Showing posts with label sejarah. Show all posts
Showing posts with label sejarah. Show all posts

Friday, October 29, 2010

:: Kajian Utusan Malaysia..remaja buta sejarah ?



Orang muda buta sejarah!




KUALA LUMPUR 28 Okt. - Pasti ramai terkejut dengan hakikat bahawa remaja hari ini tidak tahu siapa Perdana Menteri Malaysia yang pertama.

Tidak cukup dengan itu, bayangkan bagaimanalah tahap patriotisme remaja masa kini kalau tarikh Hari Kemerdekaan negara pada 31 Ogos 1957 yang disambut pada setiap tahun, pun boleh dilupakan.

Dalam satu soal selidik oleh Unit Khas Utusan Malaysia baru-baru ini, ada remaja menjawab Tun Razak Hussein sebagai Perdana Menteri pertama.

Hari Kemerdekaan pula dijawab dengan pelbagai tarikh oleh sekelompok responden. Antaranya 10 Ogos 1956, 31 Ogos 1943 dan 16 September 1957.

Walaupun keseluruhan responden berumur dari 16 hingga 51 tahun, namun mereka yang buta sejarah ini menjurus kepada kelompok usia di bawah 30 tahun, khususnya antara 16 dan 20 tahun.

Daripada situ, ia menjadi bukti bahawa ramai remaja generasi kini dan segelintir orang dewasa bukan saja buta sejarah malah bersikap tidak ambil tahu dan memandang remeh fakta-fakta penting bangsa dan negara.

Sudah pasti mereka selalu mendengar nama dan melihat wajah Tunku Abdul Rahman dan Tun Razak yang kerap diulang tayang di televisyen atau disiar di akhbar-akhbar.

Namun, apabila ada sikap tidak ambil peduli dan tidak berminat, jika hari-hari pun mereka diajar bahawa Tunku Abdul Rahman itu adalah Perdana Menteri pertama, mereka tetap tidak akan ingat.

Begitu juga dengan Hari Kemerdekaan, sungguhpun tarikh itu terdapat dalam lagu dan diuar-uarkan secara meluas malah dicetak dalam setiap kalendar tahunan, mereka 'tidak ambil pusing' semua itu.

Kalau jumlah yang tidak mengetahui nama Perdana Menteri pertama itu adalah sembilan peratus, tidak hairanlah kalau 49 peratus daripada 200 responden itu tidak mengetahui bila tarikh penubuhan Malaysia.

Mereka yang tidak mengetahui tarikh Hari Kemerdekaan pula seramai 17 responden atau 8.5 peratus.

Begitulah realitinya generasi masa kini. Siapa yang salah? Ibu bapa, generasi terdahulu atau sistem pendidikan? Ataupun, sikap orang muda yang memang tidak berminat dengan sejarah negara?

Soal selidik ini bukan untuk mencari salah sesiapa tetapi sekadar mendedahkan tentang suatu fenomena yang berlaku dalam masyarakat pada masa ini iaitu tentang ramainya anak muda yang buta sejarah.

Hasilnya, daripada 10 soalan yang diajukan, tiada seorang pun di kalangan responden kelompok di bawah 30 tahun yang berjaya menjawab kesemua soalan itu.

Kajian soal selidik tersebut berkisar tentang pengetahuan umum dan sejarah negara.

Bagi kelompok umur 31 hingga melebihi 51 tahun termasuk seorang responden berusia 55 tahun, semua berjaya dijawab kecuali bagi tiga soalan iaitu tarikh Hari Malaysia, cogan kata negara dan prinsip ketiga Rukun Negara.

Seramai 141 responden atau 70.5 peratus daripadanya tidak mengetahui tema sambutan Hari Kemerdekaan tahun ini.

Tiada alasan untuk melupakan tema '1Malaysia Menjana Transformasi' kerana Bulan Kemerdekaan negara baru saja diraikan.

Ketika ditanya tentang tarikh penubuhan Malaysia diajukan, hanya 102 responden yang menjawab dengan tepat sedangkan hari tersebut telah diumumkan sebagai cuti umum di negara ini.

Amat mengejutkan juga apabila sebahagian responden mempersoalkan tentang benarkah wujud cogan kata negara. Hakikatnya ia dilihat di mana-mana termasuk pada kulit belakang buku latihan sekolah.

Lantas, disebabkan tidak tahu, mereka menjawab cincai. Seramai 126 responden menyenaraikan jawapan yang tidak masuk akal seperti 'Hip Hip Hooray'. Selain itu adalah Malaysia Boleh, Berkhidmat untuk Negara, Majulah Sukan untuk Negara.

Menurut mereka, ketika diajukan soalan itu adalah kali pertama mendengar tentang cogan kata sebenar iaitu 'Bersekutu, Bertambah Mutu'.

Reaksi sama diterima berhubung nama bendera kebangsaan Malaysia. Biarpun Jalur Gemilang berkibar megah di mana-mana namun sukar dipercayai, 15 responden atau 7.5 peratus tidak mengetahui nama bendera kebangsaan itu.

Tambah memalukan, ada yang tergamak menamakan Jalur Gemilang sebagai 'Belang'. Ini sekali gus menggambarkan rendahnya moral golongan muda di negara ini yang boleh mempersenda bendera negara sendiri.

Nasib baiklah nama lagu kebangsaan, Negaraku diingati hampir semua responden kecuali empat orang.

Kajian tersebut turut mendapati, 40 responden tidak mengetahui bilangan negeri di Malaysia sehingga ada yang meneka Malaysia terdiri daripada 23, 17 dan 12 negeri.

Bagi soalan prinsip ketiga Rukun Negara dan juga nama Perdana Menteri keenam, iaitu perdana menteri sekarang, masing-masing 29 dan 19 responden gagal menjawab dengan tepat.

Sekali lagi diulangi dan ditegaskan, kebanyakan yang gagal menjawab soalan-soalan berkaitan sejarah dan pengetahuan am ini adalah mereka berusia di bawah 30 tahun serta kebanyakannya antara 16 dan 20 tahun.

Walaupun pelbagai kempen diadakan serta sukatan baru diperkenalkan dalam mata pelajaran Sejarah di sekolah namun masalah ini nampaknya terus berlaku.

Kesimpulan daripada kajian dan soal selidik ini adalah:

- Remaja masa kini buta sejarah.

- Remaja masa kini tidak minat mengingati peristiwa lalu.

- Remaja masa kini tidak peduli soal-soal kenegaraan.

- Remaja masa kini tidak suka ilmu pengetahuan am.

- Remaja masa kini ambil mudah patriotisme.

- Remaja masa kini terlalu memandang ke depan.

- Remaja masa kini tidak dipupuk penghayatan, sebaliknya menghafal sejarah.



Tuesday, October 26, 2010

:: Pengajaran Sejarah..IPG memandang serius




IPG Beri Tumpuan Tambah Baik Cara Pengajaran Subjek Sejarah

JITRA: Institut Pendidikan Guru (IPG) akan memberi tumpuan kepada usaha untuk menambah baik cara pengajaran Sejarah agar mata pelajaran itu dapat diajar dengan lebih berkesan di samping menarik minat pelajar untuk mempelajarinya.

Rektornya, Datuk Dr Haili Dolhan berkata adalah menjadi tanggungjawab IPG untuk melatih bakal guru supaya dapat menyampaikan pengajaran yang lebih berkesan sesuai dengan kehendak semasa.

"Para guru mesti mempastikan pembelajaran Sejarah menarik, bukan sahaja dari segi fakta sahaja tapi membawa mereka (pelajar) untuk memikirkan serta menganalisis mengapa sesuatu (peristiwa) berlaku.

"Kita mahu apabila mereka (pelajar) keluar dari sistem pendidikan, mereka memahami perlembagaan, sistem kerajaan dan menanam semangat patriotisme, sayangkan bangsa serta negara," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Seminar Pendidikan Guru 2010 di IPG Kampus Darulaman di Institut Aminudin Baki cawangan Utara, di sini, Selasa.

Katanya, IPG memandang serius keberkesanan pengajaran Sejarah kerana ia merupakan mata pelajaran wajib bagi setiap pelajar, justeru untuk tujuan itu IPG akan mempertingkatkan latihan dalam perkhidmatan.

"Di negara lain pun, mereka sangat mementingkan Sejarah kerana dari situ pelajar akan faham dan tahu kedudukan mereka dalam sesebuah negara dan faham perjuangan orang terdahulu," katanya.-BERNAMA



Sunday, October 24, 2010

:: Subjek Sejarah..SPM 2013..wajib lulus ?






Sejarah wajib lulus 2013


2010/10/24


Kementerian Pelajaran perlu masa latih guru ajar silibus baru

KUALA LUMPUR: Sejarah menjadi mata pelajaran wajib lulus bagi peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) mulai 2013 dan dilaksanakan sebagai mata pelajaran teras mengikut Kurikulum Standard Sekolah Rendah (KSSR) tahun berikutnya.

Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Pelajaran, Tan Sri Muhyiddin Yassin, berkata syarat wajib lulus itu seperti mata pelajaran Bahasa Malaysia sebagai syarat mendapat SPM.

Sambil menjelaskan keputusan Kementerian Pelajaran itu selaras pandangan sebahagian besar perwakilan pada Perhimpunan Agung UMNO 2010, beliau berkata, Sejarah ketika ini mata pelajaran teras pada peringkat sekolah menengah yang wajib diambil semua pelajar tetapi tidak wajib lulus.

“Kita kena beri masa sedikit bagi mengelakkan terkejut. Tempoh diperlukan untuk kita melatih guru dan menyediakan pelajar menghadapi sistem baru ini,” katanya ketika menggulung perbahasan, semalam.

Dalam konteks sama, Muhyiddin berkata, Sejarah dijadikan mata pelajaran teras mengikut KSSR mulai 2014, berbanding elemennya diajar melalui subjek Kajian Tempatan di sekolah rendah pada ketika ini.

Katanya, KSSR dilaksanakan dari Tahun Satu mulai tahun depan, diikuti Tahun Dua dan seterusnya sehingga lengkap satu pusingan pada 2016.
“Kurikulum baru ini adalah penambahbaikan Kurikulum Baru Sekolah Rendah (KBSR).
KSSR akan memberi penekanan kepada pendekatan secara hands-on learning, di samping keupayaan berbahasa, pembelajaran berasaskan projek dan pelbagai jenis pembelajaran yang menyeronokkan,” katanya.

Muhyiddin berkata, kementerian juga bersetuju memulakan pelaksanaan pentaksiran berasaskan sekolah pada 2014 menggantikan peperiksaan Penilaian Menengah Rendah (PMR) yang akan dimansuhkan, iaitu dua tahun lebih awal berbanding perancangan asal.

Beliau juga bersetuju kemungkinan satu laporan baru dikeluarkan mengenai cara menambah baik keseluruhan sistem pendidikan negara pada masa depan, sebagai langkah penilaian semula secara berterusan.

Mengenai pendidikan teknik dan vokasional (VOCTECH), Muhyiddin berkata, ketika ini hanya kira-kira 10 peratus atau 40,706 daripada keseluruhan pelajar mengambil bidang itu.

Beliau berkata, sasaran ditetapkan Kementerian Pelajaran ialah meningkatkan bilangan itu sekali ganda iaitu kepada 20 peratus (81,000 pelajar) menjelang 2015.

Mengenai kebajikan guru, Muhyiddin berkata, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, bersetuju peruntukan RM10 juta diberi kepada Yayasan Guru Malaysia Berhad.

Bagi menjaga kebajikan guru, Yayasan Guru Tun Hussein Onn ditubuhkan dijangka awal tahun depan.