Showing posts with label sukan. Show all posts
Showing posts with label sukan. Show all posts

Wednesday, February 01, 2012

:: Azizul Rahman trauma... panahan petir di SK Raja Perempuan Mazwin, Kuala Kangsar


MANGSA MASIH LAGI TRAUMA AKIBAT DIPANAH PETIR


February 1, 2012



Mangsa masih lagi trauma akibat dipanah petir

Keadaan 4 mangsa termasuk seorang guru yang terselamat dalam kejadian panah petir di Kuala Kangsar semalam stabil tetapi masih trauma mengingatkan tragedi yang mengorbankan seorang daripada mereka.

Dalam kejadian kira-kira jam 5.30 petang semalam, mangsa yang terkorban, Muhammad Syafiq Mohd Tajul Ariffin, 11, bersama tiga rakan dan seorang guru baru sahaja selesai menjalani latihan memanah di Sekolah Kebangsaan Raja Perempuan Mazwin .

Mangsa meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan teruk seluruh badan.

Mangsa yang turut cedera ialah guru, Azizul Rahman Ismail, 31, Anuar Azlin, 12, Muhammad Iskandar Jamaluddin, 10, Nor Arifah Fatimah, 12.

Azizul yang juga jurulatih tunggal bagi sukan memanah sekolah itu berkata, beliau masih trauma dan terkejut akibat kejadian yang berlaku dalam sekelip mata itu.

“Ketika itu yang saya ingat, saya bersama 8 pelajar lain berehat berdekatan pokok selepas menamatkan latihan..ketika itu cuaca cerah.

“Secara tiba-tiba petir menyambar dan saya pengsan..sebaik sedar, saya masih berada di padang dan lihat anak-anak murid lain turut terbaring akibat kesan panahan petir.

“Namun saya seakan tidak percaya dan kesal salah seorang anak murid saya terkorban akibat panahan petir tepat mengenai arwah, ” katanya ketika ditemui pemberita.

Katanya, arwah yang mula menyertai persatuan memanah merupakan seorang yang berdisiplin dan mempunyai semangat serta kebolehan tinggi dalam sukan memanah.

“Sebaik tahu arwah telah meninggal dunia, saya menangis semahunya kerana telah mengenali mangsa sejak setahun yang lalu, ” katanya kesal dengan kejadian yang menimpa.

Kesan daripada insiden itu Azizul yang juga guru bagi matapelajaran Matematik di sekolah itu mengalami kebas dan kekejangan di kaki.

Katanya, latihan memanah diadakan bagi persediaan menghadapi pertandingan memanah peringkat Daerah yang akan berlangsung bulan ini.

Dalam pada itu, seorang lagi mangsa yang terselamat, Muhammad Iskandar Jamaluddin, 10 yang cedera di kaki berkata sudah serik untuk menyertai sukan memanah dan masih trauma.

“Saya tidak mahu lagi ingat kejadian itu dan serik untuk melibatkan diri dalam sukan memanah..

“Saya sedih atas kehilangan arwah kerana kami agak rapat walaupun saya hanya mengenalinya selepas menyertai persatuan memanah tahun ini, ” katanya yang mengalami melecur di kaki kanan.

Foto oleh Azhar Ali

http://www.peraknews.com/v3/mangsa-masih-lagi-trauma-akibat-dipanah-petir/

http://www.bharian.com.my/bharian/articles/Kakikebas_bauhangitkenapetir/Article


Thursday, January 13, 2011

:: Harimau Malaya...RM65,000 seorang...



Harimau Malaya dapat RM65,000
Oleh Johari Ibrahim
joib@bharian.com.my
2011/01/13



Kerajaan taja latihan pemain dengan kelab ternama

PUTRAJAYA: Kejayaan pasukan Harimau Malaya menjuarai Piala Suzuki AFF 2010 pada 29 Disember lalu terus diraikan apabila semalam kerajaan mengumumkan insentif saham amanah serta wang tunai berjumlah RM65,000 kepada setiap pemain dan jurulatih.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, berkata setiap pemain dan jurulatih akan menerima unit Amanah Saham Wawasan 2020 bernilai RM50,000 yang tidak boleh dikeluarkan sehingga tempoh 10 tahun.
Mereka juga akan menerima insentif khas daripada kerajaan sebanyak RM10,000 seorang dan Skim Kemenangan Sukan Majlis Sukan Negara RM5,000.

“Kerajaan juga akan menaja latihan pemain dengan kelab ternama sebagai persiapan masa depan sukan bola sepak negara,” katanya ketika meraikan pasukan itu pada majlis makan tengah hari di Seri Perdana.


Thursday, December 30, 2010

:: Malaysia vs Indonesia... kalah tetapi menang ?




Sejarah tercipta


MALAYSIA mengesahkan status sebagai ‘Raja Asia Tenggara’ apabila dinobatkan juara baru Piala Suzuki AFF edisi kelapan apabila menewaskan Indonesia dengan agregat 4-2 di Stadium Gelora Bung Karno, Jakarta semalam.

Kejayaan ini membolehkan Malaysia mencipta sejarah meraih kejuaraan kali pertama Piala AFF Suzuki sepanjang 14 tahun kejohanan ini mula dilangsungkan serta menjadi pasukan keempat bergelar juara selepas Thailand, Singapura dan Vietnam.

Skuad Harimau Malaya yang turun dengan bekalan tiga gol pada aksi perlawanan akhir kedua di Stadium Gelora Bung Karno nyata tidak gentar dengan sorakan kira-kira 95,000 penyokong Sang Garuda di dalam stadium.

Mereka sebaliknya turun dengan penuh bersemangat dan bijak mengawal permainan bagi mengekalkan kelebihan tiga gol yang dimiliki hasil kemenangan di perlawanan akhir pertama di Stadium Nasional, Ahad lalu.


Separuh masa pertama memang mendebarkan untuk jutaan rakyat Malaysia apabila Indonesia yang turun untuk mencari jaringan besar melancarkan serangan sejak minit pertama perlawanan lagi dengan sokongan kira-kira 200,000 penyokong di luar dan di dalam stadium.

Gandingan Cristian Gonzales dan Irfan Haarys Bachdim nyata menggugat apabila gandingan dua ''pemain asing' itu kerap kali menguji gawang Malaysia yang dikawal rapi Khairul Fahmi Che Mat.

Serangan bertali arus Indonesia itu akhirnya membuahkan hasil dihadiahkan sepakan penalti oleh pengadil dari Australia, Peter Daniel Green selepas pemain pertahanan kanan, Mohd Sabre Mat Abu tersentuh bola di dalam kotak penalti.
Namun kecemerlangan Khairul Fahmi menafikan gol apabila menangkap kemas sepakan kapten Indonesia, Firman Utina.

Malah penjaga gol dari Kelantan itu berjaya menggagalkan beberapa percubaan lawan di separuh masa kedua walaupun 'diserang dengan laser' oleh penyokong Indonesia ketika bersedia untuk menghadapi sepakan sudut dan percuma pada 10 minit pertama.

Malaysia, turun dengan jersi biru dan berseluar hitam bagaimanapun berjaya bertahan sepanjang 45 minit pertama walaupun hampir keseluruhan permainan dikuasai lawan yang tidak mengenal erti putus asa menyerang Malaysia dengan sekurang-kurang 10 percubaan berbahaya dilancarkan ke kubu negara.

Ia bagaimanapun dinafikan dengan kecekapan Khairul Fahmi serta persefahaman yang tinggi dikalangan pemain pertahanan yang diketuai oleh dua pemain muda, Mohd Muslim Ahmad dan Mohd Fadhli Shas.

Bersambung babak kedua, anak-anak buah Alfred Riedl terus mengasak namun usaha mereka itu memakan diri apabila melalui satu serangan balas Malaysia menjaringkan gol melalui rembatan kencang Mohd Safee Sali pada minit ke-53 untuk gol kelimanya pada kejohanan ini untuk menceriakan kira-kira 500 penyokong Harimau Malaya yang hadir di Jakarta.

Gol itu juga mengesahkan kedudukannya sebagai penjaring terbanyak dengan lima gol meninggalkan ayam tambatan Indonesia Gonzales yang hanya mampu menjaringkan tiga gol.

Semakin terdesak untuk menjaringkan gol, Indonesia melakukan dua pertukaran serentak dengan mengeluarkan pemain berdarah kacukan Indonesia-Belanda, Irfan Haarys Bachdim dengan memasukkan bekas penyerang Selangor, Bambang Pamungkas dan Eka Ramdani yang menggantikan kapten pasukan, Firman Utina.

Ketua jurulatih kebangsaan, K Rajagobal bertindak balas dengan segera apabila mengeluarkan pemain tengah, Amar Rohidan untuk digantikan dengan pemain pertahanan, Mohd Razman Roslan. untuk menambahkan kesukaran Sang Garuda yang perlu mencari sekurang-kurangnya lima gol.

Namun usaha tidak mengenal putus asa akhirnya membuahkan hasil apabila percubaan pemain pertahanan, Mohammad Nasuha pada minit ke-71 menewaskan Khairul Fahmi untuk menggamatkan stadium. dengan sorakan penyokong Sang Garuda serta letusan bom asap.

Muhammad Ridwan menjadikan kedudukan 2-1 pada minit ke-87 untuk keputusan 2-1 itu dan kekal sehingga wisel penamat ditiup bagi menobatkan Malaysia sebagai juara baru Piala AFF Suzuki 2010.


Monday, December 27, 2010

Sunday, September 26, 2010

:: Datuk LCW...juara Terbuka Jepun



Chong Wei juara di Jepun kalahkan Lin Dan


2010/09/26



TOKYO: Pemain badminton nombor satu dunia, Datuk Lee Chong Wei muncul juara Terbuka Jepun selepas menewaskan pemain China dan musuh utamanya, Lin Dan, pada perlawanan final, sebentar tadi.

Pemain pilihan utama dari Malaysia itu hanya memerlukan masa 81 minit untuk menang ke atas Lin Dan, 22-20, 16-21, 21-17.



Saturday, February 27, 2010

:: Lagu Negaraku tidak dihormati ?

Penonton biadab, PBSI didenda


GELAGAT para penonton Indonesia (atas) yang tidak menghormati lagu Negaraku ketika ia berkumandang di Stadium Tenis Tertutup Senayan, Jakarta Isnin lalu. Perbuatan biadab mereka itu telah mengakibatkan PBSI didenda oleh AFC.


JAKARTA - Persatuan Bola Sepak Seluruh Indonesia (PBSI) menerima padah.

Semuanya gara-gara sikap penonton negara itu yang tidak menghormati Negaraku ketika lagu kebangsaan Malaysia itu berkumandang sebelum bermulanya perlawanan antara Malaysia dengan Vietnam pada pusingan Kelayakan ASEAN Kejohanan Futsal Asia 2010 Isnin lalu.

Akibatnya, PBSI didenda AS$5,000 (RM17,000) oleh Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC).

Tindakan itu diambil oleh AFC setelah Pengurus Pasukan Malaysia, Datuk Hamidin Mohd. Amin membuat bantahan rasmi mengenai kejadian itu kerana ia telah mencemarkan maruah sebuah negara.