Showing posts with label graduan. Show all posts
Showing posts with label graduan. Show all posts

Tuesday, January 03, 2012

:: 7,000 graduan pendidikan belum ditempatkan...?


gambar hiasan


7,000 graduan ISMP ditemuduga
Oleh Syed Azwan Syed Ali

2012/01/03

Lulusan ijazah perguruan ditempatkan di sekolah terpilih bermula Mac

KUALA LUMPUR: Kerajaan memberi jaminan nasib kira-kira 7,000 graduan Ijazah Sarjana Muda Pendidikan (ISMP) termasuk 5,000 lepasan institusi pengajian tinggi awam (IPTA) yang belum ditempatkan akan ditemuduga bulan ini, sebelum mereka yang layak ditempatkan di sekolah terpilih bermula Mac depan.

Bagaimanapun, penempatan lepasan ISMP yang belum menjalani proses temu duga dengan Suruhanjaya Perkhidmatan Pelajaran (SPP) tertakluk kepada kekosongan, opsyen dipilih dan cukup syarat kelayakan.
Difahamkan, keputusan itu dicapai dalam mesyuarat khas peringkat Kementerian Pelajaran minggu lalu selepas kerajaan menyelesaikan isu membabitkan lebih 13,000 guru sandaran tidak terlatih (GSTT) dengan 60 peratus darinya bakal diserapkan ke jawatan guru tetap selepas ditawarkan mengikuti kursus perguruan, juga mulai bulan ini.
Timbalan Menteri Pelajaran, Dr Mohd Puad Zarkashi ketika mengesahkan penempatan graduan ISMP, meminta lepasan guru itu bersabar kerana proses berkaitan sedang berjalan.

“Kita minta yang belum dapat penempatan kerja supaya bersabar kerana SPP sudah mendapat senarai semua IPTA untuk dipanggil temu duga. Apapun pelantikan itu akan dibuat berasaskan kepada kekosongan (di sekolah seluruh negara), opsyen dan cukup syarat kelayakan,” katanya kepada Berita Harian, semalam.

Beliau diminta mengulas kedudukan 7,000 lepasan ISMP yang belum ditawarkan tempat menyebabkan ada di kalangan mereka menganggur kerana sukar mendapatkan pekerjaan sesuai.

Sebelum ini, Kementerian Pelajaran memberi jaminan untuk menyerap 7,079 GSTT ke jawatan tetap di seluruh negara selepas menawarkan pihak terbabit peluang mengikuti kursus dalam bidang perguruan di Institut Pendidikan Guru Malaysia (IPGM) dan IPTA terpilih, dengan sebilangan daripada mereka ditawarkan menjadi guru kontrak yang dibayar gaji mengikut hari, bermula tahun ini.
Jumaat lalu, Timbalan Menteri Pelajaran, Datuk Dr Wee Ka Siong dilaporkan berkata kira-kira 3,000 graduan termasuk lepasan Ijazah Sarjana Muda Pendidikan TESL dan lepasan Kursus Perguruan Lepasan Ijazah (KPLI) yang sudah ditemuduga bermula November lalu, dijangka ditempatkan di sekolah terpilih bermula bulan ini.

Sementara itu, Penyelaras Gabungan Graduan ISMP Malaysia, Abdul Rahman Usman menyambut baik jaminan kerajaan dan berharap masalah itu diselesaikan dengan segera kerana ada di kalangan lepasan ISMP yang menganggur sejak empat tahun lalu.

Katanya, kebanyakan majikan tidak berani mengambil graduan ISMP sebagai pekerja kerana khuatir mereka akan meninggalkan syarikat selepas menerima tawaran mengajar.




Friday, October 29, 2010

:: Surat: Graduan pendidikan resah



Surat (Berita Harian)

Graduan pendidikan resah belum terima berita penempatan mengajar



2010/10/29


TERLEBIH dulu diucapkan tahniah kepada semua graduan Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) dan fakulti pendidikan di institusi pengajian tinggi awam (IPTA) lain di seluruh negara yang berjaya menamatkan pengajian pada Mei lalu.


Bertambah kegembiraan ini apabila semakan keputusan temu duga jawatan Guru Sandaran Terlatih (GST) baru-baru ini, memberikan jawapan positif. Begitu juga pengumuman Jun lalu, iaitu graduan pendidikan diserapkan ke jawatan tetap tanpa melalui jawatan sandaran.

Namun dalam kegembiraan merasai pakaian konvokesyen menaiki pentas menerima ‘tauliah’ mengajar, ada sesuatu yang tidak dapat meredakan kegusaran fikiran graduan pendidikan, iaitu penempatan di sekolah untuk memulakan tugas dalam bidang pendidikan.
Graduan lepasan Diploma Perguruan Lepasan Ijazah (DPLI) yang mengadakan konvokesyen sama dengan kami sudah pun sebulan berada di sekolah.

Jika sebelum ini penempatan graduan pendidikan pada hujung tahun berakhirnya pengajian, iaitu pada Oktober, namun tahun ini tidak ada ‘ura-ura’ perkara sama akan berlaku.

Kegusaran kami bertambah apabila ada desas-desus mengatakan Kementerian Pelajaran akan menyerap Guru Sandaran Tidak Terlatih (GSTT) ke jawatan tetap di sekolah melalui prosedur yang akan dibincangkan.

Ia sedikit sebanyak menjejaskan peluang penempatan kami kerana ijazah yang dimiliki hanya melayakkan kami berkhidmat di institusi pendidikan seperti sekolah dan bukan dalam sektor lain.
Justeru, saya berharap agar isu ini mendapat perhatian daripada pihak Kementerian Pelajaran selaku ‘majikan tunggal’ untuk meredakan seterusnya menghilangkan kegusaran ini.

Penat lelah kami belajar dalam jurusan pendidikan selama empat tahun lantaran minat yang tinggi hanya akan terbayar apabila penempatan kami diumumkan secepat mungkin sebagai mana pada tahun lalu.

Bersama-samalah kita meningkatkan profesionalisme keguruan yang menjadi tunjang kepada bidang pendidikan negara.

BAKAL GURU SAINS,
Kota Bharu, Kelantan.