Showing posts with label GSTT. Show all posts
Showing posts with label GSTT. Show all posts

Tuesday, August 02, 2011

:: SURAT : GSTT terkilan...?





Terkilan penyerapan GSTT hanya untuk dua tahun ke atas


2011/08/01

SAYA adalah Guru Sandaran Tidak Terlatih (GSTT) yang tempoh perkhidmatan baru menjangkau setahun. Saya ingin menyuarakan rasa terkilan dengan keputusan yang dibuat berkaitan isu penyerapan GSTT.

Ini berikutan kenyataan Kementerian Pelajaran bahawa tawaran penyambungan dan penyerapan hanya diberi kepada GSTT yang berkhidmat dua tahun atau lebih saja.
Mengapa perlu mengabaikan GSTT yang tempoh perkhidmatan selama setahun ini? Apakah tempoh itu masih belum mencukupi untuk melayakkan kami menerima keistimewaan seperti GSTT lain ditambah dengan latihan yang kami terima jika diberi peluang kelak?

Saya rasa tidak ada perkara yang membezakan kami dengan GSTT lain. Ada sesetengah guru tetap yang sebelum ini tidak mengetahui status sebenar saya mengandaikan saya sebagai guru tetap dan agak terkejut selepas diberitahu saya hanyalah GSTT. Saya merayu agar pihak kementerian menilai kembali syarat yang ditetapkan ini.

BEKAS GSTT,
Pulau Pinang.




Saturday, May 14, 2011

:: SARAWAK : Kurang guru tempatan bagi subjek Pendidikan Agama Islam..?






Sarawak kurang guru tempatan bagi subjek Pendidikan Agama Islam

Posted on May 14, 2011, Saturday

KUCHING: Sarawak masih kekurangan guru tempatan bagi mata pelajaran Pendidikan Agama Islam yang kini bergantung kepada guru dari Semenanjung Malaysia.

Pengarah Pelajaran Sarawak Abdillah Adam berkata ia memaksa jawatan kosong bagi perkara berkenaan diisi oleh guru dari Semenanjung khasnya yang mengkhusus dalam bidang agama seperti kursus j-Qaf (Jawi, Al-Quran, Bahasa Arab dan Fardhu Ain).

Tidak dinafikan di Sarawak memang ada kekurangan tenaga pengajar tetapi kata beliau bukan secara keseluruhan kerana ia kurang dari segi mata pelajaran yang diajar.

“Memang ada mata pelajaran yang kita masih kekurangan guru dan saya yakin perkara ini boleh diatasi malahan kita boleh menggunakan khidmat guru sandaran.

“Cuma sekarang ini apa yang saya nampak adalah mata pelajaran Pendidikan Agama Islam yang ramai menggunakan khidmat guru dari Semenanjung… jadi untuk anak-anak Sarawak saya merasakan kita masih kekurangan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan prapelancaran Festival Hari Guru 2011 anjuran Kementerian Pelajaran Malaysia dan Kumpulan Utusan yang dihadiri oleh Pengarah Eksekutif Kumpulan Utusan Datuk Mohd Nasir Ali dan Ketua Pegawai Eksekutif TM Smart School Zainudin Ismail di Tebingan Kuching di sini, semalam.

Beliau yang mengulas mengenai pelaksanaan pengambilan 50 peratus anak tempatan bagi profesion keguruan berkata ia bergantung kepada guru yang ditempatkan.

Namun katanya, apa yang utama kini adalah guru harus ada dalam kelas tanpa mengira dari mana asalnya kerana yang penting proses pengajaran dan pembelajaran itu harus berjalan.

“Memang usaha kita meramaikan guru tempatan bagi dimasukkan ke Institut Pendidikan Guru bagi mendapat latihan dan itu yang kita lakukan pada masa sekarang.

“Kalau kita tidak dapat memenuhi 50 peratus, yang utama bagi saya sebagai pengarah adalah ada guru dalam kelas tanpa mengira dari mana mereka datang,” tegasnya.

Malahan beliau mendedahkan bahawa daripada kira-kira 43,000 guru sekolah menengah dan rendah di seluruh negeri ini, majoriti daripada mereka adalah anak tempatan.

Berhubung langkah menggunakan khidmat Guru Sandaran Tidak Terlatih (GSTT) katanya, di Sarawak masih ada sekolah yang menggunakan khidmat mereka.

Beliau menjelaskan bahawa, bagi menempatkan GSTT di sekolah ia harus bergantung kepada jumlah waran perjawatan yang diberikan kepada Jabatan Pelajaran.

“Setakat ini di Sarawak masih ada sekolah menggunakan khidmat GSTT kerana kalau ada kekosongan kita akan gunakan dan untuk itu kita memerlukan kelulusan daripada kementerian (Jabatan Perkhidmatan Awam) waran perjawatan yang diberikan kepada kita,” kata Abdillah.

Beliau yang ditanya mengenai isu guru yang balik awal (pada Jumaat) atau tidak ada semasa persekolahan, berkata setakat ini tidak ada laporan rasmi mengenainya kepada jabatan.

“Sejak saya berkhidmat dua bulan ini, tidak ada laporan rasmi dibuat… kalau ada yang balik mungkin kerana mereka ada urusan, misalnya yang membabitkan kewangan.

“Mereka tidak ada pilihan terutamanya yang berada di pedalaman dan kalau mereka datang pada Sabtu macam mana mahu berurusan.

“Itu yang kadang-kadang masyarakat dan ibu bapa salah faham,” kata Abdillah.



Saturday, March 26, 2011

:: Masa depan... GSTT ?




gambar hiasan... era papan hitam

gambar hiasan...era kini ?

GSTT serap guru tetap

KUALA LUMPUR – Kementerian Pelajaran akan mempertimbangkan guru sandaran tidak terlatih (GSTT) diserapkan ke jawatan tetap perkhidmatan.

Timbalan Menteri Pelajaran, Datuk Dr Wee Ka Siong berkata, mereka perlu memenuhi syarat-syarat pelantikan anggota perkhidmatan awam, berkhidmat dua tahun ke atas dan berumur tidak lebih daripada 35 tahun.

“Mereka akan diberi latihan iktisas yang bersesuaian dan ditempatkan di sekolah-sekolah yang memerlukan di seluruh negara.

“Kementerian juga telah memutuskan mulai tahun ini, tiada lagi GSTT akan dilantik pada masa hadapan,” katanya ketika menggulung perbahasan di Dewan Rakyat semalam.

Menurutnya, GSST kini berada dalam sistem pendidikan yang diberi perhatian dan pertimbangan agensi pusat untuk terus berkhidmat dengan kementerian itu.

“Pelantikan GSTT dilaksanakan mengikut keperluan semasa untuk mengisi kekosongan atau kekurangan guru di sekolah disebabkan guru cuti bersalin, menyambung pelajaran dan lain-lain.

“Lantikan adalah bersifat sementara dan dilaksanakan secara kontrak mengikut kesesuaian jangka waktu.

“Tempoh perkhidmatan mereka akan ditamatkan apabila guru terlatih daripada institut pengajian tinggi awam (IPTA) dan Institut Pendidikan Guru (IPG) mengisi kekosongan itu,” katanya.

Beliau menjawab soalan yang dibangkitkan Ahli Parlimen Rembau, Khairy Jamaluddin, Datuk Marcus Majiko (Putatan), Teng Boon Soon (Tebrau) dan Datuk Noraini Ahmad (Parit Sulong).
Mulai 2013, katanya, Sejarah akan dijadikan mata pelajaran wajib lulus sebagai syarat layak mendapat Sijil Pelajaran Malaysia.

“Ini selaras dengan hasrat Kerajaan untuk melahirkan modal insan cemerlang, berkemahiran tinggi dan memiliki semangat patriotik kewarganegaraan yang tinggi.

“Justeru itu, kementerian telah menubuhkan jawatankuasa untuk mengkaji kurikulum dan buku teks Sejarah yang bertanggungjawab menilai sukatan dan kandungan buku teks itu,” katanya menjawab soalan tambahan Ahli Parlimen Bukit Mertajam, Chong Eng.



Thursday, March 03, 2011

:: TS Muhyiddin: 13,000 GSTT yang ditamatkan... diambil semula






13,000 GSTT diambil semula

KINABATANGAN 3 Mac – Nasib hampir 13,000 Guru Sandaran Tidak Terlatih (GSTT) yang ditamatkan tugas baru-baru ini bakal terbela apabila kerajaan bersetuju mengambil semula mereka untuk berkhidmat.

Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang mengumumkan berita gembira itu berkata, kerajaan telah meneliti perkara itu dengan terperinci dan meminta Ketua Pengarah Pelajaran mengambil tindakan segera.

Beliau yang juga Menteri Pelajaran berkata, kerajaan bersetuju untuk menarik semula tindakan memberhentikan tugas kumpulan pengajar tersebut dan berusaha menempatkan mereka di kawasan yang memerlukan.

Bagaimanapun katanya, kumpulan GSTT tersebut harus bersedia ditempatkan di mana-mana kawasan yang diperlukan mereka bertugas di seluruh negara.

“Mereka inginkan jawatan ini, maka mereka juga harus bersedia untuk ditempatkan di mana-mana kawasan yang memerlukan khidmat mereka,” katanya.

Beliau bercakap pada sidang akhbar selepas menghadiri Program Juara Rakyat dan Majlis Penyampaian Dividen Ladang Program Pembangunan Rakyat Termiskin (PPRT) Tongod dan Geran Komunal Lalampas, Tongod dekat sini hari ini.

Hadir sama Ketua Menteri, Datuk Seri Musa Aman dan Ahli Parlimen Kinabatangan, Datuk Bung Moktar Radin.

Sebelum ini kerajaan memutuskan untuk tidak menyambung semula perkhidmatan GSTT yang ditamatkan pada akhir tahun lalu dengan tiada sebarang pelantikan baru bagi tahun ini.

Mengulas lanjut, Muhyiddin berkata, individu yang pernah memegang jawatan GSTT sebelum ini, terutama yang berkhidmat selama dua atau tiga tahun akan diberi peluang untuk terus berkhidmat.

“Kumpulan tersebut mempunyai pengalaman mengajar dan khidmat mereka diperlukan untuk mendidik anak bangsa,” katanya.

Timbalan Perdana Menteri berkata, kumpulan GSTT yang diberhentikan itu juga akan diberi peluang menjadi guru terlatih dengan menyertai pelbagai kursus meningkatkan kemahiran yang disediakan kerajaan seperti kursus lanjutan dan kursus dalam cuti.

Beliau berkata, penambahan kursus-kursus tersebut bertujuan meningkatkan kemahiran mereka dalam mata pelajaran pilihan seperti Bahasa Inggeris dan Matematik.

Ditanya bilakah kumpulan tersebut akan berkhidmat semula, Muhyiddin berkata, arahan mengambil semula kumpulan GSTT itu telah dikeluarkan kepada pihak terbabit sejak dua bulan lalu.

“Ia kini dalam proses pengurusan logistik dan penempatan semula kumpulan GSTT tersebut,” katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata, pengambilan GSTT kali ini akan dilakukan dengan lebih teliti dengan memberi keutamaan kepada mereka yang pernah berkhidmat.

Justeru, beliau meminta semua Pengarah Pelajaran Negeri dalam pemilihan nanti supaya memberi perhatian kepada individu yang telah berkhidmat sebagai GSTT sebelum ini dan hanya mengambil mereka yang benar-benar layak.




Wednesday, October 13, 2010

:: Peluang kepada GSTT



Home - Utusan Borneo - Berita Nasional - Kementerian Pelajaran kaji serap lebih ramai GSTT


Kementerian Pelajaran kaji serap lebih ramai GSTT

Posted on October 13, 2010, Wednesday

KUALA LUMPUR: Kementerian Pelajaran sedang menjalankan kajian khusus untuk memastikan lebih ramai Guru Sandaran Tidak Terlatih (GSTT) dapat diserap ke jawatan guru tetap, Dewan Rakyat diberitahu semalam.

Timbalan Menterinya Dr Mohd Puad Zarkashi berkata kajian tersebut dijangka disiapkan dalam masa terdekat kerana kementerian menyedari terdapat ramai GSTT yang layak untuk menduduki jawatan tersebut.

Beliau berkata kementerian juga masih meneruskan program penyerapan melalui Kursus Dalam Cuti (KDC) dan Kursus Diploma Perguruan Malaysia (KDPM).

“Walau bagaimanapun tidak semua daripada 12,546 GSTT di sekolah rendah dan menengah yang ada pada masa ini boleh diserap kerana pengambilan adalah berdasarkan keperluan dan syarat-syarat tertentu,” katanya ketika menjawab soalan tambahan Datuk Noraini Ahmad (BN-Parit Sulong) pada sesi soal jawab di persidangan Dewan Rakyat di sini, semalam.

Noraini dalam soalannya mahu tahu apakah mekanisme kementerian untuk menampung kekurangan guru bertauliah terutama di kawasan pedalaman dan luar bandar memandangkan terdapat ramai GSTT yang layak walaupun kurang pengalaman.

Dr Mohd Puad berkata kementerian juga menggalakkan agar GSTT memohon untuk mengikuti Kursus Perguruan Lepasan Ijazah (KPLI) selain bergantung kepada KDC dan KDPM.

GSTT dilantik bertujuan menampung kekosongan jawatan dan kekurangan guru di sekolah pada satu-satu masa dan pada ketika ini, proses pengambilan diuruskan oleh Jabatan Pendidikan Negeri. — Bernama



Tuesday, October 12, 2010

:: GSTT...Alor Star, Kedah




Surat

GSTT kesal ditamat perkhidmatan


2010/10/11

SAYA adalah seorang Guru Sandaran Tidak Terlatih (GSTT) yang sudah berkhidmat di Alor Setar, Kedah hampir dua tahun dan akan ditamatkan perkhidmatan berkuat kuasa 16 Oktober ini. Semua GSTT di seluruh Kedah sudah mendapat notis ditamatkan perkhidmatan antara 16 dan 30 Oktober ini.

GSTT bukan saja diberi tanggungjawab mengajar pelbagai subjek, kami juga diberi kepercayaan memegang pelbagai jawatan penting di sekolah seperti guru tingkatan kelas peperiksaan, setiausaha panitia, guru pentaksir, guru penasihat untuk kelab dan persatuan, AJK pelbagai program yang dijalankan di sekolah dan sebagainya.

Ada juga GSTT yang diberi tanggungjawab lebih besar seperti mengajar kelas terbabit dengan peperiksaan seperti Penilaian Menengah Rendah (PMR) dan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).
Kami juga terbabit dengan pelbagai program perkhemahan, program di luar sekolah serta pernah menjadi ketua untuk mengendalikan sukan sekolah ke peringkat daerah. Ada juga GSTT yang sudah berkhidmat sehingga tiga dan lima tahun, namun akhirnya kontrak mereka ditamatkan.

Jadi bagaimanakah nasib kami untuk meneruskan kehidupan?. Kami sudah menghabiskan umur kami dengan menjadi GSTT.

Pelbagai usaha dilakukan GSTT di negara ini untuk mendapat jawatan guru tetap seperti memilih program Kursus Perguruan Lepas Ijazah (KPLI) atau Diploma Pendidikan Lepasan Ijazah (DPLI), namun masih tidak mendapat tempat.

Saya juga ada menyertakan surat sokongan daripada pengetua ketika memohon KPLI dan DPLI dan markah yang diberi hasil daripada pencerapan adalah melebihi 85 peratus iaitu mendapat A dalam proses menyampaikan pembelajaran dan pengajaran.
Jika pihak pengurusan memberikan markah melebihi 80 peratus ke atas, sudah semestinya GSTT terbabit berkebolehan mengajar. Adakah GSTT yang mempunyai pengalaman mengajar dua dan tiga tahun tidak layak mengikuti KPLI atau DPLI?

Walaupun GSTT tidak mempunyai sijil perguruan, GSTT sentiasa belajar untuk menjadi guru terbaik. Kami juga mempraktikkan set induksi sebelum mengajar seperti guru lain yang mempunyai sijil perguruan. Hal yang membezakan GSTT dengan guru tetap hanyalah sijil perguruan.

Kami mohon jasa baik Perdana Menteri dan Menteri Pelajaran supaya mempermudahkan serta mengutamakan permohonan GSTT untuk mengikuti KPLI atau DPLI.

Rata-rata pelatih KPLI dan DPLI yang mendapat tempat kebanyakannya tidak mempunyai pengalaman mengajar langsung. Jadi saya amat berharap GSTT diberi keutamaan mengikuti program KPLI dan DPLI.

Selain itu, saya juga amat berharap Menteri Pelajaran memberi peluang kepada GSTT untuk mengikuti Kursus Dalam Cuti (KDC) bersesuaian dengan langkah kerajaan yang ingin berjimat-cermat. Saya amat berharap cadangan ini dipertimbangkan.

GSTT KECEWA,
Alor Setar, Kedah.

(Berita Harian online: Selasa - 12.11.2010)