Showing posts with label KSN. Show all posts
Showing posts with label KSN. Show all posts

Thursday, June 09, 2011

:: Kontrak KSN disambung setahun lagi...





08/06/2011 - Kontrak KSN disambung setahun

KUALA LUMPUR 7 Jun - Tan Sri Mohd. Sidek Hassan dilantik semula sebagai Ketua Setiausaha Negara (KSN) secara kontrak selama setahun mulai 24 Jun ini hingga 23 Jun tahun depan.

Menurut Pejabat Perdana Menteri dalam kenyataan media hari ini, pelantikan semula Mohd. Sidek, 59, telah diperkenankan oleh Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Mizan Zainal Abidin atas kepentingan negara.

"Perkhidmatan beliau sebagai Ketua Setiausaha Negara masih diperlukan terutama dalam meningkatkan lagi sistem penyampaian Perkhidmatan Awam Malaysia dan memastikan inisiatif yang telah dilancarkan oleh kerajaan menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara maju dilaksanakan dengan berkesan," kata kenyataan itu.

Kata kenyataan itu, Mohd. Sidek dilantik sebagai KSN pada 3 Sept 2006 sehingga bersara wajib pada 23 Jun 2007 kerana mencapai umur 56 tahun pada tarikh tersebut.

Beliau dilantik semula secara kontrak sebagai KSN untuk tempoh dua tahun mulai 24 Jun 2007 hingga 23 Jun 2009.

Perkhidmatan beliau kemudian dilanjutkan lagi untuk tempoh setahun mulai 24 Jun 2009 hingga 23 Jun 2010 dan 24 Jun 2010 hingga 23 Jun 2011.



Wednesday, May 25, 2011

:: Cuti tambahan... sempena Hari Raya Puasa dan Hari Kebangsaan tahun 2011 ?




23/05/2011 - Hari Kelepasan Am Tambahan Sempena Pertindihan Hari Raya Puasa dan Hari Kebangsaan pada 31 Ogos 2011

Adalah dimaklumkan bahawa Kerajaan telah memutuskan supaya satu hari kelepasan am tambahan 2011 ditetapkan bagi seluruh negara berikutan hari kelepasan am sempena Hari Raya Puasa yang dijangka akan bertindih dengan Hari Kebangsaan pada Rabu, 31 Ogos 2011.

2. Tertakluk kepada pengumuman tarikh Hari Raya Puasa oleh Majlis Raja-Raja kelak, maka satu hari kelepasan am tambahan ditetapkan seperti berikut, iaitu:

(a) sekiranya Hari Raya Puasa (Hari Pertama) jatuh pada Selasa, 30 Ogos 2011 dan Hari Raya Puasa (Hari Kedua) dan Hari Kebangsaan bertindih pada Rabu 31 Ogos 2011 maka Khamis, 1 September 2011 ditetapkan sebagai hari kelepasan am tambahan; atau

(b) sekiranya Hari Raya Puasa (Hari Pertama) jatuh pada Rabu, 31 Ogos 2011 dan bertindih dengan Hari Kebangsaan dan Hari Raya Puasa (Hari Kedua) pula jatuh pada Khamis, 1 September 2011 maka Jumaat, 2 September 2011 ditetapkan sebagai hari kelepasan am tambahan.

3. Pengisytiharan satu hari kelepasan am tambahan ini bagi Semenanjung Malaysia dan Wilayah Persekutuan Labuan telah diwartakan berdasarkan seksyen 8 Akta Hari Kelepasan 1951. Manakala urusan pewartaan bagi negeri-negeri Sabah dan Sarawak, masing-masing berdasarkan seksyen 9 Ordinan Hari Kelepasan Sabah [Sabah Bab 56] bagi negeri Sabah dan seksyen 5 Ordinan Hari Kelepasan Am Sarawak [Sarawak Bab 8] bagi negeri Sarawak sedang diuruskan oleh kerajaan negeri masing-masing.

4. Pengumuman ini diharap dapat mengelak kekeliruan di kalangan orang ramai terhadap hari-hari kelepasan am tersebut dan membolehkan perancangan awal dibuat untuk menyambut perayaan Hari Raya Puasa dan Hari Kebangsaan kelak.




(TAN SRI SIDEK HASSAN)
Ketua Setiausaha Negara

23 Mei 2011



Tuesday, July 27, 2010

:: Guru/PPPS DG41- DG48 dibenarkan berpolitik ?

Media Statements




27/07/2010 - Keputusan Membenarkan Pegawai Pendidikan Siswazah Gred DG41 hingga Gred DG48 yang berkhidmat dalam Institusi Pendidikan Melibatkan Diri Dalam Politik



KENYATAAN MEDIA

Keputusan Membenarkan Pegawai Pendidikan Siswazah
Gred DG41 Hingga Gred DG48 Yang Berkhidmat Dalam
Institusi Pendidikan Melibatkan Diri Dalam Politik
--------------------------------------------------------------------------------------

Adalah dimaklumkan bahawa mengikut Peraturan 21(2) Peraturan-Peraturan Pegawai Awam (Kelakuan dan Tatatertib) 1993 [P.U. (A) 395/1993], hanya pegawai dalam Kumpulan Sokongan boleh bertanding atau memegang jawatan atau dilantik ke dalam apa-apa jawatan dalam suatu parti politik dengan syarat pegawai tersebut hendaklah terlebih dahulu mendapat kelulusan bertulis Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam atau Ketua Setiausaha Kementerian yang berkenaan, mengikut mana-mana yang berkenaan.

2. Dalam hubungan ini, Peraturan tersebut akan dipinda bagi membolehkan Pegawai Perkhidmatan Pendidikan Siswazah Gred DG41 hingga Gred DG48, selain Pengetua atau Guru Besar di institusi pendidikan dan pegawai yang memegang apa-apa jawatan pentadbiran dalam mana-mana agensi Kerajaan, untuk bertanding atau memegang jawatan atau dilantik ke dalam apa-apa jawatan dalam suatu parti politik setelah mendapat kelulusan bertulis daripada Ketua Setiausaha Kementerian Pelajaran terlebih dahulu. Ketua Setiausaha Kementerian Pelajaran tidak boleh mewakilkan kuasanya untuk memberikan kelulusan bertulis itu kepada mana-mana orang lain dan apa-apa keputusan Ketua Setiausaha Kementerian Pelajaran adalah muktamad.

3. Kemudahan ini merupakan satu langkah pembaharuan dalam Perkhidmatan Awam, berlandaskan hakikat para guru suatu masa dahulu memain peranan yang penting dalam memimpin masyarakat dalam senario politik negara. Masanya sudah tiba mereka dibenar aktif semula dalam politik. Namun, syarat-syarat ketat akan dikenakan agar tugas dan fokus utama mereka iaitu mendidik anak-anak tidak terjejas dengan penglibatan dalam politik.

4. Untuk ini pindaan terhadap Peraturan 21 Peraturan-Peraturan Pegawai Awam (Kelakuan dan Tatatertib) 1993 telah diperkenan oleh Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong untuk dikuatkuasakan mulai 1 Ogos 2010. Tindakan sedang diambil untuk mewartakan pindaan Peraturan tersebut.

5. Mereka yang dibenarkan terlibat dalam politik kelak hendaklah mematuhi sepenuhnya Peraturan-Peraturan Pegawai Awam (Kelakuan dan Tatatertib) 1993. Syarat-syarat mengenai perkara ini sedang disediakan bersama oleh Jabatan Perkhidmatan Awam dan Kementerian Pelajaran. Mereka juga hendaklah mematuhi syarat-syarat berkaitan dengan batasan tugas mereka sebagai Pegawai Perkhidmatan Pendidikan dengan aktiviti mereka dalam politik.




(TAN SRI MOHD. SIDEK BIN HJ. HASSAN)
Ketua Setiausaha Negara

Julai 2010