Thursday, March 22, 2012

:: SPM 2011: SM Sains Kuching... terbaik di Sarawak...



KUCHING: Seramai 48 calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2011 di Sarawak mencapai prestasi cemerlang tertinggi dengan mendapat gred A+ dalam semua mata pelajaran yang diduduki.


Pengarah Pelajaran Negeri Abdillah Adam berkata, ia menyaksikan peningkatan sebanyak 12 orang berbanding 36 calon pada tahun 2010.

“Daripada jumlah tersebut (48 calon) lima daripada mereka mendapat 11 A+, 40 orang mendapat 10 A+ dan tiga orang mendapat 9 A+ dalam semua mata pelajaran.

“Manakala bilangan calon mata pelajaran yang mendapat sekurang-kurangnya gred A­­­dalam semua mata pelajaran pula ialah 729 orang berbanding 637 pada tahun 2010, iaitu peningkatan sebanyak 92 orang,” katanya.


Beliau berkata demikian pada majlis pengumuman SPM 2011 yang disaksikan Menteri Kebajikan, Wanita dan Pemba-ngunan Keluarga yang diadakan di Kolej Datu Patinggi Abang Haji Abdillah Kuching di sini, semalam.


Abdillah memberitahu, Sarawak menyaksikan seramai 31,777 atau 91.71 peratus daripada 34,649 orang calon sekolah menengah yang menduduki SPM 2011 telah berjaya mendapat sijil SPM dengan memenuhi syarat sekurang-kurangnya lulus mata pelajaran Bahasa Melayu.


Menurut beliau, keputusan itu mengatasi pencapaian peringkat kebangsaan (91.16 peratus) sebanyak 0.55 peratus.

“Bagi pencapaian calon negeri pada tahun ini, ia adalah terbaik daripada perbandingan enam tahun lalu apabila diukur daripada nilai Gred Purata Negeri (GPN) kerana nilainya makin menurun sejak tahun 2006.

“GPN pada tahun 2006 ialah 5.92, tahun 2007 (5.88), tahun 2008 (5.76), tahun 2009 (5.73), tahun 2010 (5.58) dan tahun 2011 ialah 5.39,” katanya.


Abdillah berkata, dari segi jumlah mata pelajaran, dalam peperiksaan SPM 2011 sebanyak 87 mata pelajaran yang diambil oleh calon di negeri ini dan daripada jumlah itu 80 mata pelajaran (91.95 peratus) mencapai peratus kelulusan melebihi 80 peratus.


Beliau menambah, bagi pencapaian sekolah berdasarkan Gred Purata Sekolah (GPS) sebahagian besar sekolah di Sarawak dapat dirumuskan sebagai berada dalam kategori pencapaian sekolah Cemerlang dengan 0.00 ke 2.25 GPS, Baik (2.26-4.50 GPS) dan Memuaskan (4.51-6.75 GPS).

“Hanya sebilangan kecil iaitu lima buah sekolah (2.82 peratus) sahaja yang memperoleh pencapaian Berpotensi (6.76-9.00 GPS).

“Pada SPM 2011, Sarawak telah berjaya meningkatkan jumlah sekolah dalam kategori pencapaian sekolah Cemerlang kepada tiga sekolah daripada sebuah sekolah pada 2010,” katanya.

Manakala pencapaian Baik pula kepada 27 buah sekolah daripada 25 pada tahun 2010 dan pencapaian Memuaskan kepada 142 buah sekolah daripada 137 buah sekolah pada tahun 2010.


Empat sekolah telah mencatat prestasi cemerlang dengan kelulusan 100 peratus dalam semua mata pelajaran dan ia adalah Sekolah Menengah (SM) Sains Kuching, SM Sains Miri, Maktab Rendah Sains MARA Betong dan Maktab Rendah Sains MARA Kuching.

“Jurang perbezaan pencapaian antara calon bandar dan luar bandar telah dapat dirapatkan dari segi pencapaian minimum Gred E bagi semua mata pelajaran teras pada kadar yang berbeza.

“Malahan pencapaian calon luar bandar dalam mata pelajaran Bahasa Melayu dan Sains adalah lebih baik daripada calon bandar,” tegasnya.


Dalam mata pelajaran Bahasa Melayu pada SPM 2011, sekolah luar bandar mencatatkan 91.78 peratus lulus berbanding sekolah bandar iaitu 91.62 peratus.

Sementara mata pelajaran Sains pula, sekolah luar bandar mencatat 94.19 peratus lulus berbanding 92.77 peratus lulus di sekolah bandar.