Friday, July 11, 2008

:: UMNO: PakLah kepada Najib





Berita Utama

Pelan Peralihan Kuasa - PM Serah Jawatan Pertengahan 2010
Oleh Ropikah Ahmad dan Zailan Mohamad
Gambar oleh Zainul Asri Mohamed Razali
KUALA LUMPUR - Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Haji Ahmad Badawi mengumumkan pelan peralihan kuasa untuk menyerahkan jawatan beliau selaku Presiden UMNO bermula hari ini hinggalah pertengahan tahun 2010 kepada timbalannya Datuk Sri Najib Tun Razak. Katanya, tindakan tersebut adalah satu pelan peralihan kuasa yang diambil sebagai satu kesepakatan dan telah memaklumkan bahawa beliau tidak akan memimpin parti Barisan Nasional (BN) dan UMNO pada pilihan raya umum ke-13. “Pada pertemuan tadi (dengan kepimpinan UMNO Bahagian), saya turut memaklumkan kepada mereka (mengenai peralihan kuasa) dan Alhamdulillah, apa yang saya kata tadi mendapat respon yang baik,” katanya lagi. Tegasnya juga tiada perubahan akan berlaku kepada tarikh itu. Perkara itu mendapat pengesahan semua ahli Majlis Tertinggi dan semua Ketua Bahagian dan pemimpin ketiga-tiga pergerakan sayap dalam UMNO.
Beliau berkata demikian dalam sidang media sejurus selesai taklimat khas kepada kepimpinan UMNO Bahagian, di sini pada hari ini (10 Julai 2008). Sebelum itu, beliau mempengerusikan mesyuarat Majlis Tertinggi di Menara Dato’ Onn, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC). Beliau memilih timbalannya sebagai pengganti kerana yakin akan kemampuan dan akan berusaha untuk bersama-sama perkukuhkan parti untuk menjadi lebih kuat.
Walaubagaimanapun, pada pemilihan parti pada Disember ini beliau tetap akan mempertahankan jawatan Presiden dan menyatakan Datuk Sri Mohd Najib dapat terus menjadi timbalannya dan amat menghargai persahabatan yang sedia terjalin. “Niat dan tujuan saya adalah untuk mengukuhkan parti dan menunaikan janji-janji yang telah dinyatakan dalam manifesto semasa pilihan raya lalu,” ujar beliau.
Dalam sidang media yang sama juga, Datuk Sri Mohd Najib menyatakan rasa terharu atas kepercayaan yang diberikan oleh Perdana Menteri kepada beliau. “Keputusan ini melambangkan proses peralihan kepimpinan boleh dibuat dengan baik secara tradisi,” ujarnya. Secara tradisinya, peralihan kuasa di dalam parti UMNO melalui proses yang tenang, dengan penuh kemuliaan dan tertib. Dalam masa yang sama juga beliau menyatakan kesediaan untuk mempertahankan jawatan Timbalan Presiden serta mengharapkan sokongan yang padu daripada semua pihak diberikan kepada Perdana Menteri dan berharap pelan peralihan kuasa ini diterima dan diakui.
Ketika ditanya mengapa tahun 2010 dipilih, Dato Seri Abdullah berkata proses peralihan kuasa mengambil masa dan beliau yakin pada masa itu timbalannya sudah bersedia kerana pelan peralihan kuasa tersebut mestilah dilaksanakan dengan baik dan penggantinya pula mestilah yang boleh menjadi pemimpin kepada parti. Di samping itu, beliau turut menegaskan sekiranya berlaku persaingan akan menyebabkan berlakunya perpecahan dalam parti. “Tindakan ini adalah wajar tanpa mengira kepada desakan pembangkang,” katanya. Beliau juga berharap projek-projek kerajaan berjalan dengan lancar dan akan diteruskan.