Thursday, June 09, 2011

:: Kontrak KSN disambung setahun lagi...





08/06/2011 - Kontrak KSN disambung setahun

KUALA LUMPUR 7 Jun - Tan Sri Mohd. Sidek Hassan dilantik semula sebagai Ketua Setiausaha Negara (KSN) secara kontrak selama setahun mulai 24 Jun ini hingga 23 Jun tahun depan.

Menurut Pejabat Perdana Menteri dalam kenyataan media hari ini, pelantikan semula Mohd. Sidek, 59, telah diperkenankan oleh Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Mizan Zainal Abidin atas kepentingan negara.

"Perkhidmatan beliau sebagai Ketua Setiausaha Negara masih diperlukan terutama dalam meningkatkan lagi sistem penyampaian Perkhidmatan Awam Malaysia dan memastikan inisiatif yang telah dilancarkan oleh kerajaan menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara maju dilaksanakan dengan berkesan," kata kenyataan itu.

Kata kenyataan itu, Mohd. Sidek dilantik sebagai KSN pada 3 Sept 2006 sehingga bersara wajib pada 23 Jun 2007 kerana mencapai umur 56 tahun pada tarikh tersebut.

Beliau dilantik semula secara kontrak sebagai KSN untuk tempoh dua tahun mulai 24 Jun 2007 hingga 23 Jun 2009.

Perkhidmatan beliau kemudian dilanjutkan lagi untuk tempoh setahun mulai 24 Jun 2009 hingga 23 Jun 2010 dan 24 Jun 2010 hingga 23 Jun 2011.