Showing posts with label Melayu. Show all posts
Showing posts with label Melayu. Show all posts

Saturday, April 20, 2013

:: Melayu... penghubung bangsa...?


Umat Melayu melihat hubungan kemanusiaan terbina dengan asas pemahaman terhadap tamadun. Pada masa lalu, tamadun Islam menjadi penghubung kepada tamadun Barat dan Timur. Tamadun ini dilambangkan dengan kekuatan ulama-ilmuwan dan umarak melakukan sinergi menyebabkan lahirnya usaha penterjemahan ilmu yang pelbagai dalam tamadun Islam dan dimanfaatkan oleh bangsa Eropah. 

Hasil usaha ini menyebabkan lahirnya ‘renaissance’, ‘reformation’ dan juga revolusi industri yang akhirnya menyebabkan kuasa Eropah menjadi penakluk atas dalih ingin melakukan proses pencerahan dan celik tamadun.
Umat Melayu adalah sinergi menghubungkan sesuatu bangsa dengan segala keunikan yang ada padanya dengan maksud kemanusiaan yang lebih tinggi hasil perkembangan tamadun Islam. Dalam menghadapi kerenah zaman dan ragam kehidupan, umat Melayu melakukan reflektif tamadun terhadap kebangkitan silam dan menjadikan contoh bagaimana ia bangun berasaskan ilmu dan keterampilan sehingga menyebabkan ia mampu bertahan lebih 600 tahun.
 



Kekuatan maksud umat dalam membangun tamadun boleh dijadikan landasan bagaimana umat Melayu boleh mengikuti jejak kehebatan silam secara lebih dekat, menyebabkan Melayu sebagai satu bangsa apabila ditindikkan dengan nilai yang sifatnya alamiah menjadikan lebih maju dan bersedia menghadapi cabaran globalisasi yang berdiri atau kualiti modal insannya. 

Bahasa Melayu miliki kekuatan ilmu 

Menjadikan diri sebagai umat Melayu bukan bermakna menolak faktor bangsa seperti bahasa dan budaya yang positif serta menyumbang terhadap kekayaan tamadun Islam. Faktor bahasa Melayu umpamanya, menerima kemasukan ribuan istilah al-Quran dan bahasa Arab sehingga menyebabkan makna daripada istilah itu memberikan tasawwur yang sifatnya Islami. 

Ia menjadikan bahasa Melayu sebagai bahasa Islam yang mempunyai kekuatan ilmu dan merintis jalan ke arah terbinanya tamadun. Kekuatan inilah yang dimiliki umat Melayu sejak menerima Islam dalam kehidupannya.
Menjadi umat Melayu tidak sekadar kuat dalam bidang rohaniahnya. Kekuatan rohaniah harus menjadi landasan yang mengangkat daya intelek dan kreativiti supaya minda Melayu terasnya adalah minda Islam. Minda Islam yang kreatif bakal mencetuskan idea besar yang mampu menjana perubahan. 

Reflektif terhadap tamadun silam umat Islam di Baghdad dan Andalusia melahirkan tokoh ilmuwan yang berwibawa dalam pelbagai bidang termasuk sains, perubatan dan matematik. Umat Melayu harus memberikan fokus dalam aspek ini di samping melakukan jihad bisnes yang dapat membimbing mereka menjadi umat yang kuat. 

Jiwa ummatik lahir kepakaran 

Di bumi Islam termasuk di daerah umat Melayu, Allah SWT mengurniakan sumber kekayaan yang banyak supaya umat Melayu boleh hidup sejahtera. Tanpa jiwa ummatik yang menuntut jiwa tadabbur atau kaji selidik dan daya juang yang tinggi tidak mungkin umat Melayu mampu melahirkan kepakaran dan keahlian. 

Keadaan ini menyebabkan orang lain melakukan eksploitasi atau mengambil kesempatan menguasai sumber yang kaya akibat kealpaan dan kekosongan daya juang untuk bersaing dan maju dengan bijaksana. 

Memperkasa umat Melayu adalah proses islah yang meletakkan Islam sebagai dukungan terhadap kemajuan dan perubahan. Kekuatan Islam dari sudut ilmu dan tamadun mampu membimbing orang Melayu untuk mara ke hadapan tanpa menzalimi orang lain kerana prinsip adil wal ihsan akan sentiasa menjadi pedoman terbaik yang dianjurkan oleh ajaran Islam. 

Strategi islah juga harus berlaku dalam memperkasa ilmu dan pendidikan. Ilmu yang integratif harus menjadi sandaran merubah kekuatan berfikir dan amal dalam kalangan generasi muda Melayu supaya jiwa ummatik akan sentiasa menjadi pendorong terhadap mereka untuk menjadi cemerlang. 
Tanpa kecemerlangan orang Melayu bakal terpinggir kerana sifat zaman kini amat terbuka dalam semua perkara. 

Generasi muda umat Melayu harus mewakili zamannya dengan gambaran yang memberikan harapan cerah pada masa depan. Meneliti mengenai penyakit sosial yang menimpa generasi muda orang Melayu kini, akibat kerapuhan jiwa mereka mendepani cabaran budaya popular dan budaya hedonistik dari Barat. Media cetak dan elektronik, festival hiburan yang banyak menjadi sumber melekakan generasi muda hingga menyebabkan kekontangan jiwa dan minda hingga peribadinya mudah cair menghadapi himpitan hawa nafsu. 

Generasi muda umat Melayu seharusnya mengukuhkan kekuatan rohaniah dalam penghayatan hidup. Penghayatan hidup umat Melayu seharusnya menginsafi bahawa tanpa jiwa yang hidup dan segar dengan sifat daya juang yang tinggi dipandu oleh nilai rohaniah murni, orang Melayu bakal menjadi penonton yang hampa dan kecewa bahawa perjuangannya berada dalam batas ‘menang sorak’ tetapi pada hakikatnya ‘kampung sendiri tergadai.’ 

Penulis ialah Profesor Pendidikan UIAM - Sidiq Baba

http://www.bharian.com.my/bharian/articles/Melayupenghubungbangsa/Article/

Monday, September 27, 2010

:: Azizi memperihalkan Melayu Berfikir





Monday, September 27, 2010

Perihal Melayu Berfikir

Sekarang orang galak kembali bercakap tentang Melayu: Kuasa Melayu. Melayu akan hancur. Perpaduan Melayu. Kemudian ada pula dakwaan, menyesal jadi Melayu. Melayu lenyap pun tak apa. Yang penting Islam.

Fikir-fikir sungguh juga. Melayu batas geografinya sekadar sampai ke lubang kubur, lepas itu Melayu pasti akan lenyap. Malaikat tidak akan tanya, apa bangsamu.

Saya pernah menulis sebuah cerpen dalam tahun 80an dulu bertajuk ‘Menyesal Jadi Melayu.’

Tapi yang sangat anih, orang yang bercakap mempertahankan Melayu, termasuk mantan pemimpin yang mendakwa tentang pentingnya Melayu, merekalah yang menjahanamkan Melayu. Merekalah yang melingkup Bahasa Melayu. Mereka yang memusnahkan indentiti Melayu dan jati diri Melayu. Raja-raja Melayu. Hak Istimewa Melayu.

Yang bangang pula mereka tak pula kata Islam lebih baik.

Pemikiran Melayu mesti diubah sekarang, kata us. Monaliti.


Dua tiga malam yang lalu, saya hadir di kuliah maghrib di surau Taman Sri Petaling. Pengkuliahnya ialah Us. Monalito Ghazali (bukan orang Maxico) Sangat menarik kuliahnya tentang mentaliti dan pemikiran Melayu. Dia bagi contoh;

Saya letak di sini, sebelah kiri seekor babi . Di sebelah kanan seorang gadis comel.

Saya pasti sebelum saya buat apa-apa, anda sebagai orang Melayu/Islam akan marah kepada saya. Berdecit-decit bibir kerana marah. Babi tak sepatutnya di tunjuk di sini. Macamlah hebuh kepala babi dalam surau.

Orang akan lebih marah lagi apabila saya memegang paha babi, lalu mengoyak kangkang dia.

Anda pasti berpaling muka, meludah dan maki-maki saya.

Bagaimana kalau saya membuka dada babi, memegang memicit tetek babi. Anda akan menyumpah-nyumpah saya. Anda merasa jijik. Mungkin ada tuduhan kafir.

Begitu juga jika anda melihat kubang babi atau babi berjaras-jaras di atas lori di bawa ke tempat sembelih. Anda akan menutup hidung, meludah tanda meloya.

Begitu kebanyakan orang Melayu berfikir tentang babi.

Tapi dalam masa yang sama, dalam keadaan (orang Melayu) dalam sedar, sempurna akal, melihat saya memegang gadis ini, saya yakin anda tidak akan melihat dengan jijik, sebaliknya anda akan melihat untuk mempastikan apakah saya memegang gadis ini.

Kemudian mata anda akan terbeliak dan kagum apabila melihat saja membuka baju gadis ini, apa lagi kalau saya membuka dada dan memegang buah dadanya.

Anda akan berkata saya berani atau saya tidak sepatutnya buat begitu. Dan anda pasti tidak akan berpaling muka kerana jijik jika saya mencium pipi gadis ini.

Apa yang anda boleh berfikir jika begini yang berlaku? Tanya Ustaz Monalito. Fikiran yang bermain dalam kepala kita sebagai orang Melayu, orang tetap memandang jijik, marah, meluat dan sanggup mengutuk, membuat laporan polis jika saya berbuat begini dengan babi.

Tapi malang orang tidak merasa apa-apa, malah merasa hebatnya pula saya, beraninya saya memegang seorang gadis. Sedangkan dalam Islam, memandang ruang aurat bukan muhrim kita pun sudah haram, apa lagi jika kita melihat saya berbuat lebih dari ini.

Apakah melihat babi, memegang babi, mencium babi lebih hukumnya dari meilhat, memegang,mencium gadis?

Adakah orang Melayu mahu berfikir begini? Anih, fikiran orang Melayu songsang, maka sebab itu mereka membuta tuli mempertahankan Melayu tak tentu sebab.

Sama seperti gadis yang mengandung di luar nikah, kita menyediakan berbagai kemudahan, malah bertaraf ‘menteri’ pula menyambutnya. Pemikiran apakah namanya ini? (Ini bukan soal menghina) tetapi siapa pula yang mahu menyambut seorang hafiz atau seorang gadis yang menghafaz al Qur`an 30 juzuk dalam masa enam bulan? Menteri mana yang sanggup menyediakan sebuah rumah untuk anak-anak muda yang melakukan kerja-kerja agama?

‘Pemikiran orang Melayu masih terbalik sekarang,’ katanya. Dan akan ada lagi mereka yang bercakap tentang Melayu sedang dalam masa yang sama mencemik Perpaduan Islam.

-Hahhh, cerpen saya tentang Melayu Surinam mahu jadi Melayu 1Malaysia belum juga siap.

Sunday, September 26, 2010

:: Apa itu 'kuasa Melayu'...kata Dr. Hassan Ahmad




utusan malaysia...



Apa itu ‘kuasa Melayu’?

ORANG Melayu baru sedar bahawa ‘kuasa Melayu’ di negara ini akan pupus, atau setidak-tidaknya Melayu tidak akan berkuasa lagi di negeri ini. Beberapa tanda digunakan untuk membuat ramalan tentang kemungkinan pupusnya kuasa Melayu di negara ini.

Hasil Pilihan Raya Umum (PRU) yang lepas dianggap oleh orang Melayu sebagai salah satu tanda terhakisnya kuasa politik Melayu apabila UMNO dan rakan-rakannya dalam Barisan Nasional (BN) hilang kuasa majoriti 2/3 dalam parlimen dan jatuhnya negeri kuasa UMNO sejak kemerdekaan ke tangan Pas atau gabungan parti-parti Pakatan Rakyat, dan hilangnya pengaruh politik UMNO di Pulau Pinang. BN mula-mulanya kalah di Perak tetapi disebabkan tiga orang anggota DUN PR keluar parti dan menjadi anggota DUN mesra-BN, maka Mahkamah memutuskan bahawa BN-lah yang layak memerintah di negeri itu. Tetapi orang Melayu kekal memerintah di Kelantan, walaupun parti yang memerintah bukan BN/UMNO tetapi Pas.

Orang Melayu mungkin mengenang akan kuasa yang diwarisi oleh orang Melayu dari sejarah pemerintahan Melayu di negeri-negeri Tanah Melayu. Sejarah sebelum kemerdekaan menunjukkan bahawa sejak zaman berzaman, sebelum kedatangan penjajah Inggeris, yang memerintah di Tanah Melayu bukan orang lain tetapi orang Melayu, kerajaan Melayu, raja-raja Melayu, pembesar-pembesar Melayu. Benar, sejak Perjanjian Pangkor tahun 1874, British mulai ‘mencampuri’ urusan pentadbiran negeri Melayu, terutama di Negeri-negeri Melayu Bersekutu atau Federated Malay States. Tetapi sejarah itu tidak menunjukkan bahawa kuasa pemerintahan Melayu jatuh sepenuhnya ke tangan kuasa baru, iaitu kuasa British. Tidak. Raja Melayu tetap bertahta (tidak diturunkan dari tahtanya) dan memerintah walaupun dengan ‘nasihat’ pegawai British. Di Negeri-Negeri Melayu Tak Bersekutu (Johor, Kelantan, Terengganu dan Kedah-Perlis) pentadbiran masih hampir sepenuhnya berada dalam tangan raja Melayu, menteri besar Melayu dan para pegawai pentadbir Melayu. British cuma menjadi ‘penasihat’.

Tetapi akhirnya kerana kelemahan raja-raja dan golongan bangsawan Melayu yang memerintah bersama-sama British itu, kuasa politik Melayu makin lama makin merosot sehinggalah sampai pada tahun 1946 apabila British kembali ke Tanah Melayu (selepas Jepun kalah Perang) untuk mentadbir semula Tanah Melayu dan kemudian cuba mengubah status Tanah Melayu atau ‘British Malaya’ menjadi ‘koloni British’ melalui rancangan Malayan Union-nya.

Orang Melayu seluruh Tanah Melayu bangkit menentang rancangan itu, kerana kalau tidak ditentang Tanah Melayu akan menjadi tanah ‘Jajahan British’, raja-raja Melayu akan hilang hak dan kedaulatannya dan akan dijadikan subject raja British dan bangsa Melayu menjadi ‘rakyat British’ sama seperti halnya dengan Hong Kong, tidak lagi sebagai rakyat raja Melayu atau negeri Melayu. Semasa seluruh bangsa Melayu di Tanah Melayu, termasuk Melayu di Singapura, bangkit menentang rancangan Malayan Union itu kaum-kaum lain tidak menyokong protes itu. Mereka mungkin itu adalah masalah orang Melayu, masalah raja dan negeri Melayu, bukan masalah mereka. Pada masa itu mereka bukan rakyat raja atau negeri Melayu. Mereka adalah ‘orang asing’ atau ‘pendatang’. Jadi, mereka tidak turut membantah kerana menganggap Malayan Union itu ialah masalah Melayu bukan masalah mereka. Barangkali mereka suka Tanah Melayu menjadi koloni British dan mereka menjadi ‘rakyat British’ atau ‘British citizens’.

Malayan Union yang gagal itu digantikan dengan kesatuan baru yang disebut Federation of Malaya yang diperintah oleh raja baru, iaitu the British raj (seperti di India) yang diwakili di Tanah Melayu oleh Pesuruhjaya British sebagai ‘ketua eksekutif’. Tetapi Federation of Malaya itu sebenarnya ialah Federation of Malay States atau ringkasnya Persekutuan Tanah Melayu, bukan Persekutuan Malaya. Ini menunjukkan bahawa ‘negeri Melayu’ tidak dihapuskan seperti yang cuba dihapuskan oleh British melalui rancangan Malayan Union-nya. Ada ‘Negeri Melayu’ bererti ada raja Melayu, ada kerajaan Melayu. Kita menyebut ‘sejarah’ ini untuk menangkis pendapat yang mengatakan bahawa sebelum kemerdekaan ‘Negeri Melayu’ atau ‘Kerajaan Melayu’, atau dengan kata lain ‘kuasa Melayu’ sudah tidak ada lagi. Maka orang pun percaya - dan ini termasuk para pemimim Melayu - bahawa dalam tahun 1957 lahirlah sebuah ‘negara baru’ yang disebut negara Federation of Malaya (kemudian dalam tahun 1963, menjadi ‘Persekutuan Malaysia’), tidak lagi ‘persekutuan tanah Melayu’ atau ‘persekutuan negeri-negeri Melayu’. Ini suatu penghinaan kepada bangsa Melayu yang sudah mempunyai negeri atau negara atau kerajaan sejak sekurang-kurangnya abad ke-13 lagi.

Kemerdekaan

Selepas kemerdekaan, UMNO yang pada waktu itu mampu memerintah tanpa bergabung dengan kaum-kaum lain, sanggup berkongsi dengan kaum-kaum lain untuk memerintah negeri ini selepas British meninggalkan Tanah Melayu, demi ‘perpaduan kaum’ (konon!). Dalam PRU pertama (1956), UMNO memenangi lebih daripada 2/3 kerusi Parlimen. Calon-calon dari parti komponen Perikatan, iaitu MCA dan MIC, kalau saya tidak silap, semuanya atau hampir semuanya menang di kawasan yang majoriti pengundinya adalah orang Melayu.

Itulah agaknya yang dimaksudkan oleh Melayu sebagai ‘kuasa Melayu’, iatu kuasa politik Melayu. Tetapi mengapakah sekarang orang Melayu takut ‘kuasa’ itu akan hilang? Apakah yang mereka takut: hilang kuasa UMNO atau hilang kuasa Melayu? Dalam Parlimen, orang Melayu masih merupakan golongan majoriti, kalau kita ambil kira kerusi UMNO, kerusi Melayu Pas, dan kerusi Melayu dari PKR. Kuasa Melayu untuk terus menjadi pemerintah di negeri ini tidak semestinya bererti kuasa UMNO sahaja.

Hari ini, sudah mulai banyak orang Melayu yang berkata, apa untungnya rakyat biasa Melayu jika UMNO terus memerintah. Mereka melihat sebahagian orang Melayu yang berkuasa dalam UMNO sudah tidak ada semangat dan jiwa Melayunya lagi, seperti ibu bapa mereka yang berarak menentang Malayan Union. Mereka dilihat tidak berani lagi ‘memperjuangkan’ nasib bangsa Melayu; UMNO baru ini dilihat semakin menyerah dan bertolak ansur dengan apa sahaja kehendak dan tuntutan orang bukan Melayu, termasuk hal-hal yang mereka tidak tuntut namun diberikan juga, konon untuk mengambil hati orang bukan Melayu, sedangkan tuntutan Melayu dituduh sebagai tuntuan ‘rasis’. Sama ada ini hanya persepsi orang Melayu terhadap UMNO sekarang atau ini memang kebenaran, UMNO kenalah kaji dengan jujur dan secara rasional untuk mengetahui sebabnya yang sebenar. Maka dalam keadaan nasib Melayu yang tidak menentu ini, lahirlah NGO Melayu yang dituduh ‘rasis’, iaitu Perkasa. Menurut Tun Dr. Mahathir Mohamad, Perkasa lahir kerana mereka menganggap UMNO tidak lagi sanggup atau mampu mempertahankan hak dan kepentingan bangsa Melayu.

Dalam PRU yang lepas banyak penyokong tradisional UMNO lari ke parti-parti lain, khususnya Pas. Apa sebabnya? Apakah mereka sudah kecewa dan hilang kepercayaan kepada UMNO sebagai parti yang dapat membela nasib mereka atau apakah mereka percaya bahawa Pas dapat menjadi parti Melayu sebagai alternatif kepada UMNO? Dasar-dasar apakah yang dibawa oleh Pas yang menarik perhatian mereka?

Masalah

Saya rasa masalah ‘kuasa Melayu’ tidak terletak pada mana-mana parti politik Melayu atau pada soal ‘kuasa politik’ parti semata-mata. Kuasa politik bukan ditentukan oleh parti politik tetapi oleh rakyat, oleh pengundi. Sama ada kita suka atau tidak suka inilah demokrasi. Kuasa politik bukan terletak pada UMNO, atau Pas, atau DAP atau PKR tetapi pada rakyat. Dan rakyat hari ini, terutama golongan muda - ini termasuk pengundi Melayu yang masih merupakan pengundi majoriti di negara ini - nampaknya tidak lagi memilih parti hanya berdasarkan sentimen kaum tetapi berdasarkan soal sama ada parti itu dapat memerintah negara dengan adil, saksama, seimbang, bersih, cekap dan amanah. Mereka melihat apakah parti itu dipenuhi oleh golongan manusia yang perasuah, orang yang hanya mementingkan diri sendiri, kekayaan sendiri dan kesenangan kaum keluarga dan sahabat handai mereka, atau apakah parti itu dipimpin oleh orang-orang yang bersih dari segala macam rekod moral yang buruk, orang yang bercakap bohong, orang yang lebih mementingkan ekonomi ‘pasaran bebas’, ekonomi mesra pasaran, daripada ekonomi atau pasaran mesra-rakyat. Sehubungan ini saya teringat membaca suatu artikel dalam majalah Newsweek baru-baru ini yang menceritakan dasar ekonomi negeri China. Seorang pegawai tinggi kerajaan China berkata: In China we make the market economy to serve the people and the State, not the market, maksudnya, ‘Di negeri China ekonomi pasaran diarah berkhidmat untuk rakyat dan negara tidak untuk pasaran’. Barangkali kerana inilah China sekarang sedang berkembang untuk menjadi sebuah kuasa ekonomi dunia mengalahkan negara-negara Barat dan Jepun.

Kalau sesebuah parti Melayu diketahui oleh rakyat semua kaum sebagai parti yang ‘bersih’, yang akan memerintah dengan adil tidak kira kaum, saya kira semua kaum akan tertarik dengan parti itu. Ini soal prinsip, soal moral, bukan soal perkauman.

Jadi, soalnya, apakah dan siapakah yang salah jikalau ‘kuasa Melayu’ akan hilang. Jawabnya ialah, yang salah ialah orang Melayu sendiri, bukan kaum-kaum lain. Diberi kuasa yang banyak oleh rakyat, terutama pengundi Melayu, kuasa itu tidak digunakan dengan baik dan bijaksana; kuasa itu disalahgunakan, sehingga berlaku beberapa banyak skandal berlaku, skandal rasuah, skandal jenayah, skandal ekonomi. Selama 50 tahun orang Melayu mempunyai kuasa untuk mempertahankan hak dan kepentingan Melayu dalam bidang ekonomi, pendidikan, dalam soal dasar bahasa, dalam soal budaya dan lain-lain lagi, tanpa menjejaskan kepentingan kaum-kaum lain yang juga perlu diperjuangkan oleh penguasa-penguasa politik Melayu itu dengan adil dan saksama, sebagaimana dituntut oleh Perlembagaan, tetapi sejak mutakhir ini nampaknya keadaan orang Melayulah yang semakin terdesak. Maka lahirlah badan bukan kerajaan Melayu seperti Perkasa untuk mewakili suara dan keadaan rakyat Melayu yang terdesak itu.

Kemiskinan di kalangan orang Melayu, penduduk majoriti negara ini, dan kemiskinan di kalangan kaum lain juga makin meningkat. Jurang perbezaan antara golongan terkaya dengan golongan majoriti yang susah semakin membesar. Jikalau dasar ekonomi negara ini mesra-rakyat, keadaan ini sepatutnya tidak berlaku. Kita sibuk memajukan keadaan fizikal negara tetapi lupa memajukan keadaan moral rakyat dan negara serentak atau selaras dengan kemajuan materialistik.

Nasihat saya kepada orang UMNO ialah, tumpukan perhatian kepada reformasi atau transformasi moral dan budaya politik dalam UMNO. Ini akan menjadi asas atau ‘model’ untuk membolehkan UMNO menjadi ‘pejuang bangsa Melayu’ yang kredibel dalam bidang-bidang ekonomi, pendidikan dan sosial merentas kepentingan peribadi anggota-anggota parti itu sendiri. Saya tidak berkata bahawa ‘moral’ anggota-anggota dan kepimpinan parti-parti lawan semuanya bersih, hebat, cemerlang, Tidak. Yang penting ialah UMNO sebagai parti Melayu yang terbesar (atau masih terbesar?) hendaklah memperbaiki dan menampilkan imejnya sebagai parti yang benar-benar berjiwa ‘kebangsaan’, parti yang dapat menjadi pilihan utama rakyat, tidak sahaja rakyat Melayu tetapi juga rakyat bukan Melayu berdasarkan prinsip-prinsip keadilan, keseimbangan dan kesaksamaan merentas kepentingan kaum dan kepentingan peribadi para anggota parti.

Akhir kata, ‘kuasa Melayu’ tidak bererti kuasa untuk orang Melayu yang berkuasa melakukan apa sahaja menurut nafsu mereka, memperjuangkan hak dan kepentingan Melayu dan memusnahkan hak dan kepentingan bukan Melayu. Kuasa Melayu bererti kuasa untuk mentadbirkan negara dengan cekap, adil, bijaksana, bersih, bertanggungjawab untuk kepentingan negara, bukan untuk kepentingan etnik atau kepentingan golongan dan orang-orang perseorangan yang berkepentingan peribadi. Kuasa Melayu tidak bererti kuasa anti-bukan Melayu, atau hanya kuasa pro-Melayu, tetapi kuasa untuk semua rakyat, kuasa untuk mewujudkan kemajuan, kesejahteraan, kemakmuran untuk semua rakyat. Kalau ini maksud kuasa Melayu, tidak ada sebab mengapa rakyat mesti takut kepada kuasa ini. Yang kita takut ialah, jika kuasa Melayu ini diberikan kepada atau jatuh ke tangan orang Melayu yang tidak layak menerimanya dan tidak mampu menggunakannya dengan sebaik-baiknya untuk kepentingan negara.

Tuesday, June 29, 2010

:: DS Michael Manyin beri amaran kepada Ketua Kaum

Ketua kaum di Sarawak dihentikan jika sokong pembangkang

SAMARAHAN - Mana-mana Ketua Kaum yang menyokong pembangkang dalam pilihan raya negeri Sarawak yang akan datang akan ditamatkan perkhidmatan serta-merta kerana ia adalah satu tindakan salah laku yang amat serius, kata Menteri Pembangunan Infrastruktur dan Perhubungan Sarawak, Datuk Seri Michael Manyin.


"Ketua Kaum adalah ejen kerajaan, yang membantu dalam pembangunan masyarakat setempat dan bukannya menentang kerajaan," kata pada majlis penyerahan surat pelantikan dua Temenggong Samarahan mewakili masyarakat Bidayuh dan Melayu di sini, hari ini.

Di Sarawak, jawatan Temenggong yang mewakili kaum tertentu di peringkat bahagian adalah hirarki tertinggi sistem pentadbiran setempat diikuti Pemanca di peringkat daerah, Penghulu dan akhir sekali Ketua Kaum.

Manyin berkata, oleh kerana pilihan raya negeri Sarawak semakin hampir, semua Ketua Kaum perlu meningkatkan usaha untuk membantu kerajaan memberi maklumat mengenai kejayaan yang telah dicapai oleh kerajaan negeri terutama sekali membawa pembangunan ke kawasan pedalaman kepada penduduk setempat.

"Bagi meningkatkan lagi sistem penyampaian kerajaan, kerajaan negeri mahu Ketua Kaum bersikap terbuka dalam menerima kritikan dan cadangan," katanya.

Beliau berkata, jawatan Ketua Kaum kini bukan kekal sepanjang hayat dan telah dihadkan tempoh selama empat tahun.


"Tidak ada undian atau pilihan raya untuk melantik Ketua Kaum kerana sistem yang dilaksanakan sekarang adalah berdasarkan lantikan mengikut persetujuan yang disahkan oleh Pegawai Daerah, Residen Bahagian dan Setiausaha Kerajaan Negeri," katanya.

Bekas guru Robert Sulis Ridu, 75, dilantik menjadi Temenggong Samarahan mewakili masyarakat Bidayuh manakala Chek Bujang, 59, seorang bekas guru agama, dilantik Temenggong Samarahan mewakili masyarakat Melayu.

Temenggong Bidayuh akan memimpin seramai 152 Ketua Masyarakat dan Ketua Kaum berbangsa Bidayuh manakala Temenggong Melayu akan memimpin 111 Ketua Masyarakat dan Ketua Kaum di Samarahan.


Sunday, June 20, 2010

:: Kajian UPM: Salah laku remaja

300 remaja Melayu salah laku seksual, seks bebas
Oleh Syuhada Choo Abdullah
choo@bharian.com.my
2010/06/20

pix_gal0
Pengaruh rakan sebaya punca utama gejala: Kajian UPM

KUALA LUMPUR: Kajian terbaru Universiti Putra Malaysia (UPM) mendedahkan lebih 300 remaja Melayu di bandar dan luar bandar berusia antara 13 hingga 25 tahun mengakui terbabit dengan salah laku seksual dan gejala seks bebas, sehingga ada yang menggugurkan janin.

Lebih mengejutkan, kira-kira 85 peratus daripada mereka yang melakukan perbuatan itu, bukan saja tidak kesal, malu atau takut dari segi dosa malah menyifatkan pengalaman berkenaan sebagai menyeronokkan.

Menurut kajian itu, mereka yang terjebak dengan gejala terbabit bukan disebabkan faktor tekanan akibat kegagalan institusi keluarga termasuk rumah tangga porak-peranda, sebaliknya tertarik dengan pengaruh rakan sebaya. Sebahagian besar mereka juga mengakui menerima pendidikan agama mencukupi.

Dapatan itu diperoleh daripada kajian enam bulan bertajuk ‘Keterlibatan Remaja Dalam Salah Laku Seksual’ dengan 400 responden ditumpukan kepada dua kumpulan sasaran di Lembah Klang dan juga kawasan luar bandar, iaitu pelajar sekolah menengah daripada Tingkatan Satu hingga Tingkatan Lima serta remaja di bawah usia 25 tahun. Kajian itu siap sepenuhnya Disember lalu.

Pengarah Pusat Kokurikulum UPM yang mengetuai kajian itu, Prof Madya Dr Mohammad Shatar Sabran, berkata ada responden mengakui terdedah kepada ‘dunia seksual’ seawal sekolah rendah, termasuk muat turun gambar lucah melalui telefon bimbit, menonton video lucah dan melayari laman web pornografi.

Beliau yang memfokus kepada pembinaan modal insan, pembangunan sahsiah dan kemahiran insaniah dalam bidang tugasannya berkata, penggunaan bahasa serta isyarat lucah dalam komunikasi dan pergaulan harian bersama rakan sebaya pada usia begitu mentah juga menjadi amalan mereka.

“Lebih menyedihkan apabila yang menjadi keutamaan remaja terbabit dengan seks bebas itu ialah ‘buat selagi tidak mengandung’. Mereka langsung tidak mementingkan soal dosa seolah-olah agenda ketuhanan tiada dalam hidup.

“Ada responden yang menjawab mereka tahu perbuatan itu berdosa tetapi berkata ‘enjoy dulu, nanti taubatlah’. Ini bermakna remaja berkenaan ada pengetahuan dan kesedaran agama, tetapi ia tidak menyentuh jiwa mereka.

“Walaupun dapatan kajian di luar bandar dan Lembah Klang menunjukkan hasil lebih kurang sama, senario di luar bandar itu boleh dianggap lebih mengejutkan apabila ramai remajanya turut terjebak dengan gejala ini sedangkan kawasan berkenaan tidak mendapat pendedahan seperti di bandar raya,” katanya kepada Berita Harian.

Mohammad Shatar berkata, kajian membabitkan jumlah seimbang dari segi responden lelaki dan perempuan itu dilakukan sebagai projek tahun akhir pelajarnya dengan menyenaraikan 25 aktiviti salah laku seksual daripada peringkat ‘ringan-ringan’ seperti meraba, bercium dan berpeluk hingga peringkat kes berat meliputi seks bebas serta menggugurkan janin.

Beliau berkata, hasil kajian juga mendapati ada beberapa faktor yang umpama ‘mencurah minyak ke dalam api’ yang menambah kepada gejala itu, termasuk kebebasan dan kepercayaan terlalu tinggi diberikan oleh ibu bapa kepada anak.

“Memang amat penting untuk memberi pendidikan agama secukupnya kepada anak, tetapi itu bukanlah jaminan kerana ia mesti dilengkapi pengawasan berterusan daripada ibu bapa. Jangan terlalu bersangka baik atau menjadikan penampilan luaran anak seperti dari segi cara berpakaian dan tingkah laku sebagai ukuran mutlak bahawa mereka selamat atau terhindar daripada pengaruh gejala seks ini.

“Pengaruh luar amat berkuasa terhadap remaja, lazimnya bukan daripada keluarga sendiri. Justeru, ibu bapa tetap perlu berhati-hati dengan menyimpan 50 peratus ketidakpercayaan terhadap anak, termasuk membuat pemeriksaan mengejut dari semasa ke semasa.

“Selain itu, disyorkan ibu dan bapa melakukan ‘pemeriksaan fizikal’ yang sewajarnya dan secara berhemah terhadap anak perempuan dan juga anak lelaki dari semasa ke semasa demi memastikan mereka tidak menyembunyikan sebarang ‘tanda’ berkaitan.

“Dalam konteks ini, jangan mudah terpedaya dengan ideologi kebebasan peribadi dari Barat kerana ada ibu bapa harus mengetepikan elemen privasi demi menyelamatkan anak selagi tindakan yang diambil tidak melampaui batasan,” katanya.

Saturday, September 12, 2009

:: Radzi: Makna Melayu



Monday, November 13, 2006

Makna Melayu sejati

Lihat gambar ini. Berdasarkan ini, mungkin ada yang percaya begitulah rupa-paras orang Aceh, kulit sawo matang dengan ciri-ciri rupa bangsa yang dikategorikan sarjana sebagai ras Mongoloid. Tetapi jangan terperanjat kalau anda terjumpa orang Aceh yang memang semulajadi berambut perang dan bermata biru... Kerana mereka berasal daripada keturunan orang Portugis yang terdampar di Aceh sekitar 500 tahun dahulu. Itu belum kira lagi mereka yang berkulit putih merah hidung mancung dengan ciri-ciri rupa-paras Arab-Parsi... Kerana memang asal-usul nenek-moyang mereka daripada Timur Tengah tetapi tetap dikenali sebagai orang Aceh!

Sebenarnya begitulah juga asal-usul bangsa Melayu - satu gabungan bangsa campuran daripada pelbagai pelusuk dunia yang diikat menjadi Melayu melalui ciri-ciri tertentu. Tetapi fakta ini sengaja digelapkan penjajah Barat pro-Zionis yang membentuk sejarah dunia sesedap rasa supaya kita jadi keliru, supaya kita pula masuk perangkap acuan mereka, senang dilentur dan dijinakkan sehingga hilang kekuatan sebenar kita sebagai bangsa Melayu. Lalu kita diajar bahawa bangsa Melayu adalah satu subset ras Mongoliod yang turun daripada Yunan ke Tanah Melayu, bangsa pendatang yang menolak kaum Asli atau proto-Malay ke kawasan pendalaman dan hutan. Kenapa? Supaya kita boleh digambarkan sebagai orang asing yang tidak layak mendapat apa-apa keistimewaan ke atas tanah-air yang kita cintai ini...

Bukan itu sahaja, dengan menyatakan kononnya kita berasal daripada Yunnan, maka Barat dengan "sekali pukul" dapat merendahkan asal-usul kita sebagai sebahagian kecil sahaja daripada bangsa Cina...

Bab ini tidak perlulah dipanjangkan kerana semua orang tahu ia sensitif. Fitnah zaman sudah jadi semakin teruk di mana orang Melayu murtad dibela undang-undang ciptaan Zionis atas nama kebebasan bersuara dan beragama, orang Melayu yang hendak menyekat kesesatan pula boleh dilabel sebagai ekstrimis dan para pengacau keamanan negara.

Maka itu, biar disajikan sedikit sedutan daripada buku "Berpetualang ke Aceh"....

Fikir-fikirkanlah... Carilah kembali makna Melayu yang hilang dan perkasakan kembali dalam diri, seterusnya keluarga, saudara-mara, jiran dan kenalan dan seterusnya... Insyaallah!

Rasyid yakin dengan maklumat yang diperolehinya kerana dia sudah mengkaji dan mendapatkan maklumat daripada pelbagai pihak. Ini termasuk pandangan orang tua-tua Melayu yang tidak percayakan teks rasmi sejarah Nusantara, orang-orang yang lebih senang hidup di luar arus pembangunan sekarang sehingga mereka sering dianggap kolot, ketinggalan zaman...

Kata orang-orang ini, apa yang dianggap umum sebagai sejarah rasmi bumi ini sebenarnya tidak lebih daripada kerja Orang Putih untuk menipu orang Melayu hidup-hidup. Kerja orang-orang seperti Stamford Raffles dan Clifford yang mahu menggelapkan sejarah sebenar bangsa Melayu supaya fikiran mereka terus terjajah, terpedaya, terpesona dan terkinja-kinja dengan budaya Barat, supaya hilang jati-diri Melayu yang sebenar.

Misalnya, ada seorang pakcik berumur sekitar 80 tahun tetapi masih tegap mengerjakan kebun sayurnya yang luas di kawasan pergunungan Pahang pernah menyoal Rasyid, apakah itu Melayu, apakah makna bangsa Melayu. Mengapa di Tanah Melayu ini Melayu itu Islam dan Islam itu Melayu. Mengapa perlembagaan negara Malaysia ada menyebut takrif Melayu adalah orang Islam yang bermastautin di negara ini, bercakap dalam bahasa Melayu dan mengamalkan adat-istiadat Melayu...
“Cuba kamu teliti balik muka orang Melayu. Ada yang putih, ada sawo matang, ada yang gelap. Ada muka India, ada muka Cina, muka Arab dengan Mat Saleh pun ada,” orang tua itu memulakan satu polemik.
“Tengok dan cermin diri kamu sendiri,” pakcik itu menuding ke arah anak muda itu. “Kulit putih merah, rambut perang, hidung mancung, mata coklat. Di manakah letak Melayunya? Adakah pada paras rupa?”

Rasyid terdiam. Teringat zaman kanak-kanaknya di mana dia sering diejek sebagai “Mat Saleh Celup”. Rupa macam Orang Putih tapi bukan... Sehingga dia pernah merasa malu malah benci melihat kulitnya yang putih bersih dan rambutnya yang sedikit keperangan. Kalau bersekolah di Kuala Lumpur, di St. John atau Victoria Institution lainlah juga kerana ada ramai Pan-Asian, anak kacukan yang ibu atau bapanya Mat Saleh. Ini di Muar, Johor. Jarang terdapat orang Melayu ‘tulin’ dengan rupa-paras begini. Lainlah kalau ada darah Orang Putih, tak pun Arab. Setahu anak muda itu, ayah dan ibunya tidak memiliki darah Mat Saleh walaupun mereka berdua memang berkulit putih cerah.

Semasa di sekolah menengah pula, dia pernah ditegur seorang guru yang mengatakan rambutnya merah seperti rambut Sakai atau rambut orang tak mandi. Sedangkan Tuhan telah menjadikan rupa-parasnya semulajadi begini. Rasyid pernah terasa malu dengan keadaannya terutama kulitnya yang putih kemerahan bersih kerana selalu diejek rakan-rakan sebagai licin macam kulit perempuan... Sehingga dia sengaja membiarkan kulitnya tergores sampai luka-luka apabila bersukan terutama ketika bermain ragbi, supaya dapat parut yang membuktikan ‘kelakian’. Nak bagi nampak macho lah konon...

‘Malangnya’ kulitnya cepat sembuh dan tetap putih kemerahan bersih. Malah boleh dikatakan tidak ada parut langsung di tubuhnya walaupun dia telah berkali-kali luka kerana perangai lasaknya kecuali sedikit bekas luka yang dalam di tempat tertentu dan suntikan BCG di bahu. Yang eloknya, apabila umurnya meningkat remaja, ramai pula pelajar perempuan yang menunjukkan minat terhadap rupa-paras anak muda ini. Dan yang pelik, satu hari nanti, manusia-manusia yang pernah mengejeknya sebagai Mat Saleh Celup berkulit licin macam perempuan pula yang akan sibuk mencari jalan untuk memutih dan mencantikkan kulit di samping mewarnakan rambut menjadi perang atau lebih terang. Rupa-rupanya ramai orang Melayu yang teringin sangat hendak jadi Mat Saleh. Cuma mereka tidak diberi rupa-paras semulajadi begitu. Kesian...

Selain Pan-Asian, Rasyid juga pernah disalah-anggap sebagai Cina atau Benggali. Seolah-olah bangsanya boleh berubah mengikut hari...
“Cuba kamu tengok orang bangsa lain. Ada tak begitu?” pakcik itu mengejutkan anak muda itu dari lamunan. “Setahu aku, kalau orang Cina, mukanya Cinalah… Tak semestinya mata sepet tetapi ciri-ciri mukanya nyata, boleh tahu dia ni orang Cina. Kalau Cina muka Melayu, selalunya bapak atau mak Cina kahwin India. Kaum lain pun boleh nampak nyata ciri-cirinya...”
Orang tua itu berhenti sejenak. Kemudian merenung muka anak muda itu tanpa berkedip. Ada sesuatu perkara hendak dibangkitkannya...
“Kamu tahu kenapa orang Melayu memiliki berbagai jenis rupa?” tiba-tiba dia bertanya. Rasyid cuma menggeleng-gelengkan kepala.

Pakcik itupun meneruskan. Katanya, orang Melayu dahulu bukan setakat bangsa Melayu seperti yang dikenali sekarang tetapi campuran pelbagai bangsa dari seluruh pelusuk dunia yang beragama Islam, atau memeluk Islam selepas menetap lama di Nusantara. Sepertimana ada orang Aceh menyebut perkataan “ACEH” adalah singkatan untuk “Arab, China, Eropah dan Hindi”. Kerana menurut mereka, bangsa Aceh adalah bangsa campuran empat bangsa utama dunia. Dan mereka semua diikat oleh satu faktor yang sama iaitu Islam!

Kata orang tua itu lagi, fakta ini memang diketahui oleh orang-orang Barat yang telah menjajah lalu mencorakkan suasana budaya dan politik Tanah Melayu. Tetapi mereka sengaja menyembunyikannya supaya orang Melayu keliru tentang asal-usul mereka sendiri lalu senang dipecah-belahkan...
“Jangan percaya semua yang diajar di sekolah,” dia menegur. “Orang Putih kata manusia berasal dari beruk pun nak percaya juga? Ikut cakap enggang, makan buah belolok. Itu yang Sarawak dapat Raja Brooke!”

Katanya lagi, orang Melayu dahulukala wujud daripada campuran pelbagai bangsa pendatang yang apabila duduk lama di bumi Nusantara menjadi sebati dengan adat, cuaca dan keadaan setempat. Kerana mereka lebih dekat dengan nature, alam sekitar, bukan seperti manusia sekarang yang terlalu berbangga dengan kecanggihan ilmu sains dan teknologi, suka melawan tertib alam sampai cuba mencabar Takdir dan mengubah Qada’ dan Qadar...

Lebih menarik lagi, menurut orang tua itu setiap bangsa ini malah setiap bangsa di dunia tidak kira di mana jua mereka berada, apakah asal-usul mereka sebenarnya sudah lama mengenali agama Tauhid yang dibawa para Nabi terdahulu. Malangnya, fakta ini juga sengaja disembunyikan Barat sehingga semua manusia menjadi kalut... Tidak tahu apakah kaitan sebenar di antara semua bangsa ini sedangkan mereka semuanya adalah anak cucu keturunan Nabi Adam AS yang berpecah menjadi pelbagai jurai keturunan.
“Bukankah Allah SWT telah menurunkan 124,000 orang Nabi dan 313 Rasul untuk setiap kaum di muka bumi? Bukankah semuanya membawa agama Tauhid yang memberi kesejahteraan, Salam ataupun Islam?” kata pakcik itu penuh semangat. “Maka sedar tidak sedar, para pendatang ini akan menyerap cara hidup di Nusantara termasuk menganut Islam, bercakap bahasa Melayu dan mengamalkan adat-istiadat tempatan. Maka jadilah mereka orang Melayu... Sebab itu wujud istilah masuk Jawi, masuk Melayu. Sebab Melayu itu Islam dan Islam itu Melayu! Bukankah ini termaktub dalam perlembagaan?”

Rasyid tersenyum puas. “Betullah cakap pakcik,” dia menyambut, senang. Melayu bukan setakat satu bangsa sahaja, ia sebenarnya adalah satu konsep penyatuan ummah melalui satu agama. Sepertimana American adalah satu konsep penyatuan pelbagai bangsa dalam satu negara ideal yang dibentuk abad ke 18 Masihi sebagai tindakbalas kepada dasar imperial lapuk Eropah.”
“Malangnya anak bangsa kita sendiri tidak faham makna sebenar Melayu akibat politik licik penjajah,” dia menyambung, kesal. “Tidak nampak Inggeris sengaja membawa masuk buruh dari India dan Cina ke Tanah Melayu lalu mengasingkan mereka kepada sektor-sektor tertentu seperti perlombongan dan perladangan supaya pergaulan mereka dengan penduduk tempatan dapat dihadkan. Maka para pendatang yang dikira sebagai His atau Her Majesty’s Subjects, rakyat jajahan takluk Raja Inggeris ini tidak akan masuk Melayu seperti yang pernah berlaku dahulu. Lalu ketegangan dan pergaduhan yang meragut nyawa seperti Perang Larut di Perak dapat diwujudkan untuk menghalalkan campurtangan Inggeris dalam hal ehwal pemerintahan orang Melayu nanti. Maka timbullah Perjanjian Pangkor yang menghina Raja-raja Melayu!”

.................................................................

dipetik dari catatan si merahsilu...
http://merahsilu.blogspot.com/2006/11/makna-melayu-sejati_13.html