Thursday, July 31, 2008

:: Wisma Sri Pahang... nak disita?

Kena sita jika tak bayar RM37j
Oleh Sariha Mohd Ali Oleh Sariha Mohd Ali
sariha@bharian.com.my
KUANTAN: Bangunan pentadbiran Kerajaan Pahang di Wisma Sri Pahang, di sini akan disita jika kerajaan negeri gagal mematuhi arahan terbaru dikeluarkan Mahkamah Tinggi supaya melunaskan bayaran ganti rugi berjumlah lebih RM37 juta kepada syarikat pembalakan, Seruan Gemilang Makmur Sdn Bhd (SGMSB).

Mahkamah Tinggi di sini pada 7 Mac lalu, mengeluarkan perakuan amaun penghakiman berjumlah RM37,127,471.60 dan memberi tempoh sehingga 7 April lalu untuk kerajaan negeri melunaskan tuntutan itu tetapi SGMSB mendakwa tiada maklum balas. Susulan itu, SGMSB pada 16 Julai lalu, memfailkan permohonan baru kepada Mahkamah Tinggi di sini, dengan menamakan Setiausaha Kerajaan Pahang dan Pegawai Kewangan Negeri sebagai pihak yang perlu melunaskan ganti rugi mewakili kerajaan negeri. Pengarah SGMSB, Syed Ali Badaruddin Syed Osman, berkata jika kerajaan negeri gagal mematuhi arahan itu, pihaknya akan meneruskan saman dan kemudian memohon mahkamah mengeluarkan perintah penyitaan Wisma Sri Pahang, selain perintah menghina mahkamah.
"Kes ini masih belum selesai dan tindakan tegas perlu kerana jumlah ganti rugi itu dan kini melebihi RM60 juta berdasarkan faedah lapan peratus setahun bermula 31 Disember 2000 hingga dijelaskan seperti diputuskan Mahkamah Tinggi," katanya pada sidang media di lobi Wisma Sri Pahang di sini, semalam. SGMSB berjaya dalam tuntutan samannya terhadap Kerajaan Pahang dan Pengarah Jabatan Perhutanan Negeri Pahang (JPNP) selepas Mahkamah Rayuan yang bersidang 13 Februari lalu, menolak rayuan dikemukakan Kerajaan Pahang terhadap keputusan dibuat Mahkamah Tinggi pada 25 Mei 2007 yang menetapkan jumlah ganti rugi itu. Kes itu susulan saman dikemukakan SGMSB pada 20 Mac 2002, terhadap kerajaan negeri dan Pengarah JPNP bagi menuntut ganti rugi am, faedah dan kos bernilai kira-kira RM2.17 juta berikutan kecuaian defendan menyebabkan kawasan pembalakan diluluskan kepada SGMSB bertindih dengan syarikat lain.