Showing posts with label perundangan. Show all posts
Showing posts with label perundangan. Show all posts

Saturday, June 19, 2010

:: PDRM: Benarkah tuduhan ini ?

PBB: Polisi Malaysia Kejam

Sabtu, 19 Juni 2010 | 10:35 WIB
Ilustrasi

KUALA LUMPUR, KOMPAS.com — Polis Diraja Malaysia (PDRM) dinilai kejam dalam menangani tersangka dan tahanan. Pendapat itu disampaikan Komisi HAM PBB yang meninjau kondisi para tahanan PDRM di Malaysia.

"Penyiksaan menjadi prosedur standar. Keterangan diperoleh dari tahanan yang ditemui tim PBB dalam kunjungan ke Malaysia," kata El Haji Malik Sow, Ketua Delegasi HAM PBB, Jumat (18/6/2010) di Kuala Lumpur.

Para tahanan yang disiksa terkait kasus subversif, terorisme, imigran gelap, dan pencari suaka. "Sebagian tahanan mengaku dipukuli, ditendang, ataupun disiram air kotor," El Haji Malik Sow menerangkan.

Beberapa tahanan ada yang dikurung dan dibiarkan kelaparan. Sebagian besar tahanan tidak diberikan kesempatan menghubungi keluarga atau pengacara.

Sejumlah oknum polisi terlibat dalam pembunuhan seorang fotomodel Mongolia yang dikabarkan memiliki kedekatan dengan petinggi Malaysia. Fotomodel itu ditembak mati.

Kasus yang diduga terkait pemberian suap dalam pembelian kapal selam Perancis yang dilakukan Pemerintah Malaysia beberapa tahun lalu itu kini menghilang dari pemberitaan.

Komisi HAM PBB, mengutip keterangan para tahanan, mengatakan, mereka lebih memilih berada di penjara daripada di dalam tahanan polis ataupun imigrasi Malaysia.

Komisi HAM PBB datang atas undangan Pemerintah Malaysia yang berusaha melakukan reformasi hukum.

Raja Azahar Abdul Manap, seorang pejabat senior Departemen Dalam Negeri Malaysia, mengatakan, pemerintah berusaha memperbaiki kondisi tahanan imigrasi. Namun, Raja juga menyalahkan pemerintah negara asal imigran gelap. (Reuters/AFP/ONG)


Saturday, January 09, 2010

:: Isu nama Allah: Penilaian secara undang-undang ?

Penilaian Secara Undang-Undang ; Kes majalah Herald - The Catholic Weekly

Oleh : Dwen Puyau Ghazali

Kali ini ana ingin mengambil kesempatan ini untuk menberikan pandangan peribadi ana tentang keputusan Yang Arif Datuk Lau Bee Lan dalam kes penggunaan kalimah Allah di dalam akhbar Herald yang diterbitkan oleh kristian Katholik. Bagaimanapun ulasan ana di sini hanya dari pesperktif undang-undang semata-mata.




Secara ringkasnya fakta kes tersebut adalah pada 18 Mac 2009 pemohon iaitu Paderi Roman Katholik di Kuala Lumpur iaitu Murphy Pakiam telah memfailkan permohonan semakan kehakiman ( judicial review ) ke atas Menteri Dalam Negeri dan Kerajaan Malaysia kerana memutuskan melarang akhbar the Herald dari menggunakan kalimah Allah di dalam penerbitan edisi bahasa Malaysia akhbar itu.

Sebelum ini Kerajaan telah mengisytiharkan bahawa kalimah Allah hanya boleh digunakan oleh orang Islam sahaja dan pihak Kerajaan telah mengancam akan menutup akhbar itu jika ia tidak mengendahkan larangan tersebut .

Dalam samannya ke atas Menteri Dalam Negeri ( MDN ) Paderi Pakiam yang mewakili pihak Herald telah memohon Mahkamah bagi mendapatkan perintah antara lain perintah perisytiharan bahawa keputusan MDN melarang penggunaan kalimah Allah di dalam akhbar the Herald adalah keputusan yang tidak sah dan terbatal.

Beliau juga memohon Mahkamah mengisytiharkan bahawa akhbar Herald berhak menggunakan kalimah Allah di dalam penerbitannya dan kalimah Allah tidak hanya ekslusif kepada Agama Islam sahaja. Selain itu Paderi Pakiam juga meminta Mahkamah membatalkan keputusan MDN yang melarang penggunaan kalimah Allah di dalam akhbar the Herald tersebut.

Sepertimana yang dilaporkan di dalam akhbar Hakim Datuk Lau Bee Lan telah pada 30 Disember 2009 yang lalu telah memutuskan membenarkan saman Paderi Pakiam dan memutuskan bahawa keputusan MDN yang melarang penggunaan kalimah Allah di dalam akhbar the Herald adalah keputusan yang tidak sah , terbatal dan bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan.

Sebelum ana memulakan ulasan ana terhadap keputusan Datuk Lau Bee Lan tersebut ana perlu menyatakan di sini bahawa kita sepatutnya dididik untuk hanya mengulas sesuatu keputusan seorang Hakim itu hanya setelah membaca keputusan penuh seorang hakim itu supaya ulasan itu benar-benar hanya menyentuh keputusan sebenar Hakim tersebut dan bukannya dari tokok tambah dari mana-mana sumber selain keputusan itu sendiri.

Di sini ana ingin menyatakan bahawa seperti para pembaca ana hanya mengetahui intipati keputusan Hakim tersebut dari laporan akhbar sahaja. Dengan anggapan laporan itu adalah benar sepertimana yang dinyatakan oleh Hakim tersebut maka ana berpendapat keputusan itu adalah betul dari satu segi tetapi tersilap dari segi yang lain.


Bagi ana Hakim Lau Bee Lan boleh dipuji kerana keberanian beliau membuat keputusan yang membatalkan keputusan seorang Menteri . Mengapa ana kata beliau adalah seorang yang berani ? Hujah ana bersandarkan kepada alasan bahawa jika kita melihat Akta Penerbitan & Mesin Cetak yang digubal oleh Kerajaan BN, Akta tersebut memberikan satu kuasa dan budibicara yang mutlak kepada MDN untuk memutuskan membatalkan atau mengenakan sebarang syarat terhadap mana-mana akhbar yang ingin diterbitkan di negara ini.

Jika dilihat kepada Akta tersebut ia menyatakan keputusan MDN tidak boleh dicabar di Mahkamah. Di dalam undang-undang peruntukkan yang memberikan kekebalan kepada MDN itu dipanggil ouster clause.

Kes yang diputuskan oleh Hakim Lau Bee Lan melibatkan isu Perlembagaan atau secara spesifiknya isu kebebasan beragama. Kes sebegini memang secara relatifnya adalah kes yang boleh dikategorikan sebagai kes “panas” dan pasti merimaskan mana-mana Hakim yang ditugaskan mendengar dan memutuskan kes tersebut.

Secara mudahnya bagi pihak Herald mereka merasakan bahawa sebagai pengganut Kristian di negara ini mereka berhak mengamalkan dan menyebarkan agama mereka ( to practice and propagate their religion ) seperti yang dijamin oleh Perkara 11 ( 1 ) Perlembagaan Persekutuan.. Oleh itu bagi pihak Herald termasuk hak mengamalkan dan menyebarkan agama itu adalah hak mereka untuk menerbitkan apa sahaja penerbitan yang boleh menjadi alat untuk menyebarkan agama itu. Oleh itu mana-mana tindakan yang boleh mengancam dan menggugat hak tersebut adalah dikira bertentangan dengan prinsip kebebasan beragama yang dijamin oleh Perkara 11 Perlembagaan Persekutuan.

Bagi pihak Herald meskipun Perkara 3 Perlembagaan Persekutuan menjadikan Islam sebagai agama teras di dalam negara ini, Perkara 3 itu sendiri tidak menghalang pengganut agama lain untuk mengamalkan agama mereka dengan aman dan harmoni yang boleh ditafsirkan tanpa sebarang gangguan yang tidak munasabah dari mana-mana pihak Oleh yang demikian pihak Herald merasakan larangan menggunakan kalimah Allah di dalam akhbar itu adalah bercanggah dengan Perkara 11 dan Perkara 3 Perlembagaan Persekutuan.

Ana berpendapat keputusan Lau Bee Lan adalah betul di sisi undang-undang dan Perlembagaan apabila beliau memutuskan bahawa kalimah Allah tidak terhad atau hanya ekslusif bagi orang Islam sahaja. Ana berpendapat keputusan itu adalah tidak bercanggah dengan mana-mana ajaran Islam kerana Allah bukan sahaja Tuhan kepada manusia ( Islam dan bukan Islam ) malahan Tuhan kepada seluruh alam . Allah adalah tuhan kepada mahkluk yang halal dimakan dan Allah juga Tuhan kepada mahkluk yang haram dimakan.

Di dalam pengajian Tauhid orang Islam diajar dengan Tauhid Rububiyyah di mana Tauhid ini membawa maksud mana-mana manusia meyakini Allah itu sebagai Rabb iaitu Tuhan yang mencipta dan mentadbir alam ini. Tauhid Rububiyyah, tidak seperti Tauhid Uluhiyah, diyakini bukan sahaja oleh orang Islam tetapi juga orang bukan Islam.

Ana juga berpendapat keputusan Lau Bee Lan yang menyatakan bahawa keputusan MDN yang melarang menggunakan kalimah Allah di dalam akhbar di Herald adalah bercanggah denga hak untuk menyebarkan agama tersebut sepertimana yang dijamin oleh Perkara 11 ( 1 ) adalah juga keputusan yang betul.

Ini kerana meskipun hak untuk menyebarkan agama adalah terhad kepada orang bukan Islam iaitu mereka tidak boleh menyebarkan ajaran Kristian kepada mana-mana orang Islam tetapi di dalam kes ini tiada bukti bahawa Herald telah disebarkan kepada mana-mana orang Islam. Perkara 11 ( 4 ) hanya melarang penyebaran ajaran bukan Islam kepada orang –orang Islam sahaja. Ini bermakna jika akhbar the Herald hanya tersebar kepada orang-orang Kristian sahaja ianya tidak bercanggah dengan Perkara 11 ( 4 ) Perlembagaan Persekutuan.

Bagaimanapun ana berpendapat keputusan MDN melarang menggunakan kalimah Allah di dalam akhbar Herald masih boleh dipertahankan jika ianya , meskipun tidak salah di sisi Islam atau di bawah Perkara 11 ( 1 ) dan 11 ( 4 ), masih boleh dikatakan bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan kerana berpotensi untuk menjejaskan kenteraman awam ( public disorder ) dan keharmonian agama..

Ana berpendapat sepatutnya Hakim Lau Bee Lan sepatutnya memutuskan bahawa tindakan akhbar the Herald menggunakan kalimah Allah di akhbar itu tidak boleh lari dari sekatan dan halangan Perlembagaan yang dinyatakan di bawah Perkara 11 ( 5 ) Perlembagaan Persekutuan. Perkara 11 ( 5 ) melarang mana-mana amalan agama hatta kepada amalan agama orang Islam sendiri jika amalan tersebut boleh menjejaslan ketenteraman awam ( public disorder ).

Apabila sesuatu amalan beragama berpotensi menjejaskan ketenteraman awam isu sama ada amalan itu selari dengan agama atau tidak tidak lagi timbul. Ana tidak pasti sama ada isu perlanggaran kepada Perkara 11 ( 5 ) dihujahkan oleh pihak peguam Kerajaan atau tidak , namun ana tetap yakin jika Kerajaan ingin menjustifikasikan larangan penggunaan kalimah Allah, satu-satunya hujah yang boleh digunakan adalah Perkara 11 ( 5 ) tersebut.

Mungkin Kerajaan juga boleh berhujah hatta jaminan kebebasan agama lain selain Islam boleh diamalkan di negara ini yang dilindungi di bawah Perkara 3 ( 1 ) Perlembagaan Persekutuan juga tertakluk amalan tersebut dipraktiskan dengan harmoni dan aman tanpa sebarang indikasi ia boleh menjejaskan keharmonian tersebut.

Hakim Lau Bee Lan menyatakan tiada sebarang bukti dikemukakan oleh pihak Kerajaan bahawa penggunaan kalimah Allah adalah menjejaskan keselamatan negara. Memanglah Mahkamah terikat dengan bukti dan keterangan. Nampaknya Hakim Lau Bee Lan cuba mengelak untuk memutuskan atau menafsirkan Perkara 11 ( 5 ) itu dengan berselindung di sebalik alasan keterangan dan bukti.

Dengan hormat ana berpendapat dalam menafsirkan mana-mana peruntukkan Perlembagaan Mahkamah tidak harus dikawal oleh bukti dan keterangan semata-mata. Penafsiran Perlembagaan tidak sama seperti menafsirkan seperti mana-mana Akta atau Enakmen.

Dalam hal ini Hakim Lau Bee Lan seharusnya menafsirkan apa yang dimaksudkan dengan istilah menjejaskan ketenteraman awam di dalam Perkara 11 ( 5 ) Perlembagaan Persekutuan. Bagi menafsirkan frasa tersebut Hakim Lau Bee Lan tidak boleh lari dari memahami ketinggian nilai kalimah Allah dari perspektif orang Islam yang mana ianya hanya bermaksud Tuhan yang esa.

Oleh itu penggunaan kalimah itu di dalam maknaya yang lain sudah pasti berpotensi tinggi mengundang kemarahan orang Islam sekaligius berpotensi mewujudkan satu ancaman kepada ketenteraman awam.

Orang Kristian tidak seharusnya resah jika kalimah Allah itu tidak dibenarkan digunakan atas alasan kepentingan awam. Mungkin pada masa hadapan penggunaan kalimah ini, yang dibenarkan oleh ajaran Islam, tidak menjejaskan ketenteraman awam sekaligus boleh dibenarkan.

Sebelum ini orang Islam juga pernah dikecewakan dengan larangan amalan beragama kepada wanita Islam iaitu amalan pemakaian purdah oleh kakitangan awam ( kes Halimatusadiah ) di atas alasan menjaga kepentingan awam.



Sepatutnya Negeri-negeri menguatkuasakan Enakmen ini...


:: Isu nama Allah: Pandangan Hasmi Hashim

Allah dan Kartun Hina Nabi

Jan 6th, 2010 | By Admin | Category: Hasmi Hashim, Penulis Tamu, Rencana

Oleh HASMI HASHIM

“…Bagaimana politik-Islam sudah [dibawa] masuk ke dalam kotak mancis dan boleh terbakar sesama sendiri.”

~ Temubual Ummahonline [Terbit: 20 Mac 2006].


Bangkitnya isu “nama Allah”, teringat saya isu “kartun hina Nabi”, hampir 4 tahun lalu. Bagi saya, isu nama Allah ini tidaklah serumit isu kartun yang merebak baik di Eropah, Amerika dan khususnya negara-negara majoriti umat Islam. Bangunan dan harta benda dirosakkan, dibakar.

Kartun hina Nabi itu diterbitkan sebuah akhbar di Denmark beraliran ekstrem kanan, Jyllands-Posten.

Slogan yang mengerikan pun segera berkumandang. Jiwa umat dibakar tanpa belas; bukan hanya oleh pihak Jyllands-Posten, tetapi oleh pemimpin Islam sendiri.

Api emosi mula merebak ke Malaysia. Demontrasi pun direncana, dianjur. Termasuk oleh Dewan Pemuda Pas di Mesjid Negara; disertai oleh segelintir pimpinan AMK Pusat.

Dalam masa sama, sebuah akhbar di Sawarak, Sarawak Tribune yang menerbitkan kembali kartun berkenaan, juga didesak agar ditutup. Desakan itu datang bukan sahaja daripada Pemuda Umno, tetapi juga Pemuda Pas

Rumusan saya, andai kita meminta kerajaan tutup Sarawak Tribune, kita sebenarnya telah memberi ruang agar suatu hari kelak kerajaan mencari alasan untuk menutup Harakah, mahupun Suara Keadilan, misalnya.

Ia ke arah membungkam kebebasan bersuara keseluruhannya. Kalangan teman pimpinan yang bertindak sebelum berfikir, terdiam bila dihadapkan hujah sebegini.

Apa yang tak terlihat ialah prinsip “Negara Hukum” itu sendiri. Mengambil tindakan terhadap editor yang terlibat (itupun selepas melalui proses perundangan), dan bukannya menutup terus keseluruhan akhbar berkenaan dengan jumlah ratusan pekerjanya akan terjejas.

Dalam kekalutan itulah, saya memberanikan diri mengutara pandangan ‘berbeza’, apabila ditemubual oleh portal Ummahonline, yang terbit dengan judul, “Nabi Yang Perlu Bela Saya Kelak”.

Pandangan yang dilihat ‘asing’ itu bukan bererti saya tidak kasehkan Baginda Nabi Muhammad SAW. Kerana kasehkan Nabi-lah, maka saya terpaksa mengambil risiko keluar daripada sentimen popular demi mengkristalkan pandangan politik Muslim.

Untuk mengelakkan salah faham, sebuah NGO generasi muda, Open Dialogue Centre (ODC) menjemput saya bercakap mengenai isu berkenaan yang dirancang bersama Ketua Pemuda Pas, Sallehuddin Ayub dan Ketua Pemuda Umno, Hishamuddin Hussein.

Surat jemputan dihantar.

Seperti yang terduga, mereka tak hadir. Diganti oleh wakil masing-masing daripada Umno dan Pas. Saya ‘ditengah-tengah’. Debat malam itu berakhir dengan baik tetapi beberapa ketika kemudian, segelintir yang gagal berhujah dengan kebenaran, mula menuduh saya dan teman-teman sebagai “Islam liberal”. Ahhh, menjengkelkan!

Saya sayang Pas, sama seperti saya sayangkan Keadilan. Saya tidak runsing kalau Umno mahu masuk gaung assabiyah. Tetapi tak sanggup saya biarkan, khususnya AMK dan Pemuda Pas tersalah pandang dan mengambil jalan binasa.

Bersyukur apabila keputusan saya bersuara, bukanlah keputusan yang salah dan sedikit sebanyak dapat meredakan api sentimen yang sia-sia. Umno, sang hipokrit yang agung itu pun tak pergi setara kononnya untuk membela Nabi.

Beberapa hari ini, mereka cuba membakar lagi sentimen umat atas isu nama Allah ~ dalam masa sama hendak ditutup kenyataan hidup rakyat yang semakin merempat. Kita mahu tahu, apakah nas, dalil dan ayat Quran yang akan dipetik PM Najib Razak untuk dibentangkan kehadapan DYMM Seri Paduka Baginda Yang Di-Pertuan Agong, bagi kononnya menyelesaikan isu ini.

Umno dan Najib mungkin tak sedar, dia sudah tak mampu lagi memerangkap Pas. Bezanya Pas dalam isu nama Allah berbanding perangkap Umno sebelum ini apabila Pas mengeluarkan kenyataan jelas bahawa penggunaan nama Allah oleh penganut Kristian tidak bertentangan dengan Islam.

Ketegasan Pas (walaupun ada sedikit percanggahan dengan satu-dua pemimpinnya pada peringkat awal) menunjukan parti itu sanggup meletakkan kebenaran lebih tinggi daripada kepentingan politik-kekuasaan. Kalau Umno, seperti Ketua Pemudanya mahu menuduh Pas mengorbankan kepentingan Islam, jelas nyata beliaulah nanti yang akan dilihat sebagai jahil terhadap agama sendiri.

Sekurang-kurangnya kenyataan ’selamat’ Pemuda Umno akan terlihat bahawa parti itu sanggup membuat pertimbangan politik walaupun di atas isu yang sebegini mustahak; selain masih tetap mahu memperbodoh umat.

Ada juga hujah kononnya tak menjadi amalan Melayu-Islam untuk mengizinkan penganut agama lain menggunakan nama Allah; dan kenyataan awal terbit daripada misalnya mulut mantan perdana menteri, Dr Mahathir Mohammad selain daripada Ahli Parlimen Kulim Bandar Baru, Zulkiflee Nordin.

Orang yang berkata sebegini adalah orang yang terkeliru, mungkin buta sejarah kalaupun bukan pendusta.

Kita lihat di dalam karangan Munshi Abdullah (1796–1854), iaitu “Hikayat Munshi Abdullah”, bukan sahaja nama Allah, tetapi Munshi (orang bijak dan alim) itu jualah yang telah membantu dua orang paderi yang menjadi muridnya menterjemah al-Kitab daripada bahasa Inggeris ke dalam bahasa Melayu.

Tidak sepertimana Dr Mahathir, Munshi mengakui dia berdarah “keling” (seperti katakannya sendiri) namun diterima sebagai antara cendiakawan Melayu terawal yang membawa perubahan pemikiran kemodenan. Munshi hidup ditengah-tengah nilai kosmopolitanisme yang baru tumbuh di Melaka dan Singapura.

Dalam kekelang-kabutan ini, saya lebih berminat menunggu dan mahu mendengar pandangan tegas dan jelas daripada kaum muda; kalangan YB-YB muda dan termasuk juga pimpinan orang politik muda yang riuh rendahnya bukan kepalang terutama apabila ada pertandingan dalam parti.

Aduhai, terasa begitu sunyi. Betapa kita faham, bukan hanya cara politik selamat berkali-kali dipilih, tetapi juga politik kebudak-budakan.

Apapun, dengan membenarkan penganut agama lain (dalam kes terbaru bagi majalah The Herald) menggunakan nama Allah, maka umat Islam (khususnya Melayu Malaysia) bukan sahaja telah berjiwa besar, tetapi memahami dan melaksanakan tuntutan Islam itu sendiri.

Dengan lafaz Bismillahir-rohman-nir-rahim, maksud Quran yang menyeru jihad (berperang) dari Surah al-Hajj ayat 39-40 dipetik sebagai penutup bicara:

“Diizinkan berperang bagi orang-orang (Islam) yang diperangi (oleh golongan penceroboh), kerana sesungguhnya mereka telah dianiaya; dan sesungguhnya Allah amat berkuasa untuk menolong mereka (mencapai kemenangan).

Iaitu mereka yang diusir dari kampung halamannya dengan tidak berdasarkan sebarang alasan yang benar, (mereka diusir) semata-mata kerana berkata: “Tuhan Kami adalah Allah.” Dan kalaulah Allah tidak mendorong setengah manusia menentang pencerobohan setengah yang lain, nescaya runtuhlah tempat-tempat pertapaan serta gereja-gereja (kaum Nasrani), dan tempat-tempat sembahyang (kaum Yahudi), dan juga masjid-masjid (orang Islam) yang sentiasa disebut nama Allah banyak-banyak padanya; dan sesungguhnya Allah akan menolong sesiapa yang menolong ugamaNya (ugama Islam); sesungguhnya Allah Maha Kuat, lagi Maha Berkuasa;–”

Benarlah segala firman dan janji Allah, amin.

:: Isu nama Allah: Jangan ditambahkeruh

08 Januari, 2010 22:30 PM

Agong Titah Semua Pihak Bertenang, Hormati Tempat Ibadah

KUALA LUMPUR, 8 Jan (Bernama) -- Yang di-Pertuan Agong Tuanku Mizan Zainal Abidin menitahkan seluruh rakyat Malaysia supaya saling menghormati tempat-tempat ibadah tanpa mengira kaum.

Dalam satu kenyataan yang dikeluarkan Istana Negara, Seri Paduka amat berharap agar semangat perpaduan dan hormat menghormati antara kaum dan agama yang menjadi tunjang kekuatan negara ini sentiasa dijaga.

Tuanku Mizan menitahkan semua pihak terutamanya umat Islam agar bertenang berikutan keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur berkaitan penggunaan kalimah Allah.

Seri Paduka menzahirkan harapan itu memandangkan kerajaan sedang mengambil langkah-langkah yang perlu berikutan keputusan mahkamah itu dan semua pihak sentiasa menghormati kesucian ajaran dan kedudukan agama Islam sebagai agama rasmi Persekutuan Malaysia.

"Bagi menjamin suasana aman dan harmoni di antara penganut yang berlainan agama, maksud dan rujukan kalimah Allah dalam konteks umum hendaklah menepati sifat yang ditetapkan oleh Islam kerana amalan ini sekian lama telah diterima baik oleh semua penganut agama lain di Malaysia," titah Tuanku Mizan.

Menurut kenyataan itu, Tuanku Mizan memandang serius terhadap isu penggunaan kalimah Allah dalam majalah Herald-The Catholic Weekly oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur baru-baru ini.

Rabu lepas, Mahkamah Tinggi membenarkan penangguhan perintah yang dikeluarkan sebelum ini bagi membenarkan penggunaan kalimah "Allah" oleh majalah mingguan Katolik, Herald, berikutan persetujuan Kementerian Dalam Negeri dan Ketua Paderi Roman Katholik Malaysia berdasarkan kepada kepentingan negara.

-- BERNAMA

:: Guna nama ALLAH ? Renungan-1

Bagaimana Dengan Lagu Kebangsaan Negeri - Allah Lanjutkan Usia Sultan?

UMNO Terdesak
Oleh datuk Zaid Ibrahim

Semakin sukar untuk Malaysia menjadi sabuah Negara aman damai selagi Umno terus memerintah. UMNO bila tersepit mempergunakan isu kaum dan agama di negara ini.

UMNO yang ada hari ini tak sama dengan UMNO zaman Tunku Abdul Rahman dahulu yang lebih terbuka dan dihormati banyak pihak. Hari ini cara politik UMNO telah meluaskan jurang perbezaan kaum dan agama.

Jika UMNO dibiarkan terus memerintah, ia akan menyebabkan negara dan rakyat sentiasa dilagakan kerana kesempatan ini akan diambil oleh pemimpin mereka untuk mempolitikkan perbezaan kaum dan agama.

Kita tahu bukan semua ahli UMNO setuju dengan permainan politik seperti ini. Tapi kita juga tahu ada golongan dalam UMNO mahu orang Melayu mengangkat mereka menjadi wira pembela agama. Golongan ini melalui kuasa kerajaan telah melarang akhbar The Herald, yang hanya dijual di gereja-gereja Katolik saja, daripada menggunakan perkataan “Allah”, dan mereka yakin Mahkamah Rayuan akan “memperbetulkan” keputusan yang ada sekarang.

Kita mesti sentiasa waspada bila ada kumpulan menggelarkan diri mereka pembela agama dan Allah. Seperti kata Allahyarham Gus Dur, bekas presiden Indonesia dan pemimpin besar Nahdatul Ulama; Tuhan yang Maha Besar, Maha Agung dan Maha Berkuasa tidak perlu dibela, yang memerlukan pembelaan adalah manusia yang dianiayai dan ditindas.

Jadi bila ada kumpulan NGO yang dibiayai oleh UMNO ini berkumpul dan berteriak “Islam dinodai” atau “Selamatkan agama kita”, rakyat mesti berhati-hati dan perlu waspada tentang apa motif sebenar mereka.

Soal penggunaan perkataan Allah (God) atau Tuhan Allah (the Lord God) oleh orang Kristian Bumiputera di Sabah dan Sarawak mesti difahami dari perspektif sejarah pra-Merdeka dan sebelum mereka menyertai Malaya untuk membentuk Malaysia pada tahun 1963.

Semasa membaca doa di gereja, ramai penganut Kristian di sana tidak tahu berbahasa Inggeris; lagi pula mereka dari berbagai kaum seperti Iban, Kadazandusun, Bidayuh, Murut, Melanau, Kelabit, Kedayan dan sebagainya yang mempunyai bahasa dan dialek yang berbeza.

Jadi mereka memilih satu bahasa yang difahami semua pihak, iaitu Bahasa Melayu. Kitab Bible berbahasa Melayu yang mereka gunakan datangnya dari Indonesia. Bible mereka menggunakan perkataan Allah.

Sejak zaman-berzaman orang Islam di Sabah dan Sarawak tidak menghadapi apa-apa masalah tentang hal ini. Begitu juga orang UMNO di Semenanjung yang tak rasa sensitif. Kalau benar orang UMNO marah, mengapa isu ini tak timbul pada masa dahulu?

Mungkin kerana sebelum ini kuasa UMNO dan Barisan Nasional di Parlimen sangat kuat, maklumlah mereka ada 2/3 kerusi, iaitu boleh buat apa saja yang mereka suka. Sekarang banyak hal dengan tiba-tiba menjadi “sensitif”.

Ini kerana kedudukan politik UMNO sudah goyang. Persoalannya ialah, mengapa UMNO membenarkan nama Allah digunakan sejak sekian lama. Mengapa tidak arahkan semua doa dan percakapan dalam gereja supaya jangan guna nama Allah?

Bila orang bukan Islam diminta menyanyi Ya Allah Selamatkan Sultan Kami adakah mereka melakukan kesalahan? Mengapa hanya The Herald diharamkan daripada menggunakan perkataan Allah? Sudah tentu The Herald tidak akan menggunakan perkataan itu kalau penganut dan pembacanya menggunakan perkataan lain dalam ritual sembahyang dan doa mereka.

Jadi Perdana Menteri Najib dan Menteri Dalam Negeri Hishamuddin kena semaklah doa orang Kristian di Sabah dan Sarawak – jika didapati mereka menggunakan perkataan Allah, mungkin tindakan keras harus diambil.

Tapi sebelum mengambil tindakan keras, kena semak juga sejarah. Saya difahamkan bahawa pada abad ke-17 sudah ada perkataan Allah untuk Tuhan dalam kamus Melayu-Latin.

Allah juga disebut dalam kitab doa Katolik yang dibawa ke Tanah Melayu pada abad ke-19. Persoalannya, jika tindakan keras diambil, adakah ia akan membantu usaha dakwah Islamiah atau mencacatkan imej Islam semata-mata kerana ada orang tertentu mahu jadi wira agama tanpa kajian yang mendalam.

Para alim ulamak seluruh dunia Islam sudah lama menerima orang dari agama lain menggunakan nama Allah sebagai nama Tuhan. Antaranya yang diguna pakai oleh umat Kristian Koptik di Mesir dan Kristian di Lubnan, Palestin, Iraq dan beberapa negara umat Islam yang lain.

Sudah tentu ulamak-ulamak UMNO juga sedar perkara ini kerana mereka sudah jauh berjalan dan banyak pengalaman. Tak kan lah ulamak UMNO yang amat tinggi ilmu agama mereka buat-buat tak faham semata-mata nak “bersihkan” Islam dari segala unsur-unsur kaum, budaya dan agama lain.

Tak kan mereka tak sedar Bahasa Melayu kita masih lagi mengekalkan Bahasa Sanskrit dari asal usul Hindu untuk Islam seperti perkataan sembahyang, puasa, syurga, neraka, dosa, pahala dan sebagainya.

Kita telah ada cukup undang undang melarang sesiapa sekali pun yang berusaha untok menarik minat orang Islam kapada agama lain.

Ini larangan yang jelas. Kepercayaan kapada ajaran agama kita yang tulin adalah benteng untok kita memberhentikan mana mana usaha untuk membawa orang Islam keluar dari akidah Islam. Kalau ini belum cukup itu bererti pegangan agama kita lemah.

Siapa yang perlu disalahkan?

Ulasan GB

Menyentuh mengenai lagu kebangsaan negeri-negeri, beberapa buah negeri menyelitkan nama Allah juga, bagaimana apabila yang bukan Islam dipaksa menyanyinya seperti lagu kebangsaan negeri Perak?

Dilanjutkan
Allah usianya Sultan
Adil dan murah
Memerintah watan

Ditaati rakyat
Kiri dan kanan
Iman yang soleh
Allah kurniakan

Allah berkati
Perak Ridzuan
Allah selamatkan
Negeri dan Sultan.

Atau lagu kebangsaan negeri Pahang
"Ya Allah Yang Masa Kuasa
Lanjutkan Usia Kebawah Duli Yang Maha Mulia
Dirgahayu Darul Makmur Aman dan Bahagia Sentiasa
Ya Allah Selamatkan Kebawah Duli Raja Kami".

Mengapa ia tidak diharamkan atau diarah semua bukan-Islam tutup mulut dari menyebut perkataan Allah?

Inilah kerja-kerja bodoh golongan nasi0nalis dan separa-nasionalis (UG) yang cuba mengkurung nama Allah hanya untuk umat Islam tetapi tak melihat realiti sebenar apa yang telah dan sedang berlaku, sedangkan selama ini mereka berdiam diri!

p/s Meminjam kata-kata Ahmad Nisfu di dalam Seniman Bujang Lapok: "Kecik-kecik tak nak mampos, dah besar menyusahkan orang".

Tuesday, December 29, 2009

:: Murai, GLC dan enjin jet ?

Kenapa tiada laporan audit dua enjin jet hilang?
Tan Keng Liang Dis 24, 09 12:16pm

Saya merujuk isu kecurian dua buah enjin jet pejuang Tentara Udara Diraja Malaysia (TUDM). Kecurian enjin tersebut didakwa berlaku sekitar tahun 2007.

Selain daripada enjin, Kementerian Pertahanan juga dilaporkan menyatakan terdapat peralatan-peralatan lain yang mungkin turut lesap.

Ketika ini, kementerian berkenaan dan perdana menteri Datuk Seri Najib Razak memberi jaminan untuk melakukan siasatan penuh terhadap kes tersebut dan akan mengambil tindakan undang-undang sewajarnya kepada mereka yang terbabit, yang turut dilabel sebagai "pengkhianat" negara kita.

Sudah jelas, kecurian harta pertahanan negara, tanpa mengira nilainya, suatu tindakan pengkhianatan negara. Harta pasukan tentera dibeli untuk mempertahankan kedaulatan negara dan dibiayai dengan wang rakyat.

Dalam perkara ini, adalah membimbangkan kenapa kehilangan dan kecurian harta pertahanan negara yang sebegitu besar tidak dibangkitkan dalam Laporan Tahunan Ketua Audit Negara bagi tahun 2007 atau 2008?

Kejadian ini berlaku pada 2007 dan Kementerian Pertahanan menfailkan laporan polis pada tahun yang sama.

Sudah pasti perkembangan itu sewajarnya mencetuskan kewaspadaan kepada proses audit harta kementerian tersebut.

Bawah Seksyen 6 Akta Audit 1957, pengauditan Ketua Audit Negara termasuklah menentukan sama ada perhatian yang sewajarnya telah diambil untuk memberikan penjelasan mengenai - dan untuk memastikan - penggunaan, pengawalan, penyenggaraan dan pelupusan yang sepatutnya segala harta awam pihak bawah auditannya.

Seksyen 9(5) akta tersebut memperuntukkan bahawa Ketua Audit Negara boleh - dalam apa-apa laporan yang dikemukakan mengikut Perkara 107(1) Perlembagan Persekutuan (lebih dikenali sebagai Laporan Tahunan Ketua Audit Negara) - membuat syor dan boleh secara umum memberikan ulasan tentang semua perkara yang berhubungan dengan akaun, wang dan harta awam.

Berhubung kehilangan harta pertahanan negara tersebut, Ketua Audit Negara seharusnya membangkitkan penyelewengan itu dalam laporan tahunannya kerana ia membabitkan kepentingan awam.

Oleh itu, Ketua Audit Negara perlu memberi penjelasan kenapa penyelewengan tersebut tidak dibangkitkan dalam laporan tahunannya sehingga kini?

Kerajaan juga harus mengambil tindakan untuk memastikan Ketua Audit Negara akan membangkitkan dalam laporan tahunannya semua penyelewengan yang membabitkan harta kerajaan pada masa hadapan.

Tan Keng Liang ketua Pemuda Gerakan Kedah


.................................................................................


Siasat penyelewengan RM160 juta di GLC
Dis 28, 09 5:44pm

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) hari ini diminta menyiasat mengenai dakwaan penyelewengan dan penyalahgunaan kuasa dalam anak syarikat sebuah syarikat berkaitan kerajaan (GLC) membabitkan kira-kira RM160 juta.

Setiausaha agung Kelab Belia Graduan 1Malaysia, Ezaruddin Abd Rahman berkata kelab itu menerima maklumat bahawa penyelewengan yang dilakukan dalam anak syarikat GLC yang berusia lebih 50 tahun itu dikesan sejak 2006.

Beliau berkata demikian selepas menyerahkan memorandum mengenai dakwaan penyelewengan itu kepada penolong kanan penguasa SPRM Azlin Mohd Ali di pejabat SPRM di Putrajaya untuk siasatan.

Memorandum itu antara lain mendakwa pemberian tender yang tidak mengikut prosedur dan syarikat yang diberikan tender tersebut merupakan syarikat di mana seorang daripada anggota lembaga pengarah GLC itu mempunyai kepentingan di dalamnya.

Memorandum itu turut mendakwa mesin yang dibekalkan oleh syarikat tersebut juga menimbulkan masalah dan kerugian.

Ezaruddin berkata pihaknya juga akan menyerahkan memorandum itu kepada Pejabat Perdana Menteri.

Kelab Belia Graduan 1Malaysia merupakan NGO yang terdiri daripada golongan profesional muda pelbagai bidang di seluruh negara yang ditubuhkan pada 10 November lepas dan kini mempunyai 8,000 anggota. BERNAMA

..................................................................................


Warga emas dihukum kes lagakan burung murai
Dis 28, 09 6:59pm

Mahkamah Majistret Kuala Lumpur diminta memandang berat kesalahan melaga-lagakan binatang bagi tujuan hiburan kerana aktiviti itu tidak berperikemanusiaan.

Timbalan pendakwa raya Norhanum Hassan berkata walaupun hanya melibatkan dua ekor burung murai, tetapi perbuatan itu tidak bertanggungjawab dan tidak boleh diabaikan.

Beliau berhujah demikian ketika memohon mahkamah menjatuhkan hukuman setimpal terhadap seorang warga emas Khoo Khang Huat, 70, dan 13 lelaki yang dituduh melakukan kesalahan itu di sebuah kelab rekreasi peminat burung di Jinjang, Kuala Lumpur, pada 9.30 pagi, 13 Disember lalu, mengikut Seksyen 44(1)(g) Ordinan Binatang 1953.

Majistret Abdullah Siddiq Mohd Nasir memerintahkan mereka yang berumur antara 27 hingga 70 tahun itu, masing-masing didenda RM130 dan penjara tiga bulan jika gagal membayar denda.

Kesemua mereka, yang merupakan pesara dan penganggur, diwakili peguam Ahmad Ridza Mohd Noh.

Pada masa yang sama, seorang lagi warga emas Chen Long, 72, bersama-sama 12 yang lain turut dikenakan denda yang sama oleh Majistret Aina Azahra Ariffin di mahkamah yang berlainan selepas mengaku bersalah terhadap pertuduhan yang sama.

Mereka yang berumur antara 27 hingga 72 tahun itu juga merupakan pesara dan penganggur diwakili peguam Khairul Amir Abdullah.

Pendakwaan dilakukan oleh timbalan pendakwa raya Aidatul Azura Zainal Abidin. BERNAMA

................................................................................