Showing posts with label tokoh guru. Show all posts
Showing posts with label tokoh guru. Show all posts

Tuesday, May 17, 2011

:: 16.05.2011: Tokoh kepimpinan pendidikan kebangsaan dan tokoh guru 2011..





16 Mei, 2011 20:44 PM


dari kiri: Datuk Prof. Dr. Abdul Rahim Selamat (Melaka), Datuk Siva Subramaniam (Perak), Pehin Sri Abdul Taib Mahmud (Ketua Menteri Sarawak), Tan Sri Muhyiddin Yasin (Tim. Perdana Menteri @ Menteri Pelajaran), Datuk Abd. Ghafar (Ketua Pengarah Pelajaran Malaysia,), Datuk Rita Jaafar (Sabah), wakil Puan Hamedah Wok Awang (Pahang) dan Datuk Matnor Daim (Sarawak).

Datuk Matnor Daim Dinobatkan Tokoh Kepimpinan Pendidikan Kebangsaan 2011

KUCHING, 16 Mei (Bernama) -- Bekas Ketua Pengarah Pendidikan Datuk Dr Nor Daim @ Matnor Daim dinobatkan sebagai penerima anugerah Tokoh Kepimpinan Pendidikan Kebangsaan 2011 sempena sambutan Hari Guru peringkat kebangsaan ke-40 hari ini.

Anak kelahiran Sibu, Sarawak itu menerima pingat emas, plak, sijil dan wang tunai berjumlah RM10,000.

Anugerah itu disampaikan oleh Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Pelajaran Tan Sri Muhyiddin Yassin pada majlis sambutan itu di Pusat Konvensyen Borneo Kuching di sini. Hadir sama ialah Ketua Menteri Sarawak Tan Sri Abdul Taib Mahmud.

Matnor, 68, yang memegang jawatan sebagai Ketua Pengarah Pendidikan pada tahun 1997 sebelum bersara sentiasa memajukan bidang pendidikan demi anak bangsa.

Beliau merupakan seorang yang bertanggungjawab mencetuskan "pemikiran kreatif dan lateral" di Kementerian Pelajaran dan mula menggunakan Modul Simulasi dalam proses pengajaran dan pembelajaran seawal tahun 1974.

Matnor telah banyak mencurahkan idea bernas dan sumbangan kepada bidang kepimpinan pendidikan melalui penglibatan aktif dalam seminar-seminar di dalam dan luar negara.

Ketika ditemui pemberita kemudiannya, Matnor berkata dengan berbekalkan semangat dan motivasi menerusi pendidikan, guru mampu berdepan dengan apa juga cabaran dalam menjalankan tugas mereka.

Pada majlis itu, empat tokoh yang banyak menyumbang dalam bidang pendidikan dipilih sebagai Tokoh Guru 2011. Mereka ialah Datuk Prof Dr Abdul Rahim Selamat dari Melaka, Datuk Siva Subramaniam dari Perak, Hamedah Wok Awang dari Pahang dan Datuk Rita Jaafar @ Rita Bagong dari Sabah. Masing-masing menerima pingat emas, plak, sijil dan wang tunai RM10,000.

Abdul Rahim, Dekan Fakulti Pendidikan Universiti Industri Selangor (UNISEL), berkata para pendidik harus sentiasa melengkapkan diri dengan pelbagai ilmu pengetahuan dalam usaha melahirkan modal insan.

"Mereka (guru) harus sentiasa belajar dari semasa ke semasa agar tidak ketinggalan dari segi ilmu pengetahuan yang berubah dengan laju," katanya.

Siva yang juga bekas Pesuruhjaya Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) pula berkata anugerah Tokoh Guru memberi satu inspirasi kepada beliau untuk terus berjuang dalam bidang pendidikan untuk melahirkan lebih ramai modal insan.

"Saya berasa syukur dan bangga kerana ia merupakan satu penghargaan yang paling istimewa," kata Siva yang banyak menyumbang dalam bidang kurikulum seperti memberikan latihan kepada guru-guru bahasa Inggeris, terlibat dalam pembinaan Modul Pengajaran Sains dan Matematik serta melatih murid-murid dalam aktiviti syarahan.

Bagi Rita yang telah berkhidmat dengan penuh dedikasi untuk meningkatkan kualiti latihan perguruan melalui teknik baru dan kaedah pengajaran serta pembelajaran, profesion perguruan memerlukan kerjasama semua pihak untuk melahirkan generasi muda yang akan memajukan negara pada masa akan datang.

"Profesion perguruan bukan kejayaan satu-satu pihak tetapi kejayaan semua dalam profesion ini. Pegangan hidup saya ialah do the best for all," katanya.

Sementara itu, Hamedah yang lumpuh separuh badan berikutan satu kemalangan jalan raya pada tahun 1999, tidak hadir pada majlis hari ini. Koma selama enam bulan akibat kemalangan itu tidak mematahkan semangatnya untuk terus menyumbang dalam bidang pendidikan.

Dalam tempoh 10 tahun kebelakangan ini, beliau telah berjaya menghasilkan 12 buah karya berkaitan pendidikan.

-- BERNAMA


Monday, May 17, 2010

:: Tokoh Kepimpinan Pendidikan (Guru) 2010

Profesor Ibrahim Penerima Anugerah Tokoh Kepimpinan Pendidikan 2010


Profesor Datuk Dr Ibrahim Bajunid (tiga, kiri) dinobatkan
sebagai penerima anugerah Tokoh Kepimpinan Pendidikan
2010 pada majlis pelancaran perayaan hari Guru ke-39
peringkat kebangsaan di Kuantan, hari ini.
Beliau dipilih berdasrkan sumbangannya
sebagai perunding dalam membuat dasar kerajaan,
sektor swasta dan badan bukan kerajaan (NGO).
Turut menerima anugerah pada majlis itu
Ainun Jamilah Mohd Ali (kiri)
Awang Mohamad (dua, kiri)
Datuk Chuang Keng Kuang (dua, kanan)
dan Encharang Agas (diwakili anak, kiri).
- Foto BERNAMA

KUANTAN: Profesor Datuk Dr Ibrahim Ahmad Bajunid dipilih selaku penerima anugerah Tokoh Kepimpinan Pendidikan 2010 sempena Sambutan Hari Guru ke-39 hari ini.

Ibrahim merupakan mantan Pengarah Institut Aminuddin Baki (IAB) dipilih penerima anugerah berkenaan di atas sumbangannya sebagai perunding dalam pembuatan dasar kerajaan, sektor swasta dan badan bukan kerajaan.

Beliau adalah Penasihat Kebangsaan/Perunding Asia-Eropah Pembelajaran Sepanjang Hayat di Malaysia dan kini terlibat dalam beberapa projek penyelidikan dan mengawasi beberapa pelajar peringkat Sarjana dan Kedoktoran.

Ibrahim juga menganggotai Lembaga Penasihat Akademik di beberapa pusat pengajian tinggi negara dan beliau telah menulis lebih daripada lima ratus rencana dan penulisan ilmiah yang merangkumi isu penting dalam pembangunan nasional yang berkaitan dengan pendidikan, modal insan, intelektual dan sosial.


Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin (tengah)
bersama Menteri Besar Pahang Datuk Seri Adnan Yaakob
(enam, kanan) dan Ketua Pengarah Pelajaran
Tan Sri Alimuddin Mohd Dom (lima, kanan)
bergambar kenangan dengan penerima
Anugerah Tokoh Guru Kebangsaan pada
majlis Pelancaran Perayaan Hari Guru ke-39
Peringkat Kebangsaan 2010
di Universiti Malaysia Pahang (UMP)
di Kuantan, hari ini.

Ibrahim berkata bila seseorang menerima sesuatu anugerah bukan atas usahanya sendiri sahaja malah turut membabitkan usaha orang lain.

"Anugerah ini adalah untuk semua kaum guru yang memikul tanggungjawab yang besar mendidik anak bangsa.

"Guru mempunyai cabaran yang banyak untuk perubahan masyarakat bukan sahaja di negara ini malah seantero dunia," katanya ketika ditemui pemberita pada majlis sambutan Hari Guru peringkat Kebangsaan di sini, hari ini.

Sementara itu, empat bekas guru, Awang Mohamad, 59, Encharang Agas, 66, Datuk Chuang Keng Kung, 72, dan Ainun Jamilah Mohd Ali, 60, pula telah dipilih bagi menerima anugerah Tokoh Guru 2010.

Anugerah Tokoh Kepimpinan Pendidikan dan anugerah Tokoh Guru 2010 itu disampaikan Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin yang juga Menteri Pelajaran.

Salah seorang penerima Tokoh Guru berkenaan, Awang Mohamad amat berbangga dengan anugerah yang diterima itu.

"Tahun demi tahun saya lihat upacara pelancaran ini semakin hebat dan ini merupakan satu manifestasi kepada lebih 400,000 guru dan 7,000 Guru Besar seluruh negara," katanya.

Bagaimanapun beliau mengharapkan anugerah Tokoh Guru itu dapat diperluaskan lagi kerana nisbah empat penerima dengan jumlah guru yang ada amat sedikit.

Kesemua pemenang berkenaan masing-masing menerima wang tunai RM10,000, piala serta sijil penganugerahan.

Sementara itu, Ketua Pengarah Pelajaran Tan Sri Datuk Alimuddin Mohd Dom ketika berucap pada majlis itu berkata kunci kepada kecemerlangan pendidikan ialah guru-guru yang berkualiti.


Guru-guru mengibarkan jalur gemilang
ketika menyanyikan lagu Negaraku.

Katanya dalam usaha untuk meningkatkan kualiti guru dan memartabatkan profesionalisme keguruan, agendanya bukan hanya sekadar penambahbaikan skim perkhidmatan dan kebajikan semata-mata.

"Ianya turut bergantung kepada tahap kualiti, kompetensi, jati diri dan semangat para guru. Faktor-faktor ini banyak mempengaruhi persepsi dan penerimaan masyarakat terhadap profesion ini yang akhirnya, akan menentukan sejauh mana profesion keguruan akan terus dihormati dan dipandang tinggi," katanya.

Para pendidik juga katanya, hendaklah sentiasa bersedia untuk berubah dari satu tahap amalan kerja yang biasa ke suatu tahap yang berprestasi tinggi. - BERNAMA