Tuesday, May 31, 2011

:: Gawai Dayak dan Tadao Kaamatan...disambut dengan kenaikan tarif elektrik




Kenaikan Tarif Elektrik 7 Peratus Berkuat Kuasa Rabu

75 Peratus Pengguna Domestik Tak Terjejas

PUTRAJAYA: Kerajaan hari ini mengumumkan tarif elektrik yang baru dengan kenaikan purata sebanyak 7.12 peratus atau 2.23 sen/kilowatt-jam (kWj) berkuat kuasa 1 Jun ini.

Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air, Datuk Seri Peter Chin Fah Kui berkata, bagaimanapun kenaikan itu tidak akan menjejaskan pengguna domestik yang menggunakan elektrik pada kadar 300 kWj sebulan atau kurang.

"Ini bermakna, 75 peratus atau 4.4 juta daripada 5.94 juta pengguna domestik tidak mengalami kenaikan bil elektrik bulanan selagi mereka mengekalkan penggunaan elektrik pada kadar 300 kWj sebulan," katanya pada sidang media di sini, Isnin.

Selain itu Chin berkata, kerajaan juga memberikan bekalan elektrik percuma kepada pengguna berpendapatan rendah yang menggunakan elektrik berjumlah RRM20 dan ke bawah sehingga 31 Disember tahun ini.

"Kerajaan dijangka akan menanggung kos sebanyak RM122 juta setahun bagi membiayai bekalan elektrik percuma kepada 900,000 pengguna di Semenanjung," katanya.

Menurut beliau lagi, selaras dengan dasar kerajaan untuk melindungi kebajikan pengguna terutama golongan berpendapatan rendah, jumlah 'lifeline band' untuk pengguna domestik akan dikekalkan pada 200kWj sebulan pada kadar unit 21.8sen/kWj.

"Oleh itu tiada kenaikan tarif untuk pengguna 'lifeline band' yang terdiri daripada 3.3 juta pengguna atau 55.4 peratus daripada pengguna domestik," katanya.

Jelas beliau, semakan tarif elektrik ini akan membolehkan Tenaga Nasional Berhad (TNB) mempertingkatkan pelaburan dalam penyediaan infrastruktur pembekalan elektrik yang lebih baik termasuk pengukuhan sistem penghantaran dan pengagihan.

"TNB dijangka melabur sebanyak RM4.5 bilion setiap tahun untuk menyediakan dan menaik taraf sistem infrastruktur bekalan elektrik.

"Sesuai dengan semakan tarif asas ini, pihak kerajaan meluluskan pakej penstrukturan tarif yang perlu dilaksanakan oleh TNB seperti menaikkan kadar diskaun di luar waktu puncak bagi 'Thermal Energy Storage (TES) daripada 1.5 sen/kWj kepada 3.5 sen/kWj," katanya.

Kata Chin lagi, TNB perlu memberi diskaun sebanyak 10 peratus daripada kadar tarif biasa kepada institusi pendidikan yang dibiayai sebahagiannya oleh kerajaan seperti yang diberikan kepada rumah ibadat, institusi kebajikan dan institusi pendidikan yang dibiayai sepenuhnya oleh kerajaan.

Pada sidang media yang sama, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Tan Sri Nor Mohamed Yakcop turut mengumumkan keputusan kerajaan mengenai struktur harga baru bagi gas yang yang dibekalkan oleh Petroleum Nasional Berhad (PETRONAS) kepada sektor elektrik dan industri.

Menurut beliau, gas kepada sektor elektrik dan industri dinaikkan sebanyak RM3.00/milion British thermal unit (MMBtu) setiap enam bulan bermula 1 Jun 2011 hingga Disember 2015.

"Harga gas akan mengikut harga pasaran bermula pada 2016.

"Langkah menyemak semula harga gas ini dibuat secara berperingkat bertujuan menangani isu herotan dalam pasaran serta mengurangkan tanggungan subsidi harga gas oleh kerajaan dan PETRONAS," katanya.

Jelas Nor Mohamed, kenaikan secara berperingkat ini memberi kepastian kepada sektor industri dalam merangka perbelanjaan operasi syarikat.

Katanya, di sebalik kenaikkan berkenaan, kerajaan dan PETRONAS pada 2011 masih lagi menanggung subsidi harga gas yang dianggarkan berjumlah RM25.64 bilion.

"Harga gas terbaru ini masih kompetitif berbanding harga pasaran bahan api alternatif seperti gas petroleum cecair (LPG) dan 'Medium Fuel Oil; yang meningkat daripada USD37.05 setong pada Mac 2009 kepada USD93.98 setong pada suku pertama 2011.

"Keputusan terbaru ini tidak akan menjejaskan daya saing industri tempatan dalam jangka panjang. Sebaliknya ia akan membolehkan sektor industri membuat penyesuaian serta meningkatkan lagi kecekapan dan produktiviti," katanya.

:: Tarif baru elektrik...mulai Jun 2011





Soalan lazim tarif baru elektrik

2011/05/30

KUALA LUMPUR: Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau dan Air mengeluarkan satu senarai soalan-soalan lazim ditanya mengenai tarif baru elektrik:

1. Bilakah tarif baru ini akan berkuat kuasa?
Tarif baru elektrik akan berkuat kuasa pada 2 Jun 2011.

2. Berapakah jumlah peningkatan tarif elektrik yang disemak semula?

a) Purata tarif elektrik akan bertambah sebanyak 2.23 sen/kWj atau 7.12 peratus daripada 31.31 sen/kWj kepada 33.54 sen/kWj.

Peningkatan 7.12 peratus ini terdiri daripada:

*5.12 peratus atau 1.60sen/kWj akibat peningkatan harga gas asli bagi sektor tenaga daripada RM10.70/mmBTU kepada RM13.70/mmBTU sejajar dengan peningkatan harga-harga tenaga global; serta
*2.0 peratus atau 0.63sen/kWj bagi TNB memperolehi semula sebahagian daripada peningkatan kos bekalan elektrik sejak semakan semula tarif asas pada Jun 2006.

b) 1.0 peratus yang dikenakan ke atas bil bulanan pengguna sebagai "Feed-in-Tariff (FiT)" untuk mempromosikan Tenaga Boleh Baharu RE). Pengguna-pengguna domestik dengan penggunaan kurang daripada 300kWj/bulan akan dikecualikan.

3. Apakah kadar-kadar khas atau diskaun yang ditawarkan kepada pengguna-pengguna?

Pakej semakan semula tarif juga memberikan kadar-kadar khas dan diskaun seperti berikut:

*Diskaun 10 peratus ke atas bil-bil elektrik yang kini dinikmati oleh sekolah-sekolah kerajaan, institusi pengajian tinggi kerajaan, tempat-tempat ibadat serta rumah-rumah kebajikan yang berdaftar dengan kerajaan telah dikekalkan. Diskaun 10 peratus tersebut akan merangkumi juga institusi-institusi pendidikan yang dibiayai separuh oleh kerajaan;

*Pengguna-pengguna Pengstoran Tenaga Termal(TES) akan menikmati dskaun yang lebih tinggi bagi penggunaan elektrik bukan waktu kemuncak;

*Pengurangan caj "standby" bagi penjana bersama untuk menggalakan inisiatif-inisiatif Teknologi Hijau, Keberkesanan Tenaga serta Pengurusan Bahagian Permintaan (DSM); dan

*Syarikat-syarikat rawatan air, pengagihan air serta pembentungan dikategorikan di bawah Tarif Industri.

4. Berapakah purata peningkatan bil elektrik bagi setiap segmen pengguna?

Pengguna-pengguna industri akan mengalami purata kenaikan sebanyak 8.35 peratus (dari 6.2 peratus hingga 10.3 peratus). Sementara pengguna-pengguna komersil akan mengalami purata kenaikan sebanyak 8.35 peratus (dari 6.2 peratus kepada 10.3 peratus).

Bagaimanapun, semua pengguna domestik dengan penggunaan bulanan sehingga 200kWj (jaluran penggunaan asas) dan 100kWj berikutnya tidak akan terjejas dengan peningkatan tarif. Pengguna domestik dalam jaluran ini akan terus menikmati kadar unit subsidi sebanyak 21.8 sen/kWj dan 33.4 sen/kWj masing-masing.
Pengguna domestik dalam jaluran 301 hingga 400 kWj sebulan akan mengalami kenaikan minima bil elektrik (iaitu 0.1 -6.0 peratus atau RM0.07 – RM6.60).

5. Apakah kesan terhadap pengguna Jaluran Penggunaan Asas?

Jaluran Penggunaan Asas dikekalkan pada 200kWj/bulan. Pengguna Domestik dalam jaluran penggunaan asas tidak pernah mengalami sebarang peningkatan tarif elektrik sepanjang pengubahsuaian tarif yang lalu sejak 1997. Kira-kira 3.3 juta isi rumah akan terus menikmati kadar unit subsidi sebanyak 21.8 sen/kWj. Bilangan isi rumah ini merangkumi kesemua 200,000 isi rumah golongan miskin (iaitu pendapatan kurang daripada RM750 sebulan).

6. Apakah tujuan utama semakan semula tarif elektrik?

Kenaikan tarif elektrik adalah sebahagian besarnya disumbang oleh peningkatan harga gas asli terhadap sektor tenaga daripada RM10.70/mmBTU kepada RM13.70/mmBTU (28 peratus) berkuat kuasa daripada 1 Jun 1 2011.

Peningkatan harga gas asli tidak dapat dielakkan disebabkan kenaikan harga-harga tenaga global sejak 2009 dan ianya berdasarkan mekanisme harga gas asli oleh kerajaan di mana harga tersebut disemak semula secara bertempoh sejajar dengan tren harga pasaran Minyak Bahanapi Medium (MFO).

Oleh kerana kos gas asli menyumbang kira-kira 54.2 peratus daripada jumlah kos campuran bahanapi (tahun kewangan 2010), kos tambahan bahanapi yang disebabkan oleh semakan semula harga gas diterjemahkan dalam bentuk peningkatan tarif elektrik pengguna.

7. Bagaimanakah harga gas ditentukan?

Harga-harga gas ditentukan berasaskan harga bahanapi alternatif. Sebagai contoh, jika minyak bahanapi digunakan dalam penjanaan tenaga dan jika gas digunakan untuk menggantikan minyak bahanapi sebagai sumber tenaga maka harga gas akan menjadi sama seperti minyak bahanapi. Kebiasaan penggunaan harga gas secara relatif kepada bahanapi alternatif (contoh harga-harga minyak bahanapi) ini telah digunapakai di semua negara-negara di rantau ini.

Mengikut sejarah, sektor tenaga di Malaysia telah menggunakan minyak bahanapi untuk menjana elektrik. Bagi menawarkan insentif-insentif kepada sektor tenaga supaya menukarkan daripada minyak bahanapi kepada gas, sejajar dengan yang dipraktikkan secara antarabangsa, harga-harga gas ditambatkan kepada harga-harga minyak bahanapi, yang didagangkan dan disiarkan secara meluas.

Oleh itu, harga-harga minyak bahanapi telah digunakan sebagai rujukan untuk menentukan harga gas di Malaysia untuk menjana tenaga.

Formula harga gas yang telah dipersetujui antara pembeli dan penjual telah disebutkan di dalam perjanjian-perjanjian penjualan gas (GSA).

Ia memberikan ketelusan antara kedua-dua pihak. Harga-harga gas yang ditentukan berasaskan formula harga gas yang dipersetujui akan bergerak mengikut harga-harga pasaran minyak bahanapi.

8. Bagaimanakah subsidi gas ditentukan?

Subsidi dirumuskan sebagai perbezaan antara harga pasaran (iaitu harga yang ditentukan daripada formula harga yang dipersetujui) dan Harga Tetap Kerajaan (harga subsidi).

Buat masa ini harga pasaran untuk gas bagi sektor tenaga adalah kira-kira RM 47.42 setiap MMBTU sementara harga subsidi ialah RM 10.70 per MMBTU. Oleh itu, perbezaan antara harga pasaran dan harga subsidi, adalah RM36.72 setiap MMBTU.

9. Apakah kesan kos subsidi gas terhadap negara?

Sehingga akhir 2010, PETRONAS telah membelanjakan kira-kira RM131.3 bilion untuk subsidi gas kepada kedua-dua sektor tenaga dan bukan-tenaga.

Sekiranya harga-harga gas kekal tidak berubah (iaitu RM 10.70 setiap MMBTU untuk sektor tenaga; RM 15.35 setiap MMBTU untuk sektor bukan tenaga), ini akan melibatkan kira-kira RM27 bilion subsidi pada 2011. Oleh kerana keadaan tersebut tidak tertanggung lagi, kerajaan tidak mempunyai pilihan tetapi untuk menstruktur semula subsidi gas. (Nota: Anggaran subsidi gas adalah berasaskan harga minyak bahanapi sebanyak USD 93.98 se tong dan kadar pertukaran sebanyak RM3.0467/AS$).

Memikul beban subsidi akan menghadkan keupayaan PETRONAS untuk menyumbang dalam bentuk dividen dan cukai-cukai korporat. Ia juga menghadkan keupayaan PETRONAS untuk melabur semula bagi mengekalkan aliran pulangan pendapatan di masa hadapan. - BERNAMA



:: MoU...pengambilan pembantu rumah Indonesia





RM4,511 bayaran pembantu rumah Indonesia: Subramaniam


2011/05/30

BANDUNG: Protokol pindaan terhadap Memorandum Persefahaman (MoU) mengenai pengambilan pembantu rumah Indonesia yang ditandatangan malam ini menetapkan RM4,511 sebagai bayaran pengambilan pembantu rumah Indonesia oleh pihak majikan Malaysia.

Menteri Sember Manusia, Datuk Dr S Subramaniam, berkata jumlah itu adalah RM2,711 oleh pihak majikan dan RM1,800 adalah bayaran pekerja yang didahulukan oleh pihak majikan kepada agensi pekerjaan.
"Majikan dibenarkan memotong gaji pekerja sebanyak RM1,800 dengan syarat pemotongan itu tidak boleh lebih daripada 50 peratus daripada gaji bulanan pembantu rumah," katanya kepada selepas majlis penandatanganan MoU baru itu.

Ia bermakna kos sebenar yang ditanggung oleh majikan ialah RM2,711.

Dr Subramaniam berkata, protokol Pindaan terhadap MoU di antara Malaysia dan Indonesia Mengenai Isu Penggajian Pembantu Rumah Asing Indonesia 2006 itu, turut menetapkan bahawa pembantu rumah Indonesia diberi cuti satu hari dalam seminggu dan mereka layak dibayar gaji satu setengah hari jika memilih untuk bekerja pada hari cuti berkenaan.

Satu kontrak kerja yang standard juga perlu digunakan untuk pengambilan pembantu rumah dari republik itu.

Menteri itu berkata, antara perkara utama yang di persetujui dalam protokol itu ialah penubuhan Pasukan Petugas Bersama (JTF) di kedua-dua negara untuk membantu Kumpula Kerja Bersama (JWG) untuk mengawasi pelaksanaan MoU dan menyelesaikan perkara-perkara berbangkit berhubung penggajian dan pengurusan pembantu rumah Indonesia.

Gaji akan ditetapkan berdasarkan kepada kadar pasaran dan majikan akan bertanggungjawab membayar gaji bulanan seperti dalam kontrak iaitu melalui akaun bank pekerja namun jika lokasi bank jauh, bayaran tunai dibenarkan.

Mengulas pasport pembantu rumah terbabit, mereka diberikan hak memegang dokumen itu, bagaimanapun mereka boleh menyerahkan pasport mereka kepada majikan untuk disimpan bagi tujuan keselamatan dengan syarat ia dikembalikan bila pekerja memintanya.

Protokol ini turut menetapkan bahawa majikan berhak mendapat pengganti pembantu rumah Indonesia yang baru atau bayaran pendahuluan mereka dari agensi pekerjaan jika pekerja mereka melarikan diri atau tidak kompeten dalam tempoh enam bulan.

Mereka juga berhak mendapat pengganti atau pengembalian wang pendahuluan jika pekerja itu tidak lulus pemeriksaan kesihatan dalam tempoh tiga bulan.

Agensi pekerjaan yang didapati melanggar ketetapan dalam protokol baru ini akan disenarai hitamkan oleh agensi kerajaan yang berkaitan, katanya.

"Kerajaan percaya dengan adanya protokol berhubung penggajian pembantu rumah di antara Malaysia dan Indonesia ini akan dapat memberi perlindungan yang sewajarnya kepada para majikan Malaysia yang menggajikan pembantu rumah Indonesia dan seterusnya meningkatkan kerjasama dua hala di antara kedua-dua negara," katanya.

Beliau berkata, keputusan dan persetujuan antara Malaysia dan Indonesia hanya terpakai untuk pengambilan pembantu rumah Indonesia saja. - BERNAMA



Monday, May 30, 2011

:: Buaya menyerang Jeffryson di Sg. Skrang





Lelaki mati diserang buaya

by Edwin Raoh. Posted on May 30, 2011, Monday













Mayat mangsa ditemui di kawasan Tabut pada jam 8 pagi

SKRANG: Mayat mangsa serangan buaya di Sungai Skrang, Engkilili sekitar jam 5.30 petang kelmarin berjaya ditemui di kawasan Tabut, Skrang pada jam 8 pagi, semalam (Ahad).

Ketua Polis Balai Skrang Sarjan Rasit Bunya berkata, mayat mangsa Jeffryson Sali, 26, dari Rumah Jangin, Kejemut, Skrang ditemui terapung kira-kira tiga kilometer dari lokasi kejadian oleh pasukan pencari dan penyelamat.

Menurutnya, mayat mangsa didapati mengalami patah kedua-dua kaki, berlubang di bahagian paha kanan, kesan calar akibat gigitan dipercayai buaya di bahagian perut termasuk kesan cakaran kuku reptilia ganas di bahagian tubuh mangsa.

Mayat Jeffryson telah dihantar ke Hospital Bahagian Sri Aman untuk tujuan bedah siasat pagi semalam.

Rasit berkata, sebelum kejadian mangsa dipercayai mandi di kawasan jeti Sungai Skrang bersama seorang rakannya, petang Sabtu lalu.

“Mangsa mandi dengan seorang rakannya di jeti mandi rumah panjang itu dan rakannya balik terlebih dulu ke rumah panjang mereka manakala mangsa tinggal keseorangan di sungai itu.

“Apabila menyedari Jefferyson masih belum pulang ke rumah panjang, rakan mangsa balik semula ke jeti untuk mencari mangsa namun gagal,” katanya kepada Utusan Borneo semasa dihubungi, di sini, semalam.

Kemudian gerakan mencari dilancarkan di sekitar kawasan sungai itu sebelum mayat mangsa ditemui terapung di kawasan Tabut dipercayai terbunuh akibat serangan buaya pada pagi semalam.



Sunday, May 29, 2011

:: Guru agama dari Semenanjung Malaysia akan dihantar pulang... jika...






Guru Pantai Timur dinasihat tidak bawa budaya negatif ke Sarawak

Posted on May 28, 2011, Saturday

DAUD


KUCHING: Guru dari negeri-negeri di Pantai Timur Semenanjung Malaysia terutamanya guru agama dinasihatkan tidak membawa budaya dan pemikiran negatif ke Sarawak.

Menteri Muda di Pejabat Ketua Menteri (Hal Ehwal Islam) Datuk Daud Abdul Rahman berkata, budaya dan anasir negatif terhadap kerajaan yang disebarkan dari Semenanjung Malaysia dikhuatiri menjejaskan perpaduan kaum di Sarawak.

“Kita di Sarawak serba salah kerana kita mempunyai masalah kekurangan guru, walaupun demikian memang kita mengakui ada segelintir guru dari Semenanjung Malaysia terutamanya dari Kelantan datang ke sini membawa budaya dan cara pemikiran terhad dan tertutup ke sini,” katanya ketika ditemui pemberita selepas pelancaran Kempen Keselamatan Jalan Raya di Batu 13 Jalan Kuching-Serian semalam.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas berhubung kemasukan guru terutamanya guru agama dari Semenanjung Malaysia ke Sarawak.

Tambahnya, Majlis Islam Sarawak (MIS) sentiasa memantau kes-kes penyelewengan budaya tidak sihat di sekolah-sekolah untuk mencegah perkara itu berlaku.

“Jika kita dapati ada guru agama dari Semenanjung Malaysia berkelakuan demikian, mereka boleh diambil tindakan dengan menghantar mereka pulang.

“Jadi orang ramai yang dapat statistik (bukti) yang mengatakan mereka (guru agama) ini benar-benar berkelakuan demikian harus memaklumkan kepada kami supaya dapat dibawa ke pihak Jabatan Pelajaran untuk diambil tindakan,” tegasnya.

Selain itu, Daud menyarankan agar menambah bilangan guru dari Sarawak untuk mengisi kekosongan itu.

“Pihak pendidikan boleh memberi kursus jangka pendek kepada bakal guru tempatan yang ada pendidikan agama dalam masa setahun untuk mengisi jawatan itu,” katanya.

Beliau menjelaskan, bilangan guru agama diperlukan adalah banyak terutamanya di sekolah rendah dan menengah.

“Saya harap pihak pelajaran dalam jangka masa panjang akan mengisi jawatan tersebut dengan anak-anak Sarawak,” kata Daud.

Beliau meluahkan rasa yakin dengan anak Sarawak walaupun mempunyai pendidikan agama, mereka berfikiran positif dan tidak membawa budaya-budaya yang boleh memecah belahkan perpaduan kaum di Sarawak.

“Kita tidak cukup guru agama jadi kita terpaksa meminjam guru agama dari Semenanjung Malaysia untuk memenuhi kekosongan itu,” ujarnya.

Sebelum ini, Menteri Kemajuan Tanah Dato Sri James Masing meluahkan rasa kebimbangan tentang kemasukan 18,000 guru dari Semenanjung Malaysia ke Sarawak yang dikhuatiri akan menjadi isu politik.



Saturday, May 28, 2011

:: SURAT: Kisah guru bahasa Inggeris SMK di Parit Sulong ?




2011/05/28

KAMI pelajar tingkatan tiga di SMK Dato Sulaiman, Parit Sulong amat kecewa dengan sikap seorang guru bahasa Inggeris yang berkelulusan dari universiti di Amerika Syarikat.

Pada hari pertama beliau memasuki kelas kami, kami begitu bangga dan teruja kerana mendapat guru bahasa Inggeris lulusan dari luar negara.

Tentu hebat orangnya, tentu juga hebat cara mengajarnya dan tentu sekali harapan kami akan dapat menguasai bahasa Inggeris dengan lebih cepat dan mudah.

Malangnya, apa yang kami harapkan tidak kesampaian. Pada setiap hari, beliau memulakan pengajarannya dengan memperbodoh-bodohkan kami, mukanya tidak pernah menyenangkan hati kami dan ada kalanya menyalahkan guru bahasa Inggeris kami yang terdahulu.

Agaknya, begitulah caranya lulusan luar negara mengajar? Memaki, menghina, menjatuhkan maruah kami?

Semuanya ini berbeza dengan guru bahasa Inggeris kami yang terdahulu, iaitu lulusan dalam negara saja. Mereka begitu sabar, teliti, sentiasa memberi motivasi dan tekun mengajar, malah tidak kedekut dengan masa, tenaga malahan wang ringgit.

Jika guru lulusan Amerika ini terus mengajar kami, saya rasa akan gagal dalam mata pelajaran bahasa Inggeris dalam peperiksaan Penilaian Menengah Rendah (PMR) kelak.

Mohon jasa baik pengetua menggantikan guru ini dengan guru bahasa Inggeris lain yang lebih memahami jiwa, kehendak dan pencapaian kami.

PELAJAR TERHINA,
SMKDS.

Friday, May 27, 2011

:: Rombakan kabinet DUN Sarawak sebelum Julai?




Rombakan kabinet negeri selepas Persidangan DUN

Posted on May 27, 2011, Friday

TAIB


KUCHING: Rombakan kabinet negeri dijangka dilakukan selepas Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) yang dijadualkan pada 20 hingga 29 Jun depan.

Ketua Menteri Pehin Sri Abdul Taib Mahmud berkata, kabinet negeri yang sedia ada merupakan sementara sehingga ia dirombak semula sejurus selepas persidangan.

“Ia (kabinet) sementara sahaja, selepas persidangan DUN baru saya akan umumkan kepada anda (pemberita),” katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan Mesyuarat Kabinet Negeri yang diadakan di Wisma Bapa Malaysia di sini, semalam.

Pada 18 April lalu, lapan menteri mengangkat sumpah sebagai ahli kabinet negeri yang baru selepas Barisan Nasional (BN) sekali lagi di-berikan mandat membentuk kerajaan negeri.

Kesemua mereka yang dilantik mengangkat sumpah di hadapan Yang di-Pertua Negeri Tun Datuk Patinggi Abang Muhammad Salahuddin di Dewan Lapau Bangunan DUN baru di sini, kekal memegang portfolio lama selepas Pilihan Raya DUN Sarawak Ke-10 pada 16 April lalu.

Bagaimanapun, Timbalan Ketua Menteri Datuk Patinggi Tan Sri Dr George Chan tidak dilantik semula berikutan kekalahan beliau di kerusi DUN Piasau.

Thursday, May 26, 2011

:: QBB... pilihan Ahmad...



Ahmad berminat dengan no. pendaftaran QBB... keluaran JPJ Sri Aman... kononnya untuk menggantikan QRC yang sedang dimilikinya....



No Kenderaan Terkini

as at
Thu May 26 17:35:00 2011

PerakAHN6144
SelangorBLG940
PahangCCU7901
KelantanDBV4316
JohorJMX1509
KedahKCY2641
LangkawiKV964D
LabuanLD6147
MelakaMCB3830
N SembilanNCN491
Pulau PinangPKD3520
KuchingQAX513
Sri AmanQBB104
K SamarahanQCC1798
LimbangQLA4883
MiriQMR3874
KapitQP5958
SarikeiQRF8384
SibuQSU6418
BintuluQTH6296
PerlisRJ6342
Kota KinabaluSAB2458F
BeaufortSB2743B
Lahad DatuSD8284F
KudatSK695A
SandakanSS499P
TawauST3410P
KeningauSU4692B
TerengganuTBC7617
Kuala LumpurWVJ2198

Wednesday, May 25, 2011

:: Cuti tambahan... sempena Hari Raya Puasa dan Hari Kebangsaan tahun 2011 ?




23/05/2011 - Hari Kelepasan Am Tambahan Sempena Pertindihan Hari Raya Puasa dan Hari Kebangsaan pada 31 Ogos 2011

Adalah dimaklumkan bahawa Kerajaan telah memutuskan supaya satu hari kelepasan am tambahan 2011 ditetapkan bagi seluruh negara berikutan hari kelepasan am sempena Hari Raya Puasa yang dijangka akan bertindih dengan Hari Kebangsaan pada Rabu, 31 Ogos 2011.

2. Tertakluk kepada pengumuman tarikh Hari Raya Puasa oleh Majlis Raja-Raja kelak, maka satu hari kelepasan am tambahan ditetapkan seperti berikut, iaitu:

(a) sekiranya Hari Raya Puasa (Hari Pertama) jatuh pada Selasa, 30 Ogos 2011 dan Hari Raya Puasa (Hari Kedua) dan Hari Kebangsaan bertindih pada Rabu 31 Ogos 2011 maka Khamis, 1 September 2011 ditetapkan sebagai hari kelepasan am tambahan; atau

(b) sekiranya Hari Raya Puasa (Hari Pertama) jatuh pada Rabu, 31 Ogos 2011 dan bertindih dengan Hari Kebangsaan dan Hari Raya Puasa (Hari Kedua) pula jatuh pada Khamis, 1 September 2011 maka Jumaat, 2 September 2011 ditetapkan sebagai hari kelepasan am tambahan.

3. Pengisytiharan satu hari kelepasan am tambahan ini bagi Semenanjung Malaysia dan Wilayah Persekutuan Labuan telah diwartakan berdasarkan seksyen 8 Akta Hari Kelepasan 1951. Manakala urusan pewartaan bagi negeri-negeri Sabah dan Sarawak, masing-masing berdasarkan seksyen 9 Ordinan Hari Kelepasan Sabah [Sabah Bab 56] bagi negeri Sabah dan seksyen 5 Ordinan Hari Kelepasan Am Sarawak [Sarawak Bab 8] bagi negeri Sarawak sedang diuruskan oleh kerajaan negeri masing-masing.

4. Pengumuman ini diharap dapat mengelak kekeliruan di kalangan orang ramai terhadap hari-hari kelepasan am tersebut dan membolehkan perancangan awal dibuat untuk menyambut perayaan Hari Raya Puasa dan Hari Kebangsaan kelak.




(TAN SRI SIDEK HASSAN)
Ketua Setiausaha Negara

23 Mei 2011