Saturday, March 01, 2008

:: Misteri dan mistik



Rahsia kematian Sudirman terlerai
Oleh Zainuri Misfar

Penghibur nombor satu meninggal kerana kegagalan hati bukan Aids. KELUARGA Allahyarham Sudirman membuat keputusan untuk 'menyembunyikan' Penghibur Nombor Satu Negara itu mengenai penyakit dan punca kematiannya kerana tidak mahu peminat sukar menerima hakikat mengenai keadaannya yang sangat menyedihkan. Walaupun ia menyebabkan timbul pelbagai andaian sehingga ada yang mengaitkan Sudirman menghidap penyakit Aids, tetap mereka tegas untuk tidak mendedahkan kepada umum mengenai punca penyakit dan kematian penyanyi itu.

Rakan karib Sudirman yang juga penulis lirik terkenal tanah air, Habsah Hassan berkata, bagaimanapun, sejak kebelakangan ini keluarga penyanyi itu seperti sudah bersedia untuk bercerita dan merungkai rahsia sebenar mengapa mereka bertindak 'menyorokkannya'. "Selepas bertahun-tahun, barulah rahsia itu terungkai. Keluarganya tidak mahu mendedahkan atau memberi peluang masyarakat Malaysia melihat Sudirman pada waktu itu kerana mereka tidak mahu melihat keadaan sebenar Sudirman yang sangat menyedihkan. Mereka sudah biasa tengok Sudirman dalam sentiasa ceria dan 'cute'.
"Secara perubatan, Sudirman disahkan mati kerana kegagalan hatinya berfungsi dengan sempurna. Tapi sebenarnya, ada punca kematian yang tidak boleh dijelaskan secara perubatan kerana pada waktu itu, Sudirman sedang menghadapi pelbagai perkara aneh. Saya akui, ia juga disebabkan ajalnya memang sudah sampai. Tetapi Sudirman melalui banyak perkara misteri dan mistik yang sukar untuk dipercayai pada zaman moden ini. Tetapi hakikatnya itulah yang dihadapi oleh Sudirman sehingga membawa kepada kematian," katanya.