Saturday, February 18, 2012

:: 15,000 PPPLD perolehi DG41...?


15,000 naik gred
Oleh Haspaizi Mohd Zain
haspaizi@bharian.com.my
2012/02/18

Guru lepasan ijazah nikmati manfaat semakan semula SBPA

KUALA LUMPUR: Kerajaan semalam memberi jaminan 15,000 guru lepasan ijazah yang belum menerima kenaikan gred akan menikmatinya sebaik semakan semula skim Saraan Baru Perkhidmatan Awam (SBPA) diselesaikan April ini.
Timbalan Menteri Pelajaran, Dr Mohd Puad Zarkashi, berkata Kementerian Pelajaran sudah mengambil tindakan berhubung kenaikan pangkat itu walaupun SBPA masih di peringkat semakan semula Pasukan Petugas Khas diketuai bekas Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Tan Sri Ismail Adam.
Beliau menjelaskan Kementerian Pelajaran tidak dapat menaikkan gred guru terbabit tahun lalu disebabkan dasar membekukan lantikan baru bermula 20 Mei sehingga 31 Disember, selain tidak mempunyai jumlah perjawatan mencukupi.

“Daripada rekod Kementerian Pelajaran, kita dapati 7,396 pegawai perkhidmatan pendidikan lepasan diploma (PPPLD) sudah diperakui oleh Suruhanjaya Perkhidmatan Pelajaran (SPP) untuk dilantik sebagai pegawai perkhidmatan siswazah.

“Bagaimanapun, pelantikan mereka tidak dapat dilakukan tahun lalu berikutan pembekuan itu... sebab itulah timbul isu berkenaan,” katanya di sini, semalam.

Minggu lalu, Setiausaha Agung Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP), Lok Yim Pheng mendedahkan kira-kira 15,000 guru lepasan ijazah di seluruh negara belum menerima kenaikan gred DG41 walaupun sebahagian mereka sudah melepasi proses temu duga sejak dua tahun lalu.

Situasi itu menimbulkan ketidakpuasan hati kumpulan guru terbabit yang terpaksa membuat pinjaman pendidikan atau mengeluarkan simpanan peribadi bagi menampung kos menyambung pelajaran masing-masing.

http://www.bharian.com.my/bharian/articles/15_000naikgred/Article/

Wednesday, February 01, 2012

:: Azizul Rahman trauma... panahan petir di SK Raja Perempuan Mazwin, Kuala Kangsar


MANGSA MASIH LAGI TRAUMA AKIBAT DIPANAH PETIR


February 1, 2012



Mangsa masih lagi trauma akibat dipanah petir

Keadaan 4 mangsa termasuk seorang guru yang terselamat dalam kejadian panah petir di Kuala Kangsar semalam stabil tetapi masih trauma mengingatkan tragedi yang mengorbankan seorang daripada mereka.

Dalam kejadian kira-kira jam 5.30 petang semalam, mangsa yang terkorban, Muhammad Syafiq Mohd Tajul Ariffin, 11, bersama tiga rakan dan seorang guru baru sahaja selesai menjalani latihan memanah di Sekolah Kebangsaan Raja Perempuan Mazwin .

Mangsa meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan teruk seluruh badan.

Mangsa yang turut cedera ialah guru, Azizul Rahman Ismail, 31, Anuar Azlin, 12, Muhammad Iskandar Jamaluddin, 10, Nor Arifah Fatimah, 12.

Azizul yang juga jurulatih tunggal bagi sukan memanah sekolah itu berkata, beliau masih trauma dan terkejut akibat kejadian yang berlaku dalam sekelip mata itu.

“Ketika itu yang saya ingat, saya bersama 8 pelajar lain berehat berdekatan pokok selepas menamatkan latihan..ketika itu cuaca cerah.

“Secara tiba-tiba petir menyambar dan saya pengsan..sebaik sedar, saya masih berada di padang dan lihat anak-anak murid lain turut terbaring akibat kesan panahan petir.

“Namun saya seakan tidak percaya dan kesal salah seorang anak murid saya terkorban akibat panahan petir tepat mengenai arwah, ” katanya ketika ditemui pemberita.

Katanya, arwah yang mula menyertai persatuan memanah merupakan seorang yang berdisiplin dan mempunyai semangat serta kebolehan tinggi dalam sukan memanah.

“Sebaik tahu arwah telah meninggal dunia, saya menangis semahunya kerana telah mengenali mangsa sejak setahun yang lalu, ” katanya kesal dengan kejadian yang menimpa.

Kesan daripada insiden itu Azizul yang juga guru bagi matapelajaran Matematik di sekolah itu mengalami kebas dan kekejangan di kaki.

Katanya, latihan memanah diadakan bagi persediaan menghadapi pertandingan memanah peringkat Daerah yang akan berlangsung bulan ini.

Dalam pada itu, seorang lagi mangsa yang terselamat, Muhammad Iskandar Jamaluddin, 10 yang cedera di kaki berkata sudah serik untuk menyertai sukan memanah dan masih trauma.

“Saya tidak mahu lagi ingat kejadian itu dan serik untuk melibatkan diri dalam sukan memanah..

“Saya sedih atas kehilangan arwah kerana kami agak rapat walaupun saya hanya mengenalinya selepas menyertai persatuan memanah tahun ini, ” katanya yang mengalami melecur di kaki kanan.

Foto oleh Azhar Ali

http://www.peraknews.com/v3/mangsa-masih-lagi-trauma-akibat-dipanah-petir/

http://www.bharian.com.my/bharian/articles/Kakikebas_bauhangitkenapetir/Article