Sunday, March 28, 2010

:: Pilihan raya DUN Sarawak ke-10 serentak PRU ke-13 ?

Pilihan raya serentak?

by Wan Ali Amit

Ada kemungkinan Pilihan Raya DUN Sarawak Ke-10 diadakan serentak dengan Pilihan Raya Umum Ke-13

BINCANG: Taib memperkatakan sesuatu kepada Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi yang juga Ahli Parlimen Petra Jaya, Fadillah Yusuf selepas mempengerusikan mesyuarat Ahli-ahli Parlimen BN Sarawak, di Kuching semalam.

BINCANG: Taib memperkatakan sesuatu kepada Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi yang juga Ahli Parlimen Petra Jaya, Fadillah Yusuf selepas mempengerusikan mesyuarat Ahli-ahli Parlimen BN Sarawak, di Kuching semalam.

KUCHING: Ketua Menteri Pehin Sri Abdul Taib Mahmud membayangkan bahawa Pilihan Raya Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak Ke-10 kemungkinan diadakan tahun depan, serentak dengan Pilihan Raya Umum (PRU) Ke-13.

Bagaimanapun, katanya sebarang keputusan mengenai pilihan raya negeri belum diputuskan oleh pucuk pimpinan Barisan Nasional (BN), malah perbincangan ke arah itu (mengadakan pilihan raya) belum juga diadakan.

“Kita belum membincangkan soal pilihan raya negeri… malah Perdana Menteri (Datuk Seri Najib Tun Razak) pun belum berbincang dengan kita untuk mengadakan pilihan raya. Tetapi, kita boleh mengadakan pilihan raya bila-bila masa dari sekarang,” katanya kepada pemberita di sini semalam.

Tempoh tamat bagi penggal pilihan raya negeri Sarawak adalah pada tahun depan manakala tempoh tamat penggal bagi PRU negara pada 2013.

Taib yang juga Pengerusi BN Negeri ditemui selepas mempengerusikan mesyuarat Ahli-ahli Parlimen BN Sarawak, berkata pilihan raya negeri mungkin diadakan serentak dengan PRU ke-13 jika ada arahan daripada Perdana Menteri.

“Memang kita ada dengar spekulasi dari Semenanjung Malaysia mengatakan pilihan raya negeri Sarawak diadakan serentak dengan PRU negara.

“Tetapi, saya tidak dapat baca apa yang ada di fikiran PM (Najib) dan saya sendiri belum mengetahui bila pilihan raya negeri hendak diadakan,” katanya.

Terdahulu, Taib mempengerusikan mesyuarat Ahli-ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) Sarawak bagi jawatan-kuasa penyelarasan kawasan masing-masing.

Hadir sama Timbalan Ketua Menteri merangkap Pengerusi Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) Datuk Patinggi Tan Sri Dr George Chan, Timbalan Ke-tua Menteri merangkap Timbalan Presiden I PBB Datuk Patinggi Tan Sri Alfred Jabu, Presiden Parti Rakyat Sarawak (PRS) Dato Sri Dr James Masing, Presiden Parti Progresif Demokratik Sarawak (SPDP) Dato Sri William Mawan Ikom serta Menteri Perumahan dan Pembangunan Bandar merangkap Timbalan Presiden II PBB Datuk Amar Abang Johari Tun Abang Openg.

Ditanya adakah rombakan kecil kabinet yang beliau umumkan Khamis lalu membayangkan pilihan raya negeri bakal diadakan dalam tempoh terdekat, Taib berkata: “Rombakan kecil itu tidak bertentangan dengan undang-undang dan rombakan itu dilakukan bukan kerana kita kehilangan sokongan peringkat bawahan.

“Saya percaya rombakan kecil itu adalah bagi memastikan kelancaran kementerian terbabit untuk melaksanakan pelbagai program pembangunan kepada rakyat sekali gus mengukuhkan jentera pentadbiran kerajaan.”

Dalam rombakan kecil kabinet negeri Khamis lalu, ADUN Dalat Datin Fatimah Abdullah dilantik sebagai Menteri di Pejabat Ketua Menteri, ADUN Tanjung Datu Datuk Amar Adenan Satem dilantik sebagai penasihat bertaraf menteri di Pejabat Ketua Menteri dan ADUN Batu Kawa Tan Joo Phoi dilantik Menteri Muda di Pejabat Ketua Menteri (Alam Sekitar).