Showing posts with label NKRA. Show all posts
Showing posts with label NKRA. Show all posts

Wednesday, January 27, 2010

:: Ganjaran dan hukuman untuk penjawat awam ?

Sistem Ganjaran Dan Hukuman Untuk Penjawat Awam Mungkin Diperkenal

KUALA LUMPUR, 26 Jan (Bernama) -- Kerajaan sedang mengkaji kemungkinan memperkenalkan sistem ganjaran dan hukuman untuk 1.2 juta penjawat awam sebagai langkah meningkatkan produktiviti dan memupuk etika kerja lebih baik, kata Menteri Di Jabatan Perdana Menteri Tan Sri Dr Koh Tsu Koon.

Beliau berkata sudah tiba masanya penjawat awam dinilai dan diberi ganjaran berdasarkan prestasi masing-masing bukan diberi ganjaran secara menyeluruh seperti sekarang.

"Kami sedar bahawa bagi menjamin keberkesanan sesuatu sistem, perlu ada ganjaran dan hukuman. Setakat ini, kami melihat kepada aspek ganjaran," katanya kepada pemberita selepas berucap pada Persidangan Tinjauan Strategik Malaysia ke-12 di sini hari Selasa.

"Kini, penjawat awam yang tidak melaksanakan tugas seperti yang sepatutnya, ditempatkan dalam "pool" atau "bilik sejuk", dan menerima gaji setiap bulan, walaupun bekerja dengan tidak seberapa. Tetapi, ia memberi kesan tidak baik terhadap rekod mereka," katanya.

Beliau berkata kerajaan juga sedang mengkaji secara mendalam terhadap langkah mengguna pakai sistem ganjaran dan hukuman di bawah Program Transformasi Kerajaan (PTK), yang memasuki tahun pertama pelaksanaannya tahun ini.

"Bagaimanapun, dalam tempoh dua tahun pertama pelaksanaannya, tumpuan kami ialah bagaimana hendak menggalakkan dan memberi sokongan kepada setiap orang supaya bertugas dengan lebih baik, bukan untuk mula melaksanakan hukuman...langkah ini jauh lebih penting ketika ini," katanya.

Koh berkata kerajaan sedang meneliti model yang diguna pakai di negara lain seperti United Kingdom, Amerika Syarikat, Kanada, Australia dan China tentang pelaksanaannya.

Katanya sistem mengambil dan membuang pekerja yang diguna pakai oleh sektor swasta juga diberi pertimbangan.

Koh juga berkata bahawa Khamis ini Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dijadual melancarkan buku tentang Program Transformasi Kerajaan yang menampilkan enam Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA), di samping beberapa rancangan utama yang telah dan akan dilaksanakan kerajaan serta cadangan bagi menjayakan transformasi yang dimaksudkan.

-- BERNAMA

Wednesday, July 29, 2009

:: NKRA

28 Julai, 2009 16:53 PM

Najib Hadir Lima Mesyuarat NKRA Dalam 2 1/2 Jam
By: Ramjit-->

PUTRAJAYA, 28 Julai (Bernama) -- Sehari selepas mengumumkan sasaran bagi enam Bidang Hasil Utama Nasional (NKRA), Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini mempengerusikan lima mesyuarat berturut-turut dalam tempoh dua setengah jam dengan menteri-menteri peneraju bidang berkaitan. Lima mesyuarat sulung Pasukan Petugas Menteri Peneraju yang dihadiri oleh Perdana Menteri itu bermula pada 9.15 pagi dan diadakan di bilik berasingan di Bangunan Putra Perdana di sini.
Menteri peneraju dalam bidang masing-masing ialah Menteri Pengangkutan Datuk Seri Ong Tee Keat (meningkatkan mutu perkhidmatan pengangkutan awam), Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Shahrizat Jalil (meningkatkan taraf hidup rakyat miskin), Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein (mengurangkan kadar jenayah), Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Shafie Apdal (meningkatkan kemudahan asas luar bandar), dan Menteri Di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz (membanteras rasuah).
Mesyuarat Pasukan Petugas Menteri Peneraju mengenai peningkatan mutu pendidikan tidak dapat dijalankan hari ini kerana Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, yang juga Menteri Pelajaran, kini berada di Uganda bagi menghadiri Dialog Perkongsian Pintar Global. Setiap daripada mesyuarat itu diteruskan walaupun setelah Perdana Menteri meninggalkannya untuk menghadiri mesyuarat seterusnya. Semalam, Najib menyenaraikan sasaran bagi enam NKRA selaras dengan wawasan pentadbirannya berdasarkan konsep 1Malaysia: Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan.
Enam bidang berkenaan adalah mengurangkan jenayah, membanteras rasuah, meluaskan akses kepada pendidikan berkualiti dan mampu dicapai, meningkatkan taraf hidup rakyat, meningkatkan prasarana luar bandar dan meningkatkan mutu perkhidmatan pengangkutan awam.-- BERNAMA

:: NKRA: Bidang Keberhasilan Utama Negara


Add Image
Sasaran enam teras NKRA
Oleh Johari Ibrahim dan Saufi Hamzah
bhnews@bharian.com.my


1. Mengurangkan jenayah jalanan sebanyak 20 peratus pada akhir 2010.
2. Semua perolehan kerajaan menggunakan tender terbuka atau tender terhad bagi memerangi rasuah.
3. Pendidikan prasekolah dijadikan sebahagian sistem pendidikan kebangsaan dalam aliran perdana bagi memperluas akses pendidikan berkualiti.
4. Membanteras kemiskinan tegar menjelang 31 Disember 2010.
5. Peruntukan RM10.9 bilion bagi membina jalan, bekalan air dan elektrik, selain baik pulih 50,000 rumah menjelang 2012.
6. Menetapkan 25 peratus penduduk Lembah Klang menggunakan pengangkutan awam pada akhir 2012.



NKRA, KPI baiki mutu perkhidmatan: Usaha perjelas hala tuju pembangunan negara: Najib


PUTRAJAYA: Kerajaan memperkenalkan Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) dan Petunjuk Prestasi Utama (KPI) bagi mewujudkan elemen kebertanggungjawaban yang serius di kalangan anggota pentadbiran dan penjawat awam. Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak berkata ia juga bagi memastikan rakyat mendapat gambaran lebih jelas mengenai hala tuju pembangunan negara.
"Kepemimpinan tidak akan bermakna jika bukan berpaksikan pencapaian yang akan membolehkan perkhidmatan awam dan anggota pentadbiran dinilai secara menyeluruh daripada aspek kuantitatif dan kualitatif. "NKRA dan KPI diperkenalkan kerana tidak mahu rakyat sebagai pelanggan utama berada dalam keadaan teraba-raba dan samar apakah inisiatif, rencana dan hala tuju pembangunan yang sedang digembleng oleh kerajaan. "Saya mahu segala rancangan pembangunan negara demi kesejahteraan rakyat dimaklum dan diketahui agar mereka dapat memantau dan menilai pencapaian sasaran yang ditetapkan," katanya.

Najib menyampaikan ucapan pada Perhimpunan Perdana Menteri Bersama Anggota Pentadbiran, Penjawat Awam dan Syarikat Berkaitan Kerajaan (GLC) di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), di Putrajaya, semalam. Beliau berucap pada majlis Perhimpunan Perdana Menteri Bersama Anggota Pentadbiran, Penjawat Awam dan Syarikat Berkaitan Kerajaan (GLC) di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), di sini semalam.

Najib menerusi ucapan bertajuk Merevolusi Pengurusan Perkhidmatan Kerajaan: Pencapaian Diutamakan, memperincikan KPI setiap enam NKRA yang masing-masing diterajui oleh enam menteri, iaitu;

Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin - Meluaskan akses kepada pendidikan berkualiti dan berkemampuan.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Hussein - Mengurangkan kadar jenayah.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz - Memerangi rasuah.
Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil - Meningkat taraf hidup rakyat berpendapatan rendah.
Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Shafie Apdal - Memperkasa prasarana luar bandar dan pedalaman.
Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Ong Tee Keat - Menambah baik pengangkutan awam dalam jangka masa sederhana.

Najib juga berkata, setiap NKRA akan dikenal pasti menerusi KPI tersendiri dengan sasaran khusus supaya pencapaiannya dapat diukur. Katanya, sistem KPI banyak diguna pakai oleh syarikat korporat dan dijadikan sebagai radas timbangan kerja yang berkesan, selain diterima pakai dengan jayanya oleh kerajaan negara maju seperti Britain, Australia dan Kanada. "Dengan adanya KPI, segala prosedur akan diperkemas, segala sumber dan tenaga dalam organisasi akan digembleng dan segala usaha akan ditumpu untuk mencapai sasaran yang dipateri dalam satu tempoh masa munasabah yang dijanjikan," katanya.

Perdana Menteri berkata, pada akhirnya rakyat akan memperoleh semua faedah daripada usaha itu, manakala beliau sendiri akan bertanggungjawab secara keseluruhan terhadap matlamat NKRA dan pencapaian KPI. "Setiap minggu saya akan berjumpa setiap menteri peneraju bagi menilai pencapaian KPI yang ditentukan. Dalam setiap enam minggu saya akan dapat menyelesaikan satu pusingan penilaian pencapaian bagi enam lapangan NKRA seperti yang direncanakan," katanya. Beliau berkata, keutamaan yang digariskan adalah sesuatu yang besar dan penting membabitkan komitmen mendalam dan tuntutan tinggi kepada anggota pentadbiran dan penjawat awam secara kolektif. "Amanah yang diberikan rakyat di atas jemala pentadbiran ini bukanlah perkara yang mudah, sebaliknya saya bertanggungjawab untuk membuat perkara yang betul walaupun ia sukar. "Jelas sekali kita tidak mempunyai pilihan, sama ada kita bergerak maju dengan penuh yakin atau mengambil risiko untuk ditinggalkan dalam perlumbaan global yang sengit ini." katanya.