Showing posts with label BPG. Show all posts
Showing posts with label BPG. Show all posts

Tuesday, January 17, 2012

:: Dato' Dr Asariah Meor Shaharuddin yang dikenali...



November 8, 2011 by
Filed under Wanita



Peluang bertemu personaliti wanita minggu ini merupakan satu bonus buat penulis. Bukan sahaja ramah malah dirinya penuh dengan pengalaman dalam bidang pendidikan yang diceburi selama lebih 35 tahun.

Meskipun sudah menamatkan perkhidmatannya sejak tiga bulan lalu (ketika artikel ini ditulis), Dato” Dr Asariah Mior Shaharuddin, 58 masih bergiat aktif dengan bengkel, seminar serta pembentangan kertas kerja yang dianjurkan bagi mendapat khidmat nasihatnya.

Boleh dikatakan hampir setiap minggu jadual hariannya pasti penuh dengan jemputan. Sungguhpun begitu, wanita berjiwa kental ini masih sudi meluangkan masa biarpun seketika untuk diwawancara. Janji temu yang diatur berlangsung seperti yang diharapkan. Dengan senyuman manis yang terukir di bibir ibu kepada tiga cahaya mata ini, kami dijemput masuk ke kediamannya di Bukit Damansara.

Melihatkan kawasan sekitar jelas menunjukkan bahawa dia gemar pada kehijauan. Apabila soalan diajukan nyata jawapan yang diberi bertepatan dengan telahan penulis.

“Saya memang sukakan alam semula jadi. Melihatkan tumbuh-tumbuhan yang menghijau serta kepelbagaian warna bunga membuatkan perasaan tenang dan damai. Sebab itu, bila ada masa terluang saya akan berkebun, membaja atau memotong mana-mana bahagian tanaman yang sudah rosak. Seandainya sibuk, saya akan panggil tukang kebun untuk lakukannya. “Walaupun dah bersara tetapi rasanya kesibukan itu masih sama. Kadang-kadang nak rehat di rumah pun tak sempat. Sekejap ke sini, sekejap ke sana. Tetapi saya gembira kerana ilmu serta pengalaman saya masih diperlukan. Insya-Allah, selagi hayat di kandung badan, saya akan cuba membantu semampu yang mungkin bagi memartabatkan institusi pendidikan negara,” jelasnya panjang lebar.

Sinonim dengan profesion yang diceburi, buku tentunya dekat di hatinya. Hampir setiap hari, dia sedaya upaya mencari masa untuk membaca. Bila ditanya genre bacaan yang digemari, segera bibir wanita ini menguntum senyuman. Jelasnya, bacaan berbentuk ilmiah dan motivasi sentiasa mencuri perhatiannya.

“Terbaru, saya baru sahaja selesai menghabiskan buku tulisan Jim Collins berjudul Good To Great. Menarik sangat isi kandungannya. Sememangnya memberi motivasi serta panduan pada saya untuk memperbaiki kelemahan diri.

“Sebenarnya, dengan membaca buku-buku sebegini secara tidak langsung menggalakkan kita untuk berfikir secara positif selain menambah ilmu pengetahuan. Kalau nak tahu, membaca adalah hobi saya. Walau sibuk macam mana sekalipun, saya akan curi masa untuk membaca. “Pada anak-anak pun saya tekankan perkara ini dan alhamdulillah, mereka juga berkongsi minat yang sama. Seronok sangat kerana selepas habis membaca, kami akan berkongsi cerita tentang buku-buku tersebut.

“Secara tidak langsung situasi ini mengeratkan silaturahim di samping menguji ingatan mengenai isi kandungan buku-buku berkenaan,” ulas nenek kepada empat cucu ini penuh ceria.

Bangga Jadi Guru
Menceritakan tentang latar belakangnya dahulu, mantan Timbalan Ketua Pengarah Kementerian Pelajaran Malaysia ini memulakan kerjaya sebagai pendidik sebelum menjadi pensyarah di maktab perguruan. Dari situ, dia mendaki tangga hingga akhirnya dipanggil oleh Kementerian Pelajaran untuk menabur jasa selama lebih dua puluh tahun.

“Saya bangga menjadi guru dan bersara dalam bidang yang sama. Biarpun situasi berbeza di mana guru mendidik di bilik darjah sementara kerjaya akhir saya di pejabat namun objektifnya tetap sama.

“Jiwa raga saya hanya pada profesion mulia ini. Syukur Alhamdulillah dengan apa yang dinikmati sepanjang perkhidmatan saya dahulu. Secara peribadi, saya sangat puas dengan sumbangan kepada perancangan dan pembangunan bidang perguruan di Malaysia.

“Paling menjadi ingatan dan bermakna ialah penglibatan secara langsung dalam usaha meningkatkan taraf keguruan di Malaysia seperti menaik taraf Maktab Perguruan kepada Institusi Pendidikan Guru yang menawarkan program ijazah,” ujar Dato” Dr Asariah.

Selain itu, wanita itu juga terlibat dengan usaha-usaha meningkatkan tahap akademik serta kualiti guru dari guru-guru diploma kepada guru-guru siswazah.

“Di sini, saya membuka peluang kepada guru-guru wanita khasnya untuk menyambung pengajian kerana seperti diketahui banyak kekangan berlaku pada golongan ini. Mereka berhadapan dengan banyak cabaran dan tanggungjawab sama ada pada suami, anak-anak serta keluarga berbanding guru-guru lelaki. Malah ada di antaranya terpaksa meninggalkan insan-insan tersayang semata-mata mendapatkan pendidikan yang lebih tinggi.

“Dengan adanya pengajian program jarak jauh, guru-guru wanita dapat meluangkan lebih banyak masa bersama keluarga. Tidak lagi berhadapan dilema atau kerisauan yang sebelum ini menyelubungi fikiran.

“Walaupun usaha ini telah dilakukan lebih kurang sepuluh tahun yang lalu namun sekarang ia lebih diperhebat bagi mencapai objektif rancangan Malaysia ke-10 untuk melahirkan guru-guru yang berkelulusan sekurang-kurangnya Ijazah Pertama,” ceritanya yang masih bersemangat untuk meneruskan perjuangan bagi memartabatkan profesion perguruan di peringkat yang lebih tinggi.

Sabar Dan Komited
Mendengar bicara yang disampaikan jelas membuktikan bahawa dirinya masih belum bersedia untuk bersara. Selagi diri masih diperlukan, Dato” Dr Asariah akan terus menabur bakti bagi menaikkan profesion yang dicintai.

“Sebenarnya, masih banyak yang boleh dilakukan untuk mengangkat profesion ini. Umum sedia maklum, guru adalah satu kerjaya yang mulia dan menuntut banyak pengorbanan.

Mengajar dan mendidik adalah dua elemen berbeza dan tentunya pendekatan yang perlu digunakan tidak sama.

“Sama ada di peringkat rendah mahupun menengah, guru perlu banyak bersabar dan komited mencurahkan ilmu kepada anak bangsa. Meskipun dikritik atau difitnah, guru perlu tabah dan kuat mengharungnya bagi melahirkan generasi pelapis yang berjaya sama ada di dunia mahupun akhirat.

“Jujur dikatakan saya merasa sangat puas dengan apa yang telah dilakukan. Rasanya, saya dah berikan semua yang terbaik untuk memartabatkan profesion ini. Sekalipun tidak lagi terikat dengan jadual kerja di kementerian tetapi saya tak pernah rasa sunyi atau sedih.

“Secara zahirnya saya dilihat sudah bersara tetapi hakikatnya, usaha serta cinta saya masih di bidang ini. Saya tetap sibuk seperti dahulu tetapi kali ini diberi lebih masa untuk keluarga tercinta.,” luahnya sambil menunjukkan beberapa keping foto kenangan sewaktu berkhidmat dengan kementerian.

Thursday, May 12, 2011

:: Program Pensiswazahan Guru (PPG)...




PPG peluang kedua guru miliki ijazah
Oleh Mohd Azrone Sarabatin
azrone@bharian.com.my
2011/05/11


PROGRAM Pensiswazahan Guru (PPG) yang mensasarkan 60,000 guru sekolah rendah dan menengah memiliki ijazah sarjana muda menjelang 2015 memberi peluang kedua kepada mereka yang berkelayakan tetapi gagal melanjutkan pengajian ke universiti.

Kementerian Pelajaran memperuntukkan sebanyak RM1.4 bilion menerusi pelaksanaan Rancangan Malaysia Ke-10 (RMK10) untuk menjayakan program berkenaan.

Bagi guru Sekolah Kebangsaan (SK) Setapak Indah, Kuala Lumpur, Roselin Leng, 29, peluang diberikan kementerian akan dimanfaatkan sepenuhnya untuk memperoleh status guru siswazah.

Roselin, guru Pendidikan Seni yang memperoleh Diploma Pendidikan Bahasa Inggeris-Pendidikan Seni dari Maktab Perguruan Ilmu Khas (sekarang Institut Perguruan Ilmu Khas) Kuala Lumpur, bertekad belajar bersungguh-sungguh untuk menamatkan pengajian dengan cemerlang.

Katanya, selepas tiga kali permohonan mengikuti pengajian secara Pendidikan Jarak Jauh (PJJ) di beberapa universiti awam gagal, akhirnya beliau berjaya mengikuti PPG.

“Peluang mengikuti pengajian secara PJJ menerusi PPG pastinya saya manfaatkan dan ilmu yang diperoleh akan digunakan sebaik mungkin untuk melahirkan pelajar cemerlang,” katanya kepada Berita Harian ketika ditemui di Subang Jaya, Selangor, baru-baru ini.

Roselin mengikuti pengajian di Maktab Perguruan Ilmu Khas pada 2001 hingga 2003.
Bagi guru Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Seafield Subang Jaya, Noriayani Ejip, 36, PPG adalah peluang terbaik kepada guru memperoleh ijazah, sekali gus mempunyai keyakinan tinggi mendidik pelajar menjadi insan cemerlang akademik dan sahsiah.

Katanya, program itu juga turut membantu meningkatkan mutu pendidikan negara berikutan pertambahan guru siswazah di sekolah rendah dan menengah.

Beliau berkata, pihak universiti turut mengutamakan kualiti pengajaran dan pembelajaran supaya graduan PPG setaraf dengan pelajar sepenuh masa.

“Sudah pasti saya tidak mensia-siakan peluang keemasan untuk meningkatkan pendidikan daripada guru yang hanya memiliki diploma kepada guru siswazah,” katanya.

Roselin dan Noriayani antara guru PPG yang mengikuti pengajian di Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Tanjung Malim, Perak.

Dalam pada itu, Pengarah Bahagian Pendidikan Guru (BPG), Kementerian Pelajaran, Datuk Mohd Ghazali Ab Rahman, berkata program PPG bermatlamat mencapai sasaran 60,000 guru sekolah rendah dan menengah memiliki ijazah sarjana muda menjelang 2015.

Beliau berkata, guru yang mengikuti PPG, diberi biasiswa kerajaan dengan kontrak perkhidmatan bagi mengikuti program PJJ supaya mereka kekal berkhidmat pada sesi persekolahan.

“PPG yang dilaksana pada RMK10 ialah penerus kepada dasar latihan keguruan yang dirancang sebelum ini bagi meningkatkan pengetahuan dan kemahiran dalam bidang dipelajari untuk dilaksanakan pada sesi pengajaran,” katanya.



Tuesday, May 10, 2011

:: SURAT : Tarikh mendaftar ke IPG dan UiTM... sama?




Susah buat keputusan tarikh KPLSPM, masuk UiTM sama


2011/05/10

SAYA ingin mengutarakan pandangan berhubung tarikh keputusan temu duga Kursus Perguruan Lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (KPLSPM) 2011 yang akan diumumkan pada 21 Mei ini.

Tarikh ini bertembung dengan tarikh pendaftaran kemasukan lepasan SPM ke Universiti Teknologi Mara (UiTM) Merbok, Kedah. Saya berpendapat tarikh keputusan permohonan KPLSPM 2011 perlu diawalkan agar lepasan SPM boleh membuat keputusan lebih awal untuk melanjutkan pelajaran ke mana-mana institusi pengajian tinggi (IPT).

Saya berharap Kementerian Pelajaran dapat mengubah tarikh keputusan itu dan berbesar hati sekiranya cadangan untuk mempercepatkan keputusan ini diberi perhatian sewajarnya.

Keprihatinan pihak bertanggungjawab amat dihargai untuk faedah semua.

BAPA PRIHATIN,
Changlun, Kedah.