukan sahaja telah berjiwa besar, tetapi memahami dan melaksanakan tuntutan Islam itu sendiri.

Dengan lafaz Bismillahir-rohman-nir-rahim, maksud Quran yang menyeru jihad (berperang) dari Surah al-Hajj ayat 39-40 dipetik sebagai penutup bicara:

“Diizinkan berperang bagi orang-orang (Islam) yang diperangi (oleh golongan penceroboh), kerana sesungguhnya mereka telah dianiaya; dan sesungguhnya Allah amat berkuasa untuk menolong mereka (mencapai kemenangan).

Iaitu mereka yang diusir dari kampung halamannya dengan tidak berdasarkan sebarang alasan yang benar, (mereka diusir) semata-mata kerana berkata: “Tuhan Kami adalah Allah.” Dan kalaulah Allah tidak mendorong setengah manusia menentang pencerobohan setengah yang lain, nescaya runtuhlah tempat-tempat pertapaan serta gereja-gereja (kaum Nasrani), dan tempat-tempat sembahyang (kaum Yahudi), dan juga masjid-masjid (orang Islam) yang sentiasa disebut nama Allah banyak-banyak padanya; dan sesungguhnya Allah akan menolong sesiapa yang menolong ugamaNya (ugama Islam); sesungguhnya Allah Maha Kuat, lagi Maha Berkuasa;–”

Benarlah segala firman dan janji Allah, amin.

Tuesday, December 29, 2009

:: Murai, GLC dan enjin jet ?

Kenapa tiada laporan audit dua enjin jet hilang?
Tan Keng Liang Dis 24, 09 12:16pm

Saya merujuk isu kecurian dua buah enjin jet pejuang Tentara Udara Diraja Malaysia (TUDM). Kecurian enjin tersebut didakwa berlaku sekitar tahun 2007.

Selain daripada enjin, Kementerian Pertahanan juga dilaporkan menyatakan terdapat peralatan-peralatan lain yang mungkin turut lesap.

Ketika ini, kementerian berkenaan dan perdana menteri Datuk Seri Najib Razak memberi jaminan untuk melakukan siasatan penuh terhadap kes tersebut dan akan mengambil tindakan undang-undang sewajarnya kepada mereka yang terbabit, yang turut dilabel sebagai "pengkhianat" negara kita.

Sudah jelas, kecurian harta pertahanan negara, tanpa mengira nilainya, suatu tindakan pengkhianatan negara. Harta pasukan tentera dibeli untuk mempertahankan kedaulatan negara dan dibiayai dengan wang rakyat.

Dalam perkara ini, adalah membimbangkan kenapa kehilangan dan kecurian harta pertahanan negara yang sebegitu besar tidak dibangkitkan dalam Laporan Tahunan Ketua Audit Negara bagi tahun 2007 atau 2008?

Kejadian ini berlaku pada 2007 dan Kementerian Pertahanan menfailkan laporan polis pada tahun yang sama.

Sudah pasti perkembangan itu sewajarnya mencetuskan kewaspadaan kepada proses audit harta kementerian tersebut.

Bawah Seksyen 6 Akta Audit 1957, pengauditan Ketua Audit Negara termasuklah menentukan sama ada perhatian yang sewajarnya telah diambil untuk memberikan penjelasan mengenai - dan untuk memastikan - penggunaan, pengawalan, penyenggaraan dan pelupusan yang sepatutnya segala harta awam pihak bawah auditannya.

Seksyen 9(5) akta tersebut memperuntukkan bahawa Ketua Audit Negara boleh - dalam apa-apa laporan yang dikemukakan mengikut Perkara 107(1) Perlembagan Persekutuan (lebih dikenali sebagai Laporan Tahunan Ketua Audit Negara) - membuat syor dan boleh secara umum memberikan ulasan tentang semua perkara yang berhubungan dengan akaun, wang dan harta awam.

Berhubung kehilangan harta pertahanan negara tersebut, Ketua Audit Negara seharusnya membangkitkan penyelewengan itu dalam laporan tahunannya kerana ia membabitkan kepentingan awam.

Oleh itu, Ketua Audit Negara perlu memberi penjelasan kenapa penyelewengan tersebut tidak dibangkitkan dalam laporan tahunannya sehingga kini?

Kerajaan juga harus mengambil tindakan untuk memastikan Ketua Audit Negara akan membangkitkan dalam laporan tahunannya semua penyelewengan yang membabitkan harta kerajaan pada masa hadapan.

Tan Keng Liang ketua Pemuda Gerakan Kedah


.................................................................................


Siasat penyelewengan RM160 juta di GLC
Dis 28, 09 5:44pm

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) hari ini diminta menyiasat mengenai dakwaan penyelewengan dan penyalahgunaan kuasa dalam anak syarikat sebuah syarikat berkaitan kerajaan (GLC) membabitkan kira-kira RM160 juta.

Setiausaha agung Kelab Belia Graduan 1Malaysia, Ezaruddin Abd Rahman berkata kelab itu menerima maklumat bahawa penyelewengan yang dilakukan dalam anak syarikat GLC yang berusia lebih 50 tahun itu dikesan sejak 2006.

Beliau berkata demikian selepas menyerahkan memorandum mengenai dakwaan penyelewengan itu kepada penolong kanan penguasa SPRM Azlin Mohd Ali di pejabat SPRM di Putrajaya untuk siasatan.

Memorandum itu antara lain mendakwa pemberian tender yang tidak mengikut prosedur dan syarikat yang diberikan tender tersebut merupakan syarikat di mana seorang daripada anggota lembaga pengarah GLC itu mempunyai kepentingan di dalamnya.

Memorandum itu turut mendakwa mesin yang dibekalkan oleh syarikat tersebut juga menimbulkan masalah dan kerugian.

Ezaruddin berkata pihaknya juga akan menyerahkan memorandum itu kepada Pejabat Perdana Menteri.

Kelab Belia Graduan 1Malaysia merupakan NGO yang terdiri daripada golongan profesional muda pelbagai bidang di seluruh negara yang ditubuhkan pada 10 November lepas dan kini mempunyai 8,000 anggota. BERNAMA

..................................................................................


Warga emas dihukum kes lagakan burung murai
Dis 28, 09 6:59pm

Mahkamah Majistret Kuala Lumpur diminta memandang berat kesalahan melaga-lagakan binatang bagi tujuan hiburan kerana aktiviti itu tidak berperikemanusiaan.

Timbalan pendakwa raya Norhanum Hassan berkata walaupun hanya melibatkan dua ekor burung murai, tetapi perbuatan itu tidak bertanggungjawab dan tidak boleh diabaikan.

Beliau berhujah demikian ketika memohon mahkamah menjatuhkan hukuman setimpal terhadap seorang warga emas Khoo Khang Huat, 70, dan 13 lelaki yang dituduh melakukan kesalahan itu di sebuah kelab rekreasi peminat burung di Jinjang, Kuala Lumpur, pada 9.30 pagi, 13 Disember lalu, mengikut Seksyen 44(1)(g) Ordinan Binatang 1953.

Majistret Abdullah Siddiq Mohd Nasir memerintahkan mereka yang berumur antara 27 hingga 70 tahun itu, masing-masing didenda RM130 dan penjara tiga bulan jika gagal membayar denda.

Kesemua mereka, yang merupakan pesara dan penganggur, diwakili peguam Ahmad Ridza Mohd Noh.

Pada masa yang sama, seorang lagi warga emas Chen Long, 72, bersama-sama 12 yang lain turut dikenakan denda yang sama oleh Majistret Aina Azahra Ariffin di mahkamah yang berlainan selepas mengaku bersalah terhadap pertuduhan yang sama.

Mereka yang berumur antara 27 hingga 72 tahun itu juga merupakan pesara dan penganggur diwakili peguam Khairul Amir Abdullah.

Pendakwaan dilakukan oleh timbalan pendakwa raya Aidatul Azura Zainal Abidin. BERNAMA

................................................................................