Showing posts with label perkhidmatan. Show all posts
Showing posts with label perkhidmatan. Show all posts

Tuesday, February 15, 2011

:: Dilema... skim perkhidmatan guru, pensyarah IPG dan pensyarah IPTA...

Minat... peluang... kerjaya... dan pilihan masing2 akan berkaitan dengan pendapatan dan kepuasan bekerja yang bakal diperolehi. Kesemua ini berkaitan pula dengan skim perkhidmatan yang ditawarkan. Apa2pun... skim perkhidmatan yang berbeza... biasanya memberi imbuhan yang berbeza... walaupun kita mempunyai kelayakan akademik yang sama.


Guru berijazah di sekolah... pensyarah di IPG... dan pensyarah di IPTA... mempunyai kelayakan akademik yang hampir sama iaitu... memiliki ijazah pertama... ijazah kedua dan ada yang telah memiliki ijazah kedoktoran. Banyak pihak telah menimbulkan isu ini...

Berikut ini... dipaparkan luahan bekas dekan fakulti pendidikan IPTA dan jawapan daripada pihak Kementerian Pengajian Tinggi... untuk renungan kita bersama.



http://www.bharian.com.my/bharian/articles/PensyarahIPTADG45wajardiberigajisetarafskimgurucemerlang/Article


Pensyarah IPTA DG45 wajar diberi gaji setaraf skim guru cemerlang

2011/02/08

DUA MINGGU ini kita membaca di akhbar mengenai tuntutan gaji pokok pengawal keselamatan oleh Presiden Persatuan Perkhidmatan Kawalan Keselamatan Malaysia (PPKKM) dan pensyarah farmasi terhadap Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA).

Tahun lalu saya ada membaca beberapa rayuan dan keluhan pensyarah IPTA (bekas guru yang berpindah ke IPTA) Gred DS45 yang disiarkan oleh pelbagai media perdana. Sehingga kini, nasib mereka masih tiada ketentuan jawapan daripada Bahagian Sumber Manusia, Kementerian Pengajian Tinggi mahupun JPA.

Sebagai seorang profesor pencen yang pernah menjawat jawatan Dekan di sebuah universiti terbaik di negara ini, saya melihat pensyarah Gred DS45 dianaktirikan. Sebahagian besar pensyarah ini adalah bekas guru yang sudah berkhidmat di sekolah lebih dari lebih 15 tahun. Dengan pengalaman, kepakaran dan kebolehan yang baik, mereka diterima menjadi pensyarah di IPTA. Kini, setelah berkhidmat lima tahun dan disahkan dalam jawatan di IPTA, malangnya gaji mereka amat rendah berbanding gaji guru sekolah yang bergred DG44, DG48, DG52 (guru cemerlang) atau pensyarah IPG yang bergred DG48 atau DG52.
Bayangkan dengan pengalaman bekerja 20 tahun itu, gaji pensyarah ini masih berada dalam kategori ‘kemiskinan’ jika diukur daripada kadar Keluaran Negara Kasar (KNK) negara. Gaji guru yang sudah melalui beberapa kali penstrukturan semula itu tidak memihak kepada pensyarah IPTA Gred DS45 ini. Bayangkan juga seorang guru Tingkatan 6 (DG48) mendapat bayaran gaji lebih tinggi daripada seorang pensyarah IPTA DS45 yang terpaksa mengajar kumpulan sarjana, menulis jurnal, menulis buku, menulis kertas kerja, menghadiri seminar, membuat penyelidikan dan mengajar kumpulan ijazah pertama yang jumlah pelajarnya melebihi 100 orang bagi satu-satu kursus tetapi gaji mereka ini jauh lebih rendah daripada gaji seorang guru.

Saya melihat sistem gred gaji IPTA ialah DS45 (tanpa PhD) dan DS52 (PhD ke atas) ini sudah tidak sesuai lagi. Terus terang saya katakan bahawa guru yang menjadi pensyarah di IPTA, dengan pengalaman mengajar serta sudah membuktikan kepakaran mereka dalam bidang tertentu (untuk melayakkan mereka menjadi pensyarah IPTA) itu, mereka sebenarnya mempunyai ilmu yang lebih baik daripada sesetengah pensyarah muda yang mempunyai PhD tetapi tidak menguasai ilmu pedagogi. Sayangnya, pengalaman, kepakaran dan kebolehan ini tidak dihargai oleh IPTA mahupun Kementerian Pengajian Tinggi (KPT).

Kepada Bahagian Sumber Manusia dan KPT, pandang-pandanglah kumpulan (bekas guru) ini supaya mereka beroleh pendapatan yang setimpal dengan apa yang mereka lakukan juga setaraf dengan dengan rakan mereka yang bergelar guru di sekolah. Tugas seorang pensyarah sebenarnya lebih berat berbanding guru sekolah.

Jika KPT ingin bertegas dengan ‘kelayakan’ PhD, saya ingin mencadangkan supaya golongan ini diberikan kenaikan gaji setaraf dengan skim guru cemerlang (DG48/DG52) supaya pengalaman bertugas dan kepakaran pensyarah kumpulan ini dihargai.

BEKAS DEKAN FAKULTI PENDIDIKAN,
Kuala Lumpur.





Guru, pensyarah tak sama skim perkhidmatan

2011/02/15

MERUJUK kepada aduan oleh 'Bekas dekan fakulti pendidikan, Kuala Lumpur' dalam ruangan ini bertarikh 8 Februari lalu bertajuk 'Pensyarah IPTA DG45 wajar diberi gaji setaraf skim guru cemerlang'.

Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) berpandangan bahawa isu yang dibangkitkan tidak wajar timbul kerana skim Perkhidmatan Pensyarah Universiti (DS) dan skim Perkhidmatan Pegawai Pendidikan Siswazah (DG) adalah dua skim perkhidmatan yang berbeza.

Gred DS45 adalah gred lantikan bagi Skim Perkhidmatan Pensyarah Universiti, manakala gred DG44/48/52 adalah gred kenaikan pangkat bagi Skim Perkhidmatan Pegawai Pendidikan Siswazah.

Seseorang yang dilantik sebagai pensyarah universiti adalah tertakluk kepada syarat yang ditetapkan dalam skim perkhidmatan pensyarah universiti.

Sekiranya mereka mempunyai pengalaman bekerja sebelum dilantik ke skim perkhidmatan ini, perkara itu sudah pun diambil kira dalam penetapan gaji permulaan, seperti yang ditetapkan dalam peraturan lantikan, naik pangkat dan penamatan perkhidmatan (PU(A) 176) 2005.

Skim perkhidmatan pensyarah universiti menetapkan kenaikan pangkat berdasarkan kecemerlangan akademik. Pensyarah yang memenuhi kriteria kecemerlangan akademik boleh dipertimbang dinaikkan pangkat dan menikmati gaji yang lebih tinggi.

Dalam hubungan ini terpulanglah kepada pensyarah untuk meningkatkan kemajuan kerjaya mereka dengan berusaha memenuhi kriteria kecemerlangan akademik yang ditetapkan.
Untuk jangka panjang, kemajuan kerjaya pensyarah universiti sebenarnya adalah lebih baik kerana berpeluang dinaikkan pangkat sehingga ke jawatan Gred Utama Turus dan Profesor Ulung sekiranya mereka mencapai tahap kecemerlangan yang tinggi dan memenuhi kriteria dan syarat ditetapkan.

UNIT KOMUNIKASI KORPORAT,
Kementerian Pengajian Tinggi.



Saturday, January 30, 2010

:: Kesan bersara pilihan selepas 01.02.2010

29 Januari, 2010 21:33 PM

Persaraan Pilihan Penjawat Awam Diluluskan Dengan Syarat

KUALA LUMPUR, 29 Jan (Bernama) -- Kerajaan memutuskan persaraan pilihan anggota sektor awam akan diluluskan dengan syarat mereka bersetuju dibayar 20 peratus daripada ganjaran atau RM10,000 terlebih dahulu, mengikut mana yang lebih, ketika bersara.

Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam Tan Sri Ismail Adam berkata bayaran selebihnya akan dibayar pada tarikh yang akan ditetapkan kerajaan, tetapi tidak melampaui tarikh anggota mencapai umur bersara wajib.

Katanya bagaimanapun wang tunai sebagai Gantian Cuti Rehat (GCR) dan pencen bulanan akan dibayar sepenuhnya mengikut peruntukan undang-undang pencen.

Dalam satu kenyataan Jumat, Ismail menjelaskan bahawa ganjaran yang dimaksudkan akan dibayar kepada pesara selepas semua hutang piutangnya kepada kerajaan telah dijelaskan.

"Sekiranya ganjarannya didapati tidak mencukupi untuk menampung hutang piutang, maka baki hutang piutang akan ditolak daripada GCR, jika ganjaran dan GCR tidak mencukupi untuk menampung hutang piutang, bakinya akan ditolak daripada pencen pesara sehingga selesai," katanya.

Ismail berkata kelonggaran boleh diberikan atas sebab anggota atau ahli keluarganya memerlukan rawatan perubatan (berdasarkan surat akuan bertulis oleh pegawai perubatan Kerajaan), anggota atau ahli keluarganya memerlukan perbelanjaan pendidikan (berdasarkan surat tawaran dan penerimaan pengajian) dan anggota yang memerlukan kewangan bagi mengelakkan diri daripada tindakan kebankrapan (berasaskan dokumen berkaitan tindakan undang-undang).

Sekiranya anggota bersetuju dengan syarat bersara itu, mereka hendaklah mengisi dan mengemukakan Surat Persetujuan/Permohonan Pengecualian Syarat Penangguhan Bayaran Sebahagian Ganjaran Berkaitan Persaraan Pilihan, katanya.

"Memandangkan kelulusan permohonan persaraan pilihan bagi pegawai perkhidmatan awam negeri dilakukan oleh Pihak Berkuasa Negeri, Surat Lampiran B bagi mereka hendaklah dikemukakan kepada Pihak Berkuasa Negeri dengan satu salinan kepada JPA (Jabatan Perkhidmatan Awam) ketika permohonan faedah persaraannya dihantar, manakala permohonan pengecualian syarat penangguhan sekiranya ada hendaklah dicatatkan di atas surat yang sama untuk pertimbangan JPA," katanya.

Sekiranya pesara meninggal dunia sebelum menerima ganjaran sepenuhnya, baki ganjaran akan dibayar serta-merta kepada orang tanggungannya seperti ditafsirkan dalam Peraturan 15 (2),Peraturan-Peraturan Pencen 1980 atau Peraturan 13(2) Peraturan-Peraturan Pencen Pihak-Pihak Berkuasa Berkanun dan Tempatan 1990 iaitu balu atau duda; anak; balu atau duda dan anak; atau ibu kepada anggota yang mati atau sekiranya ibu mati, bapa tanggungannya.

Bagi anggota yang ingin supaya baki ganjaran tersebut dibayar kepada selain daripada orang yang dinyatakan, beliau hendaklah mengisi surat akuan seperti di Lampiran C (untuk pesara beragama Islam) atau lampiran D (untuk pesara bukan beragama Islam) dan surat itu hendaklah dikemukakan kepada JPA bersama dengan dokumen permohonan faedah persaraannya.

Ismail berkata syarat penangguhan bayaran sepenuhnya ganjaran berkaitan dengan persaraan pilihan itu hanya terpakai bagi kelulusan persaraan pilihan pada dan selepas 1 Feb tahun ini.

"Semua persaraan pilihan yang telah diluluskan sebelum 1 Feb 2010 walaupun tarikh kuat kuasa persaraannya adalah selepas tarikh itu akan dibayar ganjaran sepenuhnya," katanya.

-- BERNAMA