Showing posts with label pelajar. Show all posts
Showing posts with label pelajar. Show all posts

Saturday, August 27, 2011

:: SURAT: Pelajar tak kreatif berfikir ?




Hafal punca pelajar tak kreatif berfikir


2011/08/27

KETIKA Konvensyen Guru-Guru Muda 2011 baru-baru ini, Perdana Menteri ada menyatakan pelajar sekolah pada hari ini perlu dielakkan daripada belajar secara menghafal atau rote learning.

Golongan guru pula perlu memiliki kebolehan tinggi dalam soal adaptasi dan melakukan penambahbaikan dalam tugas supaya pelajar tidak menjadi bosan dalam proses pembelajaran lebih-lebih lagi dalam era globalisasi ini.
Sebagai ahli akademik, saya amat bersetuju dengan saranan Datuk Seri Najib Razak dan saya melihat belajar secara menghafal mendatangkan banyak kesan negatif kepada pelajar.
Belajar secara menghafal ini kebiasaannya sesuai dipraktikkan kepada kanak-kanak yang mindanya masih dalam proses perkembangan. Mereka menghafal tanpa memahami apa sebenar dihafalnya.

Lazimnya, kanak-kanak ini lebih ke hadapan berbanding rakan sebaya mereka yang tidak belajar langsung disebabkan maklumat yang disimpan dalam minda kesan daripada hafalan.

Bagaimanapun, cara ini tidak sesuai dipraktikkan di kalangan pelajar sekolah rendah dan menengah. Ia meminta pelajar mengingat sesuatu fakta secara berulangan.

Impaknya, pelajar malas berfikir dan tidak memahami apa sebenar dihafalnya. Sedangkan kebanyakan sukatan pelajaran begitu menekankan proses berfikir. Contohnya matlamat pelajaran Matematik umpamanya melahirkan pelajar berkebolehan berfikir secara matematik dan mampu mengaplikasikan pengetahuan matematik dalam penyelesaian masalah dan membuat keputusan.
Justeru, apabila kaedah belajar secara hafalan ini terus diaplikasikan, sistem pendidikan pada hari ini akan terus melahirkan generasi pelajar tidak berpengetahuan.

Ada beberapa kajian lepas yang menunjukkan pelajar yang mengamalkan kaedah belajar secara hafalan menghadapi masalah pada peringkat universiti. Ini disebabkan segala maklumat yang dihafal pelajar disimpan dalam ruang ingatan jangka pendek dan tidak bertahan untuk jangka panjang.

Kaedah belajar secara menghafal juga membosankan pelajar kerana tidak diberi peluang meneroka sendiri konsep itu. kehadiran pelbagai teknologi pendidikan boleh digunakan dalam bilik darjah untuk mengelak belajar secara menghafal.

ABDUL HALIM ABDULLAH,
Fakulti Pendidikan,
Universiti Kebangsaan Malaysia.

Tuesday, July 05, 2011

:: SURAT : Pemberian kerajaan disalah guna?




gambar hiasan

Netbook pemberian kerajaan disalah guna pelajar


2011/07/05

DASAR pemberian netbook 1Malaysia secara percuma kepada pelajar sekolah ternyata diselubungi masalah dan kepincangan. Walaupun niat dan tujuannya baik, iaitu untuk meningkatkan taraf penguasaan teknologi maklumat kepada pelajar sekolah, namun ada segelintir pelajar menyalahgunakan netbook berkenaan.

Apa gunanya netbook itu jika tiada akses internet di rumah? Malah netbook itu juga tidak digunakan dalam proses Pengajaran & Pembelajaran (P&P) di sekolah. Pemberian netbook berkenaan juga tidak menyeluruh kepada semua pelajar dan ada satu lagi kepincangan kerana banyak kes pemberian netbook kepada pelajar yang tidak layak mendapat bantuan terbabit.
Berdasarkan pengalaman saya sebagai guru, ada pelajar menjual netbook itu dengan harga yang jauh lebih rendah kepada orang lain. Perkara ini amat merugikan wang rakyat.

Ramai juga pelajar tidak memanfaatkan netbook dengan sebaiknya, tetapi menggunakannya untuk bermain permainan video, memuat turun video tidak elok dan sebagainya.

Saya menyarankan agar dasar pemberian netbook 1Malaysia ini disemak semula ataupun dihentikan terus. Kementerian Pelajaran seharusnya menaikkan taraf makmal komputer di sekolah dan semua pelajar boleh menggunakan kemudahan itu dan proses P&P berasaskan ICT juga boleh dilakukan di situ.

Untuk jangka masa panjang, kerajaan juga seharusnya mengikuti program ‘One Laptop Per Child’ yang dijalankan di Barat di mana netbook diberikan hanya digunakan untuk tujuan pembelajaran saja.

CIKGU A, Shah Alam.


Monday, May 23, 2011

:: Risiko pelajar "berbulan madu"... selepas UPSR atau PMR atau SPM...?







Berikan anak sedikit kelonggaran


Oleh Mohd Rifaat Abd Hamid
rencana@hmetro.com.my


thumbnail


USAI menduduki peperiksaan utama, pelajar bagai terlepas menanggung bebanan berat dengan rasa lega menguasai diri.

Lantas, pelbagai perancangan direncanakan bagi mengisi masa terluang dengan sebahagian besar pasti memasang angan-angan menjadikan tahun persekolahan berikutnya tahun berbulan madu terutama pelajar yang baru saja menduduki Penilaian Menengah Rendah (PMR) atau Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR).

Mereka beranggapan sudah merdeka walaupun masih ada tanggungjawab belum selesai dan perjalanan masih jauh.

Namun, inilah budaya wajib sebahagian besar pelajar hari ini yang baru bebas daripada sengsara peperiksaan.


Kata mereka, apa salahnya berehat seketika selepas penat belajar. Tahun berikutnya boleh bertungkus-lumus semula.

Sekilas pandang, memang tidak salah, namun persoalannya adakah alam bulan madu itu boleh menjanjikan pelajar mampu memperoleh keputusan cemerlang dan tidak melupakan tanggungjawab belajar? Atau adakah ia hanya mengundang padah?

Kaunselor Jabatan Hal Ehwal Pelajar, Kolej Universiti Insaniah (Kuin), Alor Setar, Kedah, Yahya Ismail berkata, tidak salah jika pelajar ingin menikmati kebebasan selepas menghadapi peperiksaan, namun perlu diselarikan dengan pemahaman dan kesedaran mengenai tanggungjawab belajar yang masih belum selesai.

Beliau berkata, mereka juga memerlukan kerehatan minda serta fizikal seperti orang lain dan tidak salah sekiranya diberi kelonggaran berehat sebentar untuk melakukan perkara yang terpaksa dikorbankan sebelum peperiksaan.

“Kita tidak boleh mengharapkan mereka terus belajar dan belajar kerana ia bakal mewujudkan impak negatif yang mungkin lebih memudaratkan.

“Namun, kebebasan itu biarlah berteraskan panduan betul supaya tidak alpa atau leka dengan keseronokan. Masalahnya, ramai bersikap begitu hingga terlupa pada tanggungjawab belajar,” katanya.

Menurutnya, ‘berbulan madu’ sewaktu di tingkatan empat atau selepas menamatkan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) memang budaya sebahagian besar pelajar di negara ini.

Meskipun tidak salah, masyarakat termasuk ibu bapa melihat senario itu mengganggu tumpuan pelajar terhadap proses pembelajaran atau terjebak dengan pelbagai gejala sosial.

Yahya berkata, kebimbangan itu berasas namun tidak bermakna boleh menyekat kebebasan anak dengan melontarkan pelbagai andaian rambang hingga menjadikan mereka mangsa keadaan.

Katanya, pelajar adalah golongan sukar diramal, namun jika dididik dengan budaya persekitaran ilmu dan nasihat, tidak mustahil tahu menjaga diri.

“Masyarakat ada hak untuk menzahirkan pendapat atau kebimbangan itu, namun tidak bermakna boleh menghalang kebebasan pelajar.

“Kebanyakan ibu bapa mengharapkan anak mereka sentiasa belajar hingga ada kalanya melupakan kehendak asas pelajar sebagai manusia juga remaja.

“Ada pendekatan sesuai boleh digunakan. Saya yakin jika ibu bapa memberi perhatian, memahami, tidak mendesak, memberi kepercayaan serta menjadikan anak sebagai teman, mereka tidak mudah tersasar,” katanya.

Beliau mengakui cabaran ibu bapa hari ini sangat sukar dalam menghadapi kerenah dan kehendak anak, malah ada yang pandai berlakon mengambil kesempatan.

“Pelajar hari ini mempunyai pelbagai ‘kemahiran’ dan alasan serta watak untuk memanipulasi ibu bapa, guru dan masyarakat. Sekiranya tidak ditangani dengan bijak, mereka mudah diperkudakan.

“Masalah seperti ini perlu ditangani dengan bijak dan berhemah manakala pelajar juga membuktikan mereka tidak menyalahgunakan kepercayaan serta kebebasan diberikan,” katanya.

Budaya bulan madu itu, katanya, boleh memberi kesan positif jika pelajar tidak melupakan tujuan sebenar serta hala tuju masa depan mereka.

“Meskipun budaya ini bukan isu besar, ia akan jadi sebaliknya jika pelajar tidak pandai menggunakan peluang itu dengan betul.

“Pelajar boleh berehat tapi jangan lupa mengulang kaji kerana proses pembelajaran adalah berterusan,” katanya.



INFO

Antara faktor kemerosotan prestasi pelajar:


■ Mengambil mudah dan sentiasa menganggap diri pandai.
■ Pengaruh persekitaran terutama rakan sebaya.
■ Kegagalan ibu bapa memantau perkembangan sosial anak.
■ Sekolah dan guru.
■ Tekanan psikologi.

Bagaimana mencipta kecemerlangan:

■ Membuat nota yang baik.
■ Pembahagian masa yang bijak.
■ Mendalami teknik belajar yang berkesan.
■ Penumpuan penuh di kelas.