Friday, January 20, 2012

:: Hospital Taiping... anak kudung... Nur Amani Nasuha...


Hospital Taiping mahu jumpa ibu bapa bayi malang


Oleh NOR IDAYU BOSRO
idayu.bosro@kosmo.com.my

UMI KALSUM menunjukkan keadaan kaki kanan anaknya yang dipotong
akibat jangkitan kuman di Desa Aman Puri, Kepong, Kuala Lumpur kelmarin.


KUALA LUMPUR - Pihak pengurusan Hospital Taiping akan mengadakan pertemuan dengan pasangan suami isteri kepada bayi malang yang kakinya terpaksa dipotong akibat jangkitan kuman, Mohd. Hasmadi Mohd. Nor, 30, dan Umi Kalsum Baharuddin, 24, pada Rabu depan di hospital berkenaan.

Pertemuan itu adalah bagi menjelaskan kes anak perempuannya, Nur Amani Nasuha secara lebih terperinci setelah pasangan itu mendakwa kecacatan anak mereka berpunca daripada kecuaian doktor yang lambat bertindak selepas kaki kanan bayi itu dijangkiti kuman dan akhirnya terpaksa dipotong.

Mohd. Hasmadi ketika dihubungi berkata, pengarah hospital berkenaan telah menghubunginya pagi semalam setelah berita mengenai anaknya itu dipaparkan pada muka depan Kosmo! semalam.

"Saya menerima panggilan telefon daripada dia (pengarah) dan dia mahu bertemu dengan kami sekeluarga bagi memberi penjelasan lanjut.

"Saya juga mahu mereka lihat sendiri keadaan terkini Nur Amani," katanya dengan menambah anak perempuannya itu sihat dan tidak mengalami sebarang masalah kesihatan.

Kosmo! semalam melaporkan mengenai kecacatan yang dialami oleh Nur Amani selepas kaki kanan bayi itu didakwa terpaksa dipotong tiga minggu selepas dilahirkan ekoran kelewatan pihak hospital lambat bertindak untuk merawat kakinya yang dijangkiti kuman.




.......................................................................................................................


Salahkan doktor anak kudung

Oleh SITI KAMILAH MUSTAPHA
kamilah.mustapha@kosmo.com.my

MOHD. HASMADI dan Umi Kalsum menunjukkan kaki kanan
Nur Amani Nasuha yang telah kudung di rumah mereka di Kepong, Kuala Lumpur semalam.

KUALA LUMPUR - Impian sepasang suami isteri untuk menimang cahaya mata yang sempurna sifatnya tidak kesampaian selepas kaki kanan bayi perempuan mereka terpaksa dipotong tiga minggu selepas dilahirkan awal bulan lalu.

Walaupun reda dengan apa yang berlaku, ibu bapa bayi itu, Mohd. Hasmadi Mohd. Nor, 30, dan Umi Kalsum Baharuddin, 24, tetap terkilan kerana mereka mendakwa kakitangan Hospital Taiping yang merawat anak sulung mereka itu, Nur Amani Nasuha lambat bertindak sehingga menyebabkan pergelangan kakinya terpaksa dipotong pada 1 Disember lalu.

Mohd. Hasmadi berkata, kakitangan hospital mendapati jari kaki kanan Nur Amani Nasuha telah dijangkiti kuman dan bertukar menjadi biru seawal 19 November lagi.

“Pihak hospital mengambil masa dua minggu untuk memantau apa yang berlaku sehingga semuanya sudah terlewat dan kaki anak kami terpaksa dipotong.

“Kalau mereka cepat bertindak mungkin jari anak saya sahaja yang dipotong dan bukan pergelangan kaki, hancur luluh hati kami dibuatnya,” kata Mohd. Hasmadi kepada Kosmo! ketika ditemui di rumahnya di Desa Aman Puri, Kepong di sini semalam.

Dia yang bekerja di kilang pemasangan kenderaan di sini memberitahu, Nur Amani Nasuha dilahirkan tidak cukup bulan pada 7 November tahun lalu di hospital itu dan ditempatkan di wad kerana masalah pernafasan.

“Saya lihat jururawat di situ mengambil sampel darah dan memberi suntikan antibiotik setiap hari di bahagian kaki kanan.

“Tapi pada 19 November, doktor memberitahu ibu jari serta dua jari lain kaki kanan anak saya bertukar biru akibat jangkitan kuman,” ceritanya.

http://www.kosmo.com.my/kosmo/arkib.asp?y=2012&dt=0119&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_01.htm