Showing posts with label guru pedalaman. Show all posts
Showing posts with label guru pedalaman. Show all posts

Sunday, June 27, 2010

:: Tiada internet.. menyukarkan Orang Ulu menjadi guru?

Ketiadaan Internet hampir menutup peluang belia Orang Ulu menjadi guru

by Sudan Ajang
June 26, 2010, Saturday

MIRI: Meskipun gagal memohon Kursus Perguruan Lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (KPLSPM) gara-gara tidak mempunyai kemudahan Internet, namun ini tidak mematahkan semangat 25 belia Orang Ulu dari Baram untuk menjadi guru.

BERJAYA: Lihan menunjukkan senarai pemohon yang berjaya memasuki KPLSPM kepada empat lagi pemohon iaitu (dari kiri) Paul, Sharon, Alice dan Petrus.

BERJAYA: Lihan menunjukkan senarai pemohon yang berjaya memasuki KPLSPM kepada empat lagi pemohon iaitu (dari kiri) Paul, Sharon, Alice dan Petrus.

Dengan bantuan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Telang Usan Lihan Jok, mereka mengambil bahagian dalam program temu duga terbuka selepas pengambilan pada Jun melalui online ditutup.

Menurut Lihan, seramai 300 pemohon menyertai program temu duga terbuka ini, namun hanya 25 yang terpilih untuk menyertai KPLSPM yang menawarkan kursus peringkat ijazah selama lima tahun.

Katanya, semua pemohon yang berjaya akan menjalani latihan perguruan di Institut Pendidikan Guru Kampus Batu Lintang, Kampus Rajang, Kampus Perlis, Kampus Sultan Abdul Halim, Kampus Tun Hussein Onn, Kampus Tun Abdul Razak dan Kampus Keningau.

“Saya lihat ramai anak-anak tempatan di Baram berminat mahu menjadi guru, namun mereka tidak dapat memohon kemasukan kerana di sana tiada kemudahan Internet. Keadaan inilah yang berlaku semasa ambilan Jun lalu.

“Justeru, saya mengambil inisiatif mengadakan temu duga terbuka bagi memberi peluang kepada mereka untuk memohon melalui program ini,” kata Lihan semasa sidang media di pejabatnya semalam.

Terdahulu beliau menerima kunjungan daripada empat pemohon yang berjaya memasuki KPLSPM.

Mereka ialah Alice Ubong Lian dari Long Moh, Paul Ding Lah dari Long Pilah, Peterus Balan Sing dari Long Liam dan Sharon Lawai dari Long Bemang.

“Menjadi guru sudah menjadi impian saya sejak kecil lagi. Apabila mendapat peluang ini, ia seperti orang mengantuk disorongkan bantal.

“Saya amat berterima kasih kepada Lihan kerana mengambil inisiatif ini,” kata Petrus.

Keempat-empat mereka turut menyatakan bahawa mereka sanggup bertugas di pedalaman demi membantu anak-anak tempatan mendapat pendidikan yang terbaik.

Sementara itu, Lihan agak kecewa dengan pengambilan pelatih KPLSPM yang disifatkannya amat sedikit berbanding jumlah pemohon yang datang memohon.

“Kami perlukan lebih ramai guru-guru di kalangan anak-anak tempatan untuk mengajar di sini. Ini kerana mereka lebih arif mengenai budaya dan persekitaran di sini berbanding guru dari kawasan lain.

“Sebelum ini, terdapat guru-guru dari luar tidak dapat menjalankan tugas mengajar di kawasan Baram kerana gagal menyesuaikan diri.

“Apabila ini berlaku, murid-murid yang akan menjadi mangsa menyebabkan pelajaran mereka terjejas,” katanya.

Justeru Lihan berharap, lebih ramai kalangan anak-anak tempatan yang layak diterima masuk untuk pengambilan pada Januari tahun depan.



Friday, March 12, 2010

:: Guru opsyen - Guru pedalaman - Guru ingkar ?

Guru Baru Gagal Lapor Diri Akan Digugurkan

KUALA TERENGGANU: Para pendidik yang baru tamat pengajian tetapi gagal melaporkan diri untuk berkhidmat mengikut tarikh yang ditetapkan akan menghadapi tindakan digugurkan sebagai guru.

Timbalan Menteri Pelajaran, Dr Mohd Puad Zarkashi berkata, meskipun kes tersebut adalah terpencil, namun amaran perlu dikeluarkan bagi mengatasi masalah kekurangan guru khususnya di kawasan pendalaman Sabah dan Sarawak.

"Kebanyakan guru tidak menolak untuk ke pendalaman cumanya ada segelintir sahaja guru yang kita suruh pergi, dia tak mahu pergi. Isu kekurangan guru berpunca daripada guru opsyen.

"Guru opsyen ini seperti guru Sejarah, Kemahiran Hidup dan Bahasa Inggeris. Kebanyakan mereka berpindah tetapi tidak ada ganti. Kalau contohnya seorang guru itu sanggup ke pendalaman memandangkan ia kampung halamannya, kalau dia mengajar agama, guru itu tidak boleh mengajar Bahasa Inggeris kerana standardnya tidak akan sama seperti yang kita (kementerian) mahukan," katanya di sini, hari ini.

Beliau berkata, kepada pemberita selepas merasmikan mesyuarat Persatuan Ibu Bapa dan Guru dan majlis penyampaian sijil kepada lima pelajar cemerlang Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) Terengganu di Sekolah Menengah Kebangsaan Kompleks Mengabang Telipot, dekat sini.

Mohd Puad berkata, guru yang digugurkan bagaimanapun masih boleh membuat rayuan dengan mengemukakan bukti dan alasan yang boleh menjadi pertimbangan kepada pihak kementerian untuk dikekalkan sebagai guru.

Dalam pada itu beliau berkata, bagi guru yang telah berkhidmat lama juga tidak dikecualikan untuk ditempatkan ke kawasan pendalaman.

Ditanya sekiranya ada di kalangan guru berpengalaman tersebut yang enggan berpindah, beliau berkata tindakan itu akan menjejaskan peluang kenaikan pangkat dan gred perkhidmatan guru terbabit.

Selain itu, Mohd Puad berkata, pihaknya menyediakan 5,292 tempat dalam Kursus Perguruan Lepasan (KPL) SPM bagi mengikuti kursus di peringkat Ijazah Pendidikan selama lima tahun setengah.

Menurutnya, syarat kemasukan untuk mengikuti KPL SPM akan diperketatkan di mana pelajar disyaratkan mendapat tiga mata pelajaran cemerlang, tiga kepujian dalam Bahasa Melayu, Sejarah dan lain-lain subjek serta lulus Bahasa Inggeris.

"Pengambilan bagi kemasukan ke KPL SPM akan bermula pada Jun ini," katanya.

- BERNAMA