Monday, March 29, 2010

: IPG.. latihan amali di sekolah kecil/pedalaman ?

KAMPUS

Cadangan Latihan Amali Di Sekolah Luar Bandar- Puad

MIRI: Latihan amali di sekolah-sekolah kecil di kawasan luar bandar perlu dimasukkan sebagai latihan di Institut Pengajian Guru (IPG), kata Timbalan Menteri Pelajaran Dr Mohd Puad Zarkashi di sini, hari ini.

Beliau berkata latihan seperti itu dapat menyediakan para pelatih dengan cara yang baik dan mempunyai sikap yang sesuai jika mereka diperlukan untuk berkhidmat di sekolah-sekolah luar bandar sebaik tamat latihan.

"Mereka dapat melihat keadaan sebenar di sekolah-sekolah kecil di kawasan pedalaman (semasa masih menjalani latihan) agar mereka dapat bersedia (sebaik sahaja menjadi guru)," katanya kepada pemberita selepas merasmikan bengkel Stategi Pedagogi bagi meningkatkan prestasi sekolah-sekolah kecil di sini.

Seramai 56 peserta mewakili Malaysia, Kemboja, Filipina, Indonesia, Thailand dan Brunei mengambil bahagian dalam bengkel tiga hari anjuran Kementerian Pelajaran dengan kerjasama Pertubuhan Menteri-menteri Pelajaran Asia Tenggara (SEAMEO) dan Bank Dunia.

Dr Mohd Puad berkata satu program yang memerlukan para pelatih menjalani latihan amali di sekolah-sekolah luar bandar telahpun dimulakan di Colombia dan beliau berpendapat IPG perlu meneroka kemungkinan mencontohi inisiatif itu.

Katanya dengan menghantar guru-guru berkhidmat di kawasan luar bandar merupakan satu daripada cabaran yang perlu ditangani bagi menguruskan sekolah-sekolah kecil di negara ini.

Menurutnya, terdapat 2,518 sekolah-sekolah kecil yang masing-masing mendaftarkan kurang daripada 150 pelajar di negara ini di mana 2,402 daripadanya terletak di kawasan luar bandar.

"Di Sarawak, kita mempunyai 728 sekolah-sekolah...yang terbesar (bilangannya di satu negeri) di Malaysia," katanya.

Dengan para pelajar yang terdiri dari pelbagai usia di setiap kelas, beliau berkata guru yang sedang berkhidmat di sekolah-sekolah kecil di luar bandar berdepan dengan masalah untuk menunaikan tanggungjawab sebagai guru. -BERNAMA

Sunday, March 28, 2010

:: MCA: Chua Soi Lek - Presiden, Liow Tiong Lai - Timbalan Presiden

Chua menang presiden, Tiong Lai timbalan
Mac 28, 10 10:33am

Datuk Seri Dr Chua Soi Lek memenangi jawatan presiden MCA manakala Datuk Seri Liow Tiong Lai pula menang jawatan timbalan presiden.

Empat jawatan naib presiden dimenangi oleh Datuk Ng Yen Yen, Gan Ping Sieu, Datuk Donald Lim dan Datuk Chor Chee Heung.

Chua mendapatkan 901 undi, menewaskan Tan Sri Ong Ka Ting yang mendapat 833 undi manakala Datuk Seri Ong Tee Kiat memperolehi 578 undi.

Bagi jawatan timbalan pula, Liow mendapat 1,171 undi, menewaskan Datuk Kong Cho Ha yang memperolehi 1,106 undi.

Bagi jawatan naib presiden, Dr Ng mendapat 1,528 undi, Donald Lim (1,469) manakala Chor dan Gan masing-masing mendapat 1,202 undi.

Yang paling menarik ialah mereka yang menang, merupakan campuran penyokong kepada Chua, Ka Ting dan Tee Keat.

Liow merupakan regu kepada Ka Ting, manakala bagi naib presiden pula, Dr Ng dikaitkan dengan Chua, Chor (Ka Ting), Gan (Tee Keat) manakala Donald Lim dilihat tidak memihak.

Manakala 25 pemenang jawatankuasa pusat ialah:

1. Tan Ken Ten
2. Koh Nai Kwong
3. Loh Seng Kok
4. Tan Cheng Liang
5. Gan Tian Loo
6. Chong Itt Chew
7. Hou Kok Chung
8. Lee Chee Leong
9. Wee Jeck Seng
10. Chuah Poh Khiang
11. Hoh Khai Mun
12. Heng Seai Kie
13. Kong Sing Chu
14. Teh Kim Poo
15. Wong Koon Mun
16. Tee Siew Kiong
17. Tan Ah Eng
18. Ti Lian Ker
19. Tan Chai Ho
20. Por Choo Chor
21. Lee Wei Kiat
22. Ong Ka Chuan
23. Liew Yuen Keong
24. Yoo Wei How
25. Toh Chin Yaw

Mereka yang memenangi jawatankuasa pusat pula terdiri daripada sebelas penyokong Chua, Ka Ting (9) dan Tee Keat (5).

Sejumlah 2,318 perwakilan MCA mula mengundi bagi 31 jawatan tertinggi parti, termasuk presiden, timbalan dan naib presiden di ibupejabat parti itu hari ini.

6.50pm: Proses pengiraan undi bagi jawatan presiden, timbalan dan naib presiden sudah selesai. Keputusan sedang diumumkan bermula dengan 25 pemenang jawatankuasa pusat MCA.

6.40pm: Proses pengiraan undi bagi jawatan presiden, timbalan dan naib presiden sudah selesai. Manakala pengiraan semula undi bagi kerusi ke-25 jawatankuasa pusat sedang berjalan.

5.11pm: Proses pengiraan undi bagi jawatan timbalan presiden pula bermula selepas selesai pengiraan undi bagi jawatan naib presiden, Manakala pengiraan undi bagi jawatankuasa pusat selesai kira-kira jam 4.30 petang.

4.37pm: Proses pengiraan undi bagi jawatan naib presiden pula bermula. Pengiraan undi bagi jawatankuasa pusat sudah selesai kira-kira jam 4.30 petang.

1.53pm: Petugas MCA telah mengira 2,315 undi. Tiga perwakilan tidak mengambil kertas undi.

1.20pm: Pengiraan bermula. Semua ejen dan pengawas pemilihan dilarang bawa telefon bimbit ke dalam dewan.

12.25pm: Tempat pengundian ditutup secara rasmi.

12.19pm: Proses pengundian selesai. Proses pengiraan undi akan bermula jam 1 tengahari.

11.23pm: Selepas mengundi Ka Ting beredar dari bangunan ibupejabat MCA. Sebelum beredar, Ka Ting berkata beliau gembira dan puas hati dengan proses pengundian kerana semunya berjalan lancar.


11.19am: Selepas mengundi, Tee Keat memberitahu pemberita yang beliau tidak percaya yang beliau adalah 'underdog' dalam pertandingan jawatan presiden, dan menyifatkan ia 'satu putarbelit media tertentu'. Mengenai peluangnya, Tee Keat berkata beliau sentiasa optimistik.

10.53am: Dari Twitter Ketua Pemuda MCA, Datuk Wee Ka Sing's: Saya harap selepas hari ini tiadalah krisis dalam parti.

10.54am: Yip berkata beliau telah mempengerusikan lebih banyak EGM MCA berbanding orang lain, dan mengucap terima kasih kepada perwakilan atas sokongan mereka.

10.15am: Timbalan ketua Pemuda MCA, Dr Mah Han Soon dilantik sebagai penyelia pemilihan.

10.10am: Pengerusi EGM, Yip Phooi Hong mengumumkan bahawa 2,318 daripada 2,380 atau 97 peratus perwakilan hadir.

9.30am: Calon-calon berbaris di sepanjang laluan ke Dewan San Choon di mana EGM akan diadakan, untuk mengalu-alukan kedatangan para perwakilan. Sestengah calon gagal mendapatkan tempat di tepi laluan tersebut, pula kelihatan berada di anak tangga menuju ke dewan tersebut.

9.05am: Datuk Seri Ong Ka Ting tiba di ibupejabat parti dan bergambar untuk jurufota bersama regunya, Datuk Seri Liow Tiang Lai.

8.05am: Datuk Seri Ong Tee Keat tiba di ibupejabat parti sambil tersenyum lebar.

Beliau memberitahu pemberita yang beliau tidak terganggu dengan spekulasi akhbar bahawa beliau hanya mampu memperolehi tiga lebih daripada 15 peratus undi.

7.45am: Datuk Seri Dr Chua Soi Lek merupakan calon presiden pertama yang tiba di ibupejabat. Dia ditemani anak lelakinya yang juga ahli parlimen Labis, Tee Yong.

Ditanya sama ada mengenai peluangnya, Chua tersenyum sambil bertanya: "Saya nampak risau ke?"

:: Pilihan raya DUN Sarawak ke-10 serentak PRU ke-13 ?

Pilihan raya serentak?

by Wan Ali Amit

Ada kemungkinan Pilihan Raya DUN Sarawak Ke-10 diadakan serentak dengan Pilihan Raya Umum Ke-13

BINCANG: Taib memperkatakan sesuatu kepada Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi yang juga Ahli Parlimen Petra Jaya, Fadillah Yusuf selepas mempengerusikan mesyuarat Ahli-ahli Parlimen BN Sarawak, di Kuching semalam.

BINCANG: Taib memperkatakan sesuatu kepada Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi yang juga Ahli Parlimen Petra Jaya, Fadillah Yusuf selepas mempengerusikan mesyuarat Ahli-ahli Parlimen BN Sarawak, di Kuching semalam.

KUCHING: Ketua Menteri Pehin Sri Abdul Taib Mahmud membayangkan bahawa Pilihan Raya Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak Ke-10 kemungkinan diadakan tahun depan, serentak dengan Pilihan Raya Umum (PRU) Ke-13.

Bagaimanapun, katanya sebarang keputusan mengenai pilihan raya negeri belum diputuskan oleh pucuk pimpinan Barisan Nasional (BN), malah perbincangan ke arah itu (mengadakan pilihan raya) belum juga diadakan.

“Kita belum membincangkan soal pilihan raya negeri… malah Perdana Menteri (Datuk Seri Najib Tun Razak) pun belum berbincang dengan kita untuk mengadakan pilihan raya. Tetapi, kita boleh mengadakan pilihan raya bila-bila masa dari sekarang,” katanya kepada pemberita di sini semalam.

Tempoh tamat bagi penggal pilihan raya negeri Sarawak adalah pada tahun depan manakala tempoh tamat penggal bagi PRU negara pada 2013.

Taib yang juga Pengerusi BN Negeri ditemui selepas mempengerusikan mesyuarat Ahli-ahli Parlimen BN Sarawak, berkata pilihan raya negeri mungkin diadakan serentak dengan PRU ke-13 jika ada arahan daripada Perdana Menteri.

“Memang kita ada dengar spekulasi dari Semenanjung Malaysia mengatakan pilihan raya negeri Sarawak diadakan serentak dengan PRU negara.

“Tetapi, saya tidak dapat baca apa yang ada di fikiran PM (Najib) dan saya sendiri belum mengetahui bila pilihan raya negeri hendak diadakan,” katanya.

Terdahulu, Taib mempengerusikan mesyuarat Ahli-ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) Sarawak bagi jawatan-kuasa penyelarasan kawasan masing-masing.

Hadir sama Timbalan Ketua Menteri merangkap Pengerusi Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) Datuk Patinggi Tan Sri Dr George Chan, Timbalan Ke-tua Menteri merangkap Timbalan Presiden I PBB Datuk Patinggi Tan Sri Alfred Jabu, Presiden Parti Rakyat Sarawak (PRS) Dato Sri Dr James Masing, Presiden Parti Progresif Demokratik Sarawak (SPDP) Dato Sri William Mawan Ikom serta Menteri Perumahan dan Pembangunan Bandar merangkap Timbalan Presiden II PBB Datuk Amar Abang Johari Tun Abang Openg.

Ditanya adakah rombakan kecil kabinet yang beliau umumkan Khamis lalu membayangkan pilihan raya negeri bakal diadakan dalam tempoh terdekat, Taib berkata: “Rombakan kecil itu tidak bertentangan dengan undang-undang dan rombakan itu dilakukan bukan kerana kita kehilangan sokongan peringkat bawahan.

“Saya percaya rombakan kecil itu adalah bagi memastikan kelancaran kementerian terbabit untuk melaksanakan pelbagai program pembangunan kepada rakyat sekali gus mengukuhkan jentera pentadbiran kerajaan.”

Dalam rombakan kecil kabinet negeri Khamis lalu, ADUN Dalat Datin Fatimah Abdullah dilantik sebagai Menteri di Pejabat Ketua Menteri, ADUN Tanjung Datu Datuk Amar Adenan Satem dilantik sebagai penasihat bertaraf menteri di Pejabat Ketua Menteri dan ADUN Batu Kawa Tan Joo Phoi dilantik Menteri Muda di Pejabat Ketua Menteri (Alam Sekitar).

:: Menjejaki keturunan Wan Mat Saman (1)

:: Baru2 ni adik bongsu telah menghantar 3 email ekoran mesej yang dihantar kepadanya. Mesej tersebut sebenarnya adalah berkaitan komen yang diterima daripada 2 orang pembaca dalam entri terdahulu.. dan diharap laluan pencarian serta usaha menjejaki keturunan Wan Mat Saman yang dirasakan tersebar di merata tempat dan ceruk rantau.. akan beroleh hasil yang mampu dibanggakan nanti.

:: Namun.. gerak hati lebih menjuruskan kepada perlunya bantuan dan sokongan padu daripada "N.A".. iaitu cucu perempuan Cik Embun.. anak Puan Ramlah. Persoalannya.. kenapa "N.A" ni amat bermakna dalam usaha meneruskan pencarian dan menjejaki waris serta keturunan Wan Mat Saman ini? Semoga akan memperolehi pencerahannya nanti.. InsyaAllah !!

Saturday, March 27, 2010

:: Rombakan kabinet Sarawak: Fatimah Abdullah, Tan Joo Phoi & Adenan Satem

Tiada kaitan pilihan raya: KM

by Saibi Gi, Patricia Gari dan Rengenyan Labang

Rombakan kecil kabinet tidak boleh dianggap sebagai usaha BN raih semula sokongan

KUCHING: Rombakan kecil Kabinet Negeri semalam tidak boleh dianggap sebagai usaha Barisan Nasional (BN) meraih semula sokongan rakyat di beberapa kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) yang kini ditakluki pembangkang.

ROMBAK KABINET: Taib bersama dua timbalannya, Datuk Patinggi Tan Sri Dr George Chan dan Datuk Patinggi Tan Sri Alfred Jabu Numpang pada sidang media di Wisma Bapa Malaysia, Kuching semalam. — Gambar Jeffery Mostapha

ROMBAK KABINET: Taib bersama dua timbalannya, Datuk Patinggi Tan Sri Dr George Chan dan Datuk Patinggi Tan Sri Alfred Jabu Numpang pada sidang media di Wisma Bapa Malaysia, Kuching semalam. — Gambar Jeffery Mostapha

Ketua Menteri Pehin Sri Abdul Taib Mahmud berkata, rakyat Sarawak selama ini menaruh keyakinan tinggi terhadap kerajaan BN berdasarkan rekod lampau pembangunan dan keprihatinan terhadap masalah rakyat.

“Kekalahan di beberapa kawasan (pada pilihan raya negeri 2006) bukan kerana ketidakyakinan rakyat terhadap kerajaan. Tetapi disebabkan ada segelintir pihak yang melakukan undi protes,” katanya.

Pada sidang media bagi mengumumkan rombakan kabinet di Wisma Bapa Malaysia semalam, beliau berkata undi protes itu cuma berlaku di beberapa kawasan DUN di Kuching.

Beliau menegaskan, tidak ada parti lain di Sarawak mampu membentuk kerajaan.

Hanya BN berupaya men-tadbir dan melaksanakan pembangunan di negeri ini, tambahnya.

Taib diminta mengulas mengenai kaitan pelantikan Ahli Dewan Undangan Ne-geri (ADUN) Batu Kawa Tan Joo Phoi sebagai Menteri Muda di Pejabat Ketua Menteri (Alam Sekitar).

Tan yang juga Pengerusi Majlis Perbandaran Padawan (MPP) daripada Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) dikaitkan dengan usaha parti itu meraih semula sokongan pengundi Cina, terutamanya.

Pada pilihan raya negeri 2006, SUPP tewas di lapan kawasan daripada 19 kawasan yang diperuntukkan kepadanya.

Kawasan-kawasan yang tewas di Kuching ialah Padungan, Pending, Batu Lintang dan Kota Sentosa. Di tempat lain ialah Engkilili, Meradong, Bukit Asek dan Kidurong.

Taib berkata: “Saya mendengar nasihat daripada rakan-rakan Cina bahawa kita perlu mempunyai orang yang mempunyai kedudukan (dalam kabinet) daripada SUPP.”

Mengenai tarikh pilihan raya negeri, beliau dalam nada berseloroh berkata: “Belum lagi, tengok muka anda (wartawan) lama-lama barulah ada (ilham).”

Menerusi rombakan kecil kabinet yang diumumkan oleh Taib semalam, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Dalat Datin Fatimah Abdullah dilantik menjadi Menteri di Pejabat Ketua Menteri, ADUN Batu Kawa Tan Joo Phoi sebagai Menteri Muda di Pejabat Ketua Menteri.

Manakala ADUN Tanjung Datu Datuk Amar Adenan Satem menjadi Penasihat Khas bertaraf menteri di Pejabat Ketua Menteri.

Friday, March 26, 2010

:: Pesawat Pilatus PC-7 Mark II terhempas di Sintok : Mejar Muhammed Zulrihan Jusof terkorban


oleh Nahar Tajdi
nahar@bharian.com.my
2010/03/26


SINTOK:
Perasmian Karnival Konvokesyen ke-23 Universiti Utara Malaysia (UUM), di sini, semalam, bertukar tragedi apabila sebuah pesawat jenis Pilatus PC-7 MK II Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) yang membuat persembahan sempena majlis itu, terhempas di kawasan hutan simpan di situ dan mengorbankan juruterbangnya. Dalam kejadian kira-kira jam 10.15 pagi itu, pesawat dipandu Mejar Muhammed Zulrihan Jusof, 39, dikatakan mengalami masalah teknikal ketika membuat persembahan sebelum terjunam ke dalam kawasan hutan simpan berhampiran kolej kediaman pelajar MISC/TM.


Ia menyebabkan suasana di Stadium UUM ketika majlis yang dirasmikan Pengarah Urusan Bank Rakyat, Datuk Kamaruzaman Che Mat dan turut dihadiri Naib Canselor UUM, Tan Sri Nordin Kardi gempar berikutan bunyi letupan kuat diikuti asap hitam keluar dari kawasan hutan tempat pesawat itu terhempas.

Suasana majlis perasmian itu menjadi gamat apabila kira-kira 500 hadirin, terutama pelajar menjerit kerana terkejut dengan kemalangan itu.

Dua jentera dengan 14 anggota Pasukan Bomba dan Penyelamat tiba di tempat kejadian kira-kira 15 minit kemudian dan mengambil masa kira-kira sejam untuk mengesan dan mengeluarkan mangsa yang ditemui beberapa meter dari pesawat. Selain bomba, operasi turut dibantu pihak TUDM dan UUM.

Mangsa dikatakan maut akibat terhempas selepas dipercayai melonjak keluar menggunakan kerusi anjal ketika pesawat menjunam, manakala separuh dari badan pesawat musnah.

Mayat juruterbang dikeluarkan dari tempat kejadian menggunakan sebuah helikopter TUDM sebelum dibawa ke Jabatan Forensik Hospital Sultanah Bahiyah, Alor Setar untuk bedah siasat.

Mangsa yang tinggal di Taman Desa Bukit Tinggi Kepala Batas, Alor Setar, berasal dari Kampung Pasir Kasar Sering, Kota Bharu, Kelantan dan sudah berkeluarga.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kedah, Asisten Komisioner Zakaria Ahmad, ketika di temui di sini, semalam. berkata mayat mangsa ditemui kira-kira 15 meter dari pesawat dan dipercayai sempat melonjak keluar menggunakan kerusi anjal ketika pesawat menjunam ke dalam hutan.

Saksi kejadian yang juga seorang pelajar, Norhalida Wafi Ramli, 22, berkata beliau pada mulanya tidak menyangka kejadian itu kerana fikir ia adalah sebahagian daripada gimik persembahan.

"Saya nampak pesawat itu melakukan formasi pusingan sebanyak dua kali sebelum menjunam ke dalam hutan.

"Saya sedar ia adalah kemalangan selepas mendengar bunyi letupan sebanyak dua kali diikuti asap tebal hitam," katanya.

Sementara itu, TUDM akan menubuhkan Lembaga Siasatan Khas bagi mengenal pasti punca kejadian.

Panglima TUDM, Jeneral Datuk Seri Rodzali Daud merakamkan ucapan takziah kepada keluarga mangsa.


INFO
Kronologi pesawat Pilatus terhempas

  • 11 September 2009 - Mejar Zulkifli Hassan, 38, dan Mejar Mohd Roszaini Mustafa, 37, terbunuh apabila pesawat terhempas di Langkawi.

  • 16 Disember 2004 - Nahas pesawat latihan Pilatus PC-7 mengorbankan Leftenan Amnart Summok, 23, dan jurulatihnya, Mejar Alias Bakar, 36, di Kampung Titi Besi, Kepala Batas.

  • 27 Mei 2004 - Leftenan Mualimin Jasid, 23, terbunuh apabila pesawat Pilatus PC-7 terhempas di Kampung Padang Gelanggang, dekat Jerlun, Kedah.

  • 12 Ogos 2003 - Pelatih penerbangan KTU, Leftenan Mai Elmy Sefrina Jalaluddin, 22, terkorban selepas pesawat Pilatus terhempas di Jalan Bukit Kayu Hitam-Changlun, Kedah.

  • 12 April 2001 - Seorang juruterbang jurulatih TUDM terbunuh apabila Pilatus PC-7 TUDM terhempas di Kampung Kepala Parit Dalam, Tokai, Pendang.

  • 12 Julai 1993 - Juruterbang pelatih TUDM, Leftenan Muda Mohamad Nazri Amran, 21, terbunuh apabila pesawat terhempas di sawah Kampung Chemumar, Tambun Tualang, Perlis.

  • 31 Januari 1992 - Pesawat Pilatus PC-7 terhempas dalam Sungai Kemaman, Terengganu menyebabkan juruterbangnya terbunuh.

  • 25 September 1990 - Leftenan Muda Faizal Muhammad terbunuh apabila pesawat merempuh asrama di Universiti Utara Malaysia (UUM), Sintok, Kedah.

  • September 1984 - Leftenan Muda S Thulasiram terbunuh selepas pesawat TUDM terhempas di Kampung Bukit Rambai, Pendang, Kedah.


  • .................................................................................................



    Pesawat Menjunam Selepas Naik Menegak - Saksi

    SINTOK: Pesawat Pilatus PC-7 Mark II milik Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) yang terhempas di kawasan hutan berhampiran Universiti Utara Malaysia (UUM) di sini dipercayai gagal melakukan aksi akrobatik apabila menjunam selepas naik menegak 90 darjah pagi ini.

    Dalam kejadian 10.15 pagi itu, juruterbangnya yang juga jurulatih Kolej TUDM Kepala Batas dekat Alor Setar, Mejar Muhammed Zulrihan Jusoh terbunuh di tempat kejadian.

    Saksi-saksi melihat pesawat berkenaan terbang melintasi Kompleks Sukan UUM semasa persembahan pancaragam sedang berlangsung, sempena majlis perasmian Pesta Konvokesyen ke-23 UUM selama seminggu bermula hari ini.

    "Selepas melepasi Kompleks Sukan, pesawat membuat dua aksi gerakan dan kemudian naik menegak 90 darjah, tetapi tiba-tiba menggelungsur jatuh," kata bekas pelajar UUM, Azlan Jamaluddin.

    Beliau yang berada kira-kira 500 meter dari tempat pesawat terhempas mendengar dua letupan kuat yang disusuli dengan beberapa letupan kecil selepas pesawat terhempas.

    "Kami ternampak selepas membuat dua aksi akrobatik, pesawat itu meluncur naik 90 darjah dan kemudian menjunam. Kami kemudian mendengar dua letupan agak kuat dan semua orang berlari ke arah tempat kejadian," kata pelajar Siti Fatimah Kamal.

    Seorang lagi pelajar, Mohd Amin Ahmad berkata ketika kejadian beliau dan rakan-rakannya turut mendengar beberapa letupan.

    "Selepas terdengar beberapa letupan, kami berlari ke tempat kejadian. Saya dan beberapa rakan sempat masuk untuk memberi bantuan tetapi kemudiannya pihak keselamatan universiti tiba dan mengarahkan kami beredar dari situ," katanya.

    Beliau melihat pesawat tersebut terbakar.

    Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Polis Kontinjen Kedah, Asisten Komisioner (ACP) Zakaria Ahmad yang melawat tempat kejadian berkata polis mendapat maklumat mengenai insiden tersebut kira-kira 10.15 pagi.

    "Sebaik mendapat maklumat, arahan dikeluarkan kepada semua agensi keselamatan untuk ke tempat kejadian bagi membantu TUDM," katanya.

    Naib Canselor UUM, Tan Sri Dr Nordin Kardi mengucapkan takziah kepada keluarga Mejar Zulrihan.

    "Saya dan seluruh warga UUM sedih dengan kejadian ini," katanya. - BERNAMA


    ................................................................................


    Zulrihan suruh keluarga bersedia


    Oleh Norliza Wasilan
    norlizawasilan@bharian.com.my
    2010/03/27

     WIZANA memangku anaknya, Nor Hidayah, Nor Atirah dan Mohd Amirul.
    WIZANA memangku anaknya, Nor Hidayah, Nor Atirah dan Mohd Amirul.

    Balu juruterbang kata suami kerap termenung

    KOTA BHARU: Juruterbang Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM), Mejar Muhammed Zulrihan Jusof, 39, yang terkorban dalam nahas pesawat Pilatus PC-7 MK II, kelmarin sentiasa mengingatkan keluarganya supaya bersedia terhadap pelbagai kemungkinan, termasuk perkara buruk yang berlaku kepadanya.

    Balunya, Wizana Abdul Ghani, 38, berkata arwah suaminya yang terkenal dengan sikap serius, selalu menasihatkan dirinya dan anak mereka supaya tabah dan reda jika beliau ditakdirkan ditimpa kemalangan. “Anak pun sudah selalu dengar pesanan macam itu, mungkin sebab kerap (Allahyarham) berkata begitu, maka kami dapat menerima ketentuan ini dengan lebih tabah,” katanya ketika ditemui di rumah mentuanya di Kampung Pasir Kasar, Sering di sini, semalam.

    Akhbar semalam melaporkan, perasmian Karnival Konvokesyen Ke-23 Universiti Utara Malaysia (UUM) di Sintok, Kedah, kelmarin, bertukar tragedi apabila pesawat yang membuat persembahan sempena majlis itu, terhempas di kawasan hutan simpan di situ dan mengorbankan juruterbangnya dalam kejadian jam 10.15 pagi.

    Allahyarham, anak sulung daripada sembilan beradik itu, meninggalkan seorang balu dan tiga orang anak iaitu Nor Atirah, 11, Mohd Amirul, 7, dan Nor Hidayah, sembilan bulan. Jenazahnya selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Petani, dekat sini, malam kelmarin.

    Mengulas mengenai perubahan dialami suaminya sebelum ini, ibu kepada tiga anak ini berkata, sebelum mengadakan persembahan udara itu di UUM, Muhammed Zulrihan kelihatan lebih banyak termenung, berbeza dengan kelakuannya pada hari kebiasaan.

    “Ketika keluar rumah (sebelum mengadakan persembahan), dia masih lagi termenung macam sedang memikirkan sesuatu, langkahnya pun agak lambat untuk pergi kerja.

    “Tapi kami memang tak sangka ia adalah perubahan untuk dia meninggalkan kami untuk selama-lamanya,” katanya.

    Berikutan kejadian itu, Wizana yang sekadar bekerja secara sambilan berhasrat untuk kembali menetap di Kelantan.

    Wizana yang pasrah dengan pemergian suaminya berkata, sebaik pulang daripada menghantar makanan untuk dua anaknya yang bersekolah di Tahun Satu dan Tiga, rumahnya dikerumuni rakan suami yang berpakaian tentera.

    “Ketika itu, naluri saya kuat menyatakan bahawa ada berita buruk berlaku. Saya hanya mampu pasrah dan menahan sebak serta menguatkan semangat untuk mendengar sendiri khabar mengenai kemalangan yang menimpa suami,” katanya.

    "Sebaik dimaklumkan kemalangan itu kira-kira jam 11.30 pagi, pegawai TUDM menjemput anak saya dari sekolah ke rumah, ketika itu, anak sulung seolah-olah faham dengan keadaan yang menimpa ayahnya, cuma Mohd Amirul masih kurang faham, tetapi selepas jenazah siap dikafankan, barulah dia (Mohd Amirul) tahu apa yang berlaku,” katanya.

    ..............................................................................

    26 Mac, 2010 18:09 PM

    Siasatan Pesawat Pilatus Terhempas Sama Ada Kerosakan Teknikal Atau Kecuaian

    MELAKA, 26 Mac (Bernama) -- Siasatan akan menjurus sama ada berlaku kerosakan teknikal atau kecuaian berhubung sebuah pesawat Pilatus PC-7 MK 11 Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) yang terhempas di kawasan hutan simpan, Universiti Utara Malaysia (UUM), Sintok, Kedah, pada Khamis.

    Timbalan Menteri Pertahanan Datuk Dr Abdul Latiff Ahmad berkata "biar lembaga siasatan yang ditubuhkan menyiasat sama ada (nahas itu) ada kaitan sama ada kegagalan enjin (pesawat) atau kesilapan kecuaian."

    Bercakap kepada pemberita selepas majlis penyampaian sebuah mesin dialisis dan Pingat Jasa Malaysia (PJM) kepada 30 veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM) di Markas 3 Divisyen, Kem Terendak, di sini hari ini, katanya pesawat Pilatus MK11 dari Switzerland itu adalah pesawat baru yang digunakan TUDM sejak dua tahun lepas.

    Turut hadir ialah Ketua Pengarah Jabatan Hal Ehwal Veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Mej Jen Datuk Zulkiflee Mazlan dan Panglima Markas 3 Divisyen Mej Jen Datuk Razali Ahmad.

    Dalam kejadian kira-kira 10.15 pagi Khamis, pesawat dipandu Mejar Muhammad Zulrihan Jusof, 39, terjunam ketika membuat persembahan pada perasmian Karnival Konvokesyen ke-23 UUM.

    Ditanya sama ada mangsa telah mendapat kebenaran untuk melakukan gerakan yang dirancang ketika melakukan persembahan itu, beliau berkata: "saya belum mendapat laporan penuh berhubung insiden itu".

    Youtube mempamerkan aksi juruterbang itu melakukan beberapa gerakan sebelum pesawat tersebut terhempas.

    Pesawat yang mempunyai dua tempat duduk, digunakan untuk latihan bagi juruterbang TUDM, boleh melakukan pelbagai gerakan yang dirancang dan ia banyak digunakan oleh sekolah latihan penerbangan, kata Dr Latiff.

    Katanya pada masa kini terdapat 18 buah pesawat MK 11 yang digunakan untuk latihan oleh TUDM termasuk yang terhempas pada Khamis.

    "TUDM mempunyai rekod penyelenggaraan yang baik bagi pesawat miliknya," kata beliau.

    Dalam perkembangan lain, beliau berkata kementerian sentiasa menghargai pengorbanan dan jasa pesara ATM dengan memberi rawatan percuma kepada bekas tentera yang memerlukan rawatan mesin dialisis.

    Beliau berkata jumlah kos untuk rawatan dialisis mencecah RM20 juta kepada lebih 3,000 pesara ATM yang memerlukan rawatan itu di seluruh negara.

    "Jumlah ini semakin meningkat setiap tahun kerana ramai pesara tentera yang menghidap penyakit kencing manis dan darah tinggi," katanya.

    -- BERNAMA


    .................................................................................................

    26 Mac, 2010 17:13 PM

    Siasatan Pilatus Terhempas Siap Dalam Tempoh Sebulan - TUDM

    SUBANG, 26 Mac (Bernama) -- Siasatan berhubung kejadian pesawat Pilatus PC-7 milik Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) yang terhempas di Sintok, Kedah semalam dan mengorbankan juruterbangnya dijangka siap selewat-lewatnya sebulan lagi.

    Panglima TUDM, Jeneral Datuk Seri Rodzali Daud berkata lembaga siasatan yang diketuai Inspektorat Jeneral, Kolonel Law Ing Hiong telah ditubuhkan bagi mengenal pasti punca insiden.

    "Kes perlu disiasat dari setiap sudut secara terperinci untuk mengetahui sama ada pesawat terhempas disebabkan oleh masalah teknikal atau atas sebab-sebab lain," katanya kepada pemberita pada majlis penyerahan sebuah pesawat 130H di Pangkalan Udara Subang, di sini pada Jumaat.

    Rodzali berkata kotak hitam pesawat akan dihantar ke Switzerland dalam tempoh terdekat bagi diteliti.

    "Jika terdapat keperluan, kotak hitam tersebut akan diserah oleh pakar Switzerland kepada pakar Amerika Syarikat untuk mendapatkan analisa siasatan yang lebih tepat," katanya.

    Pilatus PC-7 merupakan keluaran syarikat Pilatus Aircraft dari Switzerland. Ia merupakan pesawat latihan yang mempunyai dua tempat duduk.

    Pesawat TUDM tersebut yang dipandu Mejar Muhammad Zulrihan Jusof, 39, terhempas di kawasan hutan simpan berhampiran Universiti Utara Malaysia.

    Rodzali berkata pesawat terbabit sedang menjalani sesi latihan penerbangan sebelum nahas berlaku.

    Beliau berkata TUDM kini memiliki 16 pesawat Pilatus sementara dua buah telah terlibat dalam kemalangan udara sebelum ini.

    -- BERNAMA

    ........................................................................................

    Arwah kerap termenung
    KOTA BHARU: “Sebelum kejadian itu, saya lihat arwah selalu
    termenung seolah-olah seperti ada sesuatu
    tidak kena sehingga saya dikejutkan dengan kejadian
    menyedihkan ini,” kata Wizana Abdul Ghani, 38,
    balu kepada juruterbang Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM),
    Mejar Muhammed Zulrihan Jusof, 40,
    yang maut apabila pesawat Pilatus PC-7 dipandunya
    terhempas di kawasan hutan dekat
    Kompleks Sukan Universiti Utara Malaysia (UUM),
    Sintok, Kedah,
    jam 10.15 pagi kelmarin.

    Arwah kerap termenung

    Oleh Siti Nor Hidayah Razali
    am@hmetro.com.my
    2010/03/27
    E-mel Artikel Cetak Artikel Tanda Artikel Besarkan Saiz Teks Kecilkan Saiz Teks Komen Artikel

    KOTA BHARU: “Sebelum kejadian itu, saya lihat arwah selalu termenung seolah-olah seperti ada sesuatu tidak kena sehingga saya dikejutkan dengan kejadian menyedihkan ini,” kata Wizana Abdul Ghani, 38, balu kepada juruterbang Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM), Mejar Muhammed Zulrihan Jusof, 40, yang maut apabila pesawat Pilatus PC-7 dipandunya terhempas di kawasan hutan dekat Kompleks Sukan Universiti Utara Malaysia (UUM), Sintok, Kedah, jam 10.15 pagi kelmarin.

    Menurut Wizana, mereka bersama tiga anak sempat pulang bercuti dari Kampung Pasir Kasar Sering, Ahad lalu.

    Katanya, dia menyedari terdapat beberapa perubahan terhadap perlakuan arwah suaminya itu, terutama lebih pendiam dan suka termenung.

    “Sikap arwah itu menimbulkan keraguan di hati saya, tetapi tidak menyangka sikapnya itu memberi petanda dia akan meninggalkan saya dan tiga anak yang masih kecil buat selama-lamanya.

    “Ketika saya dan anak bongsu, Nor Hidayah yang berusia sembilan bulan menghantar arwah ke kereta iaitu pagi sebelum kejadian, dia berat hati meninggalkan kami dan termenung jauh seakan-akan tidak mahu melepaskan kami,” katanya ketika ditemui di Kampung Pasir Kasar Sering, semalam.

    Wizana berkata, selama ini arwah sentiasa berpesan supaya dia tabah mengharungi kehidupan bersama tiga anak, Nor Atirah, 11, Mohd Amirul, 7, dan Nor Hidayah jika berlaku apa-apa perkara tida diingini ke atas dirinya. “Arwah selalu berpesan supaya saya dan anak-anak bersedia menghadapi segala ujian dan tidak menangisi pemergiannya sekiranya berlaku kejadian buruk,” katanya.

    ..........................................................................................


    Tak sangka pesawat terhempas


    GAMBAR kiri menunjukkan pesawat Pilatus yang stabil
    sebelum ia terbang menjunam (gambar kanan)
    dan terhempas di kawasan hutan
    berhampiran UUM di Sintok,
    Kedah semalam.


    SINTOK - Tidak terfikir langsung pesawat yang sedang membuat pertunjukan udara sempena Karnival Konvokesyen Universiti Utara Malaysia (UUM) yang ke-23 bermula semalam terhempas dan mengorbankan juruterbangnya.

    Mohd. Amin Ahmad, 21, berkata, semasa kejadian dia yang berada di tapak pesta UUM nampak jelas bagaimana pesawat itu menjunam ke arah hutan kira-kira 200 meter dari tapak pesta.

    "Pesawat itu telah membuat dua pusingan di tapak pesta dengan terbang rendah sebelum pada pusingan ketiga ia terbang tinggi mencapai 90 darjah.

    "Secara tiba-tiba pesawat itu menjunam ke bawah dengan laju di samping mengeluarkan asap putih sebelum terhempas," cerita Mohd. Amin.

    Pertunjukan udara oleh TUDM itu adalah sebahagian daripada persembahan dalam upacara perasmian Karnival Konvokesyen Ke-23 Sidang Pertama UUM yang bakal berlangsung pada 27 hingga 29 Mac ini.

    Pesawat tersebut berlepas dari Kolej Tentera Udara Alor Setar pada pukul 10.03 pagi untuk membuat pertunjukan namun ia terhempas 12 minit kemudian.

    Mengikut atur cara UUM, selepas upacara gimik perasmian oleh Naib Canselor UUM, Datuk Seri Nordin Kardi, pertunjukan udara TUDM adalah yang pertama memulakan persembahan diikuti persembahan pancaragam dan penyerahan replika cek penaja utama karnival konvokesyen tersebut.


    ...................................................................................


    25 Mac, 2010 22:20 PM

    Anak Bersikap Lebih Manja Sebelum Ajal- Bapa

    KOTA BAHARU, 25 Mac (Bernama) -- Juruterbang pesawat Pilatus PC-7 Mark II Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) yang maut setelah pesawatnya terhempas di Sintok, Kedah hari Khamis, bersikap lebih manja dengan ahli keluarga ketika pulang bercuti di kampungnya di sini sebelum ini.

    Bapa kepada Mejar Muhammed Zulrihan iaitu Yusof Yatim, 62, memberitahu anak sulongnya itu kelihatan gembira dan kerap tersenyum sepanjang berada di kampung sehingga Rabu lepas.

    "Beberapa hari kami bersamanya, kami nampak kegembiraannya, dia sebenarnya seorang yang tegas dan jarang senyum dengan adik beradik yang lain tetapi sepanjang bersama kami dia lebih mesra," katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Sering.

    Yusof yang juga pesara tentera berkata, anaknya itu juga tidak mahu pulang ke rumahnya di Mulong, meskipun isterinya Wizana Abdul Ghani, 38, dan tiga anak mereka telah pulang.

    Allahyarham sebaliknya mahu menghabiskan masa bersama ibu bapa dan adik beradiknya.

    "Saya tidak menyangka itu petanda dia akan meninggalkan kami. Kami reda dengan ujian Ilahi dan kami anak-beranak merestui cita-citanya sejak dari kecil lagi untuk menjadi seorang juruterbang," kata Yusof.

    Beliau berkata pada mulanya beliau diberitahu bahawa pesawat yang dipandu Muhammed Zulrihan terhempas dan beliau hanya mengalami kecederaan, menerusi panggilan telefon yng diterima daripada anak keduanya kira-kira jam 11.30 pagi tadi.

    "Saya tidak membayangkan sesuatu yang buruk berlaku kepada anak sulung saya dan saya terkejut kerana pada jam 1 petang saya mendapat panggilan dari pegawai tempat kerjanya memaklumkan dia sudah meninggal dunia," katanya.

    Beliau berkata jenazah anaknya dikebumikan malam ini di Tanah Perkuburan Islam Kampung Petani dekat sini selepas tiba di Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra malam ini.

    -- BERNAMA


    Thursday, March 25, 2010

    :: SK Rumah Mentali, Saeh.. masalah air ?

    Murid mandi air sungai masin

    March 25, 2010, Thursday


    Lebih 10 tahun warga SK Rumah Mentali bergantung dengan sungai dan air hujan

    NIAH, Miri: Jika murid-murid di Sekolah Kebangsaan (SK) Rancangan Sepupuk Niah terpaksa berebut kolam dengan rumput, lain pula ceritanya di SK Rumah Mentali, Saeh, yang terpaksa menggunakan air masin untuk keperluan seperti mandi.


    KOTOR: Tila Chakok menunjukkan air Sungai Saeh Merah yang menjadi nadi utama kepada sekolah dan penduduk rumah panjang berhampiran.

    KOTOR: Tila Chakok menunjukkan air Sungai Saeh Merah yang menjadi nadi utama kepada sekolah dan penduduk rumah panjang berhampiran.

    Pihak sekolah memberitahu, setiap kali musim kemarau, mereka terpaksa mengepam air dari Sungai Saeh Merah yang masin sehingga apabila digunakan mandi, sabun pun tidak berbuih.

    Seorang guru, Tila Chakok ketika ditemui berkata, mereka dan murid-murid sekolah tiada pilihan memandangkan itu sahaja sumber air yang mereka ada untuk mandi manakala air hujan pula digunakan untuk memasak.

    “Bagi keluarga yang besar mereka menghadapi masalah kritikal untuk melakukan aktiviti harian seperti memasak dan mandi. Berbanding keluarga kecil, mereka boleh mengangkut air bersih dari pekan Batu Niah,” katanya semalam.

    Tila ditemui pemberita semasa mengiringi lawatan Setiausaha Politik kepada Perdana Menteri, Datuk Mohd Shafiee Abdullah; Ahli Parlimen Sibuti, Ahmad Lai Bujang; Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bekenu, Rosey Yunus dan Setiausaha Politik kepada Ketua Menteri, Ripin Lamat di SK Rumah Mentali di Saeh semalam. Hadir sama ialah Tuai Rumah (TR) Mentali Gesa.

    Tila yang sudah tujuh tahun mengajar di sekolah itu berkata, mereka sudah lama menggunakan air masin tersebut iaitu sejak sekolah itu dibuka lebih 10 tahun lalu.

    “Dulu kita mandi di Sungai Saeh yang masin ini, namun selepas ada bekalan elektrik yang disediakan Kementerian Pelajaran sejak dua tahun lalu, kita menggunakan bekalan air yang dipam dari sungai yang sama,” katanya.

    “Kos pemasangan pam air ini tidak mahal, namun ia turut mengepam air yang kotor selain masin,” katanya sambil menambah, sekolah tersebut mempunyai 21 kakitangan termasuk guru serta 62 pelajar.

    Mengulas perkara ini, Mohd Shafie memberitahu, masalah yang dihadapi sekolah dan rumah panjang berhampiran akan dirujuk kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

    “Saya akan membawa perkara ini kepada beliau (Najib) untuk melihat apa tindakan yang sewajarnya.

    “Kita akan mengenal pasti langkah yang sesuai untuk mengatasi masalah ketiadaan bekalan air bersih di sini,” katanya lagi.

    Namun katanya, berbanding kampung di Marudi yang dikunjungi beliau kelmarin, penduduk di SK Rumah Mentali dan sekitarnya masih bertuah kerana mempunyai bekalan air berbanding tempat lain yang langsung tiada sumber air selain hujan.

    :: Pesawat ringan jatuh di Tanjung Karang

    Pesawat ringan jatuh, pelatih selamat

    2010/03/25

    TANJUNG KARANG: Seorang juruterbang pelatih terselamat selepas pesawat ringan Eagle yang dipandunya terhempas di kawasan sawah di Blok R, Sawah Sempadan, di sini, petang semalam.
    TANJUNG KARANG: Seorang juruterbang pelatih terselamat selepas
    pesawat ringan Eagle yang dipandunya terhempas di kawasan sawah di Blok R,
    Sawah Sempadan, di sini, petang semalam.


    Juruterbang dikenali Tengku Zamir Farhan Tengku Zahidi, 21, dari Seberang Prai, Pulau Pinang itu hanya cedera pada rahang mulut serta tangan dan luka di muka dikejarkan ke Hospital Tanjung Karang untuk rawatan kecemasan.

    Ketua Polis Daerah Kuala Selangor, Superintendan Mohd Taib Ahmad, berkata juruterbang pesawat ringan dengan dua tempat duduk dipercayai milik Syarikat Intergrated Aviation Academy di Ipoh itu dalam latihan penerbangan dari Ipoh ke Kapar dan berpatah balik ke Ipoh. “Juruterbang yang berseorangan mengendalikan pesawat itu dikatakan gagal mengawal pesawat ketika berada di ruang udara sebelum terhempas di kawasan tanaman padi di sini," katanya ketika ditemui di tempat kejadian.

    Beliau berkata, sepasukan polis bergegas ke tempat kejadian sebaik menerima panggilan kecemasan pada jam 4.51 petang sebelum menghubungi Jabatan Bomba dan Penyelamat serta Jabatan Penerbangan Awam (DCA) bagi memaklumkan kejadian itu.


    Tengku Zamir ketika ditemui di hospital berkenaan, berkata beliau terpaksa melakukan pendaratan kecemasan kerana tiba-tiba rahang mulutnya terasa kejang dan segera memaklumkannya kepada menara kawalan.
    "Saya berasa terlalu penat, mungkin kerana kekurangan air dalam badan akibat melakukan banyak penerbangan hari ini (semalam)," katanya.

    Friday, March 19, 2010

    :: Zahrain : Dakwaan 16 September 2008 ?

    BERITA UTAMA

    Dakwaan lompat: Zahrain dedah nama

    KUALA LUMPUR 18 Mac - Datuk Seri Zahrain Mohamed Hashim (Bebas-Bayan Baru) yang menyambung perbahasan hari ini menyenaraikan beberapa nama ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) yang didakwa bersedia menyertai pakatan pembangkang untuk menubuhkan kerajaan pintu belakang pada 16 September 2008.

    Menurutnya, beliau dibohongi oleh Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim kononnya jumlah ahli Parlimen BN yang akan melompat itu sudah lebih daripada mencukupi untuk menumbangkan kerajaan Persekutuan.

    Antara nama yang disebut ialah Datuk Seri Abdul Ghapur Salleh (BN-Kalabakan), Datuk Seri Anifah Aman (BN-Kimanis), Datuk Bung Moktar Radin (BN-Kinabatangan), Datuk Chua Soon Bui (Bebas-Tawau), Datuk Enchin Majimbun (Bebas-Sepanggar).

    "Ahli Parlimen lain iaitu Dr. Mohd. Puad Zarkashi (BN-Batu Pahat), Datuk Seri Tengku Azlan Sultan Abu Bakar (BN-Jerantut), Tengku Razaleigh Hamzah (BN-Gua Musang) malah salah seorang daripada Timbalan Speaker juga dikatakan akan melompat menyertai pembangkang," katanya.

    Ketika ini, Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Dr. Wan Junaidi Tuanku Jaafar bertanya: "Siapa (Timbalan Speaker) yang dimaksudkan itu?" Lalu dijawab ringkas oleh Zahrain: "Kita tahu sama tahulah."

    Pendedahan Zahrain itu mendapat reaksi daripada anggota pembangkang dan penyokong kerajaan yang mengambil kesempatan untuk bangun mencelah ucapan perbahasan bagi menyokong usul menjunjung kasih titah ucapan Yang di-Pertuan Agong itu.

    Bagaimanapun sesi hari ini lebih tenang dan lancar berbanding semalam hingga menyebabkan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim 'panas punggung' dan bertindak keluar dewan.

    Sepanjang hampir sejam Zahrain berucap itu, lebih 20 kali ahli-ahli Parlimen bangun mencelah, tidak termasuk mereka yang hanya menyampuk tanpa meminta kebenaran untuk berbuat demikian.

    N. Gobalakrishnan (PKR-Padang Serai) antara yang paling banyak mengganggu ucapan Zahrain termasuk mengeluarkan beberapa perkataan yang 'tidak sedap' didengar seperti merujuk ahli Parlimen Bebas itu sebagai 'kamu' dan bukannya disebut Yang Berhormat atau Ahli Parlimen Bayan Baru.

    Tindakannya itu telah beberapa kali ditegur oleh Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Dr. Wan Junaidi Tuanku Jaafar.

    Zahrain yang tetap tenang walaupun diserang bertubi-tubi telah menyatakan perasaan kecewanya terhadap Gobalakrishnan kerana hanya berdegar-degar dalam dewan tetapi sebaliknya apabila berada di luar.

    "Dalam dewan berdegar-degar tetapi kat luar masa minum dengan saya rapat macam nak cium," katanya.

    Gobalakrishnan yang terasa dengan sindiran itu berkata: "Saya (selepas) ini tidak akan bersalaman dengan pengkhianat ini," katanya.

    Pada ketika ini, Wan Junaidi sekali lagi menegur Gobalakrishnan supaya tidak menggunakan perkataan 'pengkhianat' di Dewan Rakyat.

    Situasi yang sedikit reda itu dipanaskan semula apabila Tian Chua (PKR-Batu) membangkitkan isu surat Zahrain yang dikatakan meminta sokongan kerajaan Pulau Pinang bagi dianugerahkan pangkat Datuk Seri, sesuatu yang berlawanan dengan pendirian yang disepakati pemimpin pembangkang sebelum ini.

    Zahrain mempertikaikan surat itu sambil menyindir Tian Chua yang mabuk hingga melanggar mati seorang anggota tentera di Johor, baru-baru ini.

    Tian Chua yang berang dengan dakwaan itu, meminta Zahrain menarik balik tetapi tidak dipersetujui oleh Wan Junaidi yang mendakwa tidak mendengar dengan jelas kata-kata tersebut.

    Gobalakrishnan bangun dan mengulangi semula apa yang diucapkan oleh Zahrain itu dengan mengatakan kereta itu dipandu oleh pemandu dan bukannya Tian Chua.

    "Saya tidak dengar, tetapi saya akan rujuk hansard nanti," kata Wan Junaidi.